Khamis, 28 Jun 2018

Trip mencari laluan Semilang 2

Ketika air besar, amat sukar mencari ikan baik di dalam kawasan selat. Faktor utamanya air laju dan keruh. Salah satu spesis yang biasa dan mudah diperolehi ialah ikan Semilang. Walaupun nampak mudah, masih perlu ada kemahiran yang perlu dipelajari dan dimahiri untuk menjejaknya. Hari ini saya turun berseorangan mencari di mana laluan utama ikan ini.


Sebelum itu, umpan udang yang dijala dan Perumpun sarang dicari di kawasan anak sungai berdekatan. Lebih kurang setengah jam mencari, perjalanan diteruskan ke lokasi memancing. Dalam perjalanan, hujan mula turun dan saya berlindung sebentar di muara Sg Nyiris Besar. Hujan yang lebat saya jangkakan akan mengurangkan jumlah tangkapan hari ini. Rupanya tekaan saya silap setelah trip berakhir.


Sampai di lokasi memancing, saya meninjau kawasan mana yang sesuai untuk dicuba. Ketika ini air baru saja berada dikemuncak surut. Sesuatu yang menarik dapat saya lihat di sini. Terdapat satu spot yang sebelum ini saya kunjungi membuahkan hasil yang baik dan lokasi tersebut mempunyai aliran anak sungai melintang ditepi pantai. Jangkaan saya ikan ini menyusur alur sungai kecil untuk naik ke paya bakau. Oleh kerana itu, saya perlu membuktikan teori ini betul. Ketika air pasang, di lokasi ini saja 3 ekor Semilang bersaiz besar berjaya saya naikkan!


 Di waktu air surut ini, saya berlabuh di satu sungai kecil dan berjaya mengumpul 3 ekor Semilang dan 2 ekor Tetanda dengan menggunakan umpan Perumpun sarang. Walaupun sungai tersebut kecil, alurnya agak dalam dan mempunyai sampah di dasar. Hasil ini tak sampai pun setengah jam berlabuh. Air mula pasang, saya berlabuh di muka sungai dan tiada hasil berjaya dibawa naik. Tidak pasti samada ikan ini tidak melalui kawasan tersebut atau waktunya belum sesuai. Terdapat 3 sungai kecil yang saya sempat singgah di waktu ini dan hasilnya masih sama.

 

 Air sudah naik di tebing, bot di ubah menghala ke pantai. Di sini, kedalaman air hanya sekitar 2-3 kaki saja dan pantainya agak keras. Arus pasang mula masuk dan inilah waktu paling seronok yang saya nantikan. Sebanyak 6 ekor ikan Semilang berjaya saya naikkan di sini sehingga air tinggi. Kebanyakkannya umpan di lontar di gigi air berdekatan akar bakau.


 Apabila air pasang sudah maksima, mulalah spesis lain yang masuk. Dari Gerut 3 jari, Belukang dan Sesirat, mula menjadi gangguan. Seekor belukang besar nyaris menyeret joran saya ke air kerana cuai meletakkannya di bawah. Rasanyanya inilah masa paling sesuai bergerak pulang dan menamatkan trip hari ini.

 Keseluruhan hasil hari ini Semilang 9, Tetanda 2, 1 Tetuka dan 1 Gerut. Kebanyakan umpan yang menjadi adalah Perumpun Sarang. Jika berkesempatan, saya akan gunakan udang pasar di trip akan datang. Tujuannya adalah untuk melihat perbezaan hasil dengan umpan yang berbeza. Tidak semua lokasi memerlukan umpan yang sama untuk spesis yang sama. Inilah kemahiran yang perlu dicari untuk kegunaan masa hadapan.

Selasa, 26 Jun 2018

Sekadar informasi, mencari laluan ikan Semilang

Ikan Semilang adalah spesis yang banyak terdapat di kawasan muara berlumpur. Ia mudah dipancing di kawasan alur sungai yang cetek dan mempunyai kawasan bakau. Tetapi adakah anda tau di mana lokasi paling mudah menjerat spesis ini?



