Khamis, 31 Oktober 2013

Trip 31/10 En Zal

Trip yang hanya berdua saja turun pada jam 9 pagi dan pulang pada jam 4 petang. Kesukaran mendapatkan umpan ketika ini, tidak mengganggu aktiviti memancing kami. Tidak banyak tangkapan yang berjaya di bawa naik. Namun lokasi terakhir di laluan pulang barulah sedikit hasil baik berjaya dinaikkan. Berikut hasil pada trip singkat ini.













Cuma ini yang saya dapat adakan untuk tuan. Setelah usaha dijalankan, kita hanya beserah kepada yang Maha Esa. Terima kasih kerana sudi turun bersama kami walaupun seorang diri. Jumpa lagi di lain kali.

Selasa, 29 Oktober 2013

Demam ke?? Tak dapat ikan lagi demam laaa..

Turun bertiga menggunakan enjin 30hp Komando_sg, dengan 19 kaki, seorang lagi rakan turut serta bersama. Turun pada jam 9 malam dan kembali ke pengkalan pada 2 jam petang hari berikutnya. Berikut hasil yang diperolehi..


Merah comel di satu spot karang..


Tetanda besar yang saya sangkakan Pulutan, dengan set lembut dan tali halus. Kenapa lah seringkali tali halus yang dipilih walaupun udang tanpa kaki menjadi umpan.. Rezki..


Senangin comel di sauh sangkar, dengan Udang Hidup..


Tetanda comel di sauh sangkar..Terdapat 2 tarikan misteri berjaya melepaskan diri dan 2 tarikan ganas memutuskan tali utama kami di sini..


Kerapu dengan Gelama hiris juga di spot sauh sangkar..


Ramainya satu bot, macam mana nak mancing macam tu.




Hasil keseluruhan semalaman menunggu..


Besar macam ni cuma 1.8 kg saja?? Kalau 3 kg macam mana lah agaknya ye..

Trip Bersama Eboi














Isnin, 28 Oktober 2013

Di Pukul Ribut, Tirusan Pengubat Hati..

Salam kepada pemancing di luar sana, semoga sihat dan gembira disamping keluarga tercinta. Cuaca yang tidak menentu sekitar kawasan PortKlang banyak mengganggu kebanyakan trip yang dijalankan. Waktu begini jika anda ingin keluar ke kawasan terbuka, berfikir lah terlebih dahulu. Pada minggu yang lepas saya Sipari-pari dan Komando_sg cuba menjejak kawanan Cencaru di laluan kapal Pintu Gedung, hampa di pukul ribut. Perjalanan pergi yang disangka berakhir dengan air tenang, angin kuat beserta ombak kuat membadai bot kami. Walaupun dengan bot besar 60 kuasa kuda, terasa seperti menaiki 16 kaki dengan enjin 15 kuda. Hampir sejam kami melawan ombak ganas dan angin kencang berpatah balik ke muara sungai. Alhamdulillah, bersyukur kami kepada tuhan, apabila bot berjaya merapati kawasan muara. 

Setelah mengeringkan badan seketika, kami hanya memancing di kawasan sungai dalam perjalanan balik ke pengkalan. Hanya seekor Tirusan berjaya dinaikkan memandangkan hari telahpun malam. Berikutan hal tersebut, Komando_sg demam hampir seminggu akibat ribut tersebut. Beginilah adat di laut, kadangkala nasib tidak menyebelahi kami. Namun apa yang pasti, berusaha dan sentiasa bersyukur dengan pemberiannya.

Tirusan rezki kami hari ini. Hasil kerja tangan Komando_sg seharian..

Rabu, 16 Oktober 2013

Trip 16/10 Bersama En.ArifDalas P.net

Rakan saya ni tak pernah sampai Pulau Ketam katanya, iyelah tu. Harini kami memancing di kawasan Pulau Ketam dan sekitarnya, hanya untuk suka-suka saja. Umpan udang hidup yang dibawa bersama, saya tambahkan dengan menjala di anak sungai berdekatan. Tak banyak hasil di perolehi, kerana kebanyakan lokasi hanya didiami Cikbun dan Duri. Sebelum pulang, baru lah ikan mula mengganas. Itu pun setelah umpan hampir habis.


Belukang yang disangka ikan Merah, bukan main kuat lagi tarikannya..

Tetanda ketika air mula turun semula di muara sungai..


Hanya Tetanda besar 2 ekor saja dapat dinaikkan di akhir-akhir trip. Manakala Sembilang kami perolehi di kawasan sungai kecil laluan bot yang sibuk. Beginilah memancing di laut, kadangkala rezki kita tidak dapat dijangka.

Isnin, 14 Oktober 2013

Turun 2 petang, balik 6 petang

Turun setelah menukar tali starter yang baru..











Semua tangkapan comel belaka, tiada yang melebihi 1 kg. Hanya untuk suka-suka saja. Kebanyakan tangkapan kurang dari satu meter, termasuk Gt. Tetanda dengan udang hidup, manakala Daun Baru dan Gt Comel dengan Udang kupas.

