Khamis, 26 September 2013

Promosi Trip Bulan Oktober

Berikut adalah harga yang ditawarkan untuk promosi bulan Oktober.

Trip Tirusan
Laluan 1 Sungai sahaja
Sesuai bagi yang tidak tahan mabuk
Harga Rm250 termasuk minyak
Umpan sendiri(udang hidup)
4+1 tekong=5
7am-6pm

Tarikh sesuai 1,2,10,11,15,16,25,26,29,30

Trip Pulau Ketam
Laluan bot ke Pulau Ketam, Sangkar, Sungai, Reba sekitar pulau
Harga Rm300 termasuk minyak
Umpan sendiri(udang hidup/Kembung/Sardin)
4+1 tekong=5
7am-6pm

Tarikh sesuai 1,2,3,11,12,15,27,29,30

Trip Gelama Pisang
Muara sungai terpilih, Parking kapal NorthPort, Navy, Starcruise, Reba sekitar selat
Harga Rm300 termasuk minyak
Umpan sendiri(Udang hidup/Udang pasar/Perumpun)
4+1 tekong=5
7am-6pm/ 8pm-7am

Tarikh sesuai 4,5,6,7,8,9,17,18,19,20,21,22,23,24,

Trip Menjaring/ Menjala
Jaring di sediakan
Harga Rm250 termasuk minyak
3+1 tekong=4
7am-6pm/8pm-7am

Perkhidmatan Sampingan
Kami juga menyediakan khidmat mengambil Contoh Air/Tanah/Pokok
bagi kawasan perairan Pelabuhan Kelang tidak melepasi kawasan luar.

Semua trip bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Trip 25/9 Turun Bersama Ibu

Sudah lama kami tidak turun memancing bersama sekeluarga. Pada kali ini seperti yang telah dijanjikan sehari sebelumnya, kami turun menjaring sambil memancing. Keadaan air yang mula perlahan dan jernih menggagalkan sesi menjaring kami. Namun joran yang dibawa menyelamatkan keadaan. Setelah air surut berada di kemuncak, kami memasuki anak sungai untuk menjala udang. Walaupun air sudah mula masuk dan agak terlambat, masih terdapat udang yang diperolehi. Hanya beberapa lokasi saja yang berjaya menghasilkan udang. Kebanyakan lokasi tersebut hanya berada di gigi air dan kawasan teduh bayang-bayang pokok. Tips untuk mengenalpasti lokasi yang terdapat udang, anda lihat ombak enjin yang sampai di tebing sungai. Sekiranya terdapat udang melompat, jalalah di lokasi tersebut. Tak perlu bersusah payah menjala sepanjang sungai.



Oleh kerana arus sudah mula memasuki sungai, kami berlabuh di simpang pertama yang cetek dan berjaya menaikkan beberapa ekor Tetanda, hasil kerja tangan ibu. Beberapa ekor Gerut-Gerut dan Gelama juga berjaya dinaikkan. Ada banyak Agas mengganggu kami di sini. Kami bergerak keluar ke muara dan mula memancing.





Sehari sebelumnya, kawasan ini di penuhi ikan Talang dan Gt bersaiz kecil menyambar anak ikan yang masuk ke sungai. Pada hari tersebut tiada tangkapan berjaya dinaikkan. Semuanya rabut setelah dekat dengan bot. Namun pada kali ini, setelah 1/2 jam menanti, 4 ekor berjaya dinaikkan. Walaupun saiz tidaklah sebesar mana, namun joran aksi lembut yang kami bawa, sudah cukup memberikan keseronokan.



Umpan udang kecil yang disuakan banyak menghasilkan ikan. Antaranya Gt kecil, Tetanda, Senangin dan Talang menjadi habuan kali ini. Kami pulang pada jam 7 malam setelah gelap.

Trip 14/9 En Amer dan En Zul

Trip yang dirancang dengan bot kecil telah ditukar kepada bot besar memandangkan kami sudah lama tidak memancing di kawasan biasa. Anggota trip seramai 4 orang termasuk saya dan Acid, cuba memasuki lokasi baru yang tidak pernah kami sampai sebelum ini. Lokasi kapal karam berhadapan NorthPorth, Sg Tiram, adalah lokasi pertama kami. Setelah menyuluh, dan berpusing-pusing seketika, bot di labuh di atas lokasi. Walaupun terdapat imej ikan dan karang, namun tiada tangkapan cantik meragut umpan kami. Hanya beberapa ekor Gelama dan Duri berjaya dinaikkan.

