Jumaat, 19 Februari 2016

Sekadar informasi, Ikhtiar hidup memancing..

Mencuba sesuatu yang baru adalah menjadi kebiasaan bagi saya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar ilmu baru yang berharga untuk saya kongsikan bersama anda. Sesuatu yang anda tidak boleh dapat di majalah atau buku rujukan, semuanya hasil ujikaji dan pemerhatian sendiri. Tahukah Ikan Gelama yang anda pancing boleh dijadikan umpan? Jika anda pembaca setia blog ini sudah pasti anda tahu jawapannya.

Ujian sebelum ini membuktikan bahawa ikan Gelama boleh digunakan sebagai umpan ikan Kerapu, Merah dan Pari. Buktinya hanya kepada pembaca setia blog ini saja yang tahu. Populasinya yang banyak memungkinkan ia adalah makanan buat ikan di kawasan ini.

Hal ini terbukti apabila saya turun berseorangan tempoh hari ketika membersihkan teritip. Aktiviti memancing terganggu akibat ketiadaan umpan sesuai. Ikan Beliak Mata yang biasanya banyak dan mudah diperolehi langsung tidak kelihatan ketika ini. Hanya kumpulan ikan bilis saja yang muncul dipermukaan air.

Lain di cari, lain yang dapat.. Kuda laut yang tersangkut pada Apollo saya mengingatkan harga spesis ini yang mahal di pasaran. Tak perlu lah saya ulas tentang ini kerana nanti ada pula yang sibuk-sibuk nak mencarinya. Ingat, lindungi hasil laut kita sebaiknya. Aktiviti mencari umpan musnah sama sekali apabila kawanan ikan Talang melalui kawasan ini. Habis 3 set Apollo saya menjadi mangsanya. Puas saya selongkar kotak di bot bagi mencari baki-baki set apollo lama yang boleh digunakan.


Hasil pencarian, terdapat satu set apollo yang ditemui terlindung di balik jaket keselamatan. Bila Kawanan Talang berlalu, saya cuba semula untuk mencari umpan tetapi gagal. Hanya seekor Tamban berjaya dinaikkan. Tak mengapalah, kita cuba cara lain pula.



Ikan tamban ini saya buang sisik, potong kecil dan saya jadikan umpan untuk memancing Ikan Gelama. Manakala apollo yang sudah digunakan saya buang bulu dan gunakan semula sebagai mata rambai. Harap-harap adalah hasil yang menyangkut. 

Cubaan di lokasi pertama selama 15 minit gagal. Seekor Gelama pun tidak menjamah umpan. Jadi saya berpindah ke lokasi kedua. Di lokasi ini 5 ekor ikan Gelama berjaya dinaikkan selama hampir sejam di lokasi. Mungkin air yang tidak berarus menyebabkan ikan kurang aktif untuk makan.


Setelah memperolehi umpan, saya bergerak ke lokasi memancing sekitar Kota Sarang Lang. Keadaan air ketika ini adalah Air mati mula surut. Air yang perlahan dan jernih kadangkala sukar untuk memancing. Kelebihan bagi yang mempunyai umpan hidup. Ikan Gelama yang di jadikan umpan hanya di lontar di bawah bot dek kerana arus yang tidak kuat.


Jika kita memancing menggunakan umpan seperti ini, kita tidak perlu risau umpan cepat habis kerana hanya ikan tertentu saja yang bakal memakannya. Di kawasan seperti ini, gangguan ikan kecil amat kurang sekali. Oleh yang demikian ikan besar sempat menemui umpan kita walaupun kebarangkalian strike adalah rendah. Untuk anda mudah memahami teori ini, umpan kecil menghasilkan ikan kecil. Manakala umpan besar sudah pasti menghasilkan tangkapan besar. Diet ikan di kawasan memancing anda tidak sama. Jadi mencari spesis sasaran adalah lebih mudah jika kita menggunakan umpan yang tepat. Jika tidak 100%, 80% pun sudah dikira baik.

Hasil menunggu selama setengah jam, seekor Tanda besar berjaya saya naikkan. Beberapa minit selepas itu, satu lagi rentapan kasar gagal saya naikkan dek kerana tali utama putus. Jadi kali ini satu lagi bukti sohih yang berjaya saya buktikan. Informasi berharga dari kami di pancingport.blogspot untuk anda. Selamat memancing!

Trip Merah bersama En.Safuan

Trip berlangsung sekitar sangkar ikan Pulau Ketam bersama 5 pemancing termasuk saya.

