Selasa, 18 Disember 2018

Trip minggu ini..

Setelah seminggu berakhir, air mati kali ini memang ada hasil baik. Mesin lama yang saya tukar tali berjenama akhirnya membuahkan hasil. Begitu juga dengan ahli trip yang menggunakan set kukuh yang sesuai. Misteri akhirnya terjawap apabila spesis yang berjaya melepaskan diri sebelum ini berjaya kami tewaskan. 

Salah satu aktiviti pertama yang biasa kami buat adalah mencari umpan di kawasan larangan. Perlu cepat dan berhati-hati.

 Hasil kedua kami yang lebih besar sedikit dari yang pertama. Kebanyakan ufo ini berjaya diperdaya dengan umpan ikan potong. Hanya yang sabar, tekun dan mempunyai semangat tinggi saja boleh berjaya. Penantian bagi menunggu waktu piantan ini memang lama dan kadangkala memakan masa berjam, hanya untuk yang sanggup menunggu.

 Ufo gelaran yang saya berikan kepada spesis ini kerana larian tanpa henti yang kerap menewaskan set ringan dan menghabiskan tali. Oleh kerana lokasi laluannya penuh dengan halangan, hanya set sesuai dan tali yang kukuh saja boleh menewaskannya.

 Perambut gantung dua atau tiga mata kadangkala membuahkan hasil ketika air jernih dan kurang arus. Risiko sangkut memang tinggi dan serangan buntal memang tidak dapat dielakkan. Jika bernasib baik, tiga mata yang kita jatuhkan bakal berisi tetapi jika tidak bernasib baik, umpan yang ada akan cepat habis tanpa ada hasil dinaikkan.

Selain ufo, ketika ini terdapat banyak Gt kecil berlegar di kawasan bot kami dan kerap menyambar anak ikan dipermukaan air. Kebanyakannya disekitar tali sangkar. Udang hidup biasanya menjadi pilihan spesis ini. Jika gerombolannya banyak dan tiada yang terlepas dari matakail anda, ada kemungkinan kotak ikan boleh penuh. Umpan ikan potong tidak langsung menarik perhatiannya. 

Rabu, 12 Disember 2018

Dairi Ladang Sejengkal 6, Pertumbuhan anak jagung baru

Seminggu sebelum jagung pertama dipungut, batas baru telah ditanam untuk pusingan seterusnya. Sehingga kini, pokok tersebut berumur sebulan dan setiap lubang mempunyai 2 pokok. Jarak antara pokok di jauhkan sedikit sebagai ujikaji. Kalau dulu saya pelik dengan tunas pokok, kini tidak lagi. Sistem pembelajaran yang baik adalah melalui pengalaman.

 Pokok memang sihat dan berkualiti. Tetapi sejak ditanam, sudah 2 kali tumbang akibat ribut dan angin kuat. 

 Boleh senyum kalau tengok lama-lama..


 Hari ini adalah masa yang sesuai untuk menabur baja memandangkan umurnya sudah sebulan. Baja Urea dan NPK saya campurkan sekali dan ditabur pada batas. Kali ini, saya guna cara lain, sebab dulu ada buat silap. Plastik tutup bumi diangkat dahulu kemudian baru tabur baja. Rasanya cara ini lebih mudah dan cepat, dari menyeluk tangan dibawah pokok satu-persatu. Setelah ditabur, ditimbus dengan tanah, supaya berfungsi sepenuhnya dan tiada pembaziran seperti yang terjadi sebelum ini.


Habis membaja, palstik tadi ditutup semula. Lagi senang macam ni dari yang dulu. Selain itu, batas baru juga mula ditanam supaya jarak masa menuai nanti lebih kurang seminggu sekali. Batas ketiga dan keempat jaraknya lebih kurang seminggu dan telah mula tumbuh.


 Setiap satu lubang saya letakkan 3 biji benih. Tapi kalau nak selamat, 4 biji. Bagi saya ia bukan satu pembaziran tetapi langkah berjaga-jaga kerana pokok jagung tidak boleh dipindah-pindah. Ia akan terbantut dan tidak sama tumbuh dengan yang lain. Jumlah pokok yang saya anggarkan tumbuh sekitar 100 pokok bagi setiap pusingan. Kemungkinan kurang dari itu jika ada yang mati atau diserang serangga.

Batas terakhir siap ditanam, sebelum saya ke laut esok hari. Selepas seminggu nanti, sudah pasti pokok baru akan tumbuh. Harapan saya begitulah..