 


Setelah berubah ke lokasi sisa kapal karam yang lain, masih tiada tangkapan dinaikkan. Sehinggalah bot di labuh berhampiran satu kawasan jeti lama di Pulau Kelang. Setelah melabuh umpan, barulah beberapa tangkapan seperti Gelama Pisang dan Semilang berjaya dinaikkan. Malangnya, terdapat jaring di bawah bot tanpa kami sedari sehinggalah sauh diangkat. Jaring yang melintang tersangkut pada sauh dan memaksa kami mengubah tempat.

 


Lokasi seterusnya di muara sungai berhadapan dengan Pulau Ketam. Walaupun air cetek, masih terdapat Semilang dan Selewak di kawasan tersebut. Disamping Sesirat dan Belukang yang mengganggu umpan, Agas juga agak banyak dikawasan ini.

 

 

 

 
 Keadaan air jernih kurang berarus menyebabkan banyak lokasi tidak menghasilkan sesuatu. Sehinggakan ikan Gelama yang biasanya banyak di lokasi biasa, tidak menjamah umpan. Trip pulang pada jam 7 petang dengan hasil yang tidak seberapa mengiringi kami. Terima kasih kepada En Amer yang sudi turun bersama kami.

Rabu, 11 September 2013

3/9 Trip Mengambil Sample Pokok

Mereka ini adalah bakal graduan universiti yang membuat tugasan tentang pokok bakau. Cik Sue dari UPM dan 3 orang rakannya menuju ke Pulau Kelang bagi mendapatkan contoh pokok bakau. Walaupun cuaca agak mendung namun tugasan dapat diselesaikan sebelum hujan turun. Berikut beberapa rakaman mencuit hati yang sempat saya rakamkan.


Aksi but getah melekat pada lumpur pembuka tirai tugasan ini.


Setelah mengambil contoh di kawasan bawah, mereka ni mula memanjat pokok untuk contoh bahagian atas pula. Tak sangka pula sampai kena panjat pokok. Bahaya juga ye tugasan ni.



Ketika ini bot berada di bawah pokok bagi memudahkan contoh di pungut setelah jatuh ke bawah.


Aksi ngeri ini saya rakamkan ketika salah seorang dari mereka memanjat pokok bakau! Alahai ngeri sungguh tugasan ni. Kepada mereka ni, saya doakan agar tugasan anda ini berjaya. Trip pulang seawal jam 12.00 tengahari.




Selasa, 10 September 2013

Sekadar informasi, Cuaca buruk pada ketika ini

Kepada semua pemancing yang ingin turun ke laut di kawasan PortKlang dan sekitarnya, ini ada satu info cuaca untuk anda. Sepanjang minggu ini, hujan lebat dan angin kencang sering melanda kawasan ini. Pada minggu ini saja, angin kencang disertai hujan lebat biasanya bermula pada jam 7 pagi hingga ke 2 petang. Sekiranya hujan berhenti, masih terdapat angin kencang yang tidak dapat diramal.  Di kawasan laut terbuka terdapat ombak besar merbahaya pada bot kecil. Sila pastikan laluan anda selamat dan hindari kawasan terbuka ketika ribut melanda. Pastikan jaket keselamatan sentiasa dibawa untuk sebarang kemungkinan. Sentiasa prihatin dengan cuaca di sekitar anda.

Sekadar Informasi, Kenali Kipas

 Ini ada sedikit informasi berguna untuk anda yang baru memiliki enjin. Kipas enjin sangkut terdapat dalam 2 jenis di pasaran. Kipas Aluminium biasanya bewarna hitam ketika masih baru, bewarna putih krim setelah lama digunakan. Manakala kipas Keluli bewarna putih berkilat dan tidak bertukar warna setelah digunakan. Kipas aluminium biasa lebih ringan manakala kipas keluli lebih berat. Apakah perbezaan kipas keluli dengan kipas aluminium? Kipas aluminium lebih ringan namun apabila berputar di dalam air, daya tujahannya kurang. Kipas ini mudah bengkok jika terkena kayu atau batu dan mudah untuk di ketuk semula. Harganya pula tidak terlalu mahal. Kipas keluli pula amat berat dan mempunyai daya tujahan tinggi memberikan kelajuan kepada enjin. Berat di permukaan tetapi ringan ketika sudah mencapai kelajuan. Kipas jenis ini tidak boleh ketuk semula melainkan dengan cara dan peralatan khas. Harga kipas keluli 1x ganda lebih mahal dari kipas aluminium.












Bagaimana mengesan kerosakan pada kipas anda?

Kerosakan pada kipas hanya boleh dikesan apabila enjin beroperasi. Biasanya kerosakan berlaku akibat terlanggar objek seperti plastik, tali, beting pasir, batu atau melanggar kayu hanyut. Ada 2 kerosakan yang mungkin berlaku iaitu, bilah kipas bengkok atau getah boost telah habis.