Lagi trip Selar..

Sehari selepas trip Selar kelmarin, turun lagi untuk trip kedua. Hasil masih tetap sama seperti yang terdahulu.

Sukar untuk mengemudi bot seperti ini lebih lagi jika arus laju..

Sampai di pengkalan, jadi mangsa rebutan pulak. Ramai yang sudah pandai mencari ikan di pengkalan walaupun harganya agak mahal.

Sampai terbaring kepenatan..Kesiannnnn..

Trip selar lagi..

Kalau bosan memancing, apakata kita menukar angin mencari Selar pula. Memandangkan ia masih banyak, cara memancingnya agak mudah dan menyeronokkan. Namun kalau tak tahu kemahirannya, memang balik bawak tong kosong saja.

Pandangan dari sudut bot lain, macam tu rupanya bot yang kita naik..

Macam biasa lah, muncung kapal pilihan terbaik. Ikan Selar musim ini memng pandai mengelak untuk dipancing. Jika terlalu dekat dan bising, bunyi enjin akan menakutkan kawanan ikan ini berkumpul dan menyukarkan ia dipancing. Cara paling selamat adalah dengan berlabuh jauh dari lokasi balingan ia berkumpul.

Masalah akan mula timbul bila arus mula laju dan batu yang digunakan sudah ditukar saiz besar. Berat batu ladung ditambah ikan akan melambatkan kayuhan mesin dan melenguhkan tangan. Jika lambat mengarau hasil, apollo bersimpul. Bila bersimpul terpaksalah tukar kepada yang baru dan ini melambatkan masa memancing. Teknik memancing Selar ini perlu cepat dan pantas kerana ia akan mempengaruhi hasil yang akan kita bawa naik.

Saiz selar yang biasa diperolehi kali ini memang agak besar berbanding musim yang sudah..

Keseluruhan hasil adalah satu tong kecil bersamaan satu plastik beg ais yang kita biasa beli di kedai runcit. Beza sangat ke dengan ikan di pasar? Jawapannya ya, sangat berbeza dari segi rasa dan keseronokan memakannya. Lebih manis dan sedap berbanding dengan yang dijual dipasar. Ia juga lebih sihat dimakan tanpa ubat dan pengawet.

Sembilang

Memancing adalah kerjaya ku sejak 2 tahun yang lalu. Jika orang tanya mengapa pilih kerja macam ni? Jawapannya ialah, adakah anda mahu semua peluang ini diambil orang luar? Jika kita lihat dan tahu ini satu peluang, jangan lepaskan. Berusahalah sedaya upaya untuk berjaya..

Jika tiada trip, biasanya saya akan turun bersendirian menajamkan ilmu yang ada. Memang tidak dinafikan, ramai yang hebat di kawasan ini kalau bab memancing. Hanya sedikit saja kemahiran saya berbanding mereka yang lebih lama dari saya. Tak mengapa, jika kita rajin belajar dan menimba pengalaman, insyaallah banyak yang dapat dipelajari. Ketika ini air masih besar dan laju, dan matlamat harini adalah ikan Semilang..

Jika turun berseorangan, setong minyak saja sudah mencukupi. Kurang muatan lebih ringan, laju, cepat dan kurang penggunaan minyak. Biasanya umpan jala adalah pilihan terbaik manakala perumpun saya gali sendiri. Lokasi utama pula sekitar anak sungai kecil Lebuh Gurap..


Banyak juga yang berjaya dibawa naik ke atas dari yang kecil hinggalah yang besar. Namun kali ini umpan paling laku adalah udang hidup saiz jari kelingking. Mungkin mudah untuk ditelan agaknya berbanding perumpun yang liat. Mungkin lah..

Sejam sebelum air pasang memang agak rancak ikan makan umpan. Laluan paip sedut pasir menjadi pilihan kali ini. Ikan di sini gemar menyorok di balik sampah kayu dan segalanya. Kalau anda lihat di atas ni plastik yang saya bawa naik bersama ikan Semilang. Kadang-kadang sisa ranting kayu, guni plastik dan sisa kain yang entah dari mana datang nya. Jika nasib tak baik seluar dan baju dalam pun ada sekali!

Walaupun tak sehebat tarikan Jenahak di paloh, dengan set kecil, ini sudah cukup memuaskan hati. Memancing untuk berseronok saja sambil menambah ilmu. Kalau nak ikan banyak kenalah pergi lebih jauh dan mudah ke pasar pagi saja. Betul tak??