 Sekiranya anda berada di lokasi paya bakau seperti ini, kawasan tebing yang berdekatan dengan air dan arus pasang adalah lokasi yang terbaik. Samada dengan menyampan atau menebing, tekniknya masih sama. Anda cari lokasi yang mempunyai akar bakau seperti di bawah.


 Akar bakau yang berjuntaian di pinggir laluan air pasang memang menjadi lokasi ikan Semilang mencari makan. Siput, Umang-umang dan ketam kecil adalah antara makanan yang dicari. Perumpun dan Udang juga sesuai dan boleh digunakan.


Sekiranya melalui tebing, gunakan perambut batu hidup yang ringkas saja. Sekiranya menaiki bot, labuh sauh berdekatan tebing dan umpan dicampak ke lokasi akar bakau ini. Air pasang adalah waktu terbaik. Jangan risau dengan air cetek kerana ikan ini memang akan menyusuri kawasan akar bakau sehingga air naik memenuhi tebing. Pastikan anda menjaga joran dengan baik kerana tarikan spesis ini di kawasan cetek lebih kuat dari biasa!

Sekadar informasi, membantu rakan membeli enjin terpakai..

Membeli enjin terpakai bukan sesuatu yang mudah jika tiada pengalaman dan kemahiran. Kerap kali penjual akan menutup segala kelemahan pada barang jualannya. Ini menjadi masalah kepada bakal pembeli yang kurang arif tentang enjin yang dijual. Tetapi ada juga penjual yang benar-benar jujur. Mengikut pengalaman kami, hanya enjin yang berada di bot dan boleh dipandu uji sahaja, boleh dinilai dengan baik. Sekiranya hanya dilihat dengan mata kasar atau di dalam tong air, penilaian akan lebih sukar dilakukan. 

Tugas Shahril menilai enjin yang bakal dibeli

Masalah ini pernah juga berlaku kepada kami, ketika membeli enjin terpakai. Pernah juga kami ditipu dengan penjual yang kami rasa lebih bijak dari kami. Hasilnya, barang yang dibeli tidak seperti yang kami jangkakan, malahan rugi pula. Ada pula enjin yang dibeli sebenarnya enjin yang ditemui di dalam laut tetapi kami dimaklumkan bahawa enjin tersebut hanya mengalami masalah kerosakan lain. Rahsia terbongkar setelah enjin tersebut dibuka dan bukan saja teritip tetapi batu karang melekat pada bahagian pistonnya. Pengalaman ini sangat berharga buat kami.

 Kami hanya mampu melihat dari atas dan Shahril berada di atas bot.

Hari ini, kami membantu seorang rakan yang ingin membeli sebuah enjin Mercury 60 Seapro di Pulau Carey. Lokasi pengkalan yang jauh ke dalam ditambah pula dengan keadaan gelap malam memang agak menakutkan. Entah mengapa, kerja yang biasa kami lakukan kerap di malam hari. Hasil penilaian, enjin ini masih ditahap 2 dan boleh bertahan lama dengan syarat ia dibaiki semula dengan baik. Berbaloi dengan harganya rm4800 tanpa jaminan. Maksud tanpa jaminan ialah, apa saja kerosakan yang berlaku setelah enjin di bawa pulang, ianya dibawah tanggungan pembeli.


 Bunyi ring dan bearing agak kuat tetapi ia mudah dihidupkan, transmisi gear juga dalam kondisi sangat baik, manakala sistem penyejuk lancar dan kuat ketika di kedua-dua gear. Cuma yang mengejutkan kami, palam pencucuh yang digunakan adalah untuk kereta dan bukan khas untuk enjin sangkut. Campuran pelincir pula dengan minyak motor, ini paling kami risau. Pemilik memberitahu bahawa kotak gear bukan yang asal dan piston ring telah ditukar akibat kerosakan lama. Maklumat ini kurang jelas kerana jangkaan kami bunyi ring tersebut adalah hasil dari slip yang tidak dikorek. Ketiadaan kotak nafas di bahagian carburator juga menyebabkan bunyi agak kuat. Kotak ini berfungsi mengawal semburan minyak dan menapis bunyi. Selain itu, rumah starter telah pecah dan ini menyebabkan tali starter sukar di tarik.

