Rabu, 29 Julai 2015

Trip 28/7 En.Fadli dan Rakan

Kembali sekali lagi untuk trip kedua, mereka merancang untuk ke Pulau Ketam pula. Seperti biasa, aktiviti memancing agak hambar pada waktu pagi. Ikan hanya mula aktif apabila air tinggi pada sebelah petang. 

 Turut serta 2 orang rakan yang juga baru mula belajar memancing di laut. Aktiviti dimulakan dengan sesi mencari umpan terlebih dahulu memandangkan tiada ikan pasar yang dibeli. Umpan Udang hidup pula rasanya kurang sambutan jika mengikut pengalaman trip yang sudah. Oleh kerana trip ini mensasarkan ikan Kerapu saja, rasanya umpan ini lebih sesuai. 

 Simpan banyak-banyak untuk bekalan sehari..

 
 
 Bukan setakat Beliak mata saja yang mengena apollo kami, anak Tenggiri dan Kembung turut sama dinaikkan. Saya hairan mana pulak sesatnya ikan ni masuk ke dalam. Jarang kami temui spesis ini di kawasan muara. Setelah puas mencari umpan, sesi memncing dimulakan di lokasi Sarang Lang. Tiada langsung tangkapan di sini dan kami terus menghala ke Pulau Ketam dan sampai di lokasi pertama, hanya Duri yang berjaya dinaikkan.

 Ketika arus mula laju, kami mula berlabuh di spot Kerapu dan mula menuai hasil. Salah satunya di atas ni. Saiznya tidak lah besar, tetapi seronok juga ketika ditarik ke atas. Umpan ikan potong lebih berhasil dari Udang hidup. Entah mengapa Udang hidup tidak menjadi kebelakangan ni.


 Sungguhpun ikan kerap meragut umpan, angin masih tetap kuat dan membuai bot kami. Hampir sepanjang masa, ada saja sampah dan dan reba di bawa naik. Guni plastik, botol, plastik air, tali dan kayu semuanya kami dibawa naik gara-gara tali sulam yang kuat. Tiada seorang pun dari kami yang terlepas dari menaikkan sampah.

 Lontar ke tengah, hanyut jauh. Lontar ke tebing, kayu pula yang kena. Jadi cara terbaik letak saja ke bawah. Itu pun masih ada yang tersangkut. Ikan Kerapu di sini memng menginap di celah-celah reba sebagai perlindungan dari arus deras. Jadi hanya yang berani saja boleh memungut hasil.

 Salah satu Kerapu yang dibawa naik disangka sampah.
 Sepanjang petang, ini saja hasil yang berjaya dibawa naik. 7 ekor Kerapu comel yang hanya berminat dengan umpan ikan potong. Oleh kerana hari semakin petang, kami menghala pulang semula dan berlabuh di sekitar dermaga namun tiada hasil berjaya dinaikkan. Sesi memancing berakhir sekitar jam 6.30 pulang ke pengkalan.

Trip 27/7 En Ghazali

En Ghazali adalah pelanggan tetap kami yang biasa turun berseorangan. Kebiasaannya sangkar ikan Pulau Ketam menjadi pilihannya. Kawasan sangkar ikan ini memang banyak spesis seperti Kerapu, Merah dan Tetanda, namun ada ketika dan masanya Ikan Duri pun sukar dinaikkan. Hal ini berlaku sekali lagi hari ini. Keadaan angin menyongsang arus menambahkan kesukaran untuk berlabuh di lokasi sasaran.

 Hasil pertama saya di sangkar, seekor Kerapu Singa. Ikan Beliak Mata sekor di telannya. Ketika ini air sudah berarus perlahan dan bot di ikat melintang di tali sauh sangkar. Lokasi ini memang dalam dan rasanya tidak sesuai melabuh sauh ketika ini. Sangkar dan muara sungai sudah kami kunjungi tetapi masih tiada hasil baik dinaikkan. Setelah air tinggi dan mula surut semula, barulah ikan aktif meragut umpan.
 Sabar betul Bangau ni mencari makan. Di sepanjang tali sauh terdapat beberapa ekor burung Bangau mencari makan. Terasa tercabar pula hati ini melihat kesabaran burung ni..

 Setelah mengubah lokasi di tebing bereba, barulah hasil berjaya dinaikkan. Beberapa ekor Kerapu berjaya dinaikkan dengan umpan ikan potong. Ada juga tarikan kasar di sini namun lebih banyak yang sangkut dari yg berjaya dinaikkan. Ada saja kail tersangkut sepanjang masa memancing dek kerana angin kuat yang sering membuai bot kami. Angin yang melawan arus ini akan menjadikan bot bergerak dan berbuai. Kail akan mudah tersangkut pada reba di dasar ketika bot bergerak.

