Isnin, 22 Oktober 2012

Trip 21/10 Memancing Bersama Abul.

Seronok betul naik bot si Abul ni, besar, selesa dan memang laju! Muatan boleh mencapai 7 orang kalau tak silap. Memang besar bot dia ni. Agak kekok apabila saya yang memandunya, apatah lagi saya cuma biasa menggayakan enjin kecil sekitar 60hp ke 15hp saja. Tapi kali ini 200Hp! Ngeri memang ngeri..


 Trip kali ini menjejak Tetanda di lokasi pilihan Abul yang biasa dikunjungi nya..



 Sembilang pertama di lokasi anak sungai dinaikkan oleh Acid..Dah lama tak ikut turun dia ni, sebab asik kena tinggal aje..Kali ni kita turun sama ye..

 Abul dan Boi, orang pertama makan! Sambal ikan sardin yang dimasak bonda si Abul ni memang terangkat..Di sulam pula dengan timun sebagai ulam dan lauk ikan masin..Memang sedap! 

 Bersama Sembilang pertama! Macam model pulak dia ni..

 Menjala udang di Pulau Ketam, banyak betul udang kat sini. Sekali tebar lebih 10 ekor masuk ke jala. Tak sangka siang begini pun ada udang bermain di pantai walaupun air agak jernih. Tips nya ialah, tebar jala di kawasan yang keruh berdekatan tebing. Dapatlah saya belajar sesuatu kali ini. Saya memang tidak pernah sampai ke lokasi ini.

 Ebek bersaiz kecil berjaya dinaikkan di lokasi jeti runtuh, jeti asal Pulau Ketam. Air di kawasan ini memang jernih. Terdapat sisa-sisa runtuhan tiang batu di tebingnya..

 Tetanda juga banyak di lokasi ini. Saiz sebesar tapak tangan saja sudah cukup membuatkan kami tersenyum. Namun ikan ini lebih memihak kepada umpan udang hidup yang baru dijala. Umpan perumpun sarang pula hanya diragut Duri dan Sembilang..

 Suasana memancing terganggu dengan cuaca hujan dan ribut. Untungnya ada kanopi secantik ni. Tak lah basah.

 Oleh kerana hujan dan ribut keadaan air yang keruh tidak banyak memihak kepada kami. Air darat yang membawa lumpur dan sampah memenuhi aliran sungai. Oleh yang demikian hanya beberapa ekor ikan Sembilang yang berjaya dinaikkan.

 Kalau kita berdua rasanya sesuai pegi menyamun ni Bul hehehe..




Jadi ini lah hasil kepada trip ini. Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Sampai saja di pengkalan, hujan pun turun sekali lagi. Trip di tamatkan dengan sesi pembahagian harta sepencarian.. Dapat lah sorang sikit untuk dibawa pulang..

Trip Sewa 20/10 Trip Duri dan Semilang

Trip mengejut dari KL ni adalah gabungan pemancing yang baru kenal. Sebelum ni tak pernah turun bersama. Namun tali persahabatan yang terjalin ketika turun memancing, amat lah ajaib sekali. Bayangkanlah, tidak pernah bertemu tetapi bila aktiviti memancing bermula, semuanya seolah seperti sudah lama kenal. Memancing bukan sekadar mencari ikan tetapi menjalin persahabatan sesama pemancing. Trip bermula sekitar jam 10 pagi berumpan perumpun urat yang dibeli oleh mereka.

 Apelah yang di borakkan lagi tu, lambat dah ni bang..Jum mancing!

 En Kudin dan Gengnya, En Zul dan En Nizam siap sedia untuk turun memancing..

 En.Megat yang saya tumpangkan bersama dengan persetujuan ahli En.Kudin.

 Lokasi pertama di tiang Peken berhadapan StarCruise..

 Sampai batu karang pun diorang bawak naik! Tersangkut sekali Yu Cicak bersama..

 En Megat dengan Gelama Cerut pertama. Apesal namanya macam nama rokok pulak??

 Yu Cicak yang terbesar menyangkut di hujung kail En Kudin ni. Sedap katanya masak kari. Tak tau la, saya tak pernah masak pun..

