Selasa, 9 Ogos 2022

Lauk Pari seminggu, Pulau Ketam masih berbisa!

 Rancangan awal memburu Tamok berakhir dengan kekecewaan apabila tiada langsung bayang Tamok muncul di lokasi biasa. Apa puncanya tidak diketahui. Oleh yang demikian, kami bertukar arah mencari ikan dasar.

Setelah sejam menunggu, akhirnya salah satu joran berumpankan Beliak mata potong, membuahkan hasil. Yang kena pula, joran kecil dan tali halus. Kerja sukar buat kami selama 1/2 jam menukar kedudukan bot supaya ikan tidak masuk ke bawah sangkar .

Setelah 2 kali gagal dinaikkan akibat gancu bengkok, akhirnya Pari seberat 18kg ini berjaya dinaikkan ke bot. Satu - satunya ikan yang berjaya dibawa balik sebagai lauk hari ini. Sampai dipengkalan, ikan ini dipotong 4 dibahagi samarata. Asam pedas selama seminggu!

Mencari lauk dikala alun kuat di paloh!

 Akibat cuaca yang kurang baik kebelakangan ini, banyak trip terpaksa dibatalkan pada saat akhir. Namun peluang ini diambil oleh rakan di pengkalan untuk turun mencari lauk.

Demi menyampaikan hajat, akhirnya kami keluar ke laut walaupun dibadai ombak besar. Tak lah besar mana bagi kami yang sudah biasa di laut. Luar biasa bagi yang tidak biasa.

Berbekalkan umpan seekor sotong kurita dan udang jala, ada juga hasil berjaya dibawa naik. Bermula di kawasan cetek hinggalah ke kawasan kapal berlabuh di Tanjung Rhu.

Sambil menunggu umpan dibaham ikan, jig juga diturunkan akibat kerajinan melampau mereka ni. Hasilnya seekor Alu - alu sedepa berjaya dinaikkan. Sampai bengkok jig 150 gram di gigit sang ikan. 

Gelora semakin kuat disulam angin selatan yang padu, akhirnya kami mengalah dan pulang awal ke pengkalan.

Rabu, 3 Ogos 2022

Unjam Perikanan Kg Nelayan, Telok gong.

 Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama komuniti Kg Nelayan Telok Gong, telah melabuhkan unjam tiruan.

Unjam tiruan ini bertujuan memudahkan pemancing mendapatkan hasil ikan yang lebih baik.

Unjam yang diperbuat dari tali, pvc dan pelampung khas ini, menggunakan pemberat konkrit sebagai sauh dan mempunyai pelampung penanda di permukaan air. 

Saiz konkrit yang tidak besar membolehkan kerja melabuh unjam lebih mudah dan cepat. 

Program melabuh unjam ini berlangsung selama 2 hari, dibantu dengan bot milik nelayan dipengkalan.

Semoga hasil usaha ini dapat dipertingkatkan sepanjang tahun dan memberikan kebaikan kepada komuniti nelayan pancing setempat.


Tugasan mengambil contoh air dan tanah.

 Pada bulan ini, kerja mengambil contoh air dan tanah telah dijalankan di sekitar Pelabuhan Barat, Pulau indah. 


Beberapa alatan penting juga turut diturunkan ke dalam air, di dua lokasi berasingan. Peralatan ini digunakan untuk mengukur kelajuan arus dan hal lain yang berkaitan.


Kerja ini dijangka memakan masa selama 15 hari dan dijangka siap pada bulan September. Semoga semua tugasan berjalan lancar.

Sampan lama bertukar baru!

 Sampan rosak yang telah lama dibaiki, akhirnya berjaya disiapkan. Masa yang diambil untuk  kerja membaikpulih adalah 3 bulan.

Kos termasuk bahan dan upah adalah sekitar rm2500. Semoga dengan baikpulih ini akan dapat memanjangkan usia penggunaannya.



Trip tamok