 Sepertimana yang dijangka, skru pasti akan ada yang patah dan rosak pada bahagian benang skru. Di sini terdapat 2 skru yang di panggil loose atau rosak di bahagian bawah kotak gear. Hanya digam dan tanggal ketika proses membuka. Andaian kami, enjin ini dibaikpulih oleh individu berlainan dan banyak tangan yang menggunakannya.


Ketika di atas bot, Mounting di atas dan bawah memang telah rosak. Ia dapat dikesan dengan gegaran kuat enjin ketika gear di masukkan. Bahagian ini berfungsi menyerap gegaran enjin dan hentakkan ketika enjin beroperasi di bot. Terdapat 1 unit di atas dan 2 unit di bawah. Bahagian dalam enjin masih tidak diketahui sehinggalah kerja membaikpulih dijalankan. Namun kami membuat kata sepakat untuk tidak melakukannya kerana bimbang kos yang akan ditanggung oleh pemiliknya. Semua kerja baikpulih dibuat di rumah Shahril dengan persetujuan pemilik enjin dan Shahril sendiri. 

Kesimpulannya, enjin ini masih berfungsi baik dan sesuai dengan harganya. Kami menjangkakan kos baik pulih ini bakal menelan belanja rm3000 termasuk bahagian enjin atas. 

Ini ada sedikit tips untuk anda jika ingin membeli enjin terpakai.
  1. Pastikan pemilik sebenar enjin yang bakal anda beli.
  2. Terbaik enjin berada di atas bot dan pandu uji. Jika di dalam tong air, sila ambil langkah dibawah.
  3. Mudah dihidupkan dan setting berada pada keadaan normal. Pastikan pemilik enjin yang menghidupkan, bukan anda.
  4. Gear berfungsi baik dan enjin tidak mati ketika gear dimasukkan samada Forward atau Reverse.
  5. Periksa semua bahagian enjin secara kasar.
  6. Sekiranya enjin berkuasa besar, pastikan hidrolik berfungsi baik. Bahagian ini sangat mahal dan sukar diperolehi.
  7. Untuk mengelakkan masalah, bayar penuh sekiranya urusan sudah dipersetujui dan terus bawa balik enjin anda.
  8. Sekiranya enjin tidak dapat dihidupkan, JANGAN beli enjin tersebut! Anda 90% bakal kerugian!

Rabu, 6 Jun 2018

Trip 7/6 Cari lauk suka-suka

Ketika bulan puasa, kebanyakan trip hanyalah untuk suka-suka dan mencari lauk saja. Sambil mengumpul ikan, sambil bersantai bersama. Hari ini saya bersama Ijam dan Rakannya memancing sekitar selat di kawasan tebing dan sungai kecil. Ketika ini air sudah perlahan dan jernih menjadikan lokasi memancing kami kurang sesuai dikunjungi. Oleh kerana ketiadaan umpan Beliak Mata seperti selalu, hanya Udang hidup saja yang mampu kami adakan. Hal ini terjadi apabila lokasi mencari umpan yang biasa tidak boleh dihampiri lantaran terdapat Kapal tentera sedang berlabuh.


 Biasanya jika terdapat umpan ini, Pulau Ketam adalah lokasi terbaik ketika air mati.

 Lokasi reba sekitar pantai masih ditenggelami air memudahkan kami mencari spesis diatas. Walaupun begitu, umpan Perumpun sebenarnya lebih efektif dan cepat. Spesis ini gemar berkumpul di kawasan reba seperti pokok tumbang untuk mencari makan ketika air pasang. Jika anda tahu dan pandai, jumlahnya boleh didapati dengan banyak, dengan syarat tiada yang terlepas. apabila terlepas dari kail, gerombolannya akan menghilangkan diri. Saiznya sebesar 4 ke 5 jari dan kadangkala lebih besar.


