Khamis, 25 November 2021

Sekadar informasi, fungsi sirip air.

 Setiap enjin pasti mempunyai sirip air. Sirip air ini terletak dibahagian paling bawah sekali dan berada di bawah lunas bot. Jika anda perasan, sirip ini seringkali kelihatan patah dan biasanya jarang dapat dibaikpulih.


Sirip ini berfungsi melindungi bahagian kipas sekiranya bot anda melanggar sesuatu. Contohnya kayu panjang atau jaring. Sirip ini menghalang objek tersebut dari terkena kepada kipas ketika ia sedang laju berputar. Dengan ini, sirip ini juga dapat meminimakan kerosakan yang bakal berlaku. Sekadar informasi, untuk anda!

Sampan baru Jemik, akhirnya siap!

 Sampan 13.5 kaki milik komando_sg atau Jemik, akhirnya berjaya turun ke air. Setelah sampan dan enjin lama dijual, dia kini membeli sampan dan enjin yang lebih kecil, sesuai dengan keadaan sekarang. 

Memandangkan udang galah yang sudah mula banyak semula di kawasan sungai langat, rasanya sudah tiba masa untuk memiliki sampan sendiri. 

Sampan plywood yang saya bina juga sudah siap sepenuhnya. Rakan- rakan di kampung memang baik semuanya. Cuma segan asik nak meminjam saja. Lebih baik ada barang sendiri.

Pada masa ini, air hujan yang banyak, menyebabkan air deras dan keruh. Kurang sesuai untuk turun mencari udang. Kami perlu menunggu pusingan air besar sekali lagi. Jika hujan berkurangan, barulah kami akan turun memburu udang galah.

Tukun tiruan baru!

 Salah seorang rakan di pengkalan yang sebelum ini pernah membina unjam daun, kini selangkah maju kehadapan dengan membina unjam plastik pula. Unjam ini dibina dengan kos rm35 seunit. Murah, jimat dan mudah diangkat.

Direka dengan pemberat simen dan salur plastik elektrikal yang dibeli di kedai. Tukun ini adalah percubaan pertama di lokasi yang masih dirahsiakan buat masa ini.

Jika mengikut perancangan, tukun ini akan dilabuh dikawasan tanah keras yang datar dan cetek sebagai lokasi bersauh pada waktu malam. Semoga usaha ini bakal memberikan faedah kepada aktiviti memancing kami dimasa akan datang.

Kotak gear meragam, poket koyak!

 Kerosakan kotak gear saya yang belum berjaya diselesaikan, berjangkit pula dengan kotak gear spupu. Bunyi pelik yang disangka berpunca dari dalam enjin, rupanya datang dari kotak gear yang di masuki air masin.

Bunyi pelik tersebut dikesan ketika pulang dari trip memancing Pulau ketam. Bunyi yang terhasil menyerupai bunyi berpasir dan boleh didengari dengan jelas ketika separuh kelajuan.

Disebabkan hal tersebut, spupu saya menyangka ia berpunca dari dalam enjin. Nyaris enjin tersebut kami bawa naik untuk dibaiki. Setelah diperiksa oleh Sharil, rupanya kotak gear yang bermasalah.

Akhirnya masalah dapat dikesan ketika penutup lubang minyak dibuka. Minyak tiada, tetapi air yang banyak keluar. Setelah dibawa ke kedai, salah satu bahagian yang rosak adalah pinion gear.

Selain itu terdapat 3 set bearing yang bekarat dan terpaksa ditukar. Nilai barang gantian adalah rm3800! 

Memandangkan ia kelihatan agak mahal, kami cuba mencari kotak gear lain. Jika difikirkan secara logik, ia memang normal kerana kotak gear ini jenis besar tidak seperti kotak gear saya yang kecil. Sekarang barulah kami tahu perbezaan antara kotak gear besar dengan kotak gear kecil. Beza nya bila ia rosak, kos baikpulih nya!


Ketika saya sedang sibuk menyiapkan sampan dirumah, Abg Emi dan Sharil bergegas menghubungi saya. Mereka menemui sebuah enjin lama yang ingin dijual. Masalahnya enjin tersebut berada di Pulau pinang. Saya dan Abg Emi bergegas ke sana pada petang itu juga kerana risau enjin tersebut akan terlepas ke tangan orang lain.

Perjalanan selama lebih 6 jam yang memeritkan akhirnya berhasil. Satu unit enjin mercury 60hp bahagian atas sahaja, dibeli dengan harga yang cukup berbaloi. Sebenarnya bahagian tersebut diperlukan untuk membaik pulih enjin gantian saya. 

Sambil menyelam, minum air. Sambil membeli bahagian tersebut, Abg Emi mencari kotak gear. Hasilnya, pada pagi keesokan harinya, 1 kotak gear berjaya diperolehi dari kenalan rapat individu yang menjual bahagian enjin tersebut.

Tetapi kotak gear tersebut tidak dibeli. Kami balik semula ke rumah keesokkan paginya. 

Keesokan harinya, 1 lagi enjin berjaya ditemui di Morib. Enjin tersebut baru ditukar blok kerana bocor. Kondisi enjin sangat baik walaupun ia agak lama. Enjin tersebut berjaya dibeli dengan harga rm6500 seketul! Kerja membawa balik dengan menggunakan kereta Abg Emi. Cabut kotak gear dahulu, kemudian bahagian enjin atas, masuk ke bahagian tempat duduk belakang.


Semua kerja selesai kira-kira jam 4 petang. Lain yang dicari, lain pula yang dapat. Rasanya lebih berbaloi jika beli sebiji kerana banyak bahagian yang boleh disimpan sebagai bahan ganti. Harga akan lebih mahal sekiranya dibeli berasingan.

Selasa, 9 November 2021

Enjin baru, untuk trip sungai.

 Harini adalah sesi mencuba enjin baru milik rakan saya, Rahman. Enjin 6.5hp ini di beli di shopee dengan harga rm2,200. Kaki pendek untuk sungai.

Enjin ini memang ringan dan mudah dikendalikan. Tetapi memerlukan bot ukuran transom 17 inci.

Malangnya, bot yang kami pinjam, mengunakan transom untuk kaki panjang. Apalagi, kipas tergantung dan kelajuan juga terbatas. 


Apabila kipas berada di atas paras lantai, ia tidak dapat menguis air dari bahagian bawah. Air akan terhalang akibat kelajuan bot yang sedang bergerak. Enjin akan mengerang seolah-olah ada sampah tersangkut di kipas.


Spek polarise pemberian rakan, Amat Maulana sentiasa saya gunakan ketika pkp. Kini untuk memancing pula.


Sambil menguji enjin baru, saya juga menurunkan ilmu memandu bot untuk Rahman. Katanya nak buat trip solo jauh. Belajar dulu, dah pandai nanti boleh la bawa sendiri.


Sambil itu juga kami memancing, seperti biasa udang yang dicari tidak muncul dan Ikan Patin menjadi sasaran.

Cuaca gelap dengan hujan lebat menyebabkan aktiviti kami terbantut dan sebatang joran terbang ke dalam sungai ditarik ikan. Oleh kerana ada kilat, kami turunkan joran. Tak sangka pula ikan makan. Set joran murah, ringan pula tu. Terus hilang ke dalam sungai. Seperti biasa juga hasil hariini cuma 4 ekor sahaja.

Kotak gear, rosak lagi..

 Kerosakan pada kotak gear berlaku sekali lagi. Masih dengan kotak gear lama yang sudah dibaiki dahulu. Kotak gear sekarang adalah kotak gear 55hp yang saya gunakan sebagai kotak gear gantian. Ia berlaku ketika pulang dari trip sangkar Pulau Ketam di laluan bot menghala ke Sang Lang. Balak besar yang melintang terapung di dalam air, tidak kelihatan langsung menjadi punca kerosakan ini. 


Setelah berlaku perlanggaran, bot berjaya dipandu seperti biasa. Tidak lama selepas itu, bunyi seperti kayu patah dapat didengari oleh semua ahli trip. Bunyi ini konsisten setiap beberapa saat sekiranya kelajuan bertambah.


Seperti yang dijangkan, pinion gear pecah. Sehari selepas itu, barulah kerosakan sebenar dapat dilihat setelah ia dibawa ke kedai untuk dibaik pulih.

Saya bernasib baik kerana hanya bahagian ini saja yang pecah. Bahagian lain masih elok dan boleh digunakan semula. Sementara ia menunggu untuk dibaik pulih, kotak gear gantian dipasangkan sebagai ganti. 


Selain perihal kotak gear yang rosak, satu lagi enjin gantian yang saya beli sebelum pkp melanda, sedang melalui proses baik pulih. Memandangkan kedai sudah dibuka semula dan belanja sudah cukup, boleh lah ia dibaikpulih.


Enjin ini dibeli dengan harga murah, dengan kondisi kerosakan dalaman yang agak kritikal. Bunyi bearing memang kuat, macam nak gugur. Kebanyakan skrunya sudah berkarat dan perlu diganti baru. Mengikut kata Sharil, ada bahagian tertentu dipasang terbalik oleh mekanik yang membuatnya. Kemungkinan besar menjadi punca utama ia rosak semula.


Mounting bawah dan atas juga perlu ditukar. Skru pengikat terpaksa dipotong kerana tidak boleh dibuka akibat berkarat. Walaupun status enjin ini rosak, tetapi ia masih boleh di hidupkan. 

Saya menganggarkan belanja untuk membaiki enjin ini adalah sekitar 3k. Ini termasuk menukar slip dan piston jika perlu. Kepakaran dan kecekapan Sharil menjadi punca utama mengapa saya yakin dengan kerja tangan nya. Enjin ini akan dijadikan enjin gantian sekiranya ada diantara enjin kami yang lain rosak. Pengalaman dari kesilapan lepas menjadikan ia satu pelajaran penting dalam pengurusan sewa bot kami. Sekiranya ada enjin gantian, operasi masih boleh diteruskan sementara enjin yang rosak dibaiki.

Sekadar informasi, mencabut tiang pancang

 Pancang bot yang patah atau senget seringkali terjadi di pengkalan. Kadangkala tali tersangkut, tarikan ombak atau ribut kuat menjadi punca tiang pancang senget dan perlu dibetulkan semula. Bagaimana cara cara paling mudah?

Sekiranya pancang tidak dalam, boleh di cabut dengan tangan. Tetapi jika pancang dalam dan keras, anda boleh gunakan tong seperti ini.



Tong diikat kepada tiang dengan tali ketika air surut. Ketika air naik pasang, daya apungan pada tong ini akan menarik tiang ini keluar dari selut. Bila air sudah naik naik tinggi, anda perlu goyangkan bahagian atas tiang sehingga ia tercabut. Selain tong, bot juga boleh dijadikan sebagai pengganti pelampung. Cuma ikat bot pada tiang dan tunggu air naik pasang. Tetapi perlu diingat, ia cuma berkesan sekiranya bot anda bersaiz besar. Sekadar perkongsian berguna untuk anda!





Trip cencaru bersama PBRS

 Keadaan air pasang besar yang laju dan keruh menyebabkan aktiviti memancing di kawasan selat terbatas. Seperti biasa, waktu ini adalah waktu paling sesuai untuk mencari ikan Cencaru. 


Trip bersama rakan - rakan dari Persatuan Bot Rekreasi Selangor(PBRS) ini menghala ke kawasan laluan perkapalan antarabangsa sejak dari awal pagi lagi. Kebanyakannya menggunakan enjin lebih dari 60hp. Tetapi ada juga yang berani dengan membawa 19 kaki sahaja.


Semua nya bergantung kepada kepakaran, keberanian dan keadaan cuaca. Pada waktu dahulu, sebelum adanya bot besar, nelayan hanya menggunakan bot kecil. Jadi tidak mustahil bot kecil boleh digunakan pada ketika ini. 


Kali ini kami keluar berdua sahaja, sebagai memenuhi permintaan Acid untuk merasai pengalaman mencari cencaru. Perjalanan hampir 3 jam dengan menempuh ombak besar, memang agak menyeramkan pada yang pertama kali ke sini. 

Dipendekkan cerita, trip 2 harini ini hanya mengumpul 1 tong ikan sehari memandangkan kami tidak bercadang mencari duit lebih. Hanya sekadar duit minyak dan suka - suka sahaja.




Isnin, 8 November 2021

Udang galah dicari, patin menerpa..

 Ajakan sahabat untuk memancing udang galah di sungai langat, langsung tiada hasil. Mungkin kerana air besar keruh dan hujan di bahagian hulu. Oleh kerana jenggo yang di cari tidak muncul, saya memburu patin sebagai alternatif. 

Seperti biasa, jorang udang menjadi mangsanya. 

Umpan buah berembang masak lembut menjadi kegemaran ikan patin disini. Terus saja ditelan. Kalau yang keras, biasanya akan diludah semula. Buah Berembang ni masam rasanya, lebih masam dari pelam muda. Berkerut muka kalau kita makan.

Sedang seronok memancing, cuaca bertukar mendung dengan angin kuat menerpa ke arah kami. Jawapan terbaik adalah pulang ke rumah. Hasil patin saya tetapkan 4 ekor sahaja setiap trip. Ikan dibahagi 2 dan kami terus pulang ke rumah.

Selasa, 2 November 2021

Sekadar informasi, memasang pam air automatik berkuasa solar

 Anda mempunyai bot tetapi malas atau tidak sempat membuang air hujan? Pam solar adalah jalan terbaik. Ia boleh mengelakkan bot anda tenggelam ketika hujan lebat.

Kotak kawalan

Apa yang perlu anda buat adalah beli semua alat ini dan buat sambungan eletrik dengan wayar. Mudah je.

Bateri 12 watt tidak kisah sel kering atau basah.

Panel solar 12/18 watt.

Suis automatik

Pam air


Pastikan sambungan betul dan letakkan di sudut yang sesuai. Pastikan semua sambungan rapat dan tidak dimasuki air.


Diagram yang boleh anda jadikan rujukan.

Semua peralatan ini boleh dibeli di internet dengan harga berpatutan. Pilih saja mana yang anda mampu. Samada yang mahal atau pun murah. Panel solar akan mengecas bateri setiap masa, dikawal oleh kotak kawalan elektronik dan pam akan diaktifkan oleh suis automatik apabila air bertakung naik melebihi paras bahaya. Sekadar informasi untuk anda!

Trip sangkar bertukar selat

 Cuaca buruk pada sebelah pagi mengundang rasa seram sejuk pada kami. Apa tidaknya bila memandang awan hitam di ufuk barat bersama bersama bendera yang berkibar tegak. Setelah hujan, cuaca kembali tenang dan matahari terik memancar seadanya.


Oleh kerana trip sehari sebelum sangat tidak berjaya, trip ini saya sasarkan di kawasan tukun buatan lama di kawasan selat sahaja.


Udang bersaiz kecil sangat menjadi kali ini. Banyak tangkapan baik berjaya dinaikkan. Walaupun tak sebesar mana, ia lebih baik dari tiada langsung.


Tetanda idaman yang berjaya dinaikkan disulam ikan Gelama dan Bebolos.

Seekor Kurau berjaya dinaikkan dan seekor Senangin besar berjaya melepaskan diri walaupun tangguk sudah di pegang.

Apa boleh buat, ikan lebih suka pada perambut halus. Jika silap permainan, putih la mata. Hasil keseluruhan tak banyak, tetapi hampir semua lokasi mempunyai isi.

Trip Ranggung Cencaru

 Trip ranggung atau apollo cencaru ini berjaya dijayakan dengan kehadiran lebih 15 buah bot dari Persatuan Bot Dan Rekreasi Selangor(PBRS).

Kehadiran penuh ahli seramai 4 orang pemancing.

Seperti biasa bot rakan dari jugra digunakan untuk trip ini. Memandangkan bot saya masih tidak mempunyai enjin.

Ahyie Hairi ketika pulang ke pengkalan masing-masing.


Hasil tidak banyak kali ini kerana gerombolan ikan yang ditemui hanya pada sebelah petang.

Perjalanan hampir 3 jam pergi dan 3 jam balik memang meletihkan. Hanya yang tabah dan cekal sahaja berjaya dalam trip seperti ini.