Khamis, 14 April 2022

Menjenguk tukun buatan.

 Projek tukun tahun ini masih lagi berjalan seperti biasa dengan bantuan rakan En Tarmizi. Kali ini, 6 tukun kiub dan 9 tukun bunga, berjaya dilabuh di lokasi sama. 


Cuaca yang kami sangka baik, bertukar ganas apabila bot sudah keluar ke lokasi. Tidak ada apa yang mampu kami buat selain menadah hujan dan angin kencang yang datang.


Namun kerja melabuh tukun berjaya juga dihabiskan sebelum cuaca buruk. Kali ini, tukun dilabuh di lokasi ke 3 sebagai menambah jumlah yang ada dan meluaskan kawasan lubuk.


Selesai tugas, tiba lah masa menguji lokasi yang telah dibuat sebelum ini. Lokasi ke 2 menghasilkan 2 ekor tangkapan ini. Jelas terpapar di skrin sonar,  terdapat banyak penghuninya dibawah.


Manakala lokasi pertama hanya sekor Tebal pipi berjaya dinaikan. Lokasi kedua agak sukar di lalui berikutan arus sudah mula berubah. Namun apa yang memeranjatkan kami adalah imej ikan yang terdapat di sekitar tukun jelas terpapar di skrin sonar!

Tak mengapalah, mungkin lain kali saja ia diuji. Kami bertolak pulang sekitar jam 12 tengahari dengan keletihan berpuasa dan cuaca yang cukup panas!

Baik pulih sampan yang hampir reput!

 Jika sebelum ini saya membaik pulih sampan kecil, kali ini sebuah sampan yang hampir patah dua dihantar kepada saya! Sampan berukuran 21 kaki ini milik rakan kampung saya, Wak Sam Daun. Hebat namanya, saya sendiri pun tak tau kenapa ia digelar begitu.


Bentuk sampan masih baik, cuma ia sudah mula mereput, hampir patah dua dan ada beberapa bahagian sudah hilang akibat pecah. Cabaran hebat buat saya sebagai tukang sampan amatur. Bagi saya, sampan ini masih boleh dibaiki memandangkan bentuk fizikalnya masih 80% baik. Namun kerjanya banyak dan kos yang tinggi. Sayang betul Wak Sam dengan sampan ni. Katanya bentuk sampan ini sesuai dengan kerja yang biasa dibuat. 


Banyak bahagian pecah telah hilang. Puas saya pikir macam mana nak disambungkan semula.

Betul juga katanya, untuk apa beli yang baru sedangkan yang lama masih boleh dibaiki. 

Baik pulih bot lama 2

 Setelah kotak bahagian hadapan dipotong, tulang kayu bagi mengikat papan plywood dibuat. Oleh kerana saya tidak mempunyai dana yang mencukupi, tak banyak yang boleh dibuat. Apa yang boleh saja dengan apa yang ada. Semua kayu di bahagian dalam, disapu gam fiber terlebih dahulu, bagi memanjangkan usianya.

Ukuran yang digunakan adalah 1 x 1. Saya tidak menggunakan 2 x 1 kerana ingin mengurangkan berat dibahagian hadapan. Setelah rangka dibuat, tongkat diletak dibahagian bawah sebagai pemegang.

Tongkat fiber ini digam pada lantai bot supaya tidak tanggal dihempas ombak. Setelah siap, barulah rangka dan lantai dipasang.

Lantai ini diskru pada tulang dan akan dilapis dengan kain fiber. Lapisan kain disapu gam sebanyak 3 lapisan berulang kali. Kemudian dibiarkan kering mengeras.

Gam tadi akan mengeras dalam setengah hari saja. Kemudian boleh lah disapukan cat. Untuk berjimat, saya campurkan pigmen warna pada resin. Malangnya, cat ini melekat apabila dipijak. Nampaknya terpaksalah dibuat semula nanti.

Rabu, 6 April 2022

Baik pulih bot lama 1

 Setelah hampir 8 tahun berjasa, bot kecil (Mers) kini dibawa pulang untuk dibaik pulih. Sudah banyak kerosakan besar dan sudah sampai masanya ia dibaiki.


Dari kayu pisang, haluan, hinggalah lantainya, kini banyak yang pecah dimamah usia. Sudah lama ingin dibaiki namun masa dan belanja yang diperlukan masih tidak mengizinkan. Tetapi pada harini, ia berjaya sampai dihadapan rumah. 



Kotak hadapan kiri, kanan dan hadapan rupanya mengandungi air yang banyak. Patutlah berat bila menempuh ombak dan kerap minum air, istilah lambat naik apabila dibuai ombak besar. 


Memandangkan kini bulan puasa dan tiada tugasan lain, saya mengambil keputusan membaik pulih mers. Kotak dibahagian depan akan dibuang supaya lebih ringan dan lantai akan digantikan dengan lantai penuh gentian kaca. Ini dibuat bagi mengukuhkan bahagian dalam supaya tidak bergoyang apabila dihempas ombak besar.

Tulang juga akan ditambah supaya lebih kukuh. Begitu juga dengan kotak umpan hidup, kanopi baru dan kotak stering untuk pemanduan lebih selesa. Namun kotak stereng ini akan dibuat fleksibel supaya boleh diubah sekiranya bot diperlukan untuk kerja khas kemudian hari.

Selasa, 5 April 2022

Baik pulih sampan fiber rosak.

 Pada tahun ini, saya banyak membaikpulih bot milik rakan yang terdekat. Kebanyakan bot ini bersaiz sekitar 14 kaki hingga 21 kaki. Baikpulih ini termasuklah menukar transom, membaiki lantai dan kerosakan besar yang lain.

Bot ini biasanya sudah lama digunakan dan ada bahagian yang pecah dan reput. Sekiranya ia dari fiberglass dan masih boleh dibaikpulih, tiada masalah buat saya. 

Maklumlah, harga bot sekarang memang agak mahal dan jalan termudah adalah baikpulih semula. Kepada yang ingin menghantar bot kepada saya, sila berhubung dengan saya terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah dikemudian hari.

Tukun Tiruan 2022

 Tukun tiruan terbaru edisi 2022 telah berjaya dilabuhkan di lokasi rahsia bagi memenuhi keperluan trip Paloh atau Pintu Gedung. Tukun yg diperbuat daripada simen dan sesalur elektrik ini mempunyai berat hampir 15 kg bagi setiap unit.


Sejumlah 50 unit tukun berjaya dilabuhkan  setakat ini, masih belum diuji keberkesanannya dan menjadi simpanan kami untuk trip yg bakal tiba selepas ini. 


Tukun ini adalah hasil kerjasama dengan pemilik bot Encik Tarmizi yg juga jurumudi untuk trip jigging dari Jugra. Hasil perbincangan selama 2 bulan dan perbelanjaan yg agak besar, akhirnya ia siap dibina.


Selain itu juga tukun gentian kaca (fiberglass) berbentuk kiub, turut berjaya disiapkan dan bakal dilabuh pada bulan ramadhan ini.

Semoga dengan adanya tukun ini, ahli trip akan beroleh hasil yang lebih baik pada masa akan datang!