Khamis, 23 November 2017

Trip cari lauk air besar

Cuaca hujan pada sebelah pagi memang agak membimbangkan kami. Bersama hujan, angin juga agak kuat merentasi kawasan Port Klang ketika ini. Yang baiknya, angin bertiup selari dengan arus surut sehingga jam 3 petang. Ini memudahkan trip memancing kami pada hari ini. Keadaan air yang masih besar sekitar 4.5 memang masih laju dan ia sudah dijangka. Pada kami, ia tidak mendatangkan masalah asalkan ketinggian air tidak melebihi paras tersebut. Terdapat beberapa lokasi yang sesuai memancing dengan syarat cuaca dan umpan perlu tepat.

 Selesai mencari umpan di lokasi biasa, kami terus ke lokasi pertama. Umpan ikan yang kami guna memang sesuai memandangkan ia kurang mendapat gangguan ikan kecil. Potensi ikan sasaran yang dicari lebih tinggi dan paling penting kesabaran yang tinggi.

 Selama sejam lebih berlabuh, banyak batu ladung dan perambut kami korbankan di sini. Namun hasil yang diperolehi agak berbaloi dengan halangan yang ada. Seekor Temerih yang bersusah payah ditarik keluar dari reba akhirnya naik ke bot. Begitu juga dengan 2 ekor Ikan Sembilang bersaiz sederhana dengan umpan yang sama, Beliak mata potong.

 Setelah air mula laju dan keruh, kami bergerak ke lokasi kedua yang mana hanya membuahkan hasil seekor Sesirat. Oleh kerana kurang sesuai, kami bergerak ke lokasi Tukun Longkang yang baru kami bina. Berlabuh setengah jam, dengan jaring jaring di kiri kanan laluan, salah satu joran kami diseret ikan besar. Oleh kerana tali hampir habis keluar dan joran kecil, sauh terpaksa dilepaskan.

 Selepas hampir 15 minit, ikan yang kami sangka kecil rupanya seekor Pari Rimau seberat 12kg. Nasib baik perambut besar yang digunakan, jika tidak sudah pasti ikan menang kali ini. Kawasan ini memang terdapat byk spesis mahal sejak diletakkan rumah baru. Walaupun masih baru dan kurang 5 bulan, ia sudah mendatangkan hasil.

Hanya Gelama, Duri dan Yu Pasir berjaya kami kumpul hingga air mula bergerak pasang. Ikan Yu Pasir sedap di masak kari. Caranya, anda jirus dengan air panas sehingga kulit kasarnya tanggal. Eboi yang sudah biasa, jarang membuang kembali ikan ini ke laut. Rasanya sama seperti ikan Pari. Setelah air mula bergerak, kami singgah semula ke lokasi pertama dan hasilnya, seekor Kurau berjaya dibawa naik dengan joran kecil. Rezki, tak siapa yang dapat menjangka. Jam 6.30 ptg, angin dan hujan mula melanda dan kami pulang ke pengkalan.

Ahad, 19 November 2017

Tukun tayar/batu/pokok 4

Projek tukun kali ini berubah ke lokasi lain disamping tambahan kepada lokasi sedia ada. Lokasi kali ini, Pulau ketam. Memunggah tayar dan longkang berseorangan bukan lah satu kerja mudah. Namun jika perancangannya tepat dan cara kerja yang betul, ia tidak mustahil dilakukan. Ketika air tinggi dan bot separas dengan pelantar, kerja akan jadi lebih mudah walaupun agak meletihkan. Bagi saya, ia boleh dilaksanakan dengan syarat yang dinyatakan tadi.

 Baki tayar yang perlu dihabiskan tahun ini, menjadikan lokasi tukun lebih meriah pada masa akan datang..

 Longkang yang berjaya dipunggah masuk ke bot adalah sebanyak 4 unit dan 2 unit pecah untuk pemberat tukun tayar. Semua kerja memunggah berjaya dilakukan sebelum jam 6.30 petang. Sementara menunggu bantuan dari Sharil untuk kerja melabuh tukun pada waktu malam nanti. Kerja disambung semula pada jam 8 malam ke lokasi dirancang.  

 Memang berat longkang batu ni, hanya mampu di seret dan diguling ke dalam bot. 

Kami bergerak ke lokasi terdekat terlebih dahulu untuk mengurangkan berat. Tukun tayar perlu dilabuh terlebih dahulu sebagai tambahan di spot lama. Seperti biasa, tayar diikat dalam bentuk kiub dan disambung kepada 3 x 3 unit dengan Cabel Tie. Longkang yang pecah dimasukkan ke dalam sebagai pemberat. Sebanyak 2 unit berjaya disiapkan dan bot bertambah ringan untuk ke lokasi seterusnya. 

