Khamis, 26 Julai 2018

Trip 23/7 Memburu Kerapu Sangkar 2

Hari ini masih lagi dengan agenda sama seperti semalam. Spesis Kerapu menjadi sasaran kami. Setelah selesai mencari umpan, kami terus bergerak ke lokasi pertama. Hujan dan angin kencang menyambut ketibaan kami. Kami terus ke sangkar ikan dan berlabuh sehingga petang. Berbeza dengan air surut yang dikejar sebelum ini, hari ini air pasang pula yang kami nantikan. Lokasi memancing agak penuh dengan bot yang lain dan kebanyakannya rapat ke sangkar.

 Tangkapan pertama seekor Kerapu Bintik dengan umpan ikan hiris.

Ketika ini hujan sudah berhenti dan angin agak tenang. Air kelihatan hijau dan arus agak perlahan. Memang sesuai untuk memancing rasanya. Agak lama kami menunggu di sini, dan lebih sejam barulah ada ragutan kasar di hujung kail.

Saya menggunakan joran kasar kali ini memandangkan joran kecil yang biasa saya gunakan kerap kecundang kebelakangan ini. Sangkaan saya tidak benar, ada juga kes putus walaupun perambut sebesar 60 paun yang digunakan. Ikan di sini agak cerdik kerana boleh mengesan tali perambut yang digunakan. Oleh kerana sudah 3 kali putus, perambut 80 paun pula yang saya gunakan. Tak mahu kehilangan ikan lagi.


Selepas itu barulah seekor Kerapu Hibrid besar ini berjaya saya naikkan. Itu pun selepas bersusah payah mengelak sangkut di bawah. Ikan jenis ini memang kuat melawan, lebih-lebih lagi jika berada pada kedalaman melebihi 10 meter. Jika joran kecil yang digunakan, sudah pasti kecundang.

Sepanjang berlabuh di sini, banyak ikan Senangin berlegar di kawasan tali sangkar dan kerap memutuskan perambut kami. Hanya seekor yang berjaya dibawa naik dan selebihnya ikan Kerapu. Ketika air surut, tiada langsung tangkapan lain. Kemungkinan besar air hujan dari luar masuk ke melalui lokasi kami. Sudahnya kami pulang selepas itu. Keseluruhan hasil yang diperolehi melebihi jangkaan kami.

Trip 22/7 Memburu Kerapu Sangkar

Sangkaan saya terdapat 4 orang ahli trip hari ini, rupanya cuma bertiga termasuk saya sendiri. Hari ini saya bersama ahli trip yang biasa turun sebelum ini dan bersamanya ahli baru yang ingin mencuba nasib di Pulau Ketam. Sasaran utama hari ini adalah Kerapu sangkar yang agak kerap dinaikkan sepanjang air mati kali ini. Bukan lah niat saya menjanjikan tangkapan yang dicari tetapi berdasarkan trip sebelumnya, spesis ini kerap dibawa naik dan ada kemungkinan masih berada di lokasi tersebut.

Seperti biasa mencari umpan di kawasan larangan menjadi aktiviti utama di setiap trip dan kepada yang biasa turun bersama kami, ini adalah rutin biasa. Nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak sampai 10 minit berlabuh, pegawai bertugas sudah pun menghalau kami keluar! Kami akur dengan arahan dan bergerak ke lokasi kedua juga kawasan larangan! Sesudah umpan mencukupi dengan jumlah sesuai, kami bergerak ke lokasi batu karang di laluan kapal Pelabuhan Barat. Hanya seekor Talang kecil dibawa naik dan kelibat Pari yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Entah mengapa agak sukar pula pada air mati kali ini menjejak spesis ini.

Talang kecil dengan umpan ikan hiris.

Jam menunjukkan hampir 12 tengahari dan kami mengejar air surut semula. Bot terus menghala ke sangkar dan ketika itu air sudah mula surut namun tiada arus bergerak. Kami berlabuh di satu lokasi berkarang dan mempunyai sejarah pada salah seorang ahli trip hari ini. Kali ini dia mahu mencuba nasib sekali lagi, mencari spesis yang berjaya menarik keluar tali tanpa henti yang akhirnya pergi tak kembali. Mungkin hari ini ada lagi kot. Jam sudah hampir 2 petang dan arus mula melalui kawasan tersebut. Ketika ini saya sudah menaikkan seekor Tetanda.

