Laut tidak dapat saya pisahkan dari jiwa saya. Sejak dari kecil lagi, minat saya untuk memancing tidak dapat dielakkan. Dari parit kebun, longkang, lombong, tasik, sungai dan akhirnya kelaut. Berikutan ayah dan ibu saya juga pernah menjadi nelayan di kawasan ini dan ketika ibu mengandung 5 bulan, saya dah pun dibawa ke laut :) Dari menaiki pelampung, mendayung di laut dan sungai sudah saya rasai. Sehinggakan saya mampu membina sampan walaupun tanpa pengalaman, semuanya kerana minat yang mendalam. Dari sekadar hobi, hinggalah saya bergelar tekong sehingga kehari ini.
Bukan mudah untuk menjadi seorang yang bergelar "Tekong Memancing". Berbagai pengalaman dan suka duka ketika memancing saya jadikan pengalaman berharga yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Adakalanya saya dicemuh malah dihina dek kerana hobi memancing ini. Semuanya saya telan dan saya redho atas apa yang telah diberikan kepada saya. Saya bersyukur atas apa yang telah dianugerahkan Allah S.W.T kepada saya ini, adalah satu keistimewaan. Akan saya pelihara dan gunakan sebaik mungkin insyallah..
Mengimbas kembali kisah lama di PortKlang, kadangkala saya tersenyum sendiri. Mengenangkan pada waktu dulu hanya koyan dan tin susu menjadi senjata utama ketika memancing. Namun hasil yang diperolehi jauh lebih baik berbanding sekarang. Lokasi-lokasi seperti Jambatan NorthPort(laluan utama ke Pangsapuri), Flat bomba(Jeti ASA Niaga), Jeti Pulau Ketam(Jeti terbakar), Jeti Tjg Harapan(sekarang kelong), Sempadan LLP(Jeti baru ke Pulau Ketam) dan Sungai Aur(kawasan setinggan tepi sungai), adalah lokasi sasaran utama kami. Tangkapan seperti Sembilang, Tanda, Gelama Pisang, Senangin, Baguk dan Mayung amat mudah diperolehi. Berbeza sekali dengan hari ini, dengan set joran yang mahal dan berjenama, usahkan Gelama, kadangkala Duri pun belum tentu menyentuh umpan.
Namun begitu saya bersyukur kerana masih terdapat banyak hasil sehingga ke hari ini. Walaupun tidak seperti dulu, kawasan ini masih menjadi tumpuan pemancing di sekitar Selangor. Semoga dengan kehadiran blog ini dapat memberikan informasi berguna kepada anda dan membantu menaikkan nama PortKlang sebagai satu destinasi memancing terkenal Malaysia.
Sekalung budi dan ucapan terima kasih saya kepada anda yang masih menyokong saya walaupun kadangkala apa yang dihajati tidak berjaya dicapai. Jika ada yang terkurang dan tersilap, maafkanlah saya dan tegurlah. Saya berjanji semampu yang boleh untuk meningkatkan ilmu dan perkhidmatan sedia ada yang terbaik untuk anda. Teruskan menyokong kami, terima kasih!
"Memancing untuk Kualiti bukan Kuantiti"
Samat(adik ipar)
Jemik(komando_sg)
Eboi(Sepupu)
Ijam(sepupu)
Lan(adik Ipar)
Acid(sepupu)
Abul Ash(Sahabat)
Zam/Sipari