Malang tidak berbau, ketika perjalanan masuk ke sungai, bot kami melanggar beting kerana tersilap laluan. Mujur tidak berlaku kerosakan pada enjin dan bot berjaya ditolak ke tengah semula. Keadaan panik seketika kerana ketika itu terdapat Bot penumpang melalui kawasan tersebut. Laluan yang sempit dan cetek terpaksa dikongsi bersama. Setelah keadaan dipastikan selamat, kami terus memecut ke lokasi kedua. Namun, ada lagi kerja yang perlu dibuat, iaitu memotong pokok untuk dicantum dengan longkang yang kami bawa. Dalam gelap malam, kami memotong dan mengangkat sisa pokok ke dalam bot.

Setelah selesai barulah kami bersauh di lokasi dipilih. Pokok yang dipotong tadi diikat dengan tali besar bersama longkang batu sebelum dibuang ke air. Terdapat 3-4 sisa pokok untuk 1 unit longkang. Sebanyak 4 spot berjaya diselesaikan dan salah satunya banir pokok sepanjang 10 kaki. Habis tangan dan kaki kami luka akibat teritip yang sudah melekat di situ. Tiada alasan untuk kami mengeluh kerana ia perlu dilaksanakan sehingga habis. Semua kerja berjaya diselesaikan dan kami pulang pada jam 2 pagi ke pengkalan.

Jumaat, 17 November 2017

Trip En.Hafiz dan Rakan

 Kami bergerak ke lokasi memancing dengan hanya 30 ekor udang hidup berharga rm1 seekor diambil di Tanjung Harapan. Saya menjangkakan ia akan berhasil memandangkan trip sehari sebelumnya berhasil dengan umpan yang sama. Alhamdulillah, ianya berhasil dengan usaha mereka.

 Kerapu Bintik yang kerap dinaikkan kebelakangan ini membuktikan terdapat spesis ikan lama yang mendiami lokasi di tanda.

 Kerapu kedua juga dengan umpan udang hidup di lokasi sama.

 Ikan Merah di lokasi kedua yang kerap sangkut..

 Yang ini saya sendiri tak tahu ikan apa. MJ mungkin..

 Ada juga Ikan Merah dinaikkan dengan umpan udang kupas yang dibeli di pasar.

 Untungnya hari ini, tidak banyak gangguan Ikan Duri dan Ikan Gelama di lokasi yang kami singgahi. Ini memberikan peluang kepada tangkapan baik menjumpai umpan kami. Hasil keseluruhan seperti di atas sehingga lewat petang. Lokasi muara ketika menghala pulang, tidak membuahkan hasil. Bot pulang ke pengkalan lewat senja sekitar 8 malam.

Khamis, 16 November 2017

Tukun Tayar 5

Sekali lagi kami turun melepaskan tukun di satu lokasi lama untuk menambah unit sedia ada. Kali ini waktu siang menjadi pilihan kerana masa yang ada tidak mencukupi. Ketika diturunkan, ada juga bot yang lalu lalang menyedari kawasan ini mempunyai tukun di bawah. Tak mengapa, yang penting ia terlindung dan jika terjumpa, kutiplah hasilnya dengan syarat kawasan ini dipelihara. Mungkin ada yang tidak senang dengan usaha ini, namun kami pasti suatu hari nanti mereka akan faham.

Kerja memunggah tayar dilakukan ketika hujan di pengkalan. Ketika ini saya masih lagi bersendirian sebelum Sharil sampai membantu. Oleh kerana air agak laju, kerja terpaksa dilakukan dengan cepat sebanyak mana yang mampu sebelum air surut.

 Kerja tertangguh semula apabila hujan bertambah lebat. Hujan mula berhenti menjelang tengahari dan penghantaran ke lokasi dibuat dengan berhati-hati memandangkan bot sarat dengan bebanan. Cabel Tie digunakan sebagai ganti kepada tali supaya kerja mengikat dapat dilakukan dengan cepat. Manakala pemberat perlu diletakkan supaya ia tidak hanyut dibawa arus deras. Tayar ini akan mempunyai gelembung udara ketika dilepaskan ke dalam air. ia perlu di pusing terbalikkan dan diletakkan pemberat.

Setiap satu unit mengandungi 3 x 3 kiub tayar yang disambung menjadi satu unit besar. Hasilnya, 3 unit besar berjaya dibuat dan dilabuh di dalam satu ikatan. Harapan kami tukun ini boleh mendatangkan hasil dalam 3 tahun akan datang dan berdasarkan tukun yang lalu di labuh di kawasan sama, tukun ini bakal memberi rumah kepada ikan Kerapu Bintik. Kepada yang berminat untuk bekerjasama menambah tapak-tapak tukun sedia ada, dengan niat baik dan fikiran terbuka, boleh menghubungi kami. Alangkah baiknya jika ini berlaku. Sungguh pun dengan hanya 1 kiub sekali buang, ianya akan tetap berguna kemudian hari. Jika 1 bot melabuhkan 1 kiub sebulan, 10 bot sudah berapa banyak? Sepanjang kawasan ini pasti dipenuhi tukun dan memberi hasil kepada pemancing yang lain. Bukan kah itu sesuatu baik??