Dairi Ladang Sejengkal 5, Selenggara batas lama dan tanam semula.

Setelah semua hasil jagung habis dipetik, saya kembali menanam pada batas lain yang telah tersedia. Batas lama saya selenggara kembali. Kalau ikut perancangan, bahagian tengah batas yang menjadi laluan, saya gembur semula jadikan batas.


Proses gembur masih dengan cara lama iaitu dengan baja dan tahi ayam. Sebelum itu, pokok lama di tebang dan plastik tutup bumi saya gulung untuk digunakan semula. Saya ingatkan semudah abc nak cabut benda ni, rupanya tidak. Tersilap sedikit, plastik tadi akan koyak. Terpaksa lah berhati-hati ketika mengangkat dan menggulungnya. Setelah digulung, barulah nampak apa kesilapan yang telah berlaku.
Ada banyak sisa baja yang tidak diserap pokok. Baja ini tidak masuk di dalam tanah tetapi hanya terletak di bawah plastik penutup bumi. Jadi selepas ini, jika membaja, saya perlu angkat plastik dan gembur bersama tanah batas. Patut lah kebanyakan petani menggunakan baja air jika mengguna plastik ni. Cara tu lebih sesuai berbanding jika ditabur seperti biasa.

Tongkol pokok lama saya cabut dengan skop dan tangan. Jika cabut begitu saja, memang tercabut tangan saya. Masa kecilnya, ia mudah tumbang dan senget. Tetapi bila besar dan akar dah berkembang, pokok jagung memang kuat mencengkam. Sungguhpun akarnya hanya serabut halus, tetapi ia memang kuat. Di sini juga dapat dilihat samada jarak antara pokok dalam batas sesuai ke tidak dengan saiz akar yang tumbuh.

  Menggembur kali ini mudah sedikit berbanding jika waktu mula-mula tanah dibuka dulu. Tanahnya dah lembut dan mudah diurus. Tapi ada juga sisa batu yang tertinggal. Bukan itu saja, semut juga membuat sarang di bawah batu yang saya alihkan. Semut hitam ni takkan ganggu pokok jagung, ia salah satu pengawal serangga sebenarnya. Yang jadi masalah adalah semut kecil bewarna merah.

 Tapak ini saya gembur semula dan bahagian laluan tengah saya jadikan batas. Kiranya batas lama pula akan jadi laluan utama. Tak sempat nak buat batas dan tutup kerana hujan dah mula turun. Kerja tertangguh sehingga saya selesai kerja di laut.

Selasa, 11 Disember 2018

Sekadar informasi, Cara membaca jadual air bernombor

Jadual air bernombor adalah petunjuk terpenting jika kita turun ke laut. Selain itu ada juga aplikasi di internet yang boleh kita dapatkan untuk tujuan yang sama. Bukan itu saja, kalendar islam juga tepat meramal pasang surut air. Namun tidak semua kemahiran ini kami miliki. Kali ini saya akan tunjukkan bagaimana cara membaca jadual bernombor ini.

Jadual air ini berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain. Di dalam jadual ini disertakan tahun, bulan, hari dan masa. Manakala paras air juga ada di sertakan bersama.
Ini adalah waktu pasang surut dalam sehari pada 1/3/2019

Jika di kawasan Pulau Ketam dan sekitarnya, ketinggian air yang sesuai untuk memancing adalah di bawah 4.4 ketika air pasang dan kurang dari 1.5 ketika surut. Jika melebihi tahap ini, biasanya air laju dan keruh.


Ini adalah penerangan secara ringkas dan cara paling mudah untuk memahami bagaimana jadual ini berfungsi. Namun tahap kejernihan air dan arus kadangkala berubah apabila berlaku ribut ataupun hujan lebat di kawasan sekitarnya. Sekadar informasi untuk anda..

Dairi Ladang sejengkal 4, mengutip hasil..

Melihat pokok jagung membesar memang menyeronokkan. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, terasa semua penat lelah yang di lalui hilang sekelip mata. Sambil menunggu jagung besar, kawasan lain saya bersihkan. Rumput juga sudah mula tinggi separuh dari pokok yang ditanam.


