Rabu, 28 Jun 2017

Umpan Belanak hidup dan keberkesanannya

Pemilihan umpan dalam trip memancing kadangkala boleh menentukan hasil yang bakal kita perolehi. Hal ini memang terbukti berkesan sejak lama dahulu dan kebanyakannya hanya diguna pakai oleh pemancing berpengalaman sahaja. Pada trip kali ini, saya cuba menggunakan umpan hidup terbaik yang sukar didapati iaitu, Belanak hidup.

Cuaca cerah redup tetapi bahangnya memang terasa.

Memandangkan tiada rancangan beraya hari ini, saya turun bersendirian ke lokasi memancing yang dirancang. Sebelum memancing, umpan dijala terlebih dahulu di dalam sungai. Ketika ini, air sudah mula surut tetapi masih berada di paras tinggi. Hasilnya hampir 20 ekor Belanak hidup saiz 2-3 inci berjaya saya kumpulkan.

 Tangkapan pertama setelah lama menunggu. Sayangnya karang kipas ni terpaksa dibawa naik sekali. Terasa menyesal pula.

Selesai menjala, saya menghala ke lokasi kedua, untuk mencari sedikit Beliak mata dan Tamban. Hasilnya tidak seperti diharapkan. Kebanyakan ikan yang bermain di permukaan air tidak mahu menyambar apollo yang disediakan. Mungkin kerana ketiadaan cahaya ketika itu. Setelah segalanya selesai, bot dihala terus ke lokasi dirancang.

Ketam ini berada di dalam mulut ikan Kerapu yang saya naikkan..

Di lokasi ini, terdapat banyak anak ikan yang sering mengganggu umpan. Jatuh saja umpan, tidak sampai 5 minit hanya mata kail saja yang tinggal. Rasanya umpan hidup lebih sesuai di sini. Umpan Belanak hidup yang digunakan dicangkuk pada bahagian ekor supaya ia hidup dan dapat menarik perhatian ikan di sekitarnya. Perambut dan mata kail yang digunakan tidak boleh terlalu kasar. Ia harus sesuai dengan saiz umpan yang digunakan.

 
Ikan Baji turut sama dinaikkan dengan umpan Belanak hidup.

 
 Beliak Mata potong yang sekejap saja habis diratah ikan kecil di sini.

Belanak hidup memang agak lambat mendatangkan hasil tetapi jika mengena, jarang hasil yang dinaikkan bersaiz kecil. Sekurang-kurangnya 3 atau 4 kali ganda dari saiz umpan yang kita gunakan. Tiada gangguan ikan kecil, maka sempatlah ikan besar menemui umpan anda nanti.


 Walaupun hasil yang berjaya didaratkan tidak sehebat mana, penggunaan umpan tadi terbukti berhasil. Ia bukan omongan kosong sekadar cerita yang direka-reka. Terus terang saya katakan, umpan seperti ini hanya boleh digunakan jika pemancing tersebut yakin dan mempunyai kesabaran yang tinggi. Umpan besar, sasaran besar!

Rabu, 21 Jun 2017

Jadual Air Pasang Surut Julai 2017

Berikut keadaan air sesuai memancing pada bulan ini.

1-6
16-22
30-31

Ops Suluh, memburu si tahi lalat..

 Jumaat 16 Jun, 12.45 malam..

 Keluar berseorangan pada waktu malam, bukan sesuatu yang asing buat saya suatu waktu dahulu. Ketika mempunyai sampan kecil dengan dayung di kiri kanan, sampan kayu hanya yang termampu dimiliki pada waktu itu. Jarak laluan pula hanya sekadar berdekatan pengkalan sahaja. Ketika itu, umur saya sekitar 17-18 tahun dan sampan kayu yang saya miliki hanya berharga rm180, saya perolehi dari taukeh bot penambang di kawasan itu. Nostalgia lama yang tak dapat saya lupakan sampai bila-bila.

 Turun malam berseorangan hati perlu berani dan kental..

