Sabtu, 28 Januari 2017

Trip 28/1 En.Kamarul dan Rakan

Trip muara mencari Tebal pipi biasanya hanya saya jalankan pada air besar saja. Spesis ini memang sukar didapati ketika air mati. Mungkin cuma setakat itu kemahiran yang saya ada setakat ini. Masih banyak yang perlu dipelajari pada masa akan datang.

 Trip pertama untuk air besar kali ini nampaknya membuahkan hasil..

 Antara hasil yang saya naikkan di belakang bot..

 Sambil menunggu air tinggi, tiang ini menjadi sasaran sambilan sebelum menamatkan sesi hari ini..

 Bergambar bersama hasil tangkapan setelah seharian berusaha keras..

Kebanyakan hasil yang diperolehi dengan umpan udang hidup di sepanjang lokasi memancing.

Selasa, 24 Januari 2017

Jigging + lauk + Ribut!

Ke luar ke laut lepas pada masa ini memang saya elakkan seboleh-bolehnya. Memandangkan cuaca buruk yang sering hujan dan sudah tentu, angin yang amat sukar diramal. Namun dek kerana menyampaikan hajat seorang rakan lama, saya gagahkan juga. Trip jigging pertama awal tahun mencari lauk..

 Walaupun pada sebelah pagi hujan sudah melanda kawasan darat, perjalanan menuju ke lokasi memancing masih lagi cerah. Cerah yang dimaksudkan ialah tidak hujan walaupun mendung. Masih sedikit berangin tanpa ombak besar sehingga ke tengahari. Tidak meletakkan harapan tinggi, kami jangkakan waktu paling lewat adalah jam 2 petang.

 Setelah sampai, aktiviti jigging terus bermula dan keadaan air mula pasang dengan arus perlahan dan air jernih, menambah semangat kami untuk terus bertahan. Seleng beberapa hanyutan, seekor Tebal Pipi berjaya dinaikkan dengan jig 60 gram milik Sharil. Hasil tangan Pakcik Jawa yang baru saja pertama kali menggunakan kaedah ini. Terpancar kepuasan diwajahnya yang sudah beberapa kali ingin mengikut kami ke sini.

 Selang beberapa hanyutan lagi, seekor Jenahak juga berjaya dinaikkan. Walaupun begitu, 2 biji jig menjadi mangsa pautan karang di dasar. Apa boleh buat, terpaksalah kami serahkan tanpa rela. Salah satu reba yang tersangkut pada hanyutan selepasnya berjaya dibawa naik oleh Shahril. Kabel besi yang hampir reput sepanjang 2 meter. Mungkin bahan buangan dari kapal berlabuh di situ.

 Mengubah ke lokasi kedua, seekor Kerapu berjaya dinaikkan buat pertama kali di lokasi tersebut. Sebelum ini belum pernah spesis ini muncul menyambar jig kami. Kali ini hasil jig kawin Pakcik dan Shahril. Kalau sudah rezeki, memang tidak kemana. Ketika ini angin sudah mula membadai bot kami dan hujan sudah mula turun di kawasan berdekatan.

 Kami masih cuba untuk bergerak ke lokasi ketiga dan akhirnya angin menggagalkan usaha kami. Oleh kerana hujan telah berhenti, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi seperti yang kami jangkakan akan berlaku. Semua peralatan dikemas rapi dan bot mula pulang ke muara. 

Walaupun masa memancing yang pendek, tangkapan ini sudah cukup baik bagi kami kerana jarak perjalanan yang dekat dan jangkamasa perjalanan yang kurang dek kerana lokasi berdekatan pantai sahaja. Hasil tangkapan di bagi samarata di pengkalan sebelum pulang.

Sabtu, 21 Januari 2017

Trip 21/1 En.Zul dan Rakan

Keadaan cuaca yang tidak menentu seringkali terjadi di kawasan Port Klang sejak kebelakangan ini. Tempoh hari ketika kami turun, keadaan cuaca mendung dan berangin mengiringi kami sepanjang hari. Bukan saja angin kuat yang melawan arus, tetapi hujan gerimis yang sekejap-sekejap juga berlaku. Berbeza dengan trip kali ini, cuaca agak baik dengan hasil yang boleh dibanggakan.

Senangin dengan umpan hirisan Cabuk yang hampir terlepas dengan lompatan di bawah sangkar.

Akibat kes kumpau berpanjangan pada sekitar bulan November tahun lepas, sudah jarang saya mengunjungi sangkar ikan di Pulau Ketam. Namun diatas permintaan ahli trip, saya gagahkan juga ke sana. Alhamdulillah, ikan sudah mula ada dan kemarau kumpau berakhir juga.

Antara tangkapan Tetanda terbesar yang kami perolehi di muara sungai Pulau ketam

Beberapa tangkapan baik seperti Senangin, Jenak dan Kerapu berjaya kami naikkan. Bukan itu saja apabila air surut, kami pulang semula ke muara dan mencari tangkapan lain yang lebih baik. Hasilnya, 15 ekor Semilang pelbagai saiz berjaya dibawa naik sehingga jam 7.30 malam.

Wak Misai yang berjaya dibawa naik menggunakan umpan udang. 

Trip kali ini boleh dikatakan berjaya dan berbaloi jika dipikirkan secara logik. Almaklumlah, di masa sekarang ini, nak mencari Wak Misai pun sudah sukar jika anda tidak tau bagaimana dan caranya. Kadangkala ada dan kadangkala kosong kotak ikan. Rezki ghaib yang sukar diramal..

Khamis, 19 Januari 2017

Wak misai oh wak misai..

Ikan Sembilang adalah spesis ikan muara yang gemarkan kawasan berlumpur keras. Ia kerap menghampiri pantai ketika air pasang untuk mencari makanan. Makanan kegemarannya adalah Perumpun, Umang-umang, Ketam kecil dan Udang. Namun apabila air surut, kebanyakan spesis ini berlindung dibalik reba-reba di dasar selat dan beting berarus laju. Ramai yang tidak mengetahui ikan ini, kurang berbau jika dipancing dikawasan luar alur sungai. Manakala yang berada di dalam aliran anak sungai, kurang enak di masak. Hal ini telah lama kami perhatikan sejak dari dulu lagi. Kemungkinan besar, arus laju dan habitatnya memberi kesan kepada perbezaan yang amat ketara ini.

 Saya dan Ibu turun memancing pada kali ini untuk mencari lauk. Biasalah, asam pedas dan kari sekali sekala memang lauk terbaik untuk kami sekeluarga. Oleh kerana waktu ini air sudah mula perlahan, kawasan biasa untuk memburu Gerut-gerut dan Tebal Pipi sudah tidak sesuai untuk dikunjungi. Hanya 2 ekor Pisang, seekor Semilang kecil, dan berekor-ekor CikBun berjaya dinaikan. Bukan itu saja, kerap juga hanya tali perambut dibawa naik tanpa kail dihujungnya. Kami menjangkakan, kemungkinan besar spesis ini berlindung di sebalik tukun ketika arus perlahan.

Mengubah haluan ke spot yang lebih baik, laluan arus laju dan beting pasir menjadi pilihan kami. Bukan mudah memancing di kawasan arus laju seperti ini lebih-lebih lagi jika joran kecil yang digunakan mengunakan batu bersaiz besar sebagai pemberat. Sungguh pun tiada ikan dihujung kail, joran masih tetap melengkung dan tangan masih tetap lenguh mengayuh.

 Tapi jika hasil seperti ini berjaya dinaikkan, terubatlah penat seharian di laut. Waktu ini air surut sudah berada di paras maksima dan arus memang cukup laju. Di lokasi ini terdapat reba di dasar dan kerap mendatangkan masalah kepada kami. Manakala paras air hanya 3 meter dan berada diatas beting pasir berlumpur.

Saiz yang berjaya dinaikkan sekitar 500grm ke 1.4 kg di berlainan lokasi. Kebiasaannya 2 ke 3 ekor dalam satu lokasi dan bot perlu di ubah tempat setelah itu. Oleh kerana kawasan tersebut cetek, kemungkinan besar ikan ini bertaburan tetapi masih berada di dalam kawasan beting tersebut. Lokasi perlu diubah sekiranya ikan tidak menjamah umpan dalam tempoh 10-15 minit.

Sehingga arus mula berhenti, 15 ekor Semilang pelbagai saiz berjaya kami naikkan yang kebanyakannya menggunakan umpan udang dan Perumpun. Kami pulang ke pengkalan sekitar jam 6 petang untuk pulang. Sedikit tips untuk anda yang ingin memburu spesis ini, keadaan air menyorong kecil, menyorong besar 1 dan 2 adalah yang terbaik sekali. Elakkan menggunakan tali utama yang kasar, kerana tali halus lebih ringan memotong arus. Gunakan perambut sekitar 40 ke 50 paun bagi hasil yang lebih baik.

Isnin, 16 Januari 2017

Ops Tukun Pokok 4

Ketika turun memancing bersama krew blog Hazrol dan Wak Kemal tempoh hari, sempat juga kami menambah jumlah tukun sedia ada untuk masa hadapan. Tukun yang kami maksudkan adalah pokok bakau yang tumbang berada di tebing selat.

 Saiz pokok kali ini agak kecil kerana tong yang kami bawa tidak mencukupi bagi mengapungkan pokok besar. Namun begitu pemeriksaan mendapati bahawa kayu tersebut dari jenis yang keras dan dapat bertahan lebih lama. 

 Setelah mula terapung, kerja menarik ke lokasi berjalan dengan baik walaupun agak sukar pada mulanya. Semua kerja selesai dalam tempoh kurang sejam tetapi malangnya tali pelampung yang digunakan sebagai penanda putus sebelum sempat ditanda. Apa yang kami boleh lakukan hanyalah menanda berdasarkan kedudukan terhampir dengan lokasi.

 Sebelum kerja membina tukun dijalankan, kami sempat memancing di kawasan yang di tanda sebelum ini. Ada juga hasil walaupun hanya bersaiz kecil dan sekadar melepaskan gigil masing-masing. Semoga dengan kehadiran tukun baru ini, akan menjadikan kawasan tersebut persinggahan dan boleh menambahkan hasil di kemudian hari.

Sekadar informasi, enjin anda sukar dihidupkan??

Pernahkah anda mengalami masalah ketika cuba menghidupkan enjin secara manual? Enjin yang sukar dihidupkan kadangkala berpunca dari masalah kecil yang anda tidak perasan. Masalah yang akan dikongsikan di sini mungkin dapat membantu anda di luar sana.

 Coke atau pam minyak yang bocor..

 Coke atau pengepam minyak yang bocor kadangkala menjadi punca kepada masalah ini. Walaupun diperbuat dari getah tahan panas, namun apabila telah terdedah kepada bahang panas setiap hari, dalam jangkamasa tertentu, pam ini akan bocor akibat ditekan berulang kali. Walaupun kebocoran tersebut hanya kecil, minyak akan turun semula akibat dari tekanan yang berkurangan di dalam salur minyak anda. Ia juga berlaku apabila kepala penyambung minyak dan pam dari tangki utama yang turut mengalami kebocoran.

 Semua komponan ini menyumbang kepada masalah enjin sukar dihidupkan. Sekiranya masalah ini tidak diambil peduli, masalah lain pula yang akan berlaku. Antara masalah yang bakal berlaku adalah, tali Starter putus dan kepatahan di bahagian kepala pemutar. Oleh kerana enjin sukar dihidupkan, tali starter akan melalui proses rentap dan tarik berulang kali sepanjang proses tersebut. Ini memendekkan jangkahayat tali dan menyebabkan ia putus. Paling malang, ketika proses menarik berlaku, salah satu kaki pemutar roda kuasa telah patah.

Cara paling mudah untuk mengelakkan hal ini berlaku ialah sentiasa selenggara enjin anda. Tukar pam minyak, coke, salur getah yang bocor kepada yang baru untuk mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Jangan ambil remeh perkara sekecil ini kerana ia bakal menyusahkan anda ketika di tengah laut. Selain itu, belanja akan menjadi lebih besar sekiranya berlaku masalah lain pula. Sekadar informasi berguna untuk anda..

Jadual air pasang surut dan waktu sesuai memancing February 2017


Berikut waktu sesuai memancing mengikut keadaan air pasang surut di lokasi terpilih


1-2 Muara
3-9 Pulau Ketam
10-17 Muara
18-23 Pulau Ketam

Harga trip Rm350
Muara/Tukun Pokok
4 pemancing + 1 Pilot
Umpan sesuai udang hidup/Udang pasar/Perumpun
Semilang, Duri, Tetuka, Gelama,Tirusan, Senangin, Tebal Pipi, Tetanda
Siang 8am - 7pm / Malam 9pm - 8am

Harga trip Rm450
Pulau Ketam/Sangkar ikan
4 pemancing + 1 pilot
Umpan sesuai Udang Hidup, Sardin, Kembung, Beliak Mata
Duri, Tetanda, Gelama, Kerapu, Merah, Senangin, Pari
Siang 8am - 7pm

Semua maklumat di atas hanya sekadar rujukan berdasarkan pengalaman kami di laut. Semuanya terpulang kepada rezeki dan cuaca semasa.

Jadual air pasang surut dan waktu sesuai memancing January 2017

Berikut waktu sesuai memancing mengikut keadaan air pasang surut di lokasi terpilih

1-4 Muara
5-11 Pulau Ketam
12-18 Muara
19-26 Pulau Ketam
27-31 Muara

Harga trip Rm350
Muara/Tukun Pokok
4 pemancing + 1 Pilot
Umpan sesuai udang hidup/Udang pasar/Perumpun
Semilang, Duri, Tetuka, Gelama,Tirusan, Senangin, Tebal Pipi, Tetanda
Siang 8am - 7pm / Malam 9pm - 8am

Harga trip Rm450
Pulau Ketam/Sangkar ikan
4 pemancing + 1 pilot
Umpan sesuai Udang Hidup, Sardin, Kembung, Beliak Mata
Duri, Tetanda, Gelama, Kerapu, Merah, Senangin, Pari
Siang 8am - 7pm

Semua maklumat di atas hanya sekadar rujukan berdasarkan pengalaman kami di laut. Semuanya terpulang kepada rezki dan cuaca semasa.

Rabu, 4 Januari 2017

Sekadar informasi, modifikasi joran

Bukan semua orang mampu membeli dan memiliki joran berharga mahal. Kadangkala ada juga yang murah tetapi masih boleh berfungsi baik jika kita tahu cara menggunakannya. Hari ini kami tunjukkan kepada anda bagaimana menukar joran murah kepada joran mahal.

 Hasil kepakaran dan idea bernas Komando_sg, kami kongsikan kepada anda. Ada antara joran murah ini sesuai di tambah supaya selesa penggunaannya. Contohnya joran yang saya beli di atas. Harga joran ini hanya rm28 sahaja tetapi cincin dan daya lenturannya menambat hati saya. Jadi apa yang saya perlu buat adalah menambah baik sebahagian pemegang dan hujung cincin terakhir.

 Anda cari paip pvc yang sesuai dan cantum bahagian bawah mengikut ukuran yang selesa dengan anda. Manakala cincin hujung yang lembut anda tukar di kedai dengan cincin yang lebih baik.

 Pastikan bahagian pemegang joran boleh masuk dengan ketat dan tidak bergoyang. Berikan sedikit tekanan supaya ia masuk sempurna hingga ke bahagian pemegang mesin. Bahagian hujung pvc di tutup menggunakan end cap.
 Sekarang joran murah tadi sudah bertukar menjadi joran yang selesa digunakan. Joran ini saya gunakan di laut sepanjang trip berlangsung. Murah, kecil tetapi cukup kuat untuk menaikkan hasil sekitar 500 grm ke 2kg. Sekadar informasi berguna, untuk anda..

Selasa, 3 Januari 2017

Ops Tukun Pokok 3

Sebagaimana yang anda tahu, kami sangat obses dalam melakukan aktiviti konservasi pemuliharaan kawasan memancing di sini. Di awal tahun baru ini, kami segarkan minda anda dengan tukun terbaru yang telah berjaya kami siapkan tepat pada permulaan awal tahun. Mengapa kami sanggup bersusah payah untuk sesuatu yang mungkin bukan milik kami sepenuhnya?

 Sistem apung dan tarik yang kami guna memerlukan tong dalam jumlah tertentu.

 Jawapan bagi persoalan ini ialah, sekiranya kami tidak bertindak dan hanya sekadar berserah saja, 10 tahun lagi, kawasan memancing kita pastinya tandus dan tiada lagi hasil tangkapan yang boleh kita perolehi. Jangan hanya tahu bercakap tetapi tiada usaha yang dibuat untuk mengubahnya. Andakah anda suka ini berlaku? 

  Panjang 30 kaki, berlumut dan berteritip, sangat sesuai..

Kami tahu jawapan anda adalah tidak! Jadi jika begitu kenapa tidak bertindak sekarang untuk mengubahnya. Kalau anda prihatin, caranya sudah ada di sini. Jadi setelah kami puas berfikir, nampaknya memang tiada cara lain, selain membuat perubahan sendiri untuk keadaan yang lebih baik. 


 Kerja menjadi lebih mudah sekiranya air telah naik dan objek berat menjadi lebih ringan..

 Hasil kerja ini kami jangkakan akan dapat bertahan sekitar 3-5 tahun dan lebih lama jika ia tidak diganggu..

 Hasil dari Ops Tukun pokok 2 yang kami buat 3 hari sebelumnya..

Gambar di atas sudah membuktikan bahawa hasil usaha kami berjaya walaupun baru 3 hari objek di turunkan ke air. Sekiranya tiada halangan, projek ini akan berjalan sepanjang tahun, di beberapa lokasi yang sesuai.

Ops Tukun Pokok 2

Setelah selesai tukun pertama dibina, kami beralih arah ke tukun kedua yang lebih besar dan menggunakan cara lebih mudah berbanding sebelumnya. Untuk Ops tukun pokok 1, kami menggunakan cara angkat dan buang yang mana lebih kepada penggunaan tenaga dan kerja yang lebih sukar. Namun cara kedua ini lebih mudah dengan menggunakan teknik sains dan peralatan sesuai.

Kayu yang berada lama di tebing biasanya sudah berteritip dan berlumut..
 
Batang pokok yang dipotong diangkat ke dalam bot, diikat menjadi stuktur sebelum di buang di lokasi..

Pokok yang terpilih dan sesuai perlu diapungkan menggunakan tong kosong ketika air pasang dan ditarik ke lokasi sebelum ditenggelamkan ke dalam air. Pemilihan pokok yang sesuai mesti dibuat terlebih dahulu bagi memastikan ia boleh diapung, ditarik dan ditenggelamkan tanpa hanyut walaupun ketika air besar. Manakala pemilihan lokasi mestilah sesuai, bebas dari laluan jaring dan kedalaman melebihi 10 meter ketika air surut maksima. Ini bagi mengelakkan isu keselamatan kepada bot yang menggunakan laluan tersebut.

 Setelah sampai di lokasi, sauh dilabuh dan lokasi ditanda dengan penanda setelit sebelum tali pengikat pelampung dipotong. Kerja ini harus dilakukan dengan teratur dan sistematik bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Setiap satu projek memakan masa sehari untuk disiapkan dan hanya memerlukan 3 hari sebelum ia berpenghuni.

Setelah 3 hari, inilah hasil yang berjaya diperolehi..