Apabila putik jagung keluar, biasanya lebih dari 2 biji. Contoh dalam gambar ni ada 4 biji. Buah paling atas saya biarkan dan selebihnya saya buang dengan cara mematahkannya. Saya jadikan sayur tumis jagung muda. Kalau rajin, putik jagung ni juga boleh dijual sebagai sayuran. Satu lagi masalah timbul ketika ini. Selepas putik dipatahkan, banyak serangga datang hinggap dibahagian yang patah. Paling awal datang, semut dan belalang. Oleh sebab rasa ingin tahu, saya cuba gigit putik jagung yang telah dipatahkan. Oh manis rupanya! Mungkin sebab itu semua serangga ini datang menyinggah.


Putik yang tumbuh melebihi 2 biji perlu dibuang bagi memberi laluan kepada buah terpilih saja. Jadi, jagung yang tinggal akan membesar dan mendapat perhatian lebih dari pokoknya. Daun dibahagian bawah juga saya buang bagi mengurangkan pembaziran baja yang diserap. Jagung ini baka hybrid dan umurnya agak pendek berbanding jagung lain. Saya menyangka jagung ini berbuah selepas 3 bulan, rupanya paling lewat 2 bulan 10 hari saja. Maksudnya dari tarikh tanam hingga hasil terakhir dipungut. Hasil pertama sekitar 2 bulan 3 hari dan selebihnya selepas itu.

Seronoknya dapat lihat hasil begini. Setiap hari saya intai perkembangan buah jagung ini. Sepanjang tempuh membesar, biji jagung bewarna putih mutiara dan bertukar kuning apabila matang. Sesuatu yang saya perasan, daun pada buah jagung akan memanjang apabila sudah matang dan boleh dipungut. Salah satu cara termudah, intai saja bahagian hujung jagung untuk pastikan ia sudah penuh dan berisi.

Kiri dan kanan pokok sudah ada batas yang siap di buat untuk tanaman berikutnya. Jadi tak perlulah saya menunggu lama. Semua batas ini saya tutup seperti mana sebelum ini bagi mengelakkan ditumbuhi rumput.

Apabila yakin ia sudah matang, kesemua tongkol yang terpilih dipungut dan dikira. Jumlah pokok yang ditanam 83 dan hasil pertama 63 tongkol. Seminggu kemudian 70 tongkol jagung saya pungut, menjadikan jumlah terkumpul adalah 133 tongkol. Masa ini lah yang paling seronok buat saya. Nak kupas sebiji pun rasa sayang. Akhirnya kesemua jagung ini diagihkan sebagai pemberian saja.

Isnin, 10 Disember 2018

Dairi Ladang Sejengkal 3, Pertumbuhan anak jagung

Batas yang telah siap saya biarkan seminggu untuk persediaan menanam benih jagung. Setelah benih dibeli, proses menanam dimulakan. Benih yang saya dapat dari jenis jagung manis jenama LECKAT dengan harga rm60. Sebenarnya ada banyak lagi jenama lain yang dijual di pasaran. Oleh sebab yang ni saja saya jumpa, kenalah dicuba dulu.

Sebelum itu, lubang dibuat pada plastik tutup bumi dengan pisau tajam. Jarak bagi tiap lubang adalah 1 kaki 1/2. Mengorek lubang untuk benih, paling mudah guna kayu saja. Ukurannya lebih kurang 3 inci. Lepas benih diletak anggaran 3-4 biji, saya kambus sedikit saja, kemudian disiram air. Selepas 4 hari, anak pokok jagung mula keluar dan hati saya bertambah senang. Ye lah, nak buat semua ni bukan mudah, perlu banyak usaha dan masa.


Setelah 2 minggu, pokok jagung mula membesar. Baja penggalak pertumbuhan(inducer) saya berikan pada setiap pokok sebanyak 5 butir saja. Dari 4 pokok yang tumbuh, 3 dicabut dan hanya 1 saja yang disimpan. Tiada racun perosak yang digunakan sepanjang proses menanam. Inilah sebab mengapa saya gunakan plastik tutup bumi ni. Plastik ini mengurangkan serangga dan pertumbuhan rumput rampai berdekatan dengan batas. Jika terlalu banyak, rumput ni satu masalah buat saya. Pertumbuhannya begitu cepat tanpa saya sedari. Ia menjimatkan masa dan tenaga kerana banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat. Almaklumlah, semuanya manual dengan tangan. Apa lagi jika seminggu saya di laut, sudah tentu rumput ini akan sama tinggi dengan pokok jagung yang tumbuh.


