Isnin, 29 Disember 2014

Bantuan Bot Untuk Mangsa Banjir

Bot kami 21 kaki/30hp telah di hantar ke Kuala Kerai bagi membantu proses penghantaran bantuan ke kawasan yang telah terputus hubungan. Penghantaran ini dilakukan oleh sebuah syarikat bumiputra yang beroperasi di Kota Kemuning. Permintaan mengejut kurang dari 4 jam ini akhirnya berjaya dilaksanakan dan semua urusan berjaya diselesaikan atas bantuan ayah dan rakan. Oleh kerana saya berada di laut ketika itu, Tekong Sahril telah membantu mengubah bot ke lokasi sesuai sebelum berjaya di angkat ke dalam lori. 

 Ketika bencana banjir ini ramai juga yang meminta bantuan untuk mengunakan sampan dan enjin bagi penghantaran bantuan. Selain itu ada juga permintaan kecemasan untuk meminta bantuan menyelamat sekitar Temerloh di Pahang. Semua informasi ini kadangkala mengejutkan saya. Apalagi bila nada yang memanggil kedengaran begitu terdesak dan tertekan. Oleh kerana saya adalah rakan radio dan sentiasa memantau di frekuensi, beberapa maklumat penting ini berjaya disampaikan. Untuk pengetahuan anda, semua perhubungan terputus ketika itu. Hanya internet dan radio amatur saja yang berfungsi. Tidak semua maklumat ini adalah benar, namun sedaya upaya ditapis terlebih dahulu. Kepada rakan-rakan yang ingin memberi maklumat, sila pastikan ianya bukan copy paste.

 Oleh kerana air telah mula surut, bot telah berada di atas lumpur dan terpaksa di tarik menggunakan lori.

Bot berjaya juga di naikkan untuk penghantaran.

Buat masa ini kebanyakan bot yang digunakan adalah jenis ringan sekitar 17 hingga 13 kaki memandangkan ia lebih sesuai di kawasan cetek. Ia tidak sesuai di kawasan air laju, dalam dan merbahaya bagi muatan besar. Enjin kaki pendek dengan hidrolik Jek lebih sesuai di waktu ini. Manakala kuasa enjin sekitar 10 hingga 40 hp sesuai mengikut kawasan dan saiz bot. Kepada rakan yang ingin membantu, sila pastikan hal ini diperhalusi terlebih dahulu. Satu lagi peringatan, terdapat pihak tertentu yang menangguk di air keruh ketika ini mengambil kesempatan di dalam kesusahan. Rakan-rakan, inilah waktunya kita membuat amal dan bantulah sedaya mungkin untuk mereka yang memerlukan. Semoga bantuan kita dapat meringankan bebanan rakan kita yang memerlukan di sana..

Isnin, 22 Disember 2014

Memburu Sembilang Selat

Salah satu kegemaran saya adalah memburu Ikan Sembilang sekitar pulau berhampiran pengkalan. Banyak rupanya ikan Sembilang di sini. Tetapi perlu sedikit kemahiran mengesan kedudukan di mana ikan ini berehat dan menyorok. Nampak seperti mudah, rupanya saya sendiri masih perlu menambah ilmu.
Laluan sekitar pulau di Telok Gong sehingga ke jambatan adalah kawasan termudah untuk saya jejaki spesis ini. Salah satu yang saya belajar adalah, jika terdapat reba di alur selat, pasti spesis ini boleh di perolehi. Anda boleh meneliti kawasan yang sesuai dengan melihat riak atau olak air yang terjadi di kawasan tersebut. Alur yang mempunyai reba ini biasanya menjadi tempat perlindungan ikan ini bersama dengan ikan Gelama kecil.

Antara umpan terbaik, Perumpun Sarang dan Udang hidup. Kerapkali saiz udang hidup yang besar menghasilkan Ikan Sembilang sekitar 1 hingga 2 kg. Manakala Perumpun kepada saiz yang lebih kecil. Tiang jambatan juga kerap dihuni spesis ini. Waktu paling ideal, ketika air tinggi mula surut, 1 jam sebelum surut habis dan 1 jam ketika air mula naik pasang.

Trip 17/12 En.Said Badri dan Rakan

Oleh kerana kebanyakan trip ke Pulau Ketam tidak berapa berhasil kebelakangan ini, saya mencadangkan kami beralih ke muara saja. Lokasi sekitar Jambatan Pulau ke Simpang 3 Telok Segan Pulau Carey menjadi pilihan. Ketika air mati, lokasi ini lebih menyerlah dan Gelama Pisang adalah penghuni tetap yang kerap dinaikkan.

Umpan Udang hidup dan Udang pasar lebih berhasil di sini. Manakala set kecil lebih sesuai untuk lebih aksi. Namun terdapat banyak Sesirat di sekitar kawasan ini. Elakkan berada dekat dengan tebing dan sediakan banyak perambut ganti sebagai pemudah.


Antara tangkapan baik di celah-celah Gelama, Senangin, Daun baru dan Sembilang. Kotak ikan yang kami bawa penuh berisi dengan Gelama Pisang bersaiz besar dan kecil.