 Salah satu Kerapu yang dinaikan membawa sesuatu di dalam mulutnya. Setelah dimuntah keluar, rupanya ikan buntal kecil. Buat pertama kalinya, saya rasa pelik. Bukan ke ikan Buntal ini beracun dan tiada ikan yang menjadikannya sebagai makanan?? 

 Umpan istimewa yang jarang di tolak ikan Kerapu. 

 Akhirnya pada sebelah petang barulah ada hasil berjaya dinaikkan, sama seperti trip-trip sebelumnya. Saya sendiri tidak pasti samada faktor air atau cuaca yang menjadikan ikan kurang aktif di kawasan ini. Memang perit dan letih apabila sering menarik sauh turun dan naik ke bot untuk menukar lokasi memancing. Tetapi apakan daya, ini semua perlu dilakukan bagi mengelakkan kami pulang dengan tangan kosong tanpa usaha.

Setelah penat berusaha, 6 ekor Kerapu kecil berjaya di kumpul sebelum bertolak pulang ke pengkalan.

Trip 26/7 Geng Pancing.Net

Jika mengikut perancangan awal, trip kali ini untuk memburu spesis Tebal Pipi. Namun setelah saya rasakan keadaan air yang tidak sesuai, kami mengubah hala ke laluan lain untuk memancing. Dianggotai Oleh Saya, Arol De Pirates, Shahzam dan Rizal Bawal Hunter kami mencari lubuk sesuai di kawasan Navy hingga ke WestPort. Keadaan arus perlahan dan air jernih masih menyukarkan kami mencari spesis berharga sama seperti trip sebelumnya.

Dari tepi hinggalah di lokasi tepi dermaga, hasil masih belum dinaikkan. Umpan Udang hidup lansung tidak diusik. Memujuk hati yang bosan, makan cara terbaik. Makan tengahari kali ini memang mewah. Ikan Siakap Sambal yang di bawa oleh Shahzam memang terbaik! Sambil makan sambil kutuk mengutuk sesama kami. Takda lah sunyi sangat kalau ikan tak makan pun.

 Setelah setengah jam berlabuh tanpa hasil, kami bergerak lagi ke muara Sg Chandung. Seekor Semilang besar dengan umpan Beliak Mata potong berjaya dinaikkan Shahzam ketika saya solat Zohor. Di sini terdapat kapal pengorek pasir dalam kerja penambakan tanah berdekatan. Saya tidak pasti adakah kerja menyedut dan mengorek pasir ini akan menjejaskan lokasi memancing ini kelak sepertimana yang berlaku di Muara Labuhan Gurap bertahun dulu. Kehilangan spesis berharga yang dahulunya banyak dan mudah diperolehi, kini sunyi sepi..

 Sangkut kat dagu, mana adil macam ni. Tak masuk mulut pun umpan tu..

 Rasa pelik teramat sangat bila Udang Hidup tidak di usik ikan. Namun percubaan dengan udang kupas akhirnya membuahkan hasil. Ada ketikanya umpan udang kupas memang menjadi. Masalahnya semua udang kami masih hidup, sepantas kilat udang hidup terpaksa disembelih dan dikupas. Hasil tindakan drastik ini, ada juga Tetuka berjaya dinaikkan.

 Oleh kerana air sudah mula perlahan, kami mengubah lokasi sekali lagi ke hujung dermaga berdekatan tiang. Hanya Senangin kecil dan Semilang berjaya dinaikkan sehingga ke lokasi terakhir sebelum pulang ke pengkalan.

  Hasil trip hari ini, Semilang, Tetuka dan Senangin.

Trip 25/7 En.Fadli dan Rakan

Sebelum turun memancing, kebiasanya beberapa soalan penting akan saya tanyakan kepada ahli trip. Lebih-lebih lagi jika yang baru pertama kali turun dengan menaiki bot. Risau jika ada yang tidak tahan mabuk laut. Jika ya, bolehlah difikirkan lokasi yang sesuai untuk mereka. Trip kali ini di angotai oleh En.Fadli dan rakan yang biasa memburu Kelah di rimba. Walaupun baru pertama kali memancing bersama saya, kadangkala gelagat mereka mencuit hati. Bila masanya? Bila ombak kapal dan bot besar nyaris menyebabkan mereka berguling di perut sampan. Belum biasa, saya faham tu :)

 
 Lokasi Jeti yang hanya menghasilkan seekor Tetanda dan sangkut memanjang..

Bertolak pada jam 8 pagi, bekalan umpan hanya udang hidup dan ikan pasar sahaja. Namun ada umpan istimewa yang akan kami cari ketika trip berlangsung. Umpan segar yang sukar dicari oleh mana-mana pemancing di kawasan ini. Umpan apa agaknya ya? 

