Ahad, 24 April 2016

Hilangkan tekanan dengan jigging di hari sabtu..

Selesai kerja di darat, hati teringin pula nak memancing. Oleh kerana perancangan yang tidak disangka, kami hanya turun berdua ke paloh untuk melempar umpan besi. Setelah bekalan minyak 3 tong setengah dibeli, saya dan Shahril bertolak ke paloh satu dengan 60hp pada jam 8 pagi. Oleh kerana kami hanya berdua, penggunaan minyak agak kurang berbanding muatan 3-4 pemancing. Cuaca yang mulanya tenang dan berjerebu bertukar gelap setelah sampai ke tengah. Hujan dan angin melanda kawasan memancing. Apa yg kami boleh buat adalah berlindung di sebalik kapal berlabuh sehingga tenang semula. 

 Walaupun hujan telah berhenti, angin masih lagi membawa alun yang agak besar. Dah sampai takkan nak balik, mancing lah juga. Hasil pertama di sauh kapal adalah ikan merah yang menelan jig 45grm milik Shahril. Joran LightJig seperti ini memang seronok jika hasil mengena pada jarak 35 meter. Tali pula hanya 25 paun, pandai-pandai la nak buat. Yang penting ikannya naik..

 Hasil kedua saya naikkan adalah sotong katak ini. Jig yang digunakan adalah jig Luminus Glow in the dark jenis Weebass. Mahal jig ni, kalau putus memang demam nak beli lagi.

 Ikan seterusnya adalah di atas ni. Mukanya macam cicak dan bentuk macam ikan haruan. Dari saiz sekecil 2 jari sejengkal hinggalah sebesar ikan haruan. Seronok juga bila sambaran kecil terasa di tangan, kecil besar bukan matlamat kami.

 Sehingga jam 4 petang, tiada sambaran ikan lain dihujung tali kami. Selar pula hanya 4 ekor yang berjaya dibawa naik. Keadaan air yang sejuk juga mungkin penyebab ikan kurang aktif ketika ini. Ini dibuktikan dengan kehadiran banyak sotong dipermukaan air bermain di bawah sampah terapung di sekitar bot kami. 

 Dalam perjalanan pulang, kami bertembung dengan sampah terapung. Apalagi, casting pulak. Pecah Periuk memang banyak dalam saiz di atas ni. Malangnya ikan lebih pandai dari kami. Kebanyakan yang sangkut semuanya berjaya melepaskan diri. Rasanya umpan dan pelampung lebih sesuai untuk memancing spesis ni. Oleh kerana jam sudah 6.30, kami meneruskan perjalanan pulang ke pengkalan walaupun masih banyak sampah yang terapung. Sekiranya ke Paloh, biasanya kami sudah sampai ke tebing pada waktu ini bagi mengelakkan sebarang masalah. Walaupun tidak banyak hasil, itu bukan lah yang kami cari. Hanya sekadar melapangkan fikiran dan mencari keseronokan sahaja.

Sekadar informasi,.. Membaik pulih lunas sampan fiber..

Membeli sampan baru tidak sama dengan membeli sampan terpakai. Banyak kerja baikpulih perlu dibuat semula supaya bot lebih cantik dan berfungsi dengan baik. Kali ini giliran Sharil pula membaiki lunas sampannya yang pecah. Seperti yang pernah saya katakan, memiliki bot bukan semudah yang disangka. Sama saja dengan memiliki kenderaan lain yang memerlukan kos dan masa untuk diselengara selalu.

 Proses menelangkupkan sampan bermula dengan menenggelamkannya terlebih dahulu. Setelah tenggelam barulah sampan akan mudah ditelangkupkan di dalam air. Proses ini agak mudah dilakukan cuma anda akan basah sebab semua kerja dilakukan di dalam air sepenuhnya. Setelah selesai, baru lah sampan ditarik ketepi di tempat yang sesuai.


 Semua teritip dan lumut perlu dibersihkan terlebih dahulu sepenuhnya supaya kerja baikpulih dan mengecat boleh dimulakan. Selepas kering, barulah kawasan yang rosak, digosok dengan kertas pasir kasar sehingga lapisan cat hilang sepenuhnya. Cara ini akan menyebabkan lapisan fiber yang baru akan melekap kuat tanpa sebarang halangan.


 Setelah itu, kayu diletakkan sebagai acuan kekal dibahagian dalam, ini akan memudahkan kerja menampal lapisan baru. Setelah kayu dipasang, kain fiber diletak setelah dipotong mengikut ukuran yang sesuai. Dalam kes ini, kami melapisi bahagian rosak dengan 3 lapisan berselang seli. Lapisan pertama disapu gam sehingga meresap, kemudian lapisan ketiga dan keempat dengan proses yang sama. Proses ini perlu dibuat kerana gam tidak akan meresap sekiranya 3 lapisan fiber di lekat sekaligus dan ruang udara yang terbentuk akan mengurangkan kekuatan fiber yang dibentuk.

Lubang kedua yang lebih kecil juga menggunakan proses sama seperti yang tadi.

 Lapisan kain fiber yang telah keras..

 Setelah selesai dan mengeras, kertas pasir kasar digosok semula bagi melicinkan permukaan yang kasar. Sisa habuk yang akan menutupi permukaan tidak rata akan membantu meratakan permukaan setelah gam disapu sekali lagi. Setelah selesai digosok, gam disapu sekali lagi dan dibiarkan kering sepenuhnya. Campuran cecair pengeras perlu tepat supaya kerja menyapu gam sempat dihabiskan sebelum gam kering. Silap campur, sekejap saja dah keras.

 Setelah selesai, cat Antifouling untuk bot disapu sehingga menutupi semua bahagian perut sampan. Cat ini bertujuan mengurangkan pertumbuhan teritip dan lumut ketika di dalam air. Cat ini boleh mengurangkan kos membuang teritip sekitar 3 ke 4 bulan mengikut keadaan air di kawasan tempat sampan anda diletak. Sekiranya hampir dengan kawasan laut yg masin dan sampan sentiasa berada di dalam air, pertumbuhan teritip lebih cepat. Sekiranya air tawar dan jauh dari laut, maka lambatlah teritip tumbuh. Ada juga kes dimana tiada langsung pertumbuhan teritip sekiranya jauh di laluan sungai yang tawar airnya.

 Siap saja mengecat, air telah mula pasang dan sampan telah di telentangkankan sekali lagi dengan proses sama seperti yang mula. Kerja membaikpulih ini berlangsung selama dua hari dan sekiranya anda pandai, sehari saja sudah mencukupi. Sampan ini menggunakan enjin Yamaha 40hp petak jenis lama. Pembaikan ini menelan belanja hampir rm300 saja dan akan meningkatkan kualiti penggunaannya kemudian hari. Sekadar perkongsian ilmu dari kami untuk anda..

Isnin, 18 April 2016

Keadaan air sesuai memancing Mei 2016

Berikut keadaan air sesuai untuk memancing..


Tarikh sesuai adalah sekitar 1-4, 13-18, 28-31 untuk pancingan dasar/jig Mikro/Casting.
Bagi tarikh 5-12, 19-27 sesuai untuk teknik menghanyut di paloh/Apollo Selar dan Cencaru/Jig Berat.
Untuk makluman anda, tarikh di atas hanyalah sekadar jangkaan dan berdasarkan pengalaman sahaja. Bergantung kepada kemahiran Pemandu Pancing dan keadaan cuaca dari masa ke semasa.

Di mana trip anda?


2 -Pancingan Dasar/P.Ketam/60hp
14-Pancingan Dasar/P.Ketam/60hp/40hp
15- Pancingan Dasar/P.Ketam/60hp/40hp
28-Pancingan Dasar/P.Ketam/60hp/40hp
29- Pancingan Dasar/P.Ketam/60hp

Membaik pulih Transom..

Sampan atau bot yang sudah lama tidak digunakan biasanya sering terendam di dalam air. Kadangkala bertahun lamanya tanpa ada usaha untuk diperbaiki. Samada enjin telah rosak, pemilik meninggal dunia atau sudah tidak berminat untuk turun ke laut lagi. Hasilnya ada bahagian tertentu yang mula mereput dan akhirnya terbiar begitu saja. Antara bahagian penting yang biasanya rosak adalah Transom atau bahagian belakang bot untuk meletakkan enjin.

Enjin Yamaha 40hp memang berat untuk diangkat, salah satu cara terbaik adalah dengan menceraikan bahagian bawah kotak gear supaya lebih ringan dan mudah di bawa balik.

Kerosakan ini boleh dikesan ketika anda meletakkan enjin di bot. Ia boleh diuji dengan mengetuk bahagian yang reput dengan kayu atau tukul besi dan bunyi lompong akan kedengaran, petanda bahawa bahagian kayu yang di dalam sudah reput dan tidak boleh digunakan lagi. Kalau anda malas dan tidak perihatin, inilah masa paling sesuai untuk enjin anda menjadi tukun di laut.

 Setelah enjin dibawa balik, ukuran diambil terlebih dahulu supaya mudah mencari kayu yang sesuai untuk digunakan nanti. Dalam kes ini saya bercadang meletakkan hanya 2 keping kayu sahaja memandangkan lapisan fiber yang ada memang tebal dan kuat. Jika mengikut aturan sebenar, kayu perlu dimasukkan sehingga ke bahagian bawah supaya lebih kukuh. 

 Kalau anda perasan, kayu pada bahagian dalam sudah reput sepenuhnya..

 Kayu jenis Resak adalah terbaik untuk tugasan ini memandangkan ia lebih keras dan kukuh berbanding dengan plywood yang menjadi bahan asal buatan bot ini. Kos adalah salah satu faktor mengapa plywood digunakan dan ini membuktikan sampan ini bukan ditempah khas oleh pembelinya. 

 Kayu yang digunakan berukuran 1.5 x 4.5 2 keping yang di nipiskan pada bahagian hujung supaya muat ketika dimasukkan semula kedalam acuan dinding fiber tersebut.

 Oleh kerana tiada bekalan elektrik berdekatan, pahat adalah alatan terbaik bagi tugasan ini. Sedikit ilmu pertukangan dari ayah dapat saya gunakan hari ini.

 Setelah bahagian atas dibuang, kayu yang telah reput dicungkil keluar sehingga ukuran kayu yang baru boleh di masukkan mengikut ukuran yang dibuat tadi. Agak rumit sedikit kerja ini kerana ukuran perlu dibuat berulangkali supaya tepat dan betul.

 Setelah kayu baru dimasukkan, barulah bahagian fiber dipasangkan skru kecil supaya ia rapat dengan kayu dan lebih kukuh sebelum dilapis dengan kain fiber dan gam yang baru.

 Ramai yang tidak tahu, menampal gam fiber yang baru ada seninya. Jika anda silap aturan dan kurang ilmu, hasilnya pasti mengecewakan. Setiap bucu tepat perlu ada ukuran yang betul supaya tidak menggelembung dan melekat kuat pada lapisan yang lama. Cat lama perlu digosok terlebih dahulu dengan kertas pasir kasar sebelum kain fiber boleh ditampal. Sekiranya ia tidak dilakukan, lapisan fiber yang baru akan lekang semula jika terkena air atau ada pergerakkan. Bahagian mendatar perlu dilapis terlebih dahulu sebelum boleh diteruskan ke bahagian sudut tepat. Susah nak saya terangkan di sini..




Setelah kering, barulah ia digosok semula dengan kertas pasir kasar dan di sapu gam semula supaya lebih licin dan kemas. Kemasan terakhir boleh dibuat dengan cat yang sesuai..

Trip April

Trip berlangsung sekitar bulan April

WakRin & Zaid


En.Shafik


En.Azlan



 Casting Trip


En.Yussuf & Rakan


En.Fadli & Rakan


En.Zaid & Family


En.Fitri & Rakan