 Ikan Duri agak memang banyak kat kawasan ni. Sampai penat nak tarik..

 Gerut-Gerut di simpang tiga sungai..

 Ikan Sembilang pertama En Kudin...Agak mengerikan melihat mereka ni membuat lontaran. Kalau tak jauh tak puas katanya. Lantak le, janji tak naik pokok sudah..

 Ikan Semilang lagi, kali ini giliran En Nizam. Lokasi ni dekat dengan sangkar ikan..Sungai kecil tapi ikan banyak, Gelama pun banyak kat sini..

 Agak besar Bebolos kat sini, macam anak Haruan..

Nampaknya trip kali ini tidak banyak membuahkan hasil. Jumlah kos yang terlibat ialah, Sewa bot Rm150, myk Rm58, Upah tekong Rm50, Umpan Rm50 dengan jumlah Rm300 lebih kurang. Jika di teliti dengan mata kasar, semua lokasi adalah lokasi biasa yang saya kunjungi. Inilah yang dikatakan rezki. Adakala ada, adakala tiada. Kepada mereka ni saya harap jangan berputus asa. Cuba lagi lain kali..

Ahad, 14 Oktober 2012

Trip Sewa 14/10 Pari lagi??

Trip sewa En Ali dan En Jenal ni nampaknya masih tak serik dengan Gelama yang diorang dapat sebelum ni.. Seperti biasa, lokasi lubuk kali ini agak berbeza dan agak jauh dari yang biasa. Memandangkan mereka ni dah mula biasa dengan keadaan laut sebelum ni, saya membawa mereka ke lokasi yang lebih jauh hehehe.. Amat jarang saya membawa penumpang ke lokasi lain dari yang saya terbitkan di blog ini. Nampaknya mereka ni masih tak dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. takpelah, lain kali kita main Gelama Pisang lagi yer...

Asal mancing je begaduh, asal mancing je begaduh..Ni lah gurauan diorang masa memancing..Takde lah sunyi sangat. Ada saja hal yang jadi bahan :) Terhibur juga melihat telatah diorang ni..

Setelah mengumpul perumpun di muara Sungai Chandung, kami ke lokasi anak sungai untuk memancing. Di lokasi pertama, tiada tangkapan dibawa naik. Simpang Y di tuju pula tetapi masih hampa. Hanya Gelama, Tetuka dan Duri sudi menjamah umpan perumpun yang kami sajikan.


Kami berlabuh di hadapan sungai di kawasan Selat Kering berdekatan sangkar terakhir di situ. Tanpa menunggu lama, joran En.Ali berumpankan udang segar hampir mati, mendapat tarikan. Dari dalam sungai, ikan berjaya menarik tali keluar ke selat. Habis semua tali kami dilintasnya dan untung lah tidak berbelit. Dalam perkiraan saya, mungkin ikan sisik yang mengena. Namun jangkaan saya silap. Setelah berhempas pulas bermain tali, akhirnya mangsa mula timbul.

 
Alamak! Pari lah! Tangguk dan gancu pun tak bawa pulak..Terpaksa lah guna penyepit panjang..Bahaya macam ni...

 Macam biasa sesi bergambar pun bermula...

 Dari mula asyik tanya je mana nak dapat Sembilang, kan dah dapat tu...

 Susun biar menarik, padahal takda harga pun ikan ni :P

Agak banyak Gerut-Gerut di kawasan tebing yang mempunyai reba di sekitar Selat Kering. Pantang umpan perumpun  jatuh ke air, tak sampai 5 minit mesti ada yang menyambar. Dengan syarat air jernih hijau dan arus menghala ke Pulau Ketam. Jika mengikut pengalaman saya, biasanya terdapat Gerut bersaiz besar dan Tetanda pada waktu ini. Jika bernasib baik, Merah juga ada bersama. Pokok pangkal yang utama adalah KESABARAN. 

 
Bebolos saiz ni macam Ikan Haruan pulak..Dapat di lokasi reba muara sungai..

 Hah! Dapat pun Tetanda..Sabar dan Usaha tangga kejayaan bang..

 Ketam Renjung yang saya naikkan di lokasi keluar Tiang Kembar..Sangkut kat sepit je, mujur sempat dibawa naik..

 Bekilat ikan Sembilang ni..

 CikBun pun kena?? Sangkut kat perut lak tu huhuhu..Hai untung lah dapat..Orang lain tak dapat tau..

Hasil keseluruhan trip tak lah banyak mana tetapi kepuasan terpancar di wajah mereka ni.. Terpikir pula tentang sebuah lagi grup yang tak dapat turun bersama saya. Dengar ceritanya macam kena tipu je.. Maaf kepada mereka ni sebab tak dapat bawa bersama. Kalaulah bot saya sendiri dan muat lebih ramai, sudah tentu saya bawa sekali..

Kos bagi trip ini ialah sewa bot Rm130+2t Rm8+ myk Rm50=Rm188. Manakala umpan sedikit udang hidup dalam 20 ekor kot dan perumpun yang saya gali sendiri. Macam mana pun kena carik sikit untuk pemanis kata orang :)

Ni pula hasil dari gigitan Sang Lalat Hijau ketika mencari perumpun. Aduhaaaaai,.bengkak lah pulak.. Patut lah kos sewa tekong pun mahal..Macam mana pun, segalanya datang dari Nya..Kita hanya merancang..

Khamis, 11 Oktober 2012

Trip 10/10 Kurau 3.7kg!

Seperti yang telah dirancang oleh saya(siparipari) dan Jemik(komando sg.), kami cuba untuk mencari dan menjejak spesis mahal untuk trip kali ini. Oleh sebab air mati dan cuti telah dipohon awal, kami bertolak awal malam sebelumnya untuk menjaring udang dan ikan. Berbekal dengan hanya lampu picit dan pengelip, kami melabuh 2 keping jaring apollo di lokasi Sarang Lang. Tidak sampai pun 15 ekor udang yang kami perolehi tetapi saiznya memang gred A! Yang banyak menyangkut Cabuk, Kasai atau Pupot, Beliak Mata dan Bulu Ayam sahaja. Selesai menjaring kami berlabuh di lokasi Kapal Karam berhadapan TowerBlock Westport. Sambil memancing kami meneruskan aktiviti dengan tidur :)

Pada jam 7 pagi, kami mula memancing dengan sirius di beberapa lokasi di laluan kapal ke Pantai Aceh. Oleh kerana angin agak kuat dan bergelora, kami berteduh di hujung warf yang sedang dalam pembinaan. Tiada apa-apa tangkapan melainkan seekor Tetuka  dan sisa kayu yang tersangkut di hujung kail kami.

 Tengok lah pancing depan belakang ni, mana satu nak ditenung pun tak tau lah..

 Cikbun yang menelan udang besar manyangkut di hujung kail Jemik.

 Yang ni tak tau lah ikan apa, dapat di tiang kembar..

Kami berpindah ke Peken 28 dan berlabuh di tebing untuk lokasi reba kayu dengan harapan terdapat Gerut-gerut atau Tetanda di situ. Tetapi hanya Belukang sudi menjamah umpan kami. Hampir 20 ekor belukang dinaikkan tetapi dilepaskan semula. Namun kesabaran akhirnya membuahkan hasil. Salah satu joran kecil Jemik berumpan udang mati yang saya potong di rentap lembut. Ikan yang disangka Jemik adalah Tetuka, berenang semakin jauh dan mula mengganas! Untunglah perambut 90 paun rm1 yang diguna cukup kuat.

 Peken 28 terdapat batu petak besar di sini. Bahaya kepada bot lalu-lalang..

Sempat juga aksi tersebut dirakam kami. Dengan sebelah tangan memegang kamera, sebelah lagi memegang tangguk..Berkat kesabaran dan ketekunan, inilah hasil nya.. Amboi sengih je si Jemik ni. Almaklumlah Kurau pertama lah katakan. Selalu dengar cerita dan tengok orang lain dapat aje..Rekod Jemik untuk tahun ini 3.7kg, ditimbang di pengkalan :)