Sambil melihat pertumbuhan anak jagung, batas lain saya siapkan untuk tanaman kali kedua. Jika mengikut perancangan, saya tidak mahu menyimpan hasil yang terlalu banyak. Anggaran keluaran seminggu dalam 100 biji sahaja. Jumlah ini mudah untuk saya selenggara dan uruskan dengan kemudahan lain yang ada. Jimat ruang, jimat masa nak jual dan tiada lebihan stok di simpan. Cuma sekadar perancangan. Sebenarnya, hasil pertama ini akan saya agihkan kepada ahli keluarga dan saudara terdekat sahaja. Percubaan ini juga sebagai ujikaji tapak bagi memastikan ia sesuai dengan jagung yang akan ditanam nanti. Manalah tau, selepas di tanam jagung lain pula yang tumbuh. Jadi kenalah pastikan dulu betul ke tidak apa yang dibuat.


Selang sebulan, jagung mula membesar dengan baik sekali. Waktu ini ada sesuatu yang menghairankan saya. Pulang dari laut selama seminggu, pokok jagung telah bercabang menjadi 3! Eh betul ke ni? Oleh kerana tidak berpuas hati, sekali lagi saya bertanya kepada yang tahu. Oh rupanya tunas saja, bukan pokok baru. Mengikut kata rakan saya, tunas ini perlu dibuang bagi memberi laluan kepada pokok utama membesar. Jika tidak, ia akan memakan baja dan merosakkan pokok utama. Jika ikut akal saya yang bijak ni, 3 pokok dah jadi 3 biji buahnya, bukan ke untung?? Oleh kerana nak pastikan benar ke tidak, saya tinggalkan sepokok untuk pemerhatian. Memang benar, tunas ini akan membesar dan mempunyai rambut seperti buah jagung tetapi tidak memberikan apa-apa hasil. Cuma pokok utama dan buah yang terhasil tidak akan berkualiti disebabkan baja tidak sampai ke atas.

Pada waktu ini juga, ada waktunya pokok jagung akan mudah tumbang jika ditiup angin kencang. Ini juga pernah berlaku ketika saya tinggalkan seminggu bekerja di laut. Pulang saja ke rumah, saya lihat kebanyakan pokok jagung, rebah ke tanah. Pokok tersebut masih kecil dan akarnya masih tidak mencengkam bumi. Semua pokok terpaksa ditegakkan kembali dengan menaikkan tanah disekeliling pokok dan pokok kembali segar seperti sebelumnya.

Dairi Ladang Sejengkal 2, Jagung Manis

Kawasan kebun yang saya usahakan ini merupakan tanah gambut bekas kebun sawit. Kemudian ladang cendawan dan tebu. Biasalah tanah gambut, jika panas, kelembapannya mudah hilang. Jika hujan lebat dan sistem perparitan tidak betul, airnya akan bertakung. Satu lagi masalah ialah, sisa konkrit dari tapak ladang cendawan saya dulu telah ditanam sekaki daripada permukaan tanah. Kehadiran sisa konkrit ini mnyebabkan jentera penggembur tidak dapat digunakan. Saya sudah bertanya kepada mereka yang pandai bertani dan katanya tidak ada cara lain, melainkan semua batuan tersebut dibongkar dan dibersihkan. Satu lagi maslah timbul apabila serangga perosak seperti tikus, siput babi, anai-anai, lipan dan semut tinggal diantara ruang yang terdapat pada batuan tersebut. Ini lah punca utama masalah sebelum ini yang menggagalkan projek tanaman tebu. Keputusan akhir, kerja akan dibuat secara manual dengan tangan saja.

 Jika saya bediri di tengah sedikit, anda akan nampak saya jika saya mengangkat tangan. Jika saya berdiri saja, kepala pun tak nampak! Bayangkan lah betapa tebalnya belukar ini.

Bila kita tidak tahu, elok lah bertanya. Ketika pulang ke rumah kedua org tua saya, hal ini saya tanyakan pada Ibu. Boleh ke saya guna cara begitu? Kata ibu saya,

"Kalau kamu tengok dan mengeluh saja tapi kamu tak buat, memang tak jadi apa. Tapi kalau kamu buat sedikit demi sedikit walaupun sejengkal sehari, bukan setakat 1 ekar, 10 ekar pun boleh jadi!"

 Kawasan berbatu yang terpaksa dibongkar dengan cangkul sedikit demi sedikit.

Panas juga telinga yang mendengar, tapi terima lah hakikat yang saya sebenarnya pemalas!. Memang logik apa yang ibu kata. Pada waktu dahulu arwah Atuk membuka tanah tiada bantuan jentera besar seperti sekarang. Berpuluh ekar tanah yang dibuka untuk membuka ladang. Mereka hanya menggunakan parang dan cangkul untuk bekerja. Jadi memang tidak mustahil pun. Satu lagi, ini juga dapat menjimatkan modal yang akan saya gunakan nanti.Bermula dari saat itu, saya mula mengorak langkah pertama sebagai petani!