Ahad, 13 Oktober 2013

Trip 12/10 En Sabri Dan Rakan

Cuaca hujan dan angin kencang sudah mula kerap berlaku pada siang hari ketika ini. Kepada rakan pemancing yang ingin turun ke laut, berhati-hati dengan keadaan ini. Jangan ambil risiko dengan berada di kawasan terbuka ketika ribut, segeralah berlindung jika tanda-tanda ribut mula turun. 

Walaupun trip kali ini disertai hujan gerimis dan angin kuat, En Sabri dan rakan dari Puchong masih setia dengan joran masing-masing. Berumpankan Perumpun Sarang dan Udang hidup, beberapa tangkapan berjaya dinaikkan.

Saiz begini sudah agak sukar diperolehi sekarang. Faktor pembangunan persekitaran dan gangguan ekosistem menjadi punca utama kerosakan kekal pada habitatnya.

Termenung menanti umpan diragut, aktiviti utama jika memancing di laut. 

Ketika pada permulaan trip, salah seorang yang berada dihadapan, gagal menaikkan satu tangkapan kasar. Umpan Perumpun Sarang yang dihidangkan, disambar spesis yang tidak diketahui. Setelah berhempas pulas bermain tali, ikan yang diharapkan, terlepas setelah tali utama putus di bahagian tengah. Mungkin bukan rezki mereka kali ini, namun wajah kecerian dan gelak tawa masih di wajah. Memancing untuk keseronokan, bukan tekanan kata mereka.

Spesis buruan kami yang berjaya dinaikkan ketika gerimis mula berhenti.

Salah satu tangkapan yang dinaikkan ketika makan tengahari berlangsung. Nasik lemak daun pisang yang menyelerakan, dari pagi sampai petang, tidak henti-henti mereka ni makan. Seronok pula saya lihat..

Daun Baru yang menyambar umpan udang kupas hanya di bawah bot, dengan set kecil.


Saiz biasa di muara sungai yang kian berkurangan.

Lokasi terakhir yang hanya menghasilkan Gelama Pisang, ketika air hujan mula menolak masuk ke sungai.

Hasil keseluruhan yang tidak seberapa pada trip kali ini.

Trip terpaksa bergerak masuk ke sungai, gara-gara angin kencang dan hujan yang melanda kawasan Pulau Ketam. Kami bernasib baik kerana hanya berjaya mengelakan hujan hujan lebat dan menghala pulang ke pengkalan. Trip pulang ke pengkalan pada jam 6.30 petang. Terima kasih kepada anda yang sudi menggunakan perkhidmatan kami, jumpa lagi dimasa hadapan.

Sabtu, 12 Oktober 2013

Trip 10/10 En.Junaidi dan Rakan

Keadaan cuaca yang kerap hujan pada sebelah subuh ketika ini tidak banyak mengganggu trip kami. Biasanya trip kami hanya pada siang hari dan ini memberikan sedikit kelebihan dari banyak sudut. Peralatan yang kurang, penglihatan yang lebih baik dan kurang risiko berbanding dengan trip pada waktu malam. Manakala masa memancing tidak diganggu dengan keadaan mengantuk pada waktu malam.

Trip kali ini dianggotai oleh En.Junaidi dan 2 orang rakan dari Bangi kami bawakan ke Pulau Ketam. Berbekalkan Perumpun Sarang dan Udang hidup, trip berhenti seketika di beberapa lokasi sepanjang laluan ke sana. Berikut beberapa aksi bersama tangkapan masing-masing.

Tetanda pertama di lokasi muara yang terdapat reba di tebingnya.

Comel saja ikan ni..

Tetanda di hadapan jeti Pulau Ketam, bersebelahan feri berlabuh. Kedudukan yang betul sangat perlu dikawasan ini untuk mengelakkan sebarang perkara tidak di ingini.

Saiz biasa yang biasa kami naikkan sejak kebelakangan ini.

Sasaran kami, Ikan Tetanda akhirnya muncul setelah sekian lama menunggu..Lokasi tangkapan ini di muara sungai keluar dari laluan feri..

Ikan Daun Baru yang berjaya dinaikkan menggunakan umpan perumpun.

Balasan kepada sifat sabar akhirnya membuahkan hasil. Seekor Tarpoon atau Ikan Susu akhirnya tercangkuk di hujung kail.

Ikan Merah comel, tangkapan terakhir sebelum ribut melanda..

Rata-rata tangkapan tidaklah begitu banyak tetapi agak memuaskan hati mereka ni. Aktiviti memancing kami agak terganggu pada waktu petang kerana ketibaan awan ribut dari arah darat. Kami terpaksa menunggu seketika hinggalah ribut berlalu dan meneruskan perjalanan pulang. Terima kasih kepada anda semua, jumpa lagi di masa hadapan.