Trip 13/12 En.Izwandi dan Rakan

Trip berlangsung sekitar laluan utama hingga ke Pulau Ketam. Tak banyak tangkapan dapat dibawa naik. Macam biasa, resmi memancing, kadang ada kadang tiada.

Mengendap Tetanda besar tapi Daun baru pula yang naik.

Sagai kot, di muara sungai Pulau Ketam. Kecil tapi larian laju.

Selewak dalam sungai Terusan Bagan.

Waktu petang yang agak panas walaupun mendung.

Tarpoon atau Ikan Susu, yang tak sempat ditangguk melompat ke dalam bot.

Hasil tangkapan keseluruhan setelah sehari di laut.

Khamis, 11 Disember 2014

Tapak Kanopi Stainles Steel

Kepada yang berminat membeli tapak kanopi bot boleh lipat seperti di bawah..

Harga bagi 1 unit Rm45 
Terdapat 3 jenis ukuran
Termasuk lapisan cat tahan panas berwarna hitam

Sabtu, 6 Disember 2014

Penggunaan umpan sesuai mengikut keadaan air dan arus.

Kesukaran mendapatkan umpan sesuai ketika turun memancing ketika ini sering berlaku. Apa lagi jika umpan yang telah disediakan tidak menepati waktu sesuai digunakan. Hal ini sering terjadi kepada saya sendiri. Sebagai langkah berjaga-jaga, umpan sesuai perlu disediakan dari pelbagai jenis yang sesuai. Ini mengundang kesukaran dan lebih kerja kepada pemandu pancing seperti kami mahupun pemancing yang lain.

Hasil trip bersama En.Ghazali Subang

Menyediakan umpan satu masalah, selepas itu masalah lain pula timbul. Biasanya berkait dengan kos dan wang ringgit. Almaklumlah, umpan seperti Belanak Hidup, kurita, Udang hidup memang sukar diperolehi di kebanyakan tempat. Paling sukar, Belanak Hidup dan Kurita. Kami sendiri terpaksa menjala untuk mendapatkan umpan ini.

 Kerapu kecil yang membaham umpan Belanak hidup kami, dilepaskan semula ke laut.

Jika di kawasan sangkar ikan Pulau Ketam, umpan Belanak hidup biasanya sering berhasil. Saiz umpan biasanya mempengaruhi saiz tangkapan yang bakal di bawa naik. Hanya yang berani dan berpengetahuan saja akan menggunakan teknik ini. Percayalah, teknik ini tidak akan berhasil kepada yang hanya mendengar dari mulut orang lain dan sekadar mencuba-cuba. Anda perlukan kesabaran, keyakinan dan usaha untuk menggunakan teknik ini. Teknik ini juga sering terjadi kepada umpan Ikan Gelama. Hanya yang tahu saja dimana waktu dan lokasi sesuai yang akan berhasil.


Sekiranya anda ingin memburu spesis di atas ini, umpan Belanak hidup adalah yang terbaik.

Sekiranya bernasib baik, lebih dari seekor dapat dinaikkan dengan cara ini.
 
Apollo mata kasar berumpan hirisan sotong juga kerap menghasilkan Ikan seperti Tetanda dan Gelama. Walaupun lebih kerap disambar Duri, ini lebih baik dari sekadar termenung menantikan hasil baik dihujung kail anda. Adakalanya, Ikan Duri yang bersaiz besar boleh juga dibawa balik untuk Asam Pedas atau Lemak Cili Api.
                                         
Ikan Belanak yang biasanya menghasilkan tangkapan baik, bersaiz 3 inci ke bawah. Tidak kiralah ianya yang panjang atau yang pendek asal putih sisik dan kuat renangannya. Mata kail dan perambut digunakan harus halus dan kecil dari umpan. Ini kesilapan biasa yang saya lihat dan sering saya tegur ketika trip. Kemalasan dan sikap sambil lewa anda akan menyebabkan kerugian pada diri sendiri.

Biasanya ketika air perlahan atau tidak berarus, umpan ini sangat efektif. Anda pasangkan perambut 2 1/2 kaki, mata kecil sesuai dengan Belanak hidup, gantung sekaki dari dasar dan letak joran anda ditempat selamat. Pergerakan ombak akan membuai bot dan umpan anda di bawah. Teknik ini sering berhasil dan kami praktikkan dari masa ke semasa. Senangin, Tetanda dan Kerapu biasanya mudah ditipu dengan cara ini.

Hasil Trip bersama En.Shah yang mana Belanak Hidup menghasilkan sesuatu ketika air tidak berarus.

Teori yang kami gunakan di atas, bukanlah tepat sepanjang masa. Ia berdasarkan pengalaman sepanjang masa di laut. Kadang kala ada juga kes-kes dimana ikan besar tidak menjamah umpan kerana saiz yang digunakan tidak sesuai di lokasi tersebut. Anda boleh lihat sendiri di artikel kami sebelum ini. Senang cerita, kadangkala umpan yang kita tidak sangka, menjadi pada hari tersebut, tidak menjadi pula di trip lain. Tak perlu lah anda marah atau kecewa kerana setiap rezki sudah pun di tuliskan untuk anda. Kita hanya sekadar berusaha..