Salah satu reba pokok yang melintang di tepi pantai ini kadangkala disinggahi Ikan Siakap Putih untuk mencari makan. Dietnya adalah udang besar dan Belanak kecil. Memancingnya memerlukan kesabaran tinggi. Umpan perlu di hanyutkan saja di sekitar reba tersebut. Terus terang, saya tidak pandai menjinakkan spesis ini dek kerana masih kurang ilmu dan kesabaran.


Respek juga pada mereka ni yang berpuasa tetapi masih gagah memancing. Jika puasa hanya sekadar tidur dan rehat, maka tiada lah cabarannya. Uji ketabahan diri supaya lebih kuat di masa depan.


 Ikan Senangin Buih dan Daun Baru ini hasil kerajinan kami di reba-reba yang dikunjungi. Ikan Senangin ini mendapat nama dari lokasi ia mencari makan dan bermain. Dietnya udang dan ikan kecil yang bermain di kawasan cetek atau permukaan air. Spesis yang kerap ditemui di kawasan pantai berpaya bakau. Apabila saiznya bertambah besar, dietnya juga berbeza dan akan kerap berada di kawasan yang lebih dalam. Namun, kadangkala kerap ditemui tersangkut di jaring yang ditahan di dalam paya bakau.


 Satu lagi yang pelik jarang kami temui, ikan Bebolos ini memakan umpan Belanak hidup sebesar jari kelingking. Ekor umpan boleh kita lihat terkeluar dari mulutnya. Kawasan ini mempunyai bunga karang kecil dan kerap tersangkut di kail kami.

Anak Gt juga ada berlegar di kawasan reba pokok ni..

Trip kali ini amat kurang memuaskan lantaran lokasi yang dikunjungi kurang berarus dan sudah jernih. Terdapat banyak ikan Buntal yang menguasai berbanding ikan sasaran yang kami cari. Kesimpulannya, lokasi seperti ini memang sesuai ketika air laju saja. Ketika itu arus membolehkan bot di labuh dengan mudah dan kawanan ikan akan berkumpul di lokasi tersebut ketika air surut. Ketika ini, air masih menenggelami kawasan paya bakau dan ikan tersebar di kawasan yang luas. Sekitar waktu tengahari pula, angin kencang menyukarkan kami untuk berlabuh di spot berpotensi. Kami pulang pada jam 6.30 dan berbuka di kedai berdekatan.

Selasa, 5 Jun 2018

Trip 3/6 Trip malam.. Lauk segar untuk berbuka

Sudah lama Jemik @komando_sg tidak turun bersama saya mencari lauk. Ajakan saya pada hujung minggu ini disambut baik olehnya. Cuma yang berbeza adalah kami keluar malam sehingga ke petang seperti ketika mula-mula kami belajar memancing dahulu. Setelah semuanya selesai disediakan, kami bertolak dari rumah pada jam 6.45 petang dan berbuka di kedai makan saja.

Keadaan air pada waktu ini sekitar 4.5 dan masih laju. Sehari selepas ini, air akan mula mengecil. Bertolak ke lokasi memancing sekitar jam 10 mlm dengan bungkusan sahur yang dibeli di darat. Lokasi pengkalan kami mempunyai kedai Tomyam di jalan masuk, jadi tiada masalah bagi kami mencari bahan makan.


Sasaran malam ini adalah reba-reba kayu sekitar pantai yang ditenggelami air pasang. Reba ini hanya boleh dikunjungi ketika air pasang tinggi dan ia terletak di atas tanah ketika air surut. Antara umpan yang paling berkesan ketika ini ialah Perumpun sarang dan Udang hidup saiz sederhana. Tiada masalah untuk umpan Udang, yang menjadi masalah adalah Perumpun kerana hanya Perumpun Urat saja yang kami perolehi pada malam tersebut. Sifatnya yang lembut berbanding Perumpun sarang menjadi masalah utama apabila ia kerap habis diganggu ikan kecil dan baunya juga menarik perhatian Ikan Duri lebih cepat. Apa boleh buat, hanya itu saja yang kami ada pada waktu tersebut.