Hampir sejam kami menunggu dan hanya Ikan Depu atau kerapu Singa yang menjadi habuan. Namun keadaan berubah ceria bila salah satu joran yang berada dihadapan ditarik kasar. Oleh kerana ahli trip masih baru dan joran digunakan agak panjang dari yang biasa, ikan berjaya melepaskan diri setelah perambut 2 mata yang digunakan putus separuh air. Biasanya pada yang tidak biasa memancing di sini, kadangkala ikan disangka sangkut. Padahal sangkut tersebut bergerak-gerak melawan tali.

Setelah itu 2 lagi tarikan kasar berjaya dinaikkan oleh orang yang sama. Entah mengapa joran yang sama juga mendapat sambutan pada hari ini. Rezeki orang baru mungkin. Sehingga senja berlabuh, 4 ekor Kerapu Bintik berjaya dibawa naik!

Trip 21/7 Bang Mancasting dan Rakan

Seperti biasa, aktiviti mencari ikan umpan berlangsung pada waktu pagi di kawasan larangan. Bukan tiada umpan lain dibawa tetapi ia adalah kewajiban bagi trip kami sebagai salah satu aktiviti pemanas badan sebelum trip berlangsung. Setelah dihalau keluar dari lokasi tersebut, kami memancing di kawasan Peken 25 di mana terdapatnya salah satu tukun yang kami buang setahun yang lalu.

Seekor Senangin dan Tetanda berjaya dinaikkan setelah sejam menunggu. Pari yang ditunggu tak juga muncul. Keadaan angin sudah mula melawan arus dan ombak juga mula bersusun-susun masuk ke dalam selat. Kami berpindah terus ke Pulau Ketam sekitar jam 11 pagi. Beberapa lokasi tidak mendatangkan hasil dan kami menunggu air surut semula untuk masuk ke lokasi monster yang biasa dikunjungi ahli trip. 

Setelah air berubah surut, kami mula memancing di lokasi. Semua ahli trip yang biasa turun bersama kami memang sudah tahu kawasan ini mempunyai sejarah silam yang menyakitkan hati. Tetapi kali ini ahli yang baru dan pertama kali agak bernasib baik tidak mengalami mimpi ngeri tersebut. Beberapa tangkapan baik berjaya dibawa naik walaupun saiz nya tidak besar.

Namun mimpi ngeri tersebut di alami saya sendiri. Sebanyak 3 kali perambut berjaya diputuskan. Apa boleh buat, ikan di sini agak bijak memilih perambut kecil. Manakala perambut kasar tidak berusik langsung. Apa yang boleh saya lihat hanya joran melentur dan seketika melawan sebelum ringan semula tanda ikan sudah melepaskan diri.

Selesai trip, 4 ekor Kerapu yang dicari berjaya dinaikkan dan yang terbesar dinaikkan ahli trip yang baru. Seronok kan? Lebih-lebih lagi tangkapan kedua dengan joran kecil selembut sutera!

Sekadar informasi, cuaca mempengaruhi persekitaran memancing.

Kawasan Pelabuhan Klang ketika ini sedang mengalami keadaan angin kencang yang tidak menentu. Kadangkala ia mempengaruhi kawasan selat yang terlindung. Sungguhpun terlindung dari angin kencang dari luar, sedikit sebanyak terdapat juga kesan yang ketara. Ini sering berlaku kepada setiap trip yang kami jalankan.

Apa yang berlaku pada hari ini, kesan kepada ribut yang berlaku di sebelah luar. Ikan tidak mahu menjamah umpan dan air kelihatan keruh walaupun ketika ini keadaan air masih perlahan dan sepatutnya jernih. Keladak halus yang melekat di sepanjang tali utama ketika memancing adalah petanda yang paling tidak enak dipandang. Apa yang boleh kami buat adalah mencari lokasi yang sesuai berdasarkan umpan yang dibawa.

