Selasa, 13 Oktober 2015

Trip 8/10 En.Said dan Rakan

Seperti yang saya katakan sebelum ini, sampah masih menjadi pemandangan utama di sepanjang perjalanan ke lokasi memancing. Amat sukar mengemudi bot untuk melepasi sampah ini. Kerap kali sampah melekat pada kipas dan mengganggu perjalanan kami. Sampah seperti sisa plastik dan kayu kecil merbahaya pada enjin sangkut.

Setelah sampai di lokasi memancing, sauh dilabuh dan aktiviti memancing dimulakan. Ketika ini air masih surut dan arus masih belum berubah walaupun sudah mula pasang. Arus perlahan seperti ini biasanya menyebabkan Ikan Kerapu aktif dan mudah dipancing. Dengan syarat, umpat jatuh tepat di hujung matanya.



Hasil pertama dengan perambut kolam batu kecil yang dihanyutkan di bawah sangkar..

 
Jika anda perasan, saiz umpan langsung tidak padan dengan tangkapan yang dibawa naik. Inilah rahsia sebenar memancing di lokasi ini..

Senangin adalah spesis wajib pada ketika ini. Spesis ini kerap masuk ke selat yang terlindung ketika musim angin kuat di lautan terbuka. Perkara ini kerap kami perhatikan berlaku seperti tahun-tahun yang sudah. Pada satu ketika nanti, amat sukar mendapatkan spesis ini ketika berakhirnya musim angin kencang.

Ikan Merah yang berjaya dinaikan dengan umpan seekor Beliak Mata.


Hasil keseluruhan trip pada harini agak kurang berbanding dengan hasil sebelum ini. Kemungkinan besar air hujan yang masuk melintasi lokasi memancing kami. Menjadi kebiasaan ketika banyak air hujan, ikan agak kurang aktif. Sebelum trip berakhir kami singgah di kawasan muara dan hasilnya masih tetap sama. Trip pulang sekitar jam 8 malam ke pengkalan.

Trip 7/10 En Ghazali

Trip kali ini hanya berdua saja dimulakan dengan sesi mencari umpan yang agak sukar berikutan hujan sepanjang malam. Kemungkinan besar, air hujan yang dibawa arus surut menyebabkan ikan umpan tidak berada di lokasi. Walaupun agak sukar, hari memancing diteruskan dengan umpan yang dibawa dari pasar pagi.

Laluan sepanjang selat diwarnai dengan sampah yang terapung di permukaan air. Pemandadangan seperti ini dapat dilihat di sepanjang laluan utama ke Pulau Ketam. Jika sampah ini mendap di dasar sungai, kawasan ini akan ketandusan ikan dalam tempoh 10 tahun lagi..

Hasil pertama di lokasi, seekor Kerapu seberat 3.5 kg dengan umpan seekor ikan tamban..

Mata kail hanya terlekat pada bibir ikan dan salah satunya berada di luar mulut. Kelebihan penggunaan 2 mata kail.

 
Hari memancing kali ini begitu suram disebabkan hujan selepas tengahari. Antara yang turut termenung menanti ikan termasuklah Burung Bangau yang berada di atas sangkar tinggal ini. Cuba anda lihat berapa banyak Bangau yang ada di situ?

Selepas hujan, tiada lagi tangkapan berjaya dinaikkan dan kami berpatah balik ke muara. Hasil berlabuh selama 2 jam, beberapa Gelama Pisang dan Senangin kecil berjaya dinaikan. Trip pulang selepas solat mahgrib sekitar jam 7.20 malam.

Trip 6/10 En.Izwandi Dan Rakan

Adakah anda tau memancing dapat melepaskan tekanan kerja? Alangkah bagus jika anda pulang dari memancing dihujung minggu, kembali ke tempat kerja dan rumah dengan hati yang tenang dan gembira. Tidak kira di mana anda memancing, pastikan anda terhibur dan gembira dengan aktiviti memancing anda.


Hari ini trip dianggotai 4 orang pemancing termasuk saya, seperti biasa berlegar di kawasan sangkar ikan Pulau Ketam. Sampai di lokasi pertama sauh dilabuh dan aktiviti memancing dimulakan. Hasil pertama, Senangin di atas ni..

Juga di lokasi yang sama, seekor Ikan Pari kecil berjaya dinaikkan dengan umpan ikan potong. Getuan kecil berhenjut-henjut yang di sangka Buntal rupanya Ufo di hujung kail.

En.Adlin berjaya menaikkan Ikan Senangin di lokasi sama.. Mata kail hanya tersangkut pada dagunya sahaja. Kalau dah rezki memang tak ke mana..

En.Adam dengan Kerapu di hujung sauh sangkar ketika angin kuat. Tarikan pertama berjaya melepaskan diri. Namun tarikan kedua, membuahkan hasil..

 
Tetanda sekitar 700gram di belakang sauh sangkar ketika hujan mula turun..

Salah satu Kerapu comel yang berjaya dinaikkan..


Memang murah rezki hari ini. Banyak hasil tangkapan baik berjaya dinaikkan walaupun ada yang berjaya memutuskan perambut kami. Hujan pada sebelah petang menyebabkan kami menggigil kesejukan. Hanya kami berdua memakai baju hujan, yang lain lencun.. Trip pulang awal berikutan jerebu tebal selepas hujan.

Trip 5/10 En.Jin dan Rakan

Seperti biasa trip dimulakan dengan mencari umpan terlebih dahulu sebagai tambahan kepada umpan yang dibawa. Maklumlah, ikan sekarang dah pandai mengenal umpan. Sekiranya kita tidak bersedia, mungkin akan ada trip kumpau pula nanti. Usaha biarlah gigih, insyaAllah akan ada hasilnya nanti..


Mudah mencari umpan kali ini memandangkan ikan baru masuk melalui aliran air pasang.. Lebih bagus jika lebih dari 2 orang yang membuat kerja. Senang nak mengumpul berbanding cuma seorang..

Hasil pertama adalah seekor Tetanda saiz tapak tangan..

Mangsa kedua pula seekor Merah yang menelan keseluruhan umpan ikan..

Di lokasi ini, tangkapan pertama dan kedua berjaya melepaskan diri. Namun hasil ketiga barulah berjaya dinaikkan. Senangin saiz begini memang sukar dinaikkan jika memancing di kawasan sangkar. Kerap melompat dan memutuskan tali perambut!

Kerapu dengan umpan ikan sardin potong hanya terlekat sedikit pada mulutnya..

Di akhir trip ini, salah satu joran milik En.Jin telah ditarik ganas spesis yang tidak diketahui. Umpan seekor ikan dengan dua mata kail berjaya melarikan 1 gelendung tali sehingga habis. Tidak sempat berbuat apa-apa, mangsa berjaya melepaskan diri. Kejadian seperti ini kadang kala berlaku diwaktu yang kita tidak jangkakan.

Hasil keseluruhan sepanjang trip hari ini..

Patin Sungai Langat, Asam Pedas pun sedap..

Sekiranya tidak turun ke laut, sungai menjadi lokasi kedua. Jika tidak di Port Klang, Kelanang pula yang kami kunjungi. Kemudahan sampan yang sudah tersedia menjadikan kerja kami lebih mudah. Walaupun hasil yang diperolehi agak berbeza, namun kepuasan yang diperolehi tidak dapat dibeli dengan wang ringgit..

 Umpan ikan patin di sini adalah buah Berembang yang masak. Jadi aktiviti pertama yang perlu dibuat adalah mencari umpan ini di sepanjang laluan sungai.

 Mata kail dan perambut sesuai perlu digunakan disini..

Batu buatan sendiri yang terbukti menjimatkan kos..

Mata kail jenis nipis memudahkan menembusi mulut ikan Patin yang keras.


Buah Berembang yang masak memang masam rasanya. Mungkin inilah penyebab utama mengapa ia disukai ikan Patin. Ia juga boleh dijadikan makanan kita sekiranya dicampur dengan gula.


Ape yang yang kami panggil sarang perumpun, hasil keladak air sungai yang melekat pada tali utama membentuk sarang perumpun. Agaknya beginilah perumpun membuat sarang di muara laut ye..

Hampir 5 minit berlabuh, seekor tangkapan berjaya dinaikkan. Hampir di semua lokasi terdapat tarikan dan jumlah keseluruhan tangkapan adalah 8 ekor pelbagai saiz.

Sekiranya anda menebing,memang sukar untuk mendapatkan hasil seperti ini. Mungkin kedudukan laluan ikan ini bermain tidak dapat dicapai dari tebing. Namun sekiranya menggunakan sampan, anda akan berada tepat di laluan ikan ini bermain. Lebih seronok jika anda menggunakan set kecil tetapi dengan tali utama yang kukuh. Terus terang saya katakan, ikan dikawasan ini memang sangat kuat melawan!

Jumaat, 2 Oktober 2015

Trip 24/9 Membuang Teritip

Seperti biasa rutin bulanan bagi setiap pemilik bot yang sentiasa turun ke laut, membersihkan teritip adalah wajib setiap bulan. Namun kali ini kami mengambil inisiatif dengan memberi peluang kepada mereka yang ingin turun bersama pada hari tersebut.

Tender terbuka ini hanya diwar-warkan di dalam grup pancingport.blogspot melalui Aplikasi Whatsapp saja. Manakala pemancing yang berminat hanya perlu membeli minyak separuh dari jumlah sebenar dan sebagai upah, trip memancing selepas itu. Oleh yang demikian, beban kerja yang kami tanggung dapat dikurangkan. Aktiviti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa setiap bulan.

 
 En.Arol dan En.Alan dari pancing.net menyahut cabaran ini..

Selesai kerja membersih, sampai lah masa untuk memancing. Seperti yang dijanjikan, kami menghala ke sangkar Pulau Ketam. Namun sebelum itu, aktiviti mencari umpan di sudahkan dengan sekilo Beliak Mata.

Hasil pertama setelah 10 minit berlabuh, Jenahak anggaran 1.5 kg..

Hasil kedua pula seekor Pari yang nyaris menarik jatuh joran kami..

Oleh kerana arus begitu baik dan ikan masih aktif menjamah umpan, kami mengambil keputusan untuk menunggu saja dan berpindah hanya di kawasan berdekatan. Hasil kesabaran, seekor Kerapu besar berjaya dinaikkan. Joran kecil dan perambut kecil. Kami bernasip baik kerana ikan ini tidak terlalu agresif dan jika anda lihat pada mulutnya, mata kail hanya sedikit saja melekat pada mulut ikan.

Terdapat juga 2 ekor Kerapu kecil yang berjaya dinaikkan..

Hasil keseluruhan trip memang agak lumayan sungguhpun waktu memancing hanya setengah hari saja.

Kesiannn..Sampai telentang waktu perjalanan pulang.. Kerja membuang teritip dilakukan di dalam air dan memerlukan tenaga yang banyak. Dengan kata lain, berenang sambil bekerja. Terima kasih kepada mereka berdua kerana sudi membantu kami..

Trip 23/9 En.Said

Trip dimulakan dengan pencarian umpan yang begitu sukar sekali. Hanya sedikit jumlah umpan yang berjaya diperolehi dalam masa yang begitu panjang. Apa boleh buat, semuanya dah ditentukan.. Selesai mencari umpan, kami terus bergerak ke lokasi memancing sekitar sangkar ikan Pulau Ketam..

Ikan Senangin dengan perambut gantung 2 mata lebih berkesan ketika ini..

Selama saya memancing di kawasan ini, berbagai ilmu baru setiap kali diperolehi. Saranan saya kepada pemancing yang masih baru untuk sentiasa menimba ilmu di kawasan anda memancing. Ada banyak perkara adakalanya kita terlepas pandang dan ia kadangkala sesuatu yang begitu berharga. Ulangkaji lah ilmu yang anda ada supaya anda lebih cekap di masa akan datang. Memancing bukan sekadar memasang joran dan umpan sahaja dan pemandu pancing bukanlah kerjaya suka-suka.

Puas kami menunggu, umpan kembung seekor yang baru di turunkan ke air menjadi pilihannya..

Senangin kali ini memilih ikan potong dengan perambut gantung..

Jika di lihat dari mata kasar, kebanyakan spesis ini berlegar di kawasan separuh air menunggu kawanan anak ikan sebagai mangsa buruannya. Hal ini kerap kami perhatikan kerana seringkali spesis ini menyambar umpan ketika dikarau naik. Setelah tersangkut pada kail, tali akan melawan arus dan kendur. Sekiranya anda masih tidak mahir, pasti anda menyangka ikan sudah terlepas dan sambil lewa mengarau tali. Hasilnya ikan akan melompat setelah hampir dengan bot dan jika ini terjadi, biasanya perambut akan putus ketika lompatan tersebut. Ikan ini tidak sebesar mana pun namun mulutnya yang kasar seperti kertas pasir mampu memutuskan perambut sebesar 50 paun!

 Ikan Pari ini tidak sebesar mana, tapi tarikannya sudah cukup membuatkan tangan anda lenguh dalam masa 3 minit saja.

Bagi spesis Ikan Pari pula, umpan ikan potong kecil lebih menjadi di sekitar kawasan ini. Getuan kecil yang anda sangka ikan Gelama biasanya berakhir dengan larian pecut dengan tali yang panjang di bawah sangkar. Bukan yang tidak mahir saja, saya sendiri kerap tewas jika berhadapan dengan spesis UFO ini. Tali sangkar yang bersilang-silang di sepanjang lokasi memancing adalah penyebab utama hal ini berlaku. Anda akan lebih selamat sekiranya menggunakan joran panjang. Hujung joran boleh dibenamkan ke dalam air bagi mengelak tali sangkar ini.

Hasil keseluruhan trip pada hari ini..