Rabu, 12 Ogos 2015

Awasi cuaca ketika memancing!

Trip bersama rakan lama ini menghadapi kesukaran apabila angin kencang membadai bot kami. Keseronokan memancing menyebabkan kami terleka dan bot melekat di sangkar akibat angin kencang yang melanda.

 Kerap kali ketika ini ikan besar memilih untuk makan umpan dan perambut kecil. Tak nampak kot..
Umpan yang saya potong dua dengan perambut kecil menghasilkan sesuatu ketika trip..

Awan gelap pada sebelah petang..

Keadaan cuaca tidak menentu dan ngin kencang ketika ini memang tidak dapat dijangka. Perhatian kepada anda yang keluar ke laut, sila pastikan anda tidak terdedah pada cuaca ini atau mengambil risiko. Sekiranya memancing di kawasan sangkar, sila beredar sekiranya awan hitam atau ribut bakal melanda. kebarangkalian untuk bot anda terbalik atau melekat di sangkar memang ada. Sila tinggalkan kawasan tersebut dan beredar ke lokasi perlindungan yang selamat!

Keadaan Air Sesuai Memancing September 2015


Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.

       
1         Air Besar
2         Air Besar
3         Air Besar
4         Air Mengurang
5         Air Menyorong Kecil
6         Air Mati
7         Air Mati Tak Berarus
8         Air Mati
9         Air Menyorong Besar
10       Air Menyorong Besar
11       Air Menyorong Besar
12       Air Besar
13       Air Besar
14       Air Besar
15       Air Besar
16       Air Besar
17       Air Besar
18       Air Besar
19       Air Mengurang
20       Air Menyorong kecil
21       Air Mati 
22       Air Mati Tak Berarus
23       Air Mati
24       Air Menyorong Besar
25       Air Menyorong Besar
26       Air Besar
27       Air Besar
28       Air Besar
29       Air Besar
30       Air Besar
31       Air Besar

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 5-6, 8-11, 20-21, 23-25
Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Trip 9/8 En Iswandi dan Rakan

En.Iswandi adalah salah seorang anggota trip yang kerap turun bersama kami. Namun lokasi sangkar pada hari ini tidak berjaya membuahkan hasil. Beberapa hasil terbaik gagal di bawa naik setelah tersangkut dan putus pada sebelah paginya. Lokasi lain pula dipenuhi Ikan Duri dan Buntal lantaran air jernih dan telah surut.

 Salah satu Senangin di sangkar yang disangka ikan duri.

Oleh kerana kawasan sangkar sudah menampakkan tanda-tanda kumpau, kami bersetuju berpatah balik sebelum senja berlabuh. Hasil usaha ini berjaya menambah hasil untuk dibawa balik. Lokasi Sarang Lang berjaya menghasilkan Semilang dan Gelama.

Semilang di kawasan dermaga kapal..

Salah satu tangkapan terbaik kali ini seekor ikan Kurau dengan umpan Beliak mata potong. sebelum umpan diturunkan saya telah berpesan kepada semua anggota trip supaya terus merentap joran sekiranya ada getuan walaupun kecil. Ikan Kurau di kawasan ini amat bijak mencuri umpan. Jadi cuma ini saja cara terbaik untuk memancingnya.

Analisis trip:-
  • Umpan Beliak mata memang sering berhasil tapi cara sajiannya perlu tepat mengikut lokasi.
  • Adalah lebih baik anda menggunakan set yang kukuh disekitar sangkar kerana kebarangkalian untuk kecewa boleh dikurangkan.
  • Perambut halus tetapi kuat adalah yang terbaik bagi pemancing muara dan selat.
  • Sekiranya air jernih di kawasan sangkar, elakkan guna udang kupas kerana ia mengundang buntal!

Trip 8/8 En Herry

Trip kali ini hanya berlegar di sekitar sangkar ikan Pulau Ketam saja. Keadaan angin yang sedikit kencang kadangkala menyukarkan kami berlabuh. Cuaca tidak menentu dan berangin kerap kali kali terjadi pada masa ini.

 Hampir semua lokasi yang kami singgah kali ini membuahkan hasil walaupun tidak besar. Kesemuanya berdekatan sangkar ikan dan sauh sangkar. 

 
Ikan Kerapu kecil yang menelan kepala sardin..

Ikan Merah yang tiada peluang langsung dengan joran aksi berat yang dibawa, hasil kerja tangan 2 merpati sejoli ini.. Tukang tarik ikan yang pakai tudung tu..

Spot terakhir pada trip kali ini berjaya membuahkan hasil..

Salah satu spot terakhir kami rupanya dihuni spesis Pari. Joran Mikro Jig sebesar lidi yang digunakan Abg Lan untuk menarik Pari ini memang menakutkan saya. Saya sendiri terkejut apabila ikan sudah sampai ke atas bot, rupanya perambut halus dan tali utama 15 paun saja yang digunakan. 

Pari seberat 8.5 kg menutupi ke semua ikan yang berada di dalam kotak ikan.

Hasil keseluruhan trip yang boleh dibanggakan pada kali ini.

Analisis trip :-
  • Lagi kecil perambut dan tali utama yang anda guna lebih bagus.
  • Umpan segar adalah terbaik namun perlu sesuai cara sajiannya.
  • Getuan kecil jangan disangka ikan kecil.
  • Rajin lah bertanya kepada tekong apa yang sesuai di setiap lokasi.

Trip 6/8 Mengambil Contoh Air dan Tanah

Kerja mengambil contoh air dan tanah oleh En.Fadzil dijalankan di beberapa lokasi sekitar WestPort, NorthPort dan Hidro Kapar. Cuaca hujan sepanjang hari dan berangin tidak mengganggu kerja yang dijalankan sehingga selesai.

Walaupun agak tenang pada sebelah petang, hujan pada sebalah paginya..

Nampak agak mudah untuk kerja begini, tetapi hanya yang bekerja saja tahu bagaimana cabarannya..

Terdapat beberapa spot contoh tanah yang tidak berjaya diambil lantaran keadaan permukaan tanah yang keras dan berpasir. Hal ini memberikan peluang kepada saya menambah ilmu sedia ada. Kebanyakan lokasi ini adalah spot terbaik mamancing kami. Sekarang baru tahu kenapa hanya di lokasi tersebut saja biasanya berhasil sedangkan bot lain hanya membangau saja!

Trip 5/8 Puan Salmi dan Suami

Puan Salmi yang baru pertama kali menaiki bot turun ke laut bersama suaminya pada kali ini. Walaupun tarikh pada kalendar air sudah perlahan, keadaan air masih lagi laju dan keruh. Keadaan air begini menyebabkan banyak lokasi tidak dapat dikunjungi lebih-lebih lagi dikawasan sangkar. Faktor ketiadaan umpan juga agak menyukarkan trip kali ini.

Oleh kerana air masih laju, spot Tetanda memang sesuai lah..

Tetanda juga di belakang sangkar..

Gelama Double Strike..

Hanya beberapa ekor Tetanda, Gelama dan Duri saja hasil kali ini.

Kebanyakan lokasi memancing tidak dapat dikunjungi oleh kerana air masih laju dan keruh. Jika mengikut carta air, air sepatutnya sudah mula perlahan dan mempunyai 2 kali waktu pasang. Mungkin benar ramai yang yang mengatakan bahawa keadaan air pasang surut sudah berubah sejak kejadian Tsunami dahulu. Kuasa Allah, kita hanya dapat merancang saja..

Komando_sg dan Eboi, mengendap Patin Buah Sg Langat

Baru saja hari raya ketiga, dua krew blog ini dah gatal untuk memancing. Mengambil kesempatan baki cuti raya, mereka ni turun ke sungai mengendap patin. Tak puas-puas memancing mereka ni..

Menunggu dan menunggu..

Banyak juga hasil yang berjaya dibawa naik kali ini. Hampir 10 ekor patin saiz terbesar sekitar 4 kg.

Umpan buah Lakom seperti anggur hitam ini kadangkala menjadi di lokasi tertentu. Walaupun buah Berembang lebih berhasil namun ada masanya ia tidak menjadi, mungkin faktor persekitaran yang tidak sesuai ketika ini. Trip yang disertai Eboi ini salah satu trip Patin paling banyak dinaikkan. Kebanyakan hasil dijual kepada yang berminat dan saya sendiri turut merasa masakan Patin masak lemak setelah lama tidak turun memancing di sungai..