 
 
Sekiranya boost habis, bunyi akan meneran kuat setelah pemutar minyak dipulas tetapi kelajuan tetap sama. Biasanya berlaku apabila anda membawa muatan berat atau ketika melawan arus. Setiap kipas mempunyai bahagian getah di tengahnya. Ia berfungsi apabila putaran terhenti mengejut akibat pelanggaran ketika berputar bagi mengelakkan kerosakan pada kotak gear. Sekiranya berlaku kerosakan seperti dinyatakan tadi, apa yang perlu anda lakukan ialah, buka kipas dan hantar ke kedai enjin untuk dibaiki. Di kedai, boost lama akan di tolak keluar, manakala boost baru akan di masukkan semula. Perlu anda ketahui bahawa boost yang baru diganti tidak akan sama ketahanannya dengan boost yang lama dan penukaran tersebut hanya boleh dilakukan beberapa kali jika perumah boost masih elok dan tidak mengembang.

Kerosakan kedua adalah pada bilah kipas. Sekiranya perlanggaran berlaku pada objek seperti yang dinyatakan tadi, biasanya kipas bengkok dapat dikesan apabila enjin mula bergegar ketika beroperasi. Gegaran ini dapat dirasa dan dilihat oleh pemandu bot. Gegaran akan hilang apabila gear neutral dan bergegar apabila gear dimasukkan semula. Untuk kepastian, cabut kipas anda, hidupkan enjin dan masukkan gear. Sekiranya tiada gegaran, kipas andalah yang perlu ditukar. Sekiranya anda membeli kipas baru, pastikan saiz kipas sama dengan kipas lama. Saiz kipas boleh dilihat dibahagian bawah bilah. Untuk lebih mudah, anda bawa kipas lama dan tunjukkan sebagai contoh. Kipas aluminium sebenarnya boleh diketuk semula namun tidak akan kembali seperti asal. Tukul besi dan lapik kayu keras boleh digunakan. Tetapi anda perlu tahu yang mana perlu diketuk dan dan buatlah dengan berhati-hati.



Tips untuk menukar kipas.

Pastikan saiz sama dengan yang lama atau pastikan sesuai dengan enjin anda. Jangan suka mendengar kata orang selagi anda tidak mengujinya terlebih dulu. Sekiranya kipas tidak sesuai, pinjam kipas yang anda ingin beli dari rakan anda dan uji terlebih dahulu. Setelah pasti sesuai, barulah anda beli dikedai. Kipas keluli mahal harganya dan tidak boleh dikembalikan semula. Elakkan pembaziran kerana kos tersebut mungkin anda boleh gunakan untuk hal lain.

Jadi berhati-hati ketika memandu bot dan seboleh-bolehnya elakkan perlanggaran. Gunalah laluan yang kurang risiko dan perihatin ketika memandu bot. Kurangkan kelajuan sekiranya melalui kawasan berisiko. Sekadar info dari pengalaman kami untuk anda....

Khamis, 5 September 2013

Sekadar Informasi, Air cantik bulan September

Berikut saya nyatakan tarikh sesuai untuk memancing di kawasan hot spot kami..

1    Air mati                                         Sesuai utk trip Tirusan, Sangkar
2                                                                         ..
3   Menyorong besar                              Cencaru
4   Air besar                                            Cencaru
5
6                                                        Pantai bereba, Tanda, Semilang, Gelama
7
8
9
10
11   Air menyorong kecil
12
13    Air mati                                    Anak sungai, Tetanda, Gerut-gerut,
14   Air mati tak berarus                         Tetanda, gerut, gelama, Sesumpit
15
16  Air menyorong besar
17
18  Air besar
19
20
21
22
23
24
25
26  Air menyorong kecil
27
28  Air mati                                    Anak sungai, Pulau Ketam dan Kawasan sekitar
29  Air mati tak berarus
30

Tugasan 30 hari, berakhir sudah.

Salam kepada semua pemancing di luar sana, terima kasih kerana masih sudi melawat blog kami. Selamat hari raya dan selamat hari merdeka yang baru saja lepas. Kepada semua yang masih panas dengan jamuan rumah terbuka, pastikan anda makan dengan sihat. Setelah hampir sebulan berada di laut, akhirnya tugasan 30 hari berakhir sudah. Cabaran demi cabaran berjaya ditempuh dan banyak pengalaman baru dapat dipelajari. Berikut antara gambar yang sempat dirakam ketika tugasan dijalankan.