 Kebiasaannya, aktiviti memancing bermula dengan menjala umpan sekitar pantai terdekat. Pada waktu dahulu, umpan udang hidup hanya boleh diperolehi dengan cara ini saja. Hanya umpan Perumpun saja yang boleh dibeli dan itu pun hanya di lokasi tertentu saja. Tidak seperti sekarang, membeli umpan hanya semudah memetik jari dengan menghulur wang dari poket.

 Udang kertas saiz jari kelingking, ini saja yang berjaya saya kutip malam ini..

 Biasanya umpan yang dijala akan disimpan di perut sampan, tanpa pam oksigen seperti yang ada sekarang. Hampir kerap kali juga udang mati jika cuai dalam penjagaan. Disebabkan pada waktu itu hanya ada lampu ayam menggunakan minyak tanah, sisa minyak yang menitis menjadi punca kematian udang ini tadi. Begitu juga dengan sisa minyak pada gegala sampan yang biasa digunakan pada sampan kayu. Semuanya menjadi punca segala masalah tetapi ini semua bukan masalah kerana ikan ketika itu tidak banyak songeh dalam pemilihan umpan.

 Peraturan pertama menjala, seluar dan baju jangan basah, nanti tak selesa nak memancing. Lebih baik guna seluar hujan untuk perlindungan..

 Setelah menjala selesai, akan timbul satu masalah iaitu pakaian basah dan sejuk. Ayah selalu kata, kalau nak ke laut tapi takut basah, lebih baik jangan ke laut. Oleh yang demikian, biasanya aktiviti memancing akan diteruskan sehingga selesai dengan pakaian basah tadi. Bayangkanlah dengan baju basah dan cuaca sejuk malam, kami boleh memancing sehingga pagi.

 Aktiviti memancing akan diteruskan sambil baring di dalam sampan bagi mengelakkan angin sejuk sepanjang malam. Biasanya akan diselangi dengan aktiviti tidur-tidur ayam. Jika dahulu lokasi terbaik adalah sekitar dermaga kapal di celah-celah tiang batu. Kawasan strategik yang terlindung namun ada juga bahaya jika tidak berhati-hati. Dahulu, kawasan ini bukanlah kawasan larangan seperti sekarang.

 Sebenarnya, malam ini saya sekadar menguji teori ikan makan malam dan ingin menyuluh sekitar kawasan. Kawasan tukun yang saya kunjungi hanya menghasil kan 3 ekor malung pensel, sekor Tetanda dan Semilang. Bergegas pulang tepat jam 4.30 pagi lantaran makan sahur yang dibungkus tertinggal di meja makan!


Sabtu 17 Jun, 10.30 pagi..

 Oleh kerana gagal pada malam tersebut, saya turun sekali lagi bersama ibu ke lokasi sama pada siangnya. Lebih kurang jam 10 pagi, selepas melelapkan mata, udang hidup dibeli di pengkalan. Saiz udang yang agak besar menjadikan peluang lebih tinggi untuk ikan baik di bawa naik. Ini sekadar teori saja, hasilnya belum tentu.

 Tangkapan pertama di spot tukun sebelum angin berubah arah dan menyukarkan kami berada di spot diharapkan.

 Beberapa spot yang kami kunjungi berjaya menghasilkan tangkapan walaupun tidak banyak memandangkan cuaca mula bertukar buruk sekitar jam 12 tengahari. Hujan dengan angin kencang mula membadai kami. Berada dicelah-celah kapal berlabuh membolehkan kami berlindung dari angin kuat dan hujan lebat. Apa boleh buat, hanya boleh berdiri dan memeluk tubuh menunggu cuaca terang semula.

 Hasil dari trip bersama ibu sekadar lauk berbuka dua hari. Boleh lah, dari langsung pulang kosong.


Ahad 18 Jun, 8.00 pagi..

 Misi hari ini, menyuluh sekitar sangkar dan kawasan lama untuk belajar semula. Umpan agak mewah kali ini. Beliak mata pula hanya dijala di hadapan jeti sudah cukup menjadikan bekalan sehari memancing.

 Perjalanan terus ke kawasan di cadangkan tidak banyak membuahkan hasil pada waktu pagi. Walaupun air jernih dan arus perlahan, umpan yang kami suakan langsung tidak membuahkan hasil sehinggalah air mula surut.

 Daun baru dengan umpan udang kupas.. 

