Rabu, 1 Julai 2020

Trip PKPP, angin masih kuat..

Trip bersama 3 pemancing kali ini berlegar di kawasan sangkar dan selat. Cuaca cerah dan angin kuat mengiringi waktu memancing sehingga ke petang. Tiada apa yang dapat dibuat selain berlindung disebalik sangkar dan sungai kecil. Angin pada minggu ini memang agak kuat dan berterusan. Aktiviti memancing agak terganggu kerana semua lokasi baik tidak dapat dikunjungi. Namun dalam angin kuat, ada juga hasil berjaya dibawa naik walaupun tidak besar.

 Umpan dibawa hari ini adalah udang bersaiz kecil yang dibeli di Tanjung Harapan. Rutin biasa untuk kami mengambil umpan di laluan sama ketika keluar dari selat. Tetapi jika ke paloh, biasanya bekalan umpan diambil ditempat lain. 

 Setelah berada lama dikawasan sangkar Pulau Ketam, hasil tidak berapa baik dan angin kuat menghalang kami untuk berada dekat dengan kawasan sangkar. Sebelah petang, kami kembali ke Pken 25. Hasil menunggu sehingga jam 6 petang, seekor Pari Rimau dan Sembilang berjaya didaratkan.

 Jika dilihat dari saiz perambut yang digunakan, rasanya pari ini mungkin 50% lepas. Tetapi kecekapan pemilik joran mengatasi segalanya. Pandai bermain tali mengikut gerak tari sang pari, akhirnya berjaya dinaikkan ke bot.

Trip berakhir pada jam 6.30 petang dan kami pulang melalui sungai Chandung kembali ke pengkalan.