Selama 30 hari, kami ditugaskan untuk menjaga peralatan penyelidikan yang diletakkan di dasar laut di kawasan Tjg Rhu, Pulau Carey. Peralatan tersebut di letakkan di 3 lokasi berlainan berdasarkan koordinat yang telah ditanda. Seramai 7 orang anggota dan 2 buah bot terlibat dalam tugasan tersebut selama 24 jam sehari. Kerja dibahagikan mengikut shif dan bahagian masing-masing. Oleh kerana tugasan memakan masa yang panjang, kami terpaksa berkampung berdekatan dengan lokasi tugasan di Angler Resort, Pulau Indah. Khemah terpaksa didirikan kerana chalet yang ada berjauhan dengan kawasan bot berlabuh. Manakala jeti yang ada, tidak sesuai kerana berada di kawasan terbuka dan terdedah kepada ancaman cuaca buruk.

 
Petugas yang terlibat ketika peralatan diturunkan ke dalam air bagi menurunkan alat ke 3. Alat ini dipasangkan di bawah pelampung boya dan diikat untuk mengelakan ia beralih dari kedudukan asal. Semua kerja tersebut dilakukan 2 penyelam khas.

Antara yang terlibat dalam tugasan ini ialah Eboi selaku Pilot 2..

 
 Abg Emi, Pilot 3.. Acid untuk tugasan darat..

 
 Nizam dan Along juga tugasan darat dan pembantu..
 
 GenSet ketika kami mula sampai di lokasi yang digunakan bagi menjana kuasa elektrik. Namun penggunaannya dihentikan apabila kami berjaya menyambung bekalan dari wayar utama dari resort. Ini diperlukan bagi menghidupkan lampu, telefon dan radioset.

 
 Kawasan tapak khemah utama berada di dalam kawasan resort di bahagian yang terlindung dari angin kencang. Namun kehadiran angin yang tidak menentu, kadangkala tidak dapat dijangka. Selama bertugas, sebanyak 3 kali kami dibadai angin kencang yang merosakkan peralatan yang dibawa. Ini termasuklah khemah koyak, patah dan kerosakan peralatan elektrik. Walaupun begitu, semangat kental dan keberanian mengatasi semuanya. Ketika ribut kencang, tiada apa yang dapat kami lakukan selain dari bertahan di dalam khemah bagi mengelakkan ia terbang di bawa angin. Saya juga mengalami pengalaman yang sama apabila terpaksa bertahan dalam khemah bersama air hujan yang bertakung selama hampir 4 jam.

Meja makan yang sentiasa penuh dengan peralatan..

Dapur mudah alih untuk memasak, namun penggunaannya di tukar kepada dapur gas biasa memandangkan kos yang lebih efektif.

 
 Antara lokasi alat tersebut berada di bawah boya ini..

 
Pandangan pada waktu siang ketika arus tenang. 


Di atas, penyelam yang bertugas meletakkan peralatan di dasar laut. Ketika kerja selaman dilakukan, jarak selamat antara bot dan kawasan penyelam adalah 25 meter. Bot akan menunggu dalam jarak tersebut membelakangi arus dan buih penyelam. Bendera biru/putih dikibarkan bagi menandakan adanya kerja selaman dilakukan di kawasan tersebut. Petugas yang berada di atas harus menghalang segala pergerakan bot yang lalu lalang berdekatan supaya tidak membahayakan petugas yang sedang menyelam. Namun begitu terdapat juga kapal besar yang masih melalui kawasan tersebut walaupun bendera telah dikibarkan.

 
 Pelampung khas bagi mengapungkan peralatan yang telah diletakkan selama 15 hari. Berat peralatan yang mencecah 150kg setiap satu menjadikan tugasan ini begitu mencabar. Pasukan penyelam khas terpaksa digunakan bagi memasang sauh dan meletakkan peralatan di dasar laut. Dalam kes ini, salah satu sauh terpaksa di potong setelah usaha menarik peralatan ke atas gagal. Sauh tidak berjaya dinaikkan. Keputusan pantas untuk memotong tali, menyelamatkan peralatan tersebut.

 
 Bot 2 yang membantu membawa peralatan selam bagi mengurangkan beban pada bot 1. Namun penggunaan bot ini bagi tugasan memantau begitu efektif untuk penjimatan minyak dan masa. Enjin 30hp ini telah ditukar kepada kipas keluli berikutan kipas lama telah bengkok. Penggunaan kipas keluli berjaya menambah kelajuan bot ini dan mengurangkan penggunaan minyak. Namun risiko berhadapan ombak besar amatlah tinggi. Stuktur bot yang kurang kukuh dan saiz yang kecil kadangkala membimbangkan kami. Maklumlah, di kawasan laut terbuka seperti ini, saiz ombak dan alun biasanya besar dan merbahaya kepada bot kecil. Semuanya dapat diatasi dengan izin Allah dan pengalaman pilot yang telah membiasakan diri dengan kawasan ini.