Kebanyakan hasil ini diperolehi ketika air tinggi mula surut dan berada di spot reba yang kami suluh pada waktu ini. Kawasan yang belum pernah kami singgah rupanya mempunyai berpenghuni. Ada juga kes joran hampir jatuh gara-gara kecuaian meletakan joran sesuka hati. Kerap kali kami perhatikan, balingan pertama selepas berlabuh harus diberi perhatian kerana biasanya ikan akan menyambar umpan secara tiba-tiba. Selepas putus atau terlepas, biasanya tiada lagi pagutan selepas itu.

 Bot pula harus berlabuh tepat di atas kawasan reba untuk memudahkan aktiviti memancing. Selain mengurangkan risiko sangkut, hal ini menyebabkan kebarangkalian tinggi hasil baik dinaikkan. Kebanyakan ikan ini hanya bermain di sekitar kawasan reba sahaja. Gps peneman setia kami bagi mendapat lokasi tepat sepanjang masa.

 Kali ini umpan Beliak mata lebih memihak kepada hasil besar yang kami perolehi..

 Umpan baik tidak semestinya membuahkan hasil seperti ini, baki udang hidup yang kami bawa akhirnya dibawa pulang semula menjadi lauk bersahur. Beli udang 80 ekor, hanya separuh berjaya digunakan.


Isnin 19 Jun, 8.00 pagi..

 Hari ini saya berdua bersama Abul masih dalam ops suluh menyambung agenda semalam. Lokasi kawasan masih sekitar sangkar ikan Pulau Ketam. Memandangkan semalam tidak sempat menghabiskan lokasi di suluh, hari ini kami menyambung tugasan tersebut. Hasil tidak banyak diperlehi dek kerana hanya umpan Belanak hidup dan Perumpun saja.

 Kawasan lain yang sempat kami suluh. Patut lah dah kurang tangkapan di sini, mana tidaknya semua reba yang ada dahulu sudah hilang entah ke mana.

 Tujuan sebenar kami sebenarnya adalah untuk mengenalpasti adakah lokasi yang kami sentiasa kunjungi masih mempunyai reba di dasar. Reba ini adalah salah satu punca mengapa ikan kerap berjaya dibawa naik ketika trip. Dasar yang rata biasanya hanya menjadi laluan ikan dan ikan ini tidak akan menginap di lokasi tersebut kecuali jika terdapat karang atau reba yang besar.

 Hasil harini lebih memihak kepada umpan Perumpun dari umpan hidup yang kami bawa.


Selasa 20 Jun, 9.30 pagi..

Pagi ini saya turun berseorangan dengan misi membersihkan teritip bagi melancarkan pergerakkan bot selepas raya nanti. Oleh kerana jarak pembersihan terakhir yang dibuat agak dekat, kerja membersih lebih mudah kerana teritip yang tumbuh masih kecil dan tidak banyak. Selepas selesai kerja membersih, misi semalam diteruskan lagi.
 
 Air jernih berbeza dengan semalam. Begitu juga dengan suhu air yang agak sejuk.

Sasaran kali ini sekitar kapal karam di Padang, North Port. Puas bot berpusing bagi mencari kedudukan terbaik yang harus ditanda supaya memudahkan trip akan datang. Banyak reba dan karang masih berada di lokasi asal berdekatan tebing dan beberapa spot baru berjaya dikaji semula. Cakap seperti pakar saja, padahal kemahiran yang ada sekadar sebesar ladung saiz 6. Bukan mudah untuk belajar, ini saja cara terbaik walaupun dianggap bodoh jika dipikirkan secara logik akal. Untuk peringatan, lebih sukar kalau ingin berguru yang rahsianya sentiasa tertutup bila ditanya. 
 

Umpan udang hidup saiz besar nampaknya kurang berhasil kali ini..


Beberapa lokasi baik yang saya kunjungi berakhir dengan tangkapan lucut beberapa kali. Seperti sebelum ini, jatuhan umpan pertama yang disambut keras jika tidak diberi perhatian, maka terimalah padahnya. Waktu ini bolehlah kita salahkan mata kail atau perambut yang kita gunakan untuk menyedapkan hati dan menutup kesilapan!