Lokasi pertama adalah sekitar tukun tayar yang letakkan hampir setahun lalu. Jemik memulakan pembukaan dengan ikan Tetanda bersaiz 5 jari dengan umpan udang. Ikan hanya makan di dalam kawasan tukun saja dan sangkut memang tidak dapat dielakkan. Keadaan arus yang laju membolehkan bot di labuh tepat di atas tukun. Lokasi ini memang sesuai di waktu malam kerana kedalaman di sini hanya sekitar 2 meter sahaja.


Setelah ikan mula berkurangan, kami bergerak ke 2 lokasi lain yang tidak membuahkan hasil. Terakhir, kami singgah di Peken 25 dan hanya berehat sehingga sahur. Sasaran kami hanya lah waktu air pasang sahaja. Sekiranya kami sibuk memancing sepanjang masa, umpan pasti akan berkurangan apabila waktu sesuai tiba. 


Suhu pada waktu ini memang sejuk. Kami bergantung kepada baju hujan yang dibawa sebagai penebat. Memandangkan ia lebih berkesan menghalang angin sejuk berbanding baju panas dari kain. Berguna menghalang embun dan hujan. Jadi jumlah barang dibawa boleh dikurangkan. Selesai sahur sekitar jam 5 pagi, air mula pasang dan berubah arus. Reba-reba di tebing pantai mula tenggelam. Kami berlabuh di tepi reba yang berpotensi.

  
Memancing ketika gelap memang agak sukar kerana masalah penglihatan yang terbatas. Seringkali umpan kami tersangkut di atas reba dek kerana salah menjangka jarak balingan. Ketika matahari bersinar, barulah mudah kami memancing. Ikan memang banyak di lokasi ini. Di mana saja reba yang kami singgah pasti ada ragutan sepanjang masa. Cuma masalah sangkut memang tidak dapat dielakkan. Ikan yang agak cekap melarikan diri, kerap menewaskan joran kecil dan perambut halus yang kami gunakan. Ketika ini, perambut sekitar 15 ke 25 paun saja yang sesuai digunakan. Sekiranya tidak putus dibawa lari ikan, putus pula tersangkut di reba. Tetapi ini mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar. Mengapa?? Anda pilih, perambut hilang atau batu yang hilang? Mane lebih penting agaknya.


Ketika air mula surut, lokasi reba yang berada di dalam sungai kecil akan timbul dipermukaan. Ketika ini juga, air dari selat akan keluar dan semua penghuninya akan berlindung di kawasan yang dalam dan mempunyai perlindungan. Salah satunya lokasi reba terakhir ini dipenuhi ikan Kurau yang tidak berjaya kami naikkan. Setiap kali ikan hampir dipermukaan, kalau tidak putus, mata kail pasti rabut dari mulut ikan. Oleh kerana jarak dari bot agak jauh, kami hanya mampu merenung ikan berenang kembali ke dalam air. Udang hidup dan Belanak yang kami jala kesemuanya berhasil di sini. Tetapi malangnya rezki tidak memihak kepada kami. Hanya 2 ekor Tetanda berjaya dibawa naik ke bot.


Sepanjang trip kali ini, banyak ikan berjaya kami lepaskan. Dari yang lucut hingga lah putus di depan mata. Kesimpulannya, jika memancing di lokasi seperti ini, perambut kasar memang kurang berkesan. Ikan dapat mengesan kehadiran perambut dan langsung tidak menjamah umpan. Tetapi perambut halus seperti florocarbon 100% sekitar 25-15 paun dan mata kecil lebih sesuai. Ini dapat dikesan apabila perambut kasar yang digunakan, tiada langsung ragutan kasar dihujung kail. Tetapi apabila ditukar saja pada perambut halus lebih kecil, tidak perlu tunggu lama, sekejap joran melentur walaupun anda duduk di lokasi yang sama!