Oleh itu penting sebenarnya mempunyai umpan yang pelbagai supaya jika berlaku keadaan seperti ini, ada alternatif lain yang boleh dilakukan. Jika tidak, masalah pasti berlaku memandangkan tidak semua lokasi dan masa sesuai dengan umpan yang sama. Hal ini kadangkala menyusahkan ahli trip kerana ia agak membebankan kerana faktor kos yang terpaksa dibelanjakan melebihi kemampuan mereka. Penting untuk kita mengetahui jumlah umpan yang dibawa mencukupi berdasarkan perbelanjaan yang ada. Jangan terlebih tetapi mencukupi dan pastikan umpan terjaga rapi supaya tidak rosak sepanjang trip berlangsung.

Selain angin kencang dan ombak besar, satu lagi faktor adalah hujan yang turun pada hari tersebut. Jika hujan turun pada sebelah malam dengan lebat dan air pula surut, sudah pasti air dari darat akan melalui kawasan ini. Air dari darat ini agak tawar dan dipenuhi keladak dan sampah. Jika ini berlaku, elakkan berada di laluan air ini. Cari laluan air masin dari luar yang masuk melalui lokasi memancing. Tidak semua kawasan mengalami jumlah hujan yang sama.

Sekiranya air surut menghala keluar, air akan mengalami kitaran semula dan ketika air pasang pasti membawa masuk air masin kembali. Ketika ini ada kemungkinan ikan dari luar masuk bersama dan kebarangkalian untuk mendapat tangkapan lebih tinggi ketika ini. Hal ini sering kami perhatikan dan kerapkali berlaku bila waktu air surut ikan rancak makan tetapi tidak ketika air pasang. Begitu juga sebaliknya.

Ketika ini hanya beberapa ekor ikan kecil yang kami perolehi sepanjang trip berlangsung. Ketiadaan umpan yang sesuai menjadikan situasi memancing kami lebih sukar dari yang dijangka. Walaupun tiada tangkapan baik, masih ada sesuatu yang kami perolehi boleh digunakan untuk masa akan datang, iaitu pengalaman!

Ahad, 8 Julai 2018

Trip 8/7 Senangin dan Kurau pulau ketam

Trip 2 bot hari ini berada di sekitar sangkar ikan Pulau Ketam. Cuaca yang agak mendung dan sentiasa berangin ini agak membataskan pergerakan kami. Lebih-lebih lagi ketika air pasang melawan arah angin. Agak sukar melabuh bot sekiranya berada di laluan terbuka.
Biasanya ketika waktu bergerak dari pengkalan, bot 2 lebih laju dari bot 1. Mungkin sudah sampai masanya kami menukar bot 1 untuk memudahkan pergerakkan. Sebenarnya masa adalah penting untuk trip singkat seperti ini, bot yang lebih laju akan lebih menjimatkan masa dan lebih banyak lokasi boleh disinggahi.
 Tangkapan pertama bot 1 di lokasi sauh sangkar.

Umpan kali ini Ialah ikan Sardin, Kembung, Udang Hidup dan Ikan Beliak mata. Oleh kerana sinaran matahari yang agak kurang dan arus permulaan pasang perlahan, ikan apollo agak sukar diperolehi. Ada juga hasil, tetapi tidak banyak dan memakan masa yang lama sebelum jumlah diperlukan dapat dikumpul.
Tangkapan seterusnya ikan GT sama juga di sauh sangkar cetek berada di laluan feri Pulau Ketam.

Kebanyakan lokasi yang kami singgahi agak kurang menyerlah. Tidak banyak tarikan kasar dan tiada ikan Duri yang banyak seperti biasa. Bot terpaksa sentiasa bergerak menukar lokasi sekiranya tiada langsung tanda-tanda kehadiran ikan.

Pari Lalat di lokasi tepian sangkar dengan umpan Sotong cumit

Spesis wajib ketika air jernih dan perlahan.

Sinaran panas petang yang agak panas tetapi berangin.

Ketika air mula perlahan dan membalas surut, kami berlabuh berdekatan sangkar. Bot kedua ketika ini sudah menaikkan Ikan Kurau. Manakala umpan kami sudah hampir habis. Nasib baiklah Sharil ada umpan lebih yang hanya dia saja tahu cara mendapatkannya. Kami berada di sangkar dan Seekor Kurau juga berjaya kami naikkan.

Rupanya sudah 2 ekor Kurau yang berjaya dinaikan bot kedua di lokasi sama.

Kerapu Hibrid di satu lokasi reba.
Banyak juga Tetanda yang dinaikkan mereka ni di satu lokasi sangkar lama yang sudah runtuh. Kebanyakannya dengan umpan ikan yang dipotong kecil.

Hasil keseluruhan bot 2 yang lebih dari bot kami berbanding trip semalam. Manakala kotak putih adalah bot 1. Beginilah rezeki laut yang tidak dapat dijangka. Adakalanya banyak tak terkira namun kadangkala sedikit dan ada juga langsung tidak berhasil. Apa yang penting adalah usaha yang diberikan.

Trip 7/7 Pari muara

Di kawasan muara dan selat kadangkala juga mampu memberi hasil baik jika kena dengan masa dan umpan yang digunakan. Hari ini trip 2 bot bersama Ijam dan rakan memang membuahkan hasil. Bertolak ke lokasi dengan umpan Udang Hidup dan Perumpun saja tetapi aktiviti apollo adalah wajib di setiap trip kami. Ini kerana kita tidak tahu umpan mana yang mungkin berhasil nanti.
Pada jam 9 pagi, kami terus ke lokasi dan aktiviti memancing agak rancak walaupun angin kencang melanda kawasan ini. Sebelum tengahari, banyak hasil berjaya dinaikkan. Antaranya Tetanda dan Pari di Pken 25.
Bolos juga tidak ketinggalan kali ini dan saiz memang agak besar. Kebanyakan hasil yang kami naikkan hanya menggunakan umpan Perumpun sarang. Untungnya kali ini, tiada kelibat ikan Duri dan jika ada pun hanya seekor dua. Gelama juga agak kurang jika dibandingkan dengan trip sebelum ini.
Sesekali ikan Yu Cicak juga memunculkan diri dan biasanya ia gemarkankan ikan Beliak mata yang dipotong kecil. Jika anda nak tahu, ini lah petanda kawasan Ikan Pari dan Beting keras. Jika kehadiran ikan ini dikesan dilokasi, harapan untuk mencari spesis Pari memang tinggi.

Tekaan kami tepat pada spot ke 2 dan sasaran yang dicari mula muncul. Salah satu joran milik anggota trip ditarik spesis besar. Umpan ikan Beliak mata seekor.

Ternyata tekaan kami tepat dan seekor Pari Rimau berjaya kami naikkan. Agak sukar menaikkan ikan seperti ini dengan joran kecil. Lebih-lebih lagi jika arus dan angin kuat melawan arus. Perlu berhati-hati dan sabar yang cukup tinggi.
Ikan Tetanda dan Semilang juga dengan umpan Perumpun di lokasi yang sama.
Gelama Bintik yang berjaya dinaikan ahli trip bot kedua di lokasi Tanjung Bakau. Di lokasi ini, Seekor lagi Pari berjaya dinaikkan dan terdapat juga hasil mata sahaja. Ikannya berjaya melarikan diri setelah puas menahan tali keluar. Nasib tidak menyebelahi mereka ni. Ketika ini bot kedua hanya berada bersebelahan dengan bot kami.
Tangkap dan lepas, Ikan kerapu kecil yang tidak cukup umur di lokasi yang sama, kami lepaskan kembali untuk ia membesar pada masa hadapan. Mungkin usaha ini tidak sehebat mana tetapi hanya ini yang mampu kami praktikkan selalu.
Ketika saat akhir berada di lokasi ini, salah satu joran berumpankan perumpun berjaya menghasilkan ikan Pari diatas. Memang jarang keadaan ini berlaku tetapi ini lah yang dikatakan rezeki. Perambut pula hanya 30 paun dan tali sauh terpaksa dilepaskan untuk membantu kerja menaikkan ikan ke dalam bot.
Keseluruhan hasil 2 bot pada trip kali ini

Walaupun keadaan angin agak kuat ketika tengahri, aktiviti memancing masih dapat diteruskan dengan baik tanpa halangan. Trip berakhir ketika jam 6.30 petang dan bot terus bergerak untuk pulang ke pengkalan.