Jumaat, 25 Januari 2013

Trip 22/1 Kerja Pengukuran Dasar Laut Bersama Krew Kajiselidik Hidraulik Kebangsaan

Pada kali ini saya membawa krew dari Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan, untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran kedalaman dasar laut di kawasan WestPort hingga Ke Pintu Gedung.. Kerja yang dijalankan adalah merakam dan mengumpul data kedalaman stuktur mukabumi di kawasan yang telah di tentukan. Berikut beberapa gambar yang sempat saya rakamkan ketika kerja dilakukan..

Sampai saja di pangkalan dalam jam 7.30 pagi, rutin biasa ialah membersih dan mengemas bot supaya lebih selesa. Sambil itu, sempat juga memanaskan enjin dan melihat-lihat pemandangan sekitar dalam sungai. Untuk tugasan ini, saya menggunakan bot biasa dengan persetujuan mereka bersama 3 penumpang termasuk saya. Bekalan minyak adalah 50 liter(2 tong).

 Jalan-jalan sebentar meninjau reba-reba di kawasan sungai..

 Ada juga kawasan reba di laluan sungai kecil ni yang berpotensi.

Kerja di mulakan pada jam 9 pagi setelah memasang kesemua peralatan yang diperlukan. Antara peralatan yang dibawa ialah, Sonar, laptop dan Gprs. Tugas saya pula membawa mereka melintasi kawasan bertanda mengikut laluan yang tertera pada peta tersebut. Laluan tersebut melintasi selat dari tebing ke tebing melalui kawasan laluan kapal yang sentiasa berulang alik keluar masuk pelabuhan. Untungnya, ketika ini arus masih belum begitu laju berikutan keadaan air mati baru menyorong besar. 


Kesemua laluan terbabit bermula dari muara Sungai Chandung hingga ke Pintu Gedung berdekatan Pantai Aceh. Tugasan yang saya sangka mudah rupanya memerlukan kemahiran seorang yang benar-benar bergelar "Tekong". Di sini segalanya teruji dengan ombak kapal, gelombang laut, kecekapan memandu arah dan keberanian. Satu pengalaman dan ilmu baru yang saya pelajari. Hati terdetik dan gerun juga bila berada di laluan kapal yang berselang seli ini. Kadangkala jika kapal terlalu laju dengan penuh muatan, ombak yang terhasil menyerupai Tsunami menyedut keluar semua air yang terdapat di sungai kecil berdekatan. Tidak sempat saya rakamkan kejadian tersebut.

 Laluan kapal ketika air mula pasang di Pintu Gedung yang mula menghasilkan gelombang dan angin. Ketika ini tinggal dua laluan saja yang harus dilintasi. Setelah itu satu garisan tengah melintasi semua laluan tadi.

Keadaan air yang begitu jernih ketika berehat di kawasan Tiang Kembar. Ketika ini peralatan Sonar kami mula bermasalah kerana terlalu lama digunakan sejak dari pagi. Setelah berehat hampir setengah jam, masalah dapat diselesaikan dengan meletakkan tranduser sonar di dalam perut bot yang berisi air. Ketika ini barulah saya tahu yang sonar ini tidak perlu diletakkan di luar bot. Bersusah payah kami menggunakan kayu ketika memancing, rupanya di dalam perut bot saja sudah boleh digunakan. Satu pelajaran baru yang berguna buat saya..


Setelah kesemua laluan di lintasi, satu garisan tengah dari hujung ke hujung pula akan di buat. Garisan ini akan bercantum dan keseluruhan dasar laut akan dapat di petakan. Ketika ini bot akan berada begitu hampir dengan kapal yang lalu lalang. Ketika ini seluruh perhatian terpaksa ditumpukan untuk mengelak perkara tidak dingini berlaku.

Berikut adalah laluan yang sempat saya petakan lebih kurang. Tugasan ini berakhir pada jam 5 petang dan kesemua sasaran laluan untuk hari tersebut berjaya diselesaikan. Terima kasih kepada E.Tarmizi kerana sudi menggunakan blog ini dan saya untuk tugasan tersebut..