Jumaat, 2 Disember 2022

Patin Buah Sg Langat, hobi jadi duit tepi...

 Sejak kurang turun ke laut, saya kerap ke sungai berdekatan. Tujuan nya mencari Patin Buah di sungai langat. Ikan Patin Ini bukan lah sama seperti di Pahang, cuma bentuk dan ndan namanya saja diubah. Kenapa saya panggil patin buah?? Kerana jika disiang, terdapat buah berembang, ara dan anggur hutan saja yang ada dalam perutnya.

Cuma di lokasi saya saja, di tempat lain saya tidak pasti. Oleh kerana kesukaran mencari pembeli, saya hanya mencari jika ada pesanan sahaja. Namun sekarang, ia sudah mula mendapat perhatian. 

Hasil permintaan yang baik sekarang, saya kerap turun memburu ikan ini. Ikan segar yang dibawa balik, saya buang isi perut, cuci, timbang dan bungkus dengan harga sekali. 

Saya tidak boleh makan ikan patin berikutan minyak pada ikan ini menambah asid dalam badan dan menyebabkan Gaot. Hanya boleh pancing dan jual saja.

Hasilnya, setiap 2 hari, jika cuaca baik, saya akan turun ke sungai dan mengumpul hasil. Nasib baik lah saya ada membeli enjin kecil jenama murah yang dikongsi bersama rakan sebelum ini. Tak perlu lah kami mendayung dan boleh pergi jauh sedikit ke lokasi berpotensi.

Kepada yang berminat mencari ikan patin untuk jualan atau lauk, boleh hubungi saya nanti.

Jumaat, 25 November 2022

Trip Menguji Sampan Dan Mencari Lauk

 Sampan 25 kaki milik Abang Emi telah siap dibaik pulih. Setelah dihantar ke pengkalan, ia telah diuji dan kelihatan lebih baru. Dengan lantai penuh dan kotak umpan hidup, ia kelihatan lebih ringan dan laju.

Penggunaan minyak juga lebih jimat dari yg biasa disamping kelajuan bertambah kerana berat nya yg berkurangan. Lantai fiber penuh tidak menggunakan papan, jadi ia lebih ringan. Selain itu, air hujan akan keluar sendiri tanpa perlu ditimba dan ini boleh mengelakkan bot tenggelam dipengkalan.


Hasil memancing di lokasi rahsia yang lama tak dikunjungi. Malangnya umpan udang lipan yang dibawa hanya 20 ekor sahaja. Kami pulang ke pengkalan pada jam 5 petang.

Kerja pemeriksaan tiang dermaga, selesai..

 Kerja-kerja memeriksa tiang dermaga di Pelabuhan Utara dan Selatan, selesai dengan jayanya.


Kerja bermula pada jam 9.30 pagi dan selesai pada jam 5 petang. Berlaku sedikit masalah kerana lokasi tinjauan tidak dapat dimasuki bot akibat air surut dan halangan bahaya. Namun semuanya berjaya diatasi apabila air pasang semula. Air pasang yg begitu laju dan cepat menyebabkan kerja terpaksa dilakukan dengan cepat dan pantas. 


Kerja bermula di Pelabuhan Utara, kemudian bergerak ke Pelabuhan Selatan. Terima kasih kepada pemilik kelong kerana membenarkan kami berehat dan makan sementara menunggu air naik semula.


Selesai kerja di sini, bot kembali semula ke Pelabuhan Utara dan pulang ke pengkalan.


Membantu Mencari Bot Penyelamat Banjir

 Urusan pembelian bot bg rakan persatuan dari Kg Pasir, Kuala lumpur.


Semoga semua hasil usaha ini bermanfaat ketika diperlukan nanti..


Kepada yg berminat untuk mencari, membeli dan ubahsuai bot banjir, boleh hubungi saya. Insyaallah saya cuba bantu sebaik mungkin.

Urusan Mencari Bot Penyelamat banjir

 Bot kali ini digunakan di Kg Bukit Changgang yang telah mula dilanda banjir. Ukuran bot 12 kaki lebih ringan dan mudah diselenggara.


Paras air yang meningkat hingga ke pinggang menyebabkan kesukaran kepada penduduk kampung untuk bergerak. 


Air banjir meningkat akibat aliran air hujan yang turun dari hulu, tidak dapat keluar ke sungai ketika air surut dan bertbertakung dalam kawasan tersebut.