 
 Malang tidak berbau.. Ketika ribut membadai, salah satu bot kami telah bocor akibat terkena batu dan berjaya dikesan oleh Eboi. Hal ini disedari ketika bot membawa muatan 4 orang dan peralatan selam ke lokasi tugasan. Air telah memasuki bot melalui lunas hadapan yang pecah. Oleh yang demikian, kerosakan perlu di baikpulih secepat mungkin bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku. Dengan bantuan Acid dan Nizam, bot telah dibawa naik ke pantai dan kerosakan di baikpulih.

 
 Enjin di tanggalkan dari bot supaya bot boleh diterbalikkan.

 
 Untuk itu, teritip dibersihkan dan semua lumut di cuci bagi memudahkan kerja menampal dan mengecat semula.

 
 Kerja menanggalkan teritip menggunakan scrap di tengah panas terik terpaksa dilakukan dengan pantas supaya kerja menampal dan mengecat dapat disiapkan sebelum air naik pasang semula.

 
 Antara kebocoran besar pada haluan depan dan telah ditampal semula dengan kain fiber dan gam..

 
 
Kain fiber di gunakan bagi kerja menampal kebocoran.

 
Keretakan pada bahagian belakang hanya disedari Acid selepas bot diterbalikkan. Sehari sebelumnya, seringkali saya terlihat air keluar dari lubang yang terdapat di bahagian belakang. Rupanya inilah punca air tersebut. Retak sejengkal di sebabkan hentakkan enjin ketika bot mencapai kelajuan maksima. Muatan berat yang dibawa juga antara sebab yang menyumbang kepada keretakan ini.

Setelah semua kebocoran ditampal semula, cat disapukan bagi menggantikan cat lama yang telah di tanggalkan. Cat khas untuk sampan digunakan hanya pada bahagian bawah saja. Cat ini terdapat dalam tin 1 liter boleh dibeli di kedai kayu yang ada menjualnya.

 
 
Cat dicampurkan bersama gam fiberglass dan sedikit pengeras(hardener) supaya lebih cepat kering dan keras. Oleh kerana cat cepat kering, cat terpaksa disapu dengan pantas dan cepat sebelum keras di dalam bekas. Berus cat juga hanya boleh digunakan sekali saja sebelum menjadi keras. Ini ada 1 tips untuk anda yang menggunakan cat seperti ini, jika mahu menggunakan berus tersebut sekali lagi, rendam berus cat ke dalam minyak hitam sebelum ia mengeras.

 
 Tugasan mengambil contoh tanah dan air adalah rutin harian kami. Tugasan ini memang berat dan memenatkan apatah lagi jika kawasan tersebut mempunyai kedalaman 20 meter dan lebih. Namun dedikasi dan ketekunan pada tugas yang diamanahkan perlu dilakukan dengan baik. Gambar ini ketika contoh tanah di kawasan cetek kurang dari 1 meter. Kecekapan pilot mengagak ketibaan ombak besar amat diperlukan untuk mengelak bot terbalik atau tersangkut di beting pasir.

 
 Enjin kadangkala terpaksa dinaikkan sedikit bagi mengelakkan tersangkut dan menyebabkan kerosakan pada kipas. Untungnya menggunakan jek manual seperti ini ialah, enjin boleh diselaraskan dengan kedalaman air dengan syarat, lubang pam air tidak melepasi permukaan air. Manakala air dari sistem penyejuk mesti sentiasa mengalir.


Hari terakhir ketika alat di dinaikkan. Juruselam khas akan turun ke dalam air untuk melepaskan ikatan manakala yang berada di atas perlu menarik kabel dari atas. Sebelum itu, alat tersebut di ikat dengan tali supaya keselamatan terjamin jika terjatuh. Semua langkah berjaga-jaga terpaksa diambil, berikutan ombak yang tidak menentu di kawasan ini.

Walaupun kerja berisiko tinggi, mereka ni masih mampu bergelak ketawa untuk menghilangkan penat. Saya juga sentiasa terhibur dengan kerenah para petugas selaman yang begitu santai dan sporting. Pada akhir selaman, seekor ikan Lumba-Lumba besar berenang menghampiri kawasan menyelam, mengejutkan kami. Banyak ilmu baru yang dapat kami pelajari dari kerja yang mereka lakukan.