Ahad, 21 Februari 2021

Selasa, 16 Februari 2021

Sekadar infomasi, unjam selat berhasil!

 Unjam daun nipah atau daun kelapa, biasanya dikaitkan dengan pantai timur. Tetapi percubaan kali ini hanya di dalam selat berdekatan pengkalan kami.


Unjam ini diperbuat dari daun nipah dan tali besar di sauh menggunakan batu. Panjangnya sekitar 8 meter bersama pelampung tong. Sebanyak 2 set percubaan telah dilabuhkan sebelum tempoh pkp.


Daun nipah disediakan terlebih dahulu dan diikat rapi setiap 1 meter. Untuk 2 unit ini, 5 ikat daun bagi setiap meter.


Pemberat batu pula dimasukkan kedalam tong yang telah dilubangkan. Semua bahan ini disediakan terlebih dahulu.

Berat sungguh batu ini, lebih lagi jari tersepit ketika menyusunnya didalam tong. 


Setelah siap, bot berlabuh di lokasi dan tong ditolak jatuh ke air. Sepanjang tempoh unjam ini dilabuhkan, kebanyakan hasil yang berjaya dinaikkan adalah ikan senangin, ikan tebal pipi dan ikan sembilang. Namun pelampung tong yang diikat telah putus setelah sebulan berada di air. Akibat dilanggar pokok hanyut ketika arus pasang besar. Walaupun begitu, percubaan ini memberikan kami satu ilmu baru yang boleh digunakan untuk masa akan datang.

Isnin, 15 Februari 2021

Trip Cencaru OFB

 Selesai saja kebenaran dari kerajaan untuk prosedur bot rekkreasi, kami kami meneruskan trip cencaru untuk menambah pendapatan. Sumber pendapatan yang terjejas teruk menyebabkan kami terpaksa membuat perubahan drastik demi kelangsungan hidup. Oleh kerana trip memancing tidak dibenarkan, kami mencari hasil laut untuk dimakan atau dijual. 

Kesemua ahli pbrs datang dari pengkalan berbeza sekitar pelabuhan kelang. Setelah berkumpul di satu lokasi yang telah ditetapkan, kami bergerak bersama ke lokasi. Ikan ini perlu dicari terlebih dahulu sebelum dapat dipancing. Peralatan yang digunakan hanya poyan dan mata mata sahaja.
Trip cencaru adalah aktiviti bulanan tetap di dalam Persatuan Bot Rekreasi Selangor(PBRS). Semua hasil yang ditangkap, dijual semula atau dijadikan sumber bekalan makanan untuk sekeluarga.

Sekiranya ikan ada dilokasi, beginilah hasil nya. Dapat lah dijual bagi mendapatkan pendapatan. Namun jika tiada, hanya sekadar bekalan lauk sahaja.


Jumaat, 5 Februari 2021

Sekadar informasi, Kebun semak, jadikan duit.

Diwaktu pkp yang lepas, saya menanam jagung sebagai sumber pendapatan tambahan. Tali kali ini, saya membersihkan kebun sawit yang tumbuh di belakang rumah. Idea ini datang apabila saya melihat potensi buah sawit yang tumbuh ini boleh mendatangkan sumber harian jika tidak ke laut. Tak menarik?? Mari saya saya ceritakan..


Kebun ni sebenarnya dipenuhi pokok sawit terbiar yang tumbuh sendiri. Dibersihkan dan pokoknya di jarakkan supaya lebih sihat dan besar. Hasilnya, memang agak mengejutkan. 


Saya sebenarnya memang berasal dari keluarga peneroka, petani dan peniaga. Sungguh pun keluarga petani, saya tidak pernah memetik atau menjaga pokok sawit. Apa yang saya tahu adalah kutip buah dan membaja saja. Kelakar kan.. 

Jujur tu lebih baik. Kalau tak pandai kita kita cakap tak pandai dan kalau kita tak tahu, belajar dan jangan memandai- mandai.Oleh kerana kebun ni mulanya agak semak, kerjanya memang banyak. Setiap kali masuk ke kebun, saya buat sedikit demi sedikit mengikut kemampuan. Bukan nya sekali buat tetapi berkali-kali dan berulang kali. 



Bila dah buang dahan dan boleh dilalui dengan selamat, proses menjarakkan pokok saya lakukan dengan menyembur racun dihujun pucuk yang telah dikupas. Ada pula pula yang di korek keliling kemudian ditumbangkan. Lambat sangat nak mati, korek dan tumbangkan lebih cepat. Cuma kerja nak menyangkul tu berat sikit.


Apa yang saya perasan, bila dahan sudah dipangkas, buah menjadi besar dan banyak. Sampai togel pokok saya kerjakan. Sebenarnya hasil jualan sawit tumbuh ni tidak lah banyak mana pun. Namun jumlah nya sentiasa bertambah bulan demi bulan. Rm50, 70, 90, 120 untuk setiap kali petik. Bila sebulan 2 kali petik, jumlah nya lepas untuk membayar bil-bil utiliti di rumah.


Macam biasa bila masuk saja kebun, ada saja luka baru yang terhasil. Jika tak dihempap dahan, terkena duri ditangan adalah biasa. Bak kata ibu saya, tangan lelaki baru lah hebat kalau ada bekas-bekas luka macam ni.

 Selamat tahun baru 2021!

Jadual air bagi tahun 2021..





Rabu, 3 Februari 2021

Sekadar informasi, kemahiran membaiki rumah.

Kemahiran asas bertukang atau membaiki rumah kayu sudah agak kurang sekarang. Maklumlah, kebanyakan rumah sekarang lebih kepada binaan batu dan bertahan lebih lama. Tidak hairanlah sekiranya rumah separuh kayu kini sudah berkurangan. 

Pada waktu pkp pada kali ini, saya mengambil kesempatan untuk membaiki rumah sewa milik ibu yang sudah dikosongkan penghuni lama. 



Rumah separuh kayu ini sudah mula dimakan anai-anai. Banyak kayu kerangka utamanya sudah reput, jika tidak dibaiki ia bakal runtuh bila-bila masa saja. Keadaanya agak teruk jika dilihat dari mata kasar.



Kerja pertama yang perlu dibuat adalah membuat anggaran harga barang yang bakal dibeli. Dalam kes ini, saya membeli semua kayu yang diperlukan mengikut kemampuan yang ada saja. Waktu begini semuanya perlu dijimatkan. Duit sudah semakin kurang setiap hari disebabkan wabak covid19 yang melanda. 




Selesai membeli kayu, saya buka semua kayu yang rosak. Sebelum itu, periksa dulu mana yang patut dicabut dahulu. Takut nanti silap cabut, runtuh pula bumbung.  Semua paku lama dicabut siap atau dibengkokkan. Ini untuk mengelakkan kemalangan dikemudian hari. Pernah ada sejarah tercucuk paku ni, jadi sentiasa beringat. Sisa paku dikumpul di dalam botol untuk dikumpul dibahagian besi buruk. Semua kayu rosak dikumpul dibahagian luar rumah.



Selesai kayu lama ditanggalkan, kawasan dibersihkan terlebih dahulu bagi memudahkan kerja memasang kayu yang baru. Waktu ini kayu masih belum sampai. Kayu yang saya beli adalah kayu 2x1, 2x4 dan 2 keping plywood berukuran 9mm.