Isnin, 20 Januari 2020

Pulau Ketam masih berbisa!

Sejak kebelakangan ini, banyak trip jigging ke luar kawasan selat lebih kerap dibuat berbanding trip selat. Namun Pulau Ketam tetap dihati! Kunjungan trip terakhir air mati kali ini adalah ke sangkar ikan dan kawasan selat. Oleh kerana bekalan umpan kali ini ditempah dari Pulau Indah, laluan biasa telah berubah ke Sg Chandong dan keluar ke  LBT StarCruise. Laluan sungai kecil dipenuhi beberapa halangan kecil termasuklah jaring yang melintang di tengah sungai. Puas dielak, namun ada juga yang tersangkut di kipas enjin. Gara-gara jaring yang dipasang tidak mempunyai penanda. Ada antara jaring ini melintang ditengah sungai tanpa pelampung dibahagian tengah, menyebabkan ia sukar dilihat pemandu bot dan akhirnya dilanggar dengan laju. Kami bernasib baik kerana jaring tersebut tidak merosakkan kipas kami.


Selepas keluar dari sungai, kami terus singgah di lokasi yang sudah lama tidak dikunjungi, Pken 25 yang penuh dengan karang kecil. Memandangkan waktu ini sesuai, kami berlabuh di satu spot karang tinggi yang dulunya mempunyai pokok besar dibawah. Selain penanda lokasi, sonar juga digunakan bagi memudahkan kerja. Maklum lah, biasanya air mati yang jernih amat sukar mengesan kedudukan ikan berkumpul jika hanya menggunakan penanda lokasi sahaja. Bukan lah jaminan ikan berada di bawah, sekurang-kurangnya kerja lebih mudah dengan mengetahui lokasi dituju berpenghuni atau pun tidak.


Kebanyakan ikan hari ini, berkumpul di lokasi berkarang dan sangkut memang tidak dapat dielakkan. Tetapi hasilnya sangat memuaskan hati dengan syarat kita tahu piantannya dan umpan terbaik di situ. Spesis Ikan Tetanda dan Kurau berjaya dibawa naik ahli trip, hasil kerajinan dan kesabaran mereka.


Ketika arus mula berhenti, kami menukar haluan ke Pulau Ketam. Berdasarkan kiraan, waktu memancing di kawasan ini hanya sehingga ke jam 4 petang sahaja. Selepas itu arus akan berhenti dan kami perlu keluar dari kawasan sangkar sebelum jam 6 petang. Hasilnya beberapa tangkapan baik berjaya dibawa naik dalam tempoh tersebut. Antaranya Ikan Kurau, Si Mata Hijau dan Pari Daun.


Hasil terakhir adalah Si Mata Biru yang comel di kawasan spot dalam penuh dengan reba dibawah. Oleh kerana air sudah tidak berarus, kami bergerak pulang pada jam 6.30 petang ke pengkalan.

Rabu, 15 Januari 2020

Baik pulih peralatan lama untuk masa depan.

Pada waktu dahulu, kesemua peralatan ini diperolehi dari bot lama. Ketika itu, ia tidak diperlukan. Ia mungkin digunakan pada masa depan. Oleh yang demikian, semuanya disimpan baik dan tidak dijual. Kini, peralatan ini dapat menjimatkan kos modal kami hampir rm4,000! Walaupun ada antara sebahagiannya rosak, ia masih boleh dibaiki.

 Kotak kawalan ini kelihatan buruk dan lusuh tetapi masih boleh digunakan.

 Oleh kerana menggunakan 2 enjin, sebuah kotak kawalan tidak mencukupi. Kotak kawalan kembar diperlukan. Kosnya begitu mahal untuk dimiliki. Rupanya-rupanya kotak kawalan lama ini boleh diubahsuai menjadi kembar. Oleh itu kerja jadi lebih mudah dan kos lebih jimat. Hanya perlu ubah kedudukan pemegang dan cantumkan saja.

 Stereng juga masih boleh digunakan dengan kabel baru yang boleh dibeli dan dipasang semula.

 Bahagian berkarat akan dicuci dan dibersihkan. Ada lebih baik jika dicat semula supaya lebih kemas dan tahan lama.