Dengan adanya sampan kecil ini, ia boleh digunakan sekiranya keadaan mendesak.


Sampan Kayu Dalam Pembinaan


 Buat pertama kalinya sebuah sampan kayu ditempah dan sedang disiapkan untuk bakal pelanggan budiman dari Pulau Pinang. Sampan istimewa ini berukuran 12 kaki panjang dan 1 meter lebar akan digunakan didalam air, bukan sebagai replika. 


Sampan ini jenis lunas pada bahagian bawah dan hadapan. Papan dan kayu jenis meranti agak mudah reput jika terkena air. Setelah bentuk papan siap, semua bahagian akan dilapisi tisu fiber bagi melindungi papan supaya lebih tahan lama.


Proses demi proses dilakukan bagi menyiapkan projek ini. Dalam musim hujan yang lembab, berbagai masalah telah timbul dan proses menjadi lambat. Oleh kerana tiada ukuran kayu melebihi 9 kaki, kayu ini terpaksa disambung  dan kerja menjadi lebih mencabar.

Walau pun ia agak sukar, ia dijangka siap dalam bulan Disember.

Selasa, 9 Ogos 2022

Lauk Pari seminggu, Pulau Ketam masih berbisa!

 Rancangan awal memburu Tamok berakhir dengan kekecewaan apabila tiada langsung bayang Tamok muncul di lokasi biasa. Apa puncanya tidak diketahui. Oleh yang demikian, kami bertukar arah mencari ikan dasar.

Setelah sejam menunggu, akhirnya salah satu joran berumpankan Beliak mata potong, membuahkan hasil. Yang kena pula, joran kecil dan tali halus. Kerja sukar buat kami selama 1/2 jam menukar kedudukan bot supaya ikan tidak masuk ke bawah sangkar .

Setelah 2 kali gagal dinaikkan akibat gancu bengkok, akhirnya Pari seberat 18kg ini berjaya dinaikkan ke bot. Satu - satunya ikan yang berjaya dibawa balik sebagai lauk hari ini. Sampai dipengkalan, ikan ini dipotong 4 dibahagi samarata. Asam pedas selama seminggu!

Mencari lauk dikala alun kuat di paloh!

 Akibat cuaca yang kurang baik kebelakangan ini, banyak trip terpaksa dibatalkan pada saat akhir. Namun peluang ini diambil oleh rakan di pengkalan untuk turun mencari lauk.

Demi menyampaikan hajat, akhirnya kami keluar ke laut walaupun dibadai ombak besar. Tak lah besar mana bagi kami yang sudah biasa di laut. Luar biasa bagi yang tidak biasa.

Berbekalkan umpan seekor sotong kurita dan udang jala, ada juga hasil berjaya dibawa naik. Bermula di kawasan cetek hinggalah ke kawasan kapal berlabuh di Tanjung Rhu.

Sambil menunggu umpan dibaham ikan, jig juga diturunkan akibat kerajinan melampau mereka ni. Hasilnya seekor Alu - alu sedepa berjaya dinaikkan. Sampai bengkok jig 150 gram di gigit sang ikan. 

Gelora semakin kuat disulam angin selatan yang padu, akhirnya kami mengalah dan pulang awal ke pengkalan.

Rabu, 3 Ogos 2022

Unjam Perikanan Kg Nelayan, Telok gong.

 Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama komuniti Kg Nelayan Telok Gong, telah melabuhkan unjam tiruan.

Unjam tiruan ini bertujuan memudahkan pemancing mendapatkan hasil ikan yang lebih baik.

Unjam yang diperbuat dari tali, pvc dan pelampung khas ini, menggunakan pemberat konkrit sebagai sauh dan mempunyai pelampung penanda di permukaan air. 

Saiz konkrit yang tidak besar membolehkan kerja melabuh unjam lebih mudah dan cepat. 

Program melabuh unjam ini berlangsung selama 2 hari, dibantu dengan bot milik nelayan dipengkalan.

Semoga hasil usaha ini dapat dipertingkatkan sepanjang tahun dan memberikan kebaikan kepada komuniti nelayan pancing setempat.


Tugasan mengambil contoh air dan tanah.

 Pada bulan ini, kerja mengambil contoh air dan tanah telah dijalankan di sekitar Pelabuhan Barat, Pulau indah. 


Beberapa alatan penting juga turut diturunkan ke dalam air, di dua lokasi berasingan. Peralatan ini digunakan untuk mengukur kelajuan arus dan hal lain yang berkaitan.