Penyediaan tanah

Perkara pertama yang saya perlu dibuat ialah, membuat jalan untuk keluar masuk bagi memudahkan kerja yang akan dibuat. Semua pokok kecil yang menghalang laluan, ditebang dan dibersihkan. Setelah itu, kawasan tersebut di racun dengan racun jenis resapan. Racun jenis resapan yang saya gunakan 5 liter dan berharga Rm55. Racun jenis ini memang lambat bertindak, tetapi jangkamasa rumput tumbuh semula agak lama kerana rumput dan lalang akan membusuk hingga ke akar. Apa saja pokok berdaun yang terkena racun ini, akan mati. Tetapi perlu pastikan dulu cuaca panas sekurang-kurangnya setengah hari atau pun sehari. Sehari sebelumnya, saya lihat laporan cuaca. Meninjau laporan cuaca ni memang dah jadi kebiasaan saya ketika turun ke laut. Tidak ada masalah untuk mengatasinya.

 Setelah 2 minggu berlalu, rumput yang mati mula kering dan kawasan akan kelihatan menguning. Ketika ini proses membakar dimulakan dan perlu ada caranya supaya ia tidak mendatangkan masalah kepada kawasan sekitar. Proses membakar yang saya guna adalah bakar dan padam. Bakar sikit, padam. Nanti ke depan sikit, bakar lagi dan padam. Tujuannya supaya api tidak membesar dan merebak jauh. Satu lagi yang perlu diperhatikan adalah arah angin. Ada banyak hidupan dalam tu yang kita tidak nampak seperti ular dan sebagainya. Kadangkala berlaku juga kesilapan apabila saya berada di laluan api dan binatang ini keluar melarikan diri ke arah di mana saya berada! Bila difikirkan, saya ketawa sendirian.

Habis saja membakar, kawasan pertama adalah batas pertama yang akan saya buat sebagai asas tanaman. Saya pilih 2 batas, panjang lebih kurang 50 meter. Harapan sudah berbunga-bunga tetapi hancur semula bila tanah yang dicangkul penuh dengan sisa batu konkrit. Baru saja selesai semeter, cangkul yang saya gunakan tumpul, bengkok dan patah pada hari kedua. Kehadiran saya ke kedai sama menghairankan taukeh kedai tersebut. Ye lah, baru saja beli sudah patah. "You bikin kerja macam mana boleh patah?". Akhirnya saya terlepas cakap dan apek tersebut memberi cara terbaik untuk hal tersebut. Bagus juga, bila kita belajar dari orang yang lebih tahu. Tak kisah siapa pun mereka dan kita perlu rajin bertanya. Pemilik kedai tersebut juga sebenarnya berasal dari keluarga petani.
Memulakan kerja pada hari seterusnya saya rasakan agak mudah sedikit kerana cara yang digunakan tepat dan betul. Saya tidak menggunakan cangkul tetapi tajak kecil yang berharga rm25. Batang tajak saya pilih khusus untuk di padankan dengan saiz tajak yang saya gunakan. Ira kayu yang lurus tanpa ada pusar adalah pilihan terbaik supaya ia lebih kuat bila menerima hentakan.

 Tajak juga tidak perlu di angkat tinggi, cuma sekadar merasa permukaan tanah saja. Apabila terasa kehadiran batu, kuis saja dan angkat masuk ke dalam kereta sorong. Batu tersebut dikumpul untuk menambak bahagian jalan di kawasan rumah. Proses ini dibuat sedikit demi sedikit sepanjang hari. Jika penat, saya berhenti dan sambung semula. Akhirnya tanpa saya sedari, batas yang dibuat sudah memanjang dari sejengkal, sedepa dan akhirnya siap sehingga ke hujung! 

Hari berikutnya proses menyediakan batas. Tanah yang sudah digembur saya taburkan tahi ayam dirawat yang dibeli di kedai bunga. Disamping itu baja mikrob organik dan urea. Semuanya ditimbus menjadi batas rendah. Selesai saja batas dibuat, saya tutup dengan plastik silver shine untuk mengelakkan rumput tumbuh. Segulung plastik tersebut berharga rm68 dan panjangnya 200 meter lebih kurang. Selesai membuat batas, hati saya tenang sekali.