Bahagian dalam yang masih baik dan boleh digunakan semula. Namun set ini cuma untuk kegunaan manual tanpa hidrolik.

Memang betul ada pendapat mengatakan bahawa kesemua peralatan ini perlu diganti baru supaya lebih yakin dan selamat. Pengalaman selama hampir 7 tahun beroperasi menyebabkan pendapat tersebut terpaksa diketepikan dahulu dan semuanya sudah dinilai dari pelbagai sudut. Kesemua peralatan ini hanya boleh dipasang sesudah bot dibawa balik ke pengkalan. 

Ketuk-ketuk pintu rumah, rumah baru yang berpenghuni.






Bot baru idaman..

Memiliki bot baru adalah idaman setiap pemilik bot. Namun, ia bukan perkara mudah jika kita tidak mempunyai modal yang cukup di dalam simpanan. Banyak kos yang perlu dibelanjakan untuk melengkapkan kesemua peralatan yang diperlukan. Pada tahun ini, perancangan membeli bot baru akhirnya berjaya dilaksanakan dengan kos yang kurang membebankan. Memandangkan bot lama sudah tidak sesuai digunakan, membeli bot lain adalah alternatif terbaik setakat ini. Bot yang lama perlu dibaiki dan kosnya hampir sama dengan membeli bot lain. Jadi, penyelesaian terbaik adalah dengan menukar kepada yang lain. Namun, hasil pencarian dan penantian  selama 5 bulan, akhirnya menemukan sebuah bot baru dengan harga yg lebih murah.


Pencarian ini berakhir di Setiawan Perak. Jika tiada halangan, barang yang dibeli akan dibawa balik pada bulan Februari ini. 

Bot ukuran 28 x 7 ini akan menggunakan 2 unit 60 kuasa kuda iaitu enjin lama sedia ada. Berikutan kegunaannya melewati kawasan yang agak jauh ketengah, rasanya 2 enjin lebih baik dan selamat. Walaupun kos operasinya agak tinggi, apa yang penting kami boleh pergi dan balik dengan selamat. Maklumlah, tiada siapa yang akan membantu jika berlaku kerosakan di tengah laut. Jika ada bantuan pun, masa menunggu yang begitu lama akan meningkatkan risiko keselamatan kami. 



Selain itu, peralatan sampingan juga perlu disediakan. Diantaranya ialah set stering, kanopi, dan modifikasi. Bot ini sebenarnya dicadangkan menggunakan enjin 115 kuasa kuda oleh pembuatnya. Jadi ukuran transom perlu diubah dan direndahkan supaya sesuai dengan enjin 60hp kami. Tiada masalah untuk itu kerana kemahiran sedia ada yang dipelajari membolehkan kami menyelesaikannya. Itu lah untungnya jika ada pengalaman dan seperti yang anda tahu, ia bukanlah proses mudah. 


Ada beberapa peralatan yang tidak perlu dibeli kerana telah ada sejak dahulu lagi. Antaranya sistem kawalan stering(stering set) dan kotak kawalan(remote). Semua peralatan ini masih berkeadaan baik dan hanya memerlukan sedikit baikpulih dan modifikasi. Kesemua peralatan ini disimpan sejak lama dahulu untuk kegunaan masa depan.

Bot ini mempunyai 4 kotak bertutup dan kotak umpan hidup.

Walaupun menggunakan 2 enjin, sistem pengoperasian masih lagi manual dan memerlukan keupayaan tenaga kerja yang banyak. Contohnya starter, masih lagi menggunakan kuasa tarikan tangan dan sistem kawalan tanpa hidrolik buat permulaan. Modal kecil, mula kecil, risiko kecil. Memang sukar dan berat kerjanya tetapi dengan perancangan teliti, insyaallah ia boleh dilaksanakan.

Khamis, 2 Januari 2020

Jadual air sesuai memancing bulan January 2020

Berikut adalah waktu sesuai memancing berdasarkan keadaan air..

R1* Air Menyorong kecil
K2* Air kecil
J3* Air Mati
S4# Air Mati kekat
A5* Air Mati
I6*  Air Mati
S7* Air menyorong besar
R8* Air menyorong besar
K9
J10
SB11
A12
I13
S14
R15
K16* Air menyorong kecil
J17* Air kecil
S18# Air mati kekat
A19*  Air mati
I20*   Air mati
S21* Air menyorong besar
R22* Air menyorong besar
K23
J24
S25
A26
I27
S28
R29
K30* Air mengurang
J31* Air mengurang

Lokasi dan teknik sesuai

Trip jigging/dasar paloh 1
1,2,3,6,7,8,16,17,20,21,22,30,31

Trip Pulau ketam
3,4,5,6,17,18,19,20

Trip bersauh paloh 1
4,5,18,19

Semua fakta diatas adalah sekadar jangkaan dan bukanlah jaminan hasil yang bakal diperolehi. Hanya berdasarkan pengalaman kami dilaut dari masa ke semasa. Selebihnya bergantung kepada cuaca dan rezki dari Nya. Selamat memancing!

Mikro dan jig ringan, ketuk-ketuk cari lauk..

Sekali terkena getah, memang melekat selamanya. Inilah perumpaan memancing dan ayat biasa kepada pemancing baru. Perasaan yang berbeza dengan pancingan dasar. Jika pancingan dasar, anda perlu rentap joran bila ikan sudah terkena kail dan batu ladung menjadi penghalang. Tetapi jika teknik jigging yang digunakan, ikan makan dihujung kail, tanpa ada halangan. 


Hari ini kami turun mencuba spot baru yang sebelum ini belum sempat dicuba lantaran terlalu banyak spot yang dikunjungi. Seperti biasa, tidak semua spot berpenghuni, ada masa tertentu sahaja yang berhasil. Bergantung pada "piantan" dan rezki pada waktu tersebut. Setakat ini alhamdulillah, lokasi yang dikunjungi sentiasa membuahkan hasil walaupun kadangkala tidak seperti yang diharapkan.


Lokasi pertama adalah kawasan lubang berbukit dan mempunyai sangkut. Sebenarnya ada banyak lokasi reba karang disini, cuma lokasi tersebut sebolehnya dielak, lantaran jig besi yang berhasil agak sukar diperolehi. Jauh kami berjalan mencari umpan besi ni, ada yang sampai ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Tidak semua jig akan berhasil dan biasanya hanya jig yang telah diuji berkesan saja yang digunakan. Jimat masa dan tenaga. Bukan itu saja, inilah faktor utama mengapa pemandu pancing saja yang biasa berhasil apabila trip berlangsung. 

Kali ini mangsa pertama di spot baru adalah jig mahal milik Abg Acim. Oleh kerana joran PE 0.4-1 yang kami gunakan, penghuni dasar berjaya membawa lari umpan. Itu pun setelah tuan punya joran berusaha gigih menarik mangsa keatas. Serentak di lokasi sama, saya juga mendapat sambaran dan mangsa berjaya dinaikkan. Faktor kejayaan adalah joran PE 0.4-2 yang saya gunakan. Biasanya tangkapan sekitar 2kg ke bawah amat sesuai dengan saiz joran kecil. Manakala tangkapan 2-5kg, sesuai dengan joran yang lebih besar. Tetapi jika joran melebihi ukuran tadi, ikan agak kurang berminat dengan umpan yang dihulurkan. Pelik bukan? Pergerakan jig dengan joran yang sesuai mungkin meningkatkan kebarangkalian hasil yang diperolehi.


Oleh kerana kesilapan pertama sudah pun kelihatan, kami menukar rentak permainan dan kebanyakan mangsa berjaya dibawa naik ke atas. Ikan di sini agak buas memakan jig. Buktinya apabila sambaran pertama terlepas, jig diturunkan semula dan masih disambar untuk kali kedua. Mungkin penghuninya banyak berkumpul dibawah dan waktu makan yang tepat. Penggunaan jig kecil sekitar 80-100 gram lebih berkesan jika dibandingkan dengan jig melebihi 120gram yang asik lucut dan kurang mendapat sambaran. Munkin jig kecil lebih mudah ditelan penghuni disini. Namun kerjanya lebih berat dan mencabar. Hanya untuk yang rajin berusaha saja boleh berjaya.



Untuk pengetahuan anda, hasil kali ini hanya yang kecil saja ke meja makan, tetapi yang besar semuanya ke dapur restoran! Daging dan kulitnya agak liat jika dimasak. Daripada menerima keluhan yang memakan, lebih baik ditukar menjadi resit masuk ke dompet kami..

Ketuk-ketuk dasar, trip jigging di Port Klang..








Trip jig 1/1/2020 Pembuka tirai!

Trip awal tahun yang agak berhasil bersama ahli trip yang telah lama tidak turun bersama kami. Jika dulu mereka ini kerap ke sangkar Pulau Ketam, kali ini ke paloh 1, laluan kapal. Memang agak jauh ke tengah dan lokasi ini biasanya tidak mempunyai isyarat telepon yang jelas.


Perjalanan dari pengkalan ke lokasi pancing memakan masa 1 jam 20 minit, dengan jarak hampir 30 kilometer. Faktor kuasa enjin yang kecil dan muatan, menyumbang kepada jumlah ini. Agak membosankan dan ahli trip sempat tidur merehatkan diri. Cabaran pertama yang harus ditempuh sepanjang trip ini.


Ketika tiba di lokasi, air sudah mula surut dengan arus perlahan. Jig yang dihulur disambut 2 ekor Ikan Merah dan arus mula berhenti. Masa sukar berlalu hampir setengah hari kemudian dan ikan mula rancak semula ketika arus kuat. Hasilnya Haruan Tasik yang disangka Mama Kerapu, tersangkut kemas dihujung kail. Ahli trip bernasib baik kerana menggunakan set PE 3 yang agak keras dan hasil berjaya didaratkan selepas beberapa lama berusaha.


Hasil terakhir berjaya dinaikkan sekitar jam 5 petang dan air mula pasang kembali. Seekor Ikan Kerapu dan 2 ekor Tebal Pipi menutup tirai trip kali ini. Oleh kerana jarak agak jauh dan masa panjang diperlukan, pergerakan pulang terpaksa diteruskan. Walaupun agak kecewa pulang tanpa "Bantal emas" yang dicari, hasil yang ada sudah memadai.

Salam tahun baru 2020!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Tahun 2019 yang cukup mencabar penuh dugaan akhirnya berlalu pergi. Kemunculan tahun 2020 membawa seribu erti kepada kami. Pelbagai suka duka berjaya dilalui, walaupun pedih, perit dan penuh cabaran, ianya akan tetap menjadi pengalaman berharga buat kami. 

Dalam menghadapi pelbagai masalah mendatang, kami akan cuba sedaya upaya memperbaiki perkhidmatan sedia ada dan insyaallah, mencari sesuatu yang baru dan lebih mencabar. 

Industri sukan memancing di kawasan Port Klang kini lebih mencabar berbanding tahun yang sudah. Hasil pancingan sudah tidak seperti dahulu. Kini, kebanyakan kawasan lebih tertumpu di bahagian luar persisir pantai yang lebih menjanjikan hasil lebih baik. Namun, dengan jarak yang jauh, kos yang tinggi dan risiko keselamatan yang lebih besar. Untuk pemancing tegar, ia bukanlah halangan. Kepada rakan pemancing diluar sana, hargailah peluang yang ada dan sentiasa menjaga keselamatan diri ketika dilaut. Penggunaan jaket keselamatan sepatutnya sudah menjadi kewajiban kepada setiap pemancing yang turun ke laut. Keselamatan anda adalah tanggungjawap anda sendiri.

Banyak perancangan yang telah dibuat sebelum ini menemui kejayaan dan kegagalan. Sebagai contoh, pembinaan tukun muara sebagai percubaan. Ada yang berjaya dan ada juga yang gagal. Kebanyakan lokasi ini sudah digunakan oleh rakan pemancing yang lain. Jaga dan hargailah ia kerana ia untuk kegunaan bersama. Kepada rakan lain yang mengikuti jejak kami, berusahalah lebih baik lagi dan insyaallah, usaha anda pasti tidak akan sia-sia. Jagalah kebersihan dan kelestarian sumber laut kita supaya ia berkekalan sepanjang masa.

Akhir kata dari kami, terima kasih kepada semua rakan pemancing yang masih menyokong blog ini dari dulu hingga sekarang. Semoga tahun baru 2020, akan menjadikan dunia memancing kita lebih baik dan lebih bererti. Selamat tahun baru 2020 dari kami krew pancingport.blogspot!