 Umpan terbaik untuk menjerat mana-mana spesis mahal di kawasan ini, Beliak Mata segar! Sebut saja namanya, semua pemancing tahu betapa sukarnya untuk mendapatkan umpan ini. Namun ada caranya jika anda bijak mencari cara yang sesuai. Anda boleh gunakan jala atau Apollo mata kecil seperti di bawah ini. Namun, lokasi yang mempunyai stok umpan ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu seperti tiang jambatan batu yang mempunyai lampu kuning pada sebelah malam. Namun ia tidak selalu ada, bergantung juga kepada keadaan air dan cuaca. Artikel mengenainya ada di blog ini pada tahun yang lepas-lepas. Rajin-rajinlah mencarinya..

Jenis Apollo sesuai yang biasa saya gunakan untuk mencari Beliak Mata. Hasil ilmu yang dikongsi dengan En.Ahmad Maulana, rakan baik saya.


Selesai mencari umpan, kami memancing di sekitar kawasan Navy Hidrografi yang hanya menghasilkan Wak Dur..Ikan Duri laaaaa.. Faktor angin menyongsang arus juga menggagalkan usaha kami berlabuh di spot terbaik. Keadaan bot yang sentiasa bergerak ke kiri dan kanan menyebabkan sukar untuk memancing. Tiada apa yang dapat kami lakukan jika ini berlaku.


Situasi memancing agak hambar bila semua lokasi yang kami kunjungi tidak membuahkankan hasil sehingga petang. Keadaan arus yang baik dan perlahan tidak menjanjikan sesuatu pun walaupun sudah kerap menukar lokasi dan umpan. Hanya setelah air surut sekitar jam 3 petang dan angin mengikut arus, barulah ada tangkapan dinaikkan. Lokasi dimaksudkan adalah kawasan Sarang Lang, laluan jaring nelayan. Hasil pertama setelah 10 minit berlabuh, seekor Semilang besar berjaya didaratkan. Kerajinan menukar kedudukan membuahkan hasil. Terdapat tarikan kasar yang tidak berjaya dinaikkan walaupun sudah hampir dengan tangguk yang dihulurkan. Jangkaan saya Ikan Senangin besar memandangkan hujung perambut yang kasar dan genting.


Ketika arus laju, terdapat beberapa sambaran Senangin Buih di sekitar bot kami. Mungkin mengejar gerombolan ikan kecil di permukaan air. Agak mustahil untuk menghanyutkan umpan dalam arus deras seperti ini. Dua ekor daripadanya berjaya kami tipu dengan Udang Hidup dan Beliak mata potong. Salah satunya disangka sampah hanyut kerana langsung tidak melawan ketika di tarik naik.

Ketika masa hampir tamat, satu tarikan ganas berlaku. Mujur joran dipacak pada bot. Jika tidak memang jadi tukun lah hari ini. Umpan Beliak Mata potong berjaya menghasilkan sesuatu. Setelah puas bermain tali, Pari anggaran 4 kg berjaya dinaikkan ke bot. Akhirnya ada juga hasil besar berjaya dibawa balik.

Hasil keseluruhan trip memancing hari ini yang nyaris kumpau! Selesai trip sekitar jam 7, kami pulang ke pengkalan dengan pengalaman pertama menaiki bot memancing di laut :)

Trip 22/7 Ijam dan Rakan

Ramai yang ingin merasai keseronokan memancing di laut dengan bot tetapi ramai yang tidak berkesempatan atau kurang keberanian untuk melaluinya. Biasalah, kalau bukan masalah belanjawan, mungkin mabuk laut dan sebagainya. Kos adalah salah satu halangan utama jika kita kurang berkemampuan untuk ke laut. Namun rakan Ijam yang tidak pernah turun menaiki bot ini saya bawakan ke lokasi memancing untuk memburu spesis berharga, ikan Kurau.


Trip sepatutnya bertolak pada jam 8 pagi tetapi akhirnya ditunda ke jam 2 petang. Macam mana nak memancing dalam waktu pendek begini? Hai nasib korang lah.. Kami bergerak ke lokasi memancing selaju yang boleh memandangkan bekalan minyak lebih dari mencukupi. Ahli trip semuanya kurus dan tak banyak barang yang dibawa. Jadi bot tiada beban lebihan dan boleh memecut laju dengan kurang halangan :) Jangan pula anda terasa dengan ayat tadi, kerana ini kenyataan ye..


Mujurlah semua umpan yang disediakan telah disimpan di bawah ais. Kalau busuk umpan ni, musnah lah harapan! Umpan pilihan biasa, Cabuk, Sardin dan Kurita. Semuanya digunakan di lokasi yang berbeza mengikut kesesuaian. Spot pertