Selasa, 19 Januari 2016

Sekadar informasi, Pemusnah Propeller!

Pernahkah anda melihat sesuatu bahan terkeluar dari celah kipas bot anda seperti ini?


 Jika ya, sila ambil perhatian kerana ini adalah punca pertama kerosakan kotak gear anda. Tali seperti ini boleh dan akan memecahkan oil seal anda jika dibiarkan lama. Putaran laju pada kipas akan menyebabkan tali tersebut masuk melalui rongga batang besi gear hingga kebahagian dalam kotak gear. Setelah minyak gear keluar, air akan masuk ke dalam dan merosakkan mata gear anda. Hal ini pernah berlaku kepada kami pada waktu dahulu hingga menyebabkan kos baikpulih mencecah ribuan ringgit!

 Cara terbaik untuk mengeluarkan sisa tali ini adalah dengan membuka propeller atau kipas enjin sebelum sisa tali dapat dikeluarkan. Pastikan tiada sisa minyak keluar setelah enjin dihidupkan di dalam air. Jika terdapat pelangi di permukaan air, ini menunjukkan oil seal tersebut telah bocor dan perlu diganti dengan segera. Sekadar informasi berguna untuk anda..

Ops Suluh..Sangkar Pulau Ketam, masih berisi jika tahu di mana lokasi sesuai..

Pada masa kini terdapat banyak bot pemancing yang berlegar di kawasan sangkar ikan Pulau Ketam. Lebih-lebih lagi ketika hujung minggu sewaktu air cantik. Tidak semua bot-bot ini akan pulang membawa hasil lumayan. Penggunaan umpan sesuai dan tepat boleh membantu disamping mengetahui sedikit maklumat penting lokasi memancing anda. Semua pemandu pancing tau akan hal ini, namun tidak semua mampu merungkai rahsianya nya termasuklah saya sendiri.

Lokasi mencari Gelama..

Harini saya menggunakan bot kecil supaya kerja mencari maklumat tidak dapat dikesan rakan-rakan yang biasa melihat bot saya. Jimat minyak tetapi lambat dan ruang terhad. Sakit tangan memulas pendikit dek kerana lama sangat nak sampai ke lokasi. 

Ikan Merah yang saya dapat dengan umpan Perumpun..

Minggu ini ketika tiada trip, saya turun berseorangan meninjau kawasan berpotensi bagi menambah kemahiran sedia ada dengan kemahiran yang baru. Lokasi sasaran adalah sekitar sangkar yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Seperti biasa, kadangkala kita akan terlepas pandang dan ulangkaji adalah cara terbaik untuk belajar.


Di samping itu, "lampu suluh" yang saya bawa banyak membantu dalam ops kali ini. Hampir sepanjang perjalanan saya meninjau kedalaman air dan permukaan yang berada di bawah. Beberapa lokasi yang saya suluh ada reba-reba bersaiz 1/2 hingga 1.5 meter tinggi. Yang menghairankan tiada imej ikan kelihatan. Jika dihujung sauh sangkar pula lain halnya, imej ikan dikesan pada bahagian atas tali yang menghampiri hujung sauh. Kemungkinan besar, ikan ini memagut teritip atau lumut pada tali sauh tersebut.


Kemahiran mentafsir imej pada "lampu Suluh" juga memang sangat diperlukan dan sentiasa diperbaiki. Mana satu anak ikan, ikan besar, sampah, reba, karang, alur, tebing, beting dan sebagainya untuk mengelakan kita terkeliru ketika memproses maklumat tadi. Untuk pengetahuan anda, imej amat sukar di tafsir ketika arus laju dan air keruh tetapi mudah ketika air jernih dan arus perlahan. Siap sedia dengan GPS supaya mudah menanda lokasi yang berpotensi. Ada kemungkinan imej tadi tidak akan kelihatan apabila anda berpatah balik semula kerana tidak berada pada laluan yang sama. Pemilihan "Lampu suluh" yang sesuai juga penting bagi mengelakkan anda tertipu dengan pelbagai jenis yang dijual di luar sana.


Umpan yang saya bawa kali ini hanya Perumpun dan Udang hidup saja memandangkan hanya itu yang ada. Udang hidup lebih mendapat perhatian kali ini dengan hasil Tetanda yang berjaya dinaikkan. Perumpun hanya sekadar Gelama yang sebahagiannya saya jadikan umpan semula. Kebanyakan Tetanda yang saya perolehi berada di kawasan lapang. Udang yang saya cangkuk pada hujung segmen ekornya lebih berkesan menarik perhatian. Tiada satu pun yang rabut dari matakail dengan syarat perambut sekecil 40 paun dan mata kecil yang mudah ditelan.

Oleh kerana air telah hampir surut sepenuhnya sekitar jam 6 petang, dan udang hidup telah habis, saya berpatah balik untuk mencari Semilang di lubuk kecemasan. Lokasi sekitar Sarang Lang memang terdapat banyak spesis ini ketika air mati. Saiz nya juga kadangkala mencecah 1.5kg dan lebih dari seekor pada tiap lokasi. Lokasi ini juga berdekatan laluan kapal keluar masuk menghala ke Pelabuhan utara. Biar saya kongsikan sedikit rahsianya. Umpan paling berkesan di sini hanyalah udang mati. Udang pasar adalah yang terbaik dan anda perlu kupas sedikit kulitnya. Bau udang ini akan lebih cepat dikesan berbanding udang hidup. Namun cabaran terbesar adalah arus surutnya yang deras. Saya sendiri ketika ini menggunakan batu saiz 9! Lokasi ini hanya boleh dikunjungi ketika air mati saja.

Pada yang menggunakan tali halus, ini satu kelebihan kerana tali halus memotong air dan ringan berbanding tali kasar yang mudah dibawa arus. Ikan Duri juga kerap mengganggu umpan namun boleh kita kenali dengan gaya tariknya yang berbeza. Jika mematuk ikan Duri, jika tariknya kuat hingga joran melendut, itu Semilang. Bagi yang tidak sayang dengan joran, boleh lah letakkannya sesuka hati tanpa perhatian. Saya jamin pasti jadi tukun!

Sebelum gelap, 3 ekor Semilang berjaya saya bawa naik sebelum matahari menghilang. Pendek kata lubuk kecemasan ini memang sentiasa berjasa ketika diperlukan dan jarang ianya kosong. Jika kena dengan umpannya, di sini juga anda boleh menguji kekuatan tali, set joran dan tenaga dengan umpan yang tepat. Saya pasti anda terkejut dengan apa yang anda bakal perolehi..

Trip Paloh bersama En.Azmi

Tidak ramai yang mengetahui bahawa bot sekecil 19 kaki juga boleh sampai ke Paloh. Ini telah terbukti sejak dari dulu lagi. Hanya kemahiran dan pengalaman saja yang boleh menjadikan ia kenyataan. Jika difikirkan secara logik akal, nelayan dahulu kala boleh sampai ke tengah hanya berbekalkan sampan dan enjin sekecil 15 hp sahaja. Jadi ia memang tidak mustahil.

Kali ini misi saya membawa bot 18 kaki 90hp milik En.Azmi rakan lama saya ke Paloh 1. Ramai rakan-rakannya mengatakan bahawa bot miliknya tidak boleh ke laut lepas. Bukan tak boleh, boleh dengan syarat bawa perlahan. Tempoh 1 1/2 jam memang agak lambat jika diperhatikan dengan kuasa 90hp yang sepatutnya lebih pantas. Memang agak siksa jika di buai alun, tapi masih boleh diusahakan. 

 Satu lagi tujuan adalah mengumpul spesis Selar untuk bekalan lauk seminggu..

Walaupun enjin agak besar dan laju, namun saiz bot yg kurang sesuai menjadikan perjalanan agak lambat dan penggunaan minyak yang kurang efektif. Kelajuan terpaksa diperlahankan ketika memotong ombak kecil sekalipun bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. Saiz bot sepatutnya melebihi 21 kaki lebih sesuai bagi kerja memotong ombak dan kestabilan. Boleh keluar tetapi perlu lebih kerja untuk pilot yang mengendalikannya..

Isnin, 11 Januari 2016

Pencarian Enjin 40Hp berakhir sudah..

Pencarian enjin 40 hp bagi menggantikan enjin 30hp yang lama, telah berjaya diperolehi. Hasil dari maklumat rakan blog, enjin berharga rm5000 ini berjaya diperolehi. Kondisi enjin yang masih baik dengan sedikit kerosakan saja.

Enjin ini bagi mengantikan enjin lama yang sedang kami gunakan sekarang. Rasanya sampan 22 kaki yang baru kami beli bagi menggantikan 21 kaki yang lama, lebih sesuai menggunakan enjin ini. Namun bahagian transom bot perlu dibaiki terlebih dahulu sebelum ia boleh digunakan.

Transom ini terpaksa dibaiki semula berikutan kayu yang berada di bahagian dalam telah reput gara-gara terlalu lama terendam di dalam air masin. Hal ini hanya disedari ketika ia pecah pada kali pertama ia disewakan. Namun setelah dibaiki, sebelah lagi bahagiannya pula yang pecah. Baikpulih ini bakal menelan belanja sekitar Rm500. Adat barang terpakai, nak beli yang baru tak mampu. Jadi gunalah apa yang mampu saja..

Trip Menimba Ilmu 2

Trip menimba ilmu kali ini masih disertai Acid dan Rakannya bagi mencari lokasi Ikan Tebal Pipi di kawasan sangkar. Akhirnya usaha ini berjaya membuahkan hasil setelah 4 kali mencuba. Spesis ini memang berada di lokasi tertentu namun teknik memancing dan umpan digunakan berlainan. Alhamdulillah misi tercapai akhirnya..

Trip Paloh Tahun Baru

 Kehadiran saya bersama bot ini adalah sebagai Jurupandu ke Paloh 1. Laluan kapal dagang yang terkenal dengan Jenahak bersaiz besar. Namun tiada seekor pun yang berjaya dinaikan, hanya sekadar tarikan manja yang tidak sempat berakhir diatas bot kami.

 Bot menggunakan 600 kuasa kuda berlepas sekitar jam 9 pagi menghala ke lokasi memancing..



 Ikan Cencaru yang dicari, tetapi ikan Selar yang menjelma. Kehadiran beribu Ikan Selar ini menghasilkan percikan air dan bunyi yang mengasikkan.

 Hasil 1/2 jam pertama dan selama seharian memancing, 1 1/2 kotak ikan selar berjaya di perolehi hasil kerajinan semua pemancing..

 Saiz terbesar yang kami perolehi sepanjang trip berlangsung.. Kepada yang berminat mencari spesis ini pastikan saiz apollo sekitar 12-14 kertas putih. Yang bulu silver juga boleh digunakan, cuma pastikan bekalan apollo mencukupi kerana sekiranya ia kerap digunakan, lebih mudah ia kusut. Cara paling mudah, buang dan tukar baru..

Trip Sangkar 3

Ramai yang berkata ikan Kerapu hanya berada di dasar sangkar, hari ini rakan kami membuktikan bahawa ikan ini juga berada di permukaan sangkar. Berlindung di bawah pelampung sangkar!

Ini adalah kali kedua ikan kerapu berjaya di pancing di permukaan air..

Trip Menimba Ilmu 1

Trip menimba ilmu kali ini disertai Acid dan Rakan lain bagi mengenal pasti lokasi baru dan lokasi lama yang terlepas pandang selama ini. Rupanya masih banyak lokasi menarik yang boleh menghasilkan sesuatu..

Lokasi ini memang mencabar.. Apa lagi bagi kaki mabuk yang tidak tahan dengan alun sepanjang masa.

Pemilihan umpan terbaik kadangkala memang menyusahkan namun segalanya terbukti bahawa udang kolam juga berkesan di sini.



Semua hasil di atas berjaya diperolehi dengan umpan udang kolam. Jadi metos yang mengatakan udang kolam tidak berkesan di laut sebenarnya adalah tidak benar sama sekali. Hal ini telah kami buktikan sekali lagi pada hari ini..

Trip Semilang

Ramai yg bertanya kepada kami bagaimana memancing di muara ketika air besar? Jawapan kami, anda duduk di muara atau alur sungai kecil berbekalkan umpan Perumpun atau Udang Hidup. 

Waktu terbaik air surut separuh hingga waktu bunga pasang.. Asalkan ada arus, spesis di bawah ni pasti ada..

Pastikan Perumpun yang anda guna masih hidup dan bukan yang sudah mati. Perumpun dan udang busuk memang menjadi kegemaran sang Sesirat di dalam sungai..

Kanopi Bot 22

 Membina kanopi bot bukannya semudah yang disangka. Selain memerlukan kemahiran besi, kos juga perlu difikirkan. Mengikut pengalaman kami, kanopi sekecil ini menelan belanja sekitar rm400 ke Rm600 sekiranya ia ditempah di kedai.

 Abg Emi, Pilot gantian kami mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

 Besi Keluli tahan karat adalah yang terbaik setakat ini. Tidak semua kedai besi ada menjualnya..Di kawasan Banting hanya terdapat sebuah kedai yang menjualnya..

 Semua peralatan termasuk pemotong besi, Grinder dan Welding Set telah di beli terlebih dahulu. Semua peralatan ini memang sangat diperlukan sekiranya anda mempunyai lebih dari satu bot. Namun kalau anda mampu, tempah saja di kedai yang membuatnya..


Kanopi untuk bot 22 kaki telah siap untuk dipasang..

Trip Sangkar 2



Trip En.Nami

Bengkok? 

Jangan terkejut kerana ini adalah hasil kerja si Ketam batu..


Hasil Pari dengan udang kolam..

Trip Sangkar 1


Trip sangkar En.Jinnis dan Rakan menghasilkan seekor Pari hasil dari umpan Gelama potong..