Kerja ini dijangka memakan masa selama 15 hari dan dijangka siap pada bulan September. Semoga semua tugasan berjalan lancar.

Sampan lama bertukar baru!

 Sampan rosak yang telah lama dibaiki, akhirnya berjaya disiapkan. Masa yang diambil untuk  kerja membaikpulih adalah 3 bulan.

Kos termasuk bahan dan upah adalah sekitar rm2500. Semoga dengan baikpulih ini akan dapat memanjangkan usia penggunaannya.



Trip tamok

 







Khamis, 14 April 2022

Menjenguk tukun buatan.

 Projek tukun tahun ini masih lagi berjalan seperti biasa dengan bantuan rakan En Tarmizi. Kali ini, 6 tukun kiub dan 9 tukun bunga, berjaya dilabuh di lokasi sama. 


Cuaca yang kami sangka baik, bertukar ganas apabila bot sudah keluar ke lokasi. Tidak ada apa yang mampu kami buat selain menadah hujan dan angin kencang yang datang.


Namun kerja melabuh tukun berjaya juga dihabiskan sebelum cuaca buruk. Kali ini, tukun dilabuh di lokasi ke 3 sebagai menambah jumlah yang ada dan meluaskan kawasan lubuk.


Selesai tugas, tiba lah masa menguji lokasi yang telah dibuat sebelum ini. Lokasi ke 2 menghasilkan 2 ekor tangkapan ini. Jelas terpapar di skrin sonar,  terdapat banyak penghuninya dibawah.


Manakala lokasi pertama hanya sekor Tebal pipi berjaya dinaikan. Lokasi kedua agak sukar di lalui berikutan arus sudah mula berubah. Namun apa yang memeranjatkan kami adalah imej ikan yang terdapat di sekitar tukun jelas terpapar di skrin sonar!

Tak mengapalah, mungkin lain kali saja ia diuji. Kami bertolak pulang sekitar jam 12 tengahari dengan keletihan berpuasa dan cuaca yang cukup panas!

Baik pulih sampan yang hampir reput!

 Jika sebelum ini saya membaik pulih sampan kecil, kali ini sebuah sampan yang hampir patah dua dihantar kepada saya! Sampan berukuran 21 kaki ini milik rakan kampung saya, Wak Sam Daun. Hebat namanya, saya sendiri pun tak tau kenapa ia digelar begitu.


Bentuk sampan masih baik, cuma ia sudah mula mereput, hampir patah dua dan ada beberapa bahagian sudah hilang akibat pecah. Cabaran hebat buat saya sebagai tukang sampan amatur. Bagi saya, sampan ini masih boleh dibaiki memandangkan bentuk fizikalnya masih 80% baik. Namun kerjanya banyak dan kos yang tinggi. Sayang betul Wak Sam dengan sampan ni. Katanya bentuk sampan ini sesuai dengan kerja yang biasa dibuat. 


Banyak bahagian pecah telah hilang. Puas saya pikir macam mana nak disambungkan semula.

Betul juga katanya, untuk apa beli yang baru sedangkan yang lama masih boleh dibaiki. 

Baik pulih bot lama 2

 Setelah kotak bahagian hadapan dipotong, tulang kayu bagi mengikat papan plywood dibuat. Oleh kerana saya tidak mempunyai dana yang mencukupi, tak banyak yang boleh dibuat. Apa yang boleh saja dengan apa yang ada. Semua kayu di bahagian dalam, disapu gam fiber terlebih dahulu, bagi memanjangkan usianya.

Ukuran yang digunakan adalah 1 x 1. Saya tidak menggunakan 2 x 1 kerana ingin mengurangkan berat dibahagian hadapan. Setelah rangka dibuat, tongkat diletak dibahagian bawah sebagai pemegang.

Tongkat fiber ini digam pada lantai bot supaya tidak tanggal dihempas ombak. Setelah siap, barulah rangka dan lantai dipasang.

Lantai ini diskru pada tulang dan akan dilapis dengan kain fiber. Lapisan kain disapu gam sebanyak 3 lapisan berulang kali. Kemudian dibiarkan kering mengeras.

Gam tadi akan mengeras dalam setengah hari saja. Kemudian boleh lah disapukan cat. Untuk berjimat, saya campurkan pigmen warna pada resin. Malangnya, cat ini melekat apabila dipijak. Nampaknya terpaksalah dibuat semula nanti.