Ahad, 29 Julai 2012

Trip 29/7 Kerapu Sesat

Bulan puasa yang panas dan berangin memang agak mencabar untuk memancing. Tetapi jika sudah bergelar kaki pancing tegar, semuanya alah bisa tegal biasa :) Minggu ini memenuhi ajakan adik ipar memancing. Maklumlah air mati, layankan saja. Bertolak melalui jeti Chandayu, bot 30hp/20 dengan sewa Rm150. Oleh kerana 25hp/16 belum lagi pulang, yang ada ni pun sesuai sebab kami berempat.


 Berbekalkan udang pasar 1/2 kg yang memang saiz udang sambal, kami menambah stok udang dengan menjala di tepian sungai. Jala di tebar di alur sungai kecil yang menjadi laluan air dari kawasan tinggi tebing. Agak banyak udang yang kami perolehi dengan sekali tebar saja. Adakalanya melebihi 10ekor bersaiz sederhana dan kecil walaupun jala hanya sekecil 9 kaki. Jala ini satu kemestian kepada semua pemancing sebagai insuran ataupun penjimat belanja dikala poket kempis :)






Sekali tebar banyak ni, kalau 10x?

Tips kepada semua rakan pemancing, ketika air mati mula pasang atau separuh surut, kebanyakan udang berlonggok dalam alur sungai kecil ni. Jadi tak perlulah menjala sepanjang sungai cuma di lokasi alur saja sudah memadai. Biasanya di sungai Chandung ini banyak udang ketika air mati. Jika sebelah malam banyak pula anak ikan, udang pula yang kurang. Seperti trip yang lepas, anak ikan amat banyak sehinggakan masuk ke dalam bot ketika bot sedang bergerak.

Sesudah mengumpul umpan kami terus ke lokasi pertama di tiang putih, tak tau la nama sungai tu. Melabuh sauh, dan mula memancing. Banyaknya Cik Bun! Beberapa kali mata kail hilang dan tali putus dek kerana Cik Bun ni..


Kemudian bergerak terus ke pantai laluan masuk WestPort, berlabuh sebentar di Tiang 28 berhampiran Tukun Batu. Tiada arus dan Angin mula sepoi-sepoi bahasa. Hajat di hati nak keluar lagi, tapi apakan daya sampan dah mula melambung-lambung. Tak dapat lah nampaknya.. Ketika ini Adik ipar menaikkan seekor Daun Baru.


 
 Bebolos ni pun jadi mangsa...

Beberapa kali merubah lokasi untuk mengelak alunan ombak yang sepoi-sepoi tadi. Terdapat satu lokasi yang cetek dan kami melabuh umpan. Tetuka dan Duri kerap dinaikan dan banyak pula yang rabut akibat terlebih kosentrasi. Saya pula terlepas satu tangkapan besar, tak sempat nak main dah pun putus. Mungkin terdapat luka pada tali utama akibat sangkut pada lokasi sebelumnya. 




 Kemudian lokasi batu lagi yang kami singgah mula-mula tadi. Kawasan tersebut setentang dengan bangunan tinggi Westport(TowerBlock). Banyak betul Belukang saiz besar di sini, seronok lah juga hahaha.. Samat berjaya menaikkan sekor Kerapu bersaiz kecil. Ada reba di lokasi ini, jika tak silap sisa bot karam. Oleh sebab kail sering tersangkut, kami mengubah kedudukan dan tiada lagi tangkapan. Setelah itu pindah ke lokasi berdekatan tebing DryBulk terminal dan bersiap untuk balik. Rasa macam sekejap je. Takpelah, lain kali cuba lagi.

Jumaat, 27 Julai 2012

Cerita tentang tukun

Salam ramadhan buat semua rakan pemancing di luar sana dan salam sejahtera buat semua yang bukan beragama Islam. Bulan puasa memang memberikan banyak dugaan dan cabaran kepada yang masih tegar untuk memancing, syabas kepada anda kerana tidak meninggalkan puasa.

Di kawasan Portklang masih terdapat beberapa lokasi Tukun semulajadi yang masih memberikan hasil kepada pemancing. Sisa kapal karam, sisa runtuhan binaan, tiang konkrit dan sisa tumbuhan seperti pokok bakau adalah begitu terhad di sini dan mula rapuh ditelan masa. Sisa kapal karam misalnya akan mereput dan tenggelam di bawah lumpur mengikut keadaan semasa. Berkemungkinan akan hilang suatu hari nanti. Begitu juga dengan sisa pokok bakau di dalam sungai atau dalam lubuk tertentu. Kebanyakan kawasan ini memang terbukti mempunyai penghuni yang sentiasa dicari oleh semua pemancing, namun hanya yang cukup ilmunya dapat menuai hasil :)

Tukun Semula jadi Bakau

Ketika 7 tahun dulu saya mampunyai bot sendiri dan amat gila memancing tanpa mengira waktu. Antara lubuk kegemaran dan kesukaan yang tidak pernah mengecewakan saya ialah Muara Labuhan Gurap. Setiap kali air mati atau besar Tetanda dan Tirusan pasti menjadi lauk kami. Pernah sekali saya bersama seorang editor majalah Kembara Kail membuat liputan di lubuk ini. Kawasan alur sungai dan lubang pada permukaan dasarnya menjadikan ia lokasi terbaik saya. Ketika itu juga terdapat sebatang kayu mati dan tayar buruk di bawah nya. Tayar tersebut pernah saya naikkan dan mempunyai rantai besar kemungkinan jatuh dari bot tunda yang melalui kawasan tersebut. Sisa pokok tersebut sering juga tersangkut dan naik bersama mata kail. Pernah juga menggunakan FishFinder untuk melihat sendiri tukun tersebut. Namun tinjauan terbaru mendapati ianya sudah tiada di situ. Puas kami berpusing dan menukar kedudukan namun yang dapat di lihat hanyalah permukaan rata. Amat sedih sekali... Kemungkinan ikan hanya melalui kawasan ini dan tidak menginap seperti dulu.


Satu lagi pot terbaik saya adalah di bawah jambatan StarCruise. Diwaktu tersebut tiada larangan untuk mendekati kawasan dermaga. Setiap kali turun ke lokasi, Kurau dan Kerapu sering kami naikkan disini. Anehnya hanya 1 tiang saja yang memberi hasil dari banyak tiang yang ada di situ. Biasanya jika ada penghuni di bawah, umpan udang hidup atau beliak mata segera disambar tanpa menunggu lama. Kerap juga saya menaikkan sisa ranting dan kulit kayu jika tersangkut. Ini membuktikan kata-kata seorang rakan pemancing yang terdapatnya pohon kayu tersangkut di bawah tiang tersebut.

Satu lagi lokasi terdapat sisa pokok bakau ialah di kawasan pintu masuk sungai berhadapan StarCruise juga. Lokasi ini saya temui ketika jaring hanyut yang di labuh sering tersangkut dan mengoyakkan jaring. Di lokasi ini sering saya naikkan tetanda dan Merah bersaiz besar ketika air mati. Saya juga pernah menaikkan sisa kayu yang terdapat teritip dan sisa jaring tersangkut di hujung kail. Tinjauan terbaru mendapati sisa kayu tersebut hanya tinggal sisa kecil sahaja.

Di sekitar Pulau Ketam juga terdapat banyak sisa kayu bakau yang tumbang akibat hakisan. Sekiranya air mati terdapat ramai pemancing melabuh bot mereka berdekatan tebing pulau. Sisa ini dapat dilihat ketika air besar maksima surut habis. Tangkapan yang biasa disini Kerapu kecil dan Merah kecil.

Seorang rakan pemancing dari Pulau Indah berkata kebanyakan lubuk sekitar sungai dan selat yang biasa dikunjungi menghasilkan tangkapan baik sekitar 500grm ke 1 kg juga mempunyai tukun bakau di bawahnya. Ini menunjukkan bahawa betapa berkesannya kayu bakau sebagai tukun semulajadi.

Oleh yang demikian sekiranya tukun ini hilang, maka penghuni nya juga akan turut sama hilang dan ini satu kerugian buat kita. Bagaimana mengelakkan ini terjadi? Antara usaha yang boleh kita lakukan adalah dengan membina tukun tiruan. Tukun tiruan ini pula mesti mempunyai bebarapa ciri, sebagai contoh:-
  • Mesra alam - Bahan bukan toksid atau beracun.
  • Tidak mengganggu laluan dan membahayakan bot.
  • Sesuai dengan permukaan mukabumi.
  • Tahan lama
Pernahkah anda terfikir yang kita boleh bersama-sama membina tukun ini? Jika ini berlaku, pasti semua pemancing tidak perlu lagi bersesak-sesak pada hujung minggu di lokasi tukun yang ada sekarang. Stok ikan dan lokasi lubuk akan bertambah dan kita boleh berkongsi bersama tanpa risau ikan habis. Sekiranya saya ingin melabuh tukun bakau ini adakah anda ingin turut serta? Apa pendapat anda??

Jumaat, 20 Julai 2012

Kurau Sarang Lang/ Tiang 4

Sekadar infomasi untuk rakan pemancing yang lain, Kurau ini berjaya ditewaskan oleh Jemik(komando sg) dan Ijam ketika turun bersama sepupu saya. Jumlah tangkapan 6 ekor berbagai saiz dalam 1jam sahaja. Lokasi pancing di tiang 4 Sarang Lang, Lintasan Pulau Ketam. Keadaan air mula balas pasang menghala ke WestPort. Air mula menyorong besar ketika itu dan umpan yang digunakan ialah udang kecil yang baru mati dikupas kepala. lontaran dibuat pada tiang dan cara makan mematuk seperti ikan kecil. Kawasan ini memang sering menjadi tumpuan Ikan ini, namun ada sisa jaring pada tiang hingga kadang kala sauh juga menjadi mangsa sangkut. Jika anda berada dilokasi ini, pastikan tidak menambat bot pada tiang atau terlalu hampir kerana merbahaya jika terdapat ombak kapal.


kemungkinan besar kawanan ikan ini bergerak masuk ketika air mati dan mencari anak ikan di kawasan tiang terbabit. Kebanyakan Kurau dan Senangin disini gemarkan umpan anak Beliak mata dan Selangat yang segar. Mati pun tak apa janji masih segar.


Lagi 2 3kor sepupu dah bawak balik. Trip ni ketika menguji enjin 15hp

Rabu, 18 Julai 2012

Trip 15/7 Alamak, takde sauh!

Seperti yang di rancang 3 hari sebelumnya, saya(sipari), Jemik(komando sg), E-boi(tokey ayam), Marool(usus) telah turun memancing melalui pengkalan Sg Sireh Portklang, berhadapan Flat Seri Perantau. Kemi bertemu En.Musib yang baru pulang membawa pemancing pada sebelah malam nya. Tuan punya sampan 30hp/19kaki menyerahkan bot dengan sewa Rm200+myk 1 tangki. Murah tetapi agak sempit dan kurang selesa bagi kami berempat, namun kami tiada pilihan lain. Setelah memunggah barang dan bersiap sedia, marool hampir di tinggal. Setelah segalanya selesai kami mula bertolak ke lokasi memancing. Perjalanan terasa agak panjang kerana inilah kali pertama kami melalui kawasan ini.

Setelah melintasi jambatan Pangsapuri Bandar Sultan Suleiman, kami singgah di pantoon RSYC yang menjadi kawasan meletak bot persiaran mewah. Sasaran kami siakap casting, terdapat 2 pantoon di situ namun balingan rapala tiada sambutan. Keadaan ketika ini air mati dan jernih. Jemik dan Eboi bersilih ganti membuat balingan dan mengarau rapala. Setelah melintasi kawasan tersebut, kami beralih ke Jeti Feri, namun tiada sambutan. Saya mengarahkan untuk memancing di kawasan letak bot tunda. Jemik berjaya menaikkan senangin kecil dan gelama. Namun kami tersalah lokasi kerana lokasi tersebut adalah laluan feri Pulau Ketam. Amat merbahaya! Masa untuk bersauh, namun kecewa.

 
 
 

 Rupanya sauh yang dibawa tidak seperti yang difikirkan. Kecil, ringan dan sangat tidak sesuai. 1 Keputusan berani, ikat pada tiang jeti. Selagi tak kena halau jangan beralih :) Beberapa ekor duri dan gelama berjaya dinaikkan. Kemudian terdengar sesuatu dari atas jeti," Tak boleh dekat cik, tolong keluar!"... Hahaha da kena marah, jadi kami pun beredar menuju muara Labuhan Gurap. Sampai di lokasi, cuba melabuh sauh di muara namun tidak berjaya. Kami berlabuh di simpang 3 sungai dan makan bekalan. Dah lapar katanya..



Setelah selesai makan, kami mengambil keputusan untuk berlabuh di Boya tengah laluan kapal. Beberapa ekor duri berjaya di naikkan. Hampir setengah jam ikan mula tidak menjamah umpan. Kami berpindah ke beting kapal berlabuh. Beberapa ekor gelama di naikkan dan saya mencadangkan ke lokasi kapal karam. Setelah sampai ke lokasi terbabit, saya terkejut kerana dahulu tiang kapal akan kelihatan di permukaan air. Namun kini langsung tidak kelihatan! Mungkin bangkai kapal tersebut sudah di bawa naik.




Kami berpindah ke satu lagi boya hijau di laluan kapal. Di sini, umpan kami begitu galak mendapat sambutan. Gelama Pisang, Sembilang dan Tetuka agak banyak dinaikkan. Keadaan ini berlarutan sehingga air laju masuk ke sungai dan mula menghanyutkan batu ladung. Keadaan gelora juga menyebabkan beberapa kali air masuk melalui belakang bot. Tawakkal saja lah.. Semua nya musnah sesudah air mula laju. Berpindah ke 2 boya lagi, tiada tangkapan dinaikkan. Biasanya lokasi ini hanya seronok ketika air surut menghala keluar ke Janakuasa Hydro dan mula pasang sahaja.



Eboi dan Jemik mengadu kelaparn :) Naik ke tanjung Harapan membeli makanan. Saya dan jemik sempat mencuba Fish Finder di kawasan berbatu. Terdapat banyak karang di hadapan kunci air tetapi tiada langsung kelibat ikan di bawah. Sangat menghairankan kami. Patut susah sangat dapat ikan di sini. Kelihatan sebuah bot memancing di kawasan tiang hadapan.

Kami berlabuh di pelampung boya dan makan makanan yang baru dibeli kemudian masuk ke sungai berhadapan terminal Star Cruise. Mencuba Casting di sekitar pokok kayu bakau yang tumbang. Tiada tangkapan berjaya dinaikan. Ketika ini kelihatan sebuah bot yang saya kenali. Segan nak tegur hehehe.. Ramainya 1 bot. Setelah di selidik sehari selepas itu, rupanya sahabat pemancing membawa jiran-jemiran memancing. Adalah juga tangkapan Tetanda yang boleh dibanggakan katanya.

Jadi kesimpulan trip kali ini agak mengecewakan kerana atas kesilapan sendiri. Eboi dan Jemik juga mengatakan "tak puas!" turun kali ni. Banyak lubuk tak dapat diduga pada keadaan air cantik macam ni. Kepada semua rakan pemancing, sila pastikan sauh berada di bot sebelum turun memancing dan sesuai untuk digunakan. Mungkin tuan punya bot terlupa, jadi anda kena pastikan. Bila dah terlewat, anda yang akan rugi..

Jumaat, 13 Julai 2012

15/7 Trip Mesti pergi!

Salam menyambut puasa buat semua rakan pemancing di luar sana. Bulan ni kita mula puasa kan, kepada pemancing sekalian jangan jadikan memancing sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Kita memancing cari rezeki jangan pula dapat dosa. Cerita tentang tak puasa ni memang dari dulu lagi saya perhatikan. Tekong bawak enjin sepatut ekzos enjin yang berasap, tapi mulut tekong yang keluar asap. Saya harap perkara ini dijauhi oleh semua rakan pemancing saya. Kalau ombak ditengah bisa ditempuh, sekadar puasa sehari apalah sangat. Saya sendiri biasa turun kelaut ketika bulan puasa. Pergi selepas sahur, pulang sebelum berbuka. Jika selepas terawih, bersahur naik ke darat atau bawa bekalan untuk bersahur. Jangan buat alasan tak senonoh untuk memancing. Jika tidak mampu menahan lapar ketika memancing, jangan turun kelaut. Anda mungkin belum layak menjadi pemancing yang hebat! Jangan marah :)

Ramai juga yang menghubungi saya untuk memancing minggu ni, dalam 4 grup. Kepada en.Azmi minta maaf tak dapat ajak sekali kerana bot yang saya dapat cuma untuk 4 org, jika lagi besar sudah tentu saya ajak sekali. Maaf kepada anda semua kerana tak dapat nak tunaikan permintaan tuan-tuan semua. Kesukaran mendapatkan bot sewa menjadi penghalang utama. Hampir semua bot di kawasan Portklang habis ditempah dari sekecil Rm130 hinggalah yang ke mahal. Mungkin faktor dah nak puasa dan air pula cantik ketika ini. Namun keadaan cuaca dan angin minggu ini kurang menarik. Tapi insyaallah jika hanya sekitar selat dan pulau, masih terlindung dan tiada ombak besar keterlaluan.

Namun setelah bersusah payah mencari bot, akhirnya dapat 1 di Sg Sirih, Portklang. Bot sepanjang 19kaki 30hp dengan harga Rm200+myk 1 tangki. Murah kan :)

Namun saya gembira kerana masih ada yang ingin turun bersama saya walaupun hanya gelama dan senangin buih yang dinaikkan :) Sebenarnya seperti yang saya sebut-sebut selalu, kami yang biasa turun tidak mengejar ikan besar walaupun itu tujuan anda semua. Ikan besar ni cuma bonus buat kami kalau bernasib baik. Ilmu yang saya ada tidak setanding dengan tekong tersohor yang lain. Masih kecil, sedikit dan kurang segalanya. Ikan dalam air, saya tak nampak.

Minggu ni saya telah merancang untuk turun bersama pemancing yang dulu pernah memancing ketika muda-muda dulu :) Diorang selalu ikut saya ketika ada sampan dulu. Merasa lah tirusan, jenahak dan pari yang memang susah nak dapat kalau menebing je.. Biasa lah kalau bab peralatan kami semua nya murah dan ringan sahaja, sesuai untuk berseronok di sekitar perairan PortKlang ni.. Biasa nya kami bawa yang keras satu, yang lembut satu. Yang lembut tu untuk menguji skill dan cari lauk :) yang keras untuk bertarung jika bernasib baik.

Tengoklah nanti apa hasil yang kami akan perolehi pada trip yang dirancang ni. Usaha perlu lebih, harapan pasti ada. Namun allah ta'ala penentu segalanya. Kepada Jemik(komando Sg), E-boi(tokey ayam) dan Marool(Usus), siapkan kekuatan tangan untuk tarik sauh esok hahahaha pasti lenguh nak ubah tempat nanti.. Selamat memancing semua dan semoga anda berjaya!

Bot Kayu Enjin Kereta Sahabat

Sabtu lepas saya berkesempatan melawat seorang sahabat yang baru saya kenali tempoh hari. En Fadzil dari Kg Jawa sedang menyiapkan sebuah bot kayu yang menggunakan enjin kereta! Memang unik dan kreatif orangnya. Banyak maklumat dan pengalaman berguna untuk saya jadikan ilmu, maklumlah saya juga seorang pembina sampan walaupun tak sehebat mana. Bersama adik ipar, kami singgah untuk melihat bagai mana proses dan bentuk sampan kayu. Bentuk sampan Lepak Jantan sepanjang 23 kaki panjang dan 6 kaki lebar. Berikut beberapa gambar yang sempat saya rakamkan untuk rakan pemancing semua.


Pandangan dari depan, siap khemah untuk berteduh. Betullah cara macam ni..
 
 Enjin yang telah di ubah suai, lupa pula nak tanya berapa kekuatan enjin. Tapi mengikut katanya 60kuda.

 En Fadzil arkitek bot ni..Tinggi juga lantainya, senang nak buang rawai atau jaring. Esok akan dibina rumah untuk enjin.

 Siap dengan tombol gear! Haaaaa memang unik lah bot ni :) reverse, gear 1 sampai 4..

 Cuppling atau penyambung dari shaft kipas ke gear..

 Sambungan dari pandangan atas, rm1500 ditempah khas..



 Sambungan kayu yang memegang tiang shaft dan kipas pada haluan bawah..


 Radiator sebelah depan..


Haluan di ikat menggunakan ciri khas supaya lebih kukuh..

Sekiranya siap nanti, bot ini akan berada di Pengkalan Pengail Port Klang. Insyaallah pelancaran ke laut sebelum bulan puasa katanya. Dah tentu saya akan turut serta dan merasai sendiri penagalaman ini. Terima kasih En.Fadzil..

Melawat Sungai

Mengikut maklumat terbaru yang saya terima dari rakan pemancing, ikan baung di sungai telah mula banyak dan sering dinaikkan. Saiz antara 500grm hingga 1kg, saiz biasa di sungai ini. Sambil meninjau keadaan lokasi yang boleh dilihat dari jalan besar, saya mengambil sedikit gambar untuk artikel ni. Pada ptg Sabtu selesai dari bekerja, tiada kaki pancing dilihat berada di lokasi. Kelihatan ikan patin banyak melompat di permukaan. Tapi tidak lah seperti ikan lumba-lumba di laut :) Setengah jam mengendap, kelibat ikan bulan dan lampam juga turut kelihatan. Lokasi ni kami gelar Selekoh Kilang sebab seberang jalan terdapat kilang tempat saya bekerja. Banyak pokok tumbang di bahagian tepi sungai, dengan kesan di tebang. Sedihnya melihat keadaan begini. Entah sampai bila boleh bertahan Sungai Langat ni. Pembinaan kilang baru bersebelahan jalan juga merisaukan saya. Sedikit sebanyak pasti sisa buangan nya akan mengalir ke sungai dan mengganggu habitat udang galah dan ikan di sungai. Terjumpa pula dengan sejenis tumbuhan yang biasa kami guna sebagai umpan patin.

 Gambar ni diambil di jambatan besi pada waktu petang, air mati mula surut. Berjaya dinaikkan menggunakan umpan buah berembang.

Buah Lakom atau anggur hutan. Rasanya manis tetapi mempunyai racun, anda akan gatal tekak dan bibir setelah memakannya. Jadi jangan cuba ye..




Pohon ni menjalar biasanya di atas pokok, menutupi dahan dan berbuah mengikut musim. Jika masak bewarna hitam dan hijau ketika muda. Biasanya kami guna yang masak untuk menundukkan patin. Teori ini telah terbukti berdasarkan patin yang kami bedah ditangkap oleh Jemik(komando sg). Terdapat beberapa bahan di dalam perut patin disini. antara bahan tersebut ialah, buah lakom, buah berembang, daun hijau yang tumbuh dalam air di tepi sungai, lumpur, sisa ayam seperti lemak dan usus. Tetapi yang biasa buah lakom dan berembang. Saya pernah letak gambar buah berembang pada artikel lama dalam ni.


Kawasan tebing bersemak yang redup. Seram juga kalau tengok macam ni.. Kebanyakan nya pokok pakis tanjung yang biasa kita masak untuk sayur.


 Kesan hakisan akibat aktiviti mencari cacing sungai untuk umpan. Lambat laun kawasan ini pasti terhakis dan runtuh.

Selasa, 3 Julai 2012

Bahan FiberGlass Untuk dijual

Gam/Resin
Kain Fiber/ Matt
Pengeras/Hardener

Sesiapa yang berminat mendapatkan bahan ini dengan harga jauh lebih murah dari biasa, sila hubungi saya. Belian adalah secara pukal bermaksud jumlah tong atau kotak. Sekadar informasi, harga bahan ini akan meningkat pada bulan 9 nanti. Juga kepada yang berminat untuk berkongsi membeli dengan saya juga boleh diuruskan. Terima kasih.

Trip 1/7 Bagan Lalang - Ikan tak naik!

Salam ceria kepada semua rakan pemancing yang budiman. Terima kasih kerana sudi melawat blog kami. Minggu yang sudah saya dan Acid membuat satu trip mengejut ke Bagan Lalang untuk mencuba lokasi yang pernah di ceritakan Acid iaitu Boya Putih Paloh 2 Pantai Bagan Lalang. Trip kali ini hanya untuk misi mengenalpasti kawasan lubuk berpotensi dan merasai sendiri keadaan memancing di kawasan laut terbuka. Kali ini bot sewa berharga Rm200+tekong+myk memang murah hasil dari carian rakan Acid yang berada di kawasan berkenaan. Malang sekali kerana rakan tersebut tidak dapat turut serta kerana tidak tahan mabuk laut. Saya menjangkakan sesuatu yang amat tidak disenangi ramai pemancing iaitu keadaan laut bergelora. Setelah meminjam 2 batang joran dari Jemik@Komando Sg, Udang hidup 100 ekor dan peralatan lain yang di perlukan, kami bertolak ke lokasi pada jam 5 pagi menuju ke Pengkalan Sg Sepang untuk bertemu dengan tekong tersebut. Setelah bersalaman dan minum di kedai mamak, haji membawa kami ke pengkalan untuk turun memancing.







Setelah memunggah barang ke dalam bot sepanjang 23kaki yang menggunakan enjin 60hp kelihatan sudah uzur. Sebelum itu beberapa pemancing telah mengingatkan kami tentang keadaan di luar sana :) saya menelan 2 biji panadol. Keadaan kurang sihat dan risau mabuk, menyebabkan saya terpaksa membuat persediaan. Air yang tenang ke muara berubah setelah keluar melintasi beting. Ombak yang tidak putus-putus menerjah bot kami dan nelayan lain yang sedang menangkap ketam. Mengerikan!





Hampir 15 melintasi kawasan terbabit, kami singgah di Jimah Power Plant untuk mencari tamban. Mengikut tekong, udang kami tidak akan membuahkan hasil dan katanya hanya sesuai di masak bersama mee segera berdasarkan saiznya yang kecil. Setelah bersusah payah mengikat tali pada tiang dermaga, pancing di labuh setentang pada paip limpahan air dari logi kuasa. Tiada Tamban berjaya di naikkan. Putus sebanyak 2 kali akibat tersangkut pada karang batu akibat tidak sedar ikan sudah membawa umpan ke sarangnya. Maklumlah, keadaan laut bergelora menyebabkan saya tidak dapat mengesan ikan meragut umpan.



Setelah berlabuh hampir sejam, haji mengajak kami ke tengah untuk mencari tamban di sekitar tiang lampu. Menempuh ombak tinggi dan gelora cukup menakutkan saya. Untungnya bot kukuh dan besar. Namun ada bot lebih kecil dari bot kami berada berdekatan. Kelihatan sedang melakukan jigging dan telahpun berjaya menaikkan tenggiri sebanyak 2 ekor! Kelihatan juga pemancing yang berada di atas tiang peken terbabit sedang mencari tamban. Saya tidak pasti adakah lokasi tersebut dibenarkan digunakan untuk org awam memancing. 



Hanya beberapa ekor tamban saja di perolehi dan tekong mengajak untuk ketengah lagi. Di tepi saja gelombang sudah besar, di ajak ketengah pula? Ikut sajalah, yang penting dapat pengalaman baru walaupun hati tak berapa rela :) Sekali lagi bot menempuh ombak laut bergelora menuju ke boya hijau. Sampai saja di lokasi, kami menghadapi kesukaran mengikat tali bot ke boya. Setelah bersusah payah dan berjaya mengikat tali, apollo di turunkan dan tamban yang dicari mula menunjukkan muka. Tiada selar dan cencaru seperti yang kami perolehi di Trip Kelanang yang lepas. 



Hampir 2jam disitu menunggu keadaan tenang sedikit, haji mengajak kami ketengah lagi! Boya kuning... Kepala dah mula pening. Kata aji, kalau setakat nak memancing Gelama baik di tepi saja. Kalau ikut haji mesti ketengah lagi. Sabar je lah...Perjalanan ke tengah 15 minit menempuh ombak lagi dan sampai ke lokasi. Air mula tenang :) Alhamdulillah... Tiang penanda bewarna putih dan sauh di labuh. Cetek je. Rupanya kawasan beting. Haji mengarahkan kami melabuh pancing menggunakan umpan tamban hidup. Pancing pertama saya labuh menggunakan perambut 50paun dan batu saiz 10 perambut gantung. Jarak lontaran 20 meter dari bot. Tak sampai 5 minit, ikan meragut umpan. Melentur joran dan tali berderik keluar tanpa henti dan joran hampir tercampak keluar kerana tidak di letak pada tempat sepatutnya..Saya mengangkat joran dan ikan melompat ke permukaan! Putus,.... Terkejut dan terkedu di buatnya.. Memang besar... Haji menegur saya supaya menggunakan tali perambut 100paun ke atas untuk tali biasa. Tak sampai 5 minit joran tekong pula menjerit! Setelah membalas rentapan, ikan terus menarik tanpa henti dan akhirnya rabut juga :) 2 mata pun rabut juga? Pandai betul ikan kat sini. Acid yang menggunakan pelampung turut mengalami nasib yang sama. Dek kerana terlalu banyak memasang joran sehingga lambat mengesan joran mana yang di tarik ikan. Rabut juga... Terbukti, memang lubuk ini berisi..



Mengikut kata aji, semua yang terlepas adalah 5kg ke atas. Rezeki mata sajalah nampaknya. Setelah arus dan angin berubah, tiada tangkapan dinaikkan. Setelah naik ke darat untuk makan, kami turun semula di kawasan Logi Janakuasa dan hanya kerapu kecil dan tetanda berjaya dinaikkan, itupun saya lepaskan semula. Walaupun agak kecewa dengan tangan kosong, namun saya anggap trip ini banyak memberi pengajaran buat kami. Yang mabuk laut memang tak buleh ikut, percayalah :)







 Apa yang di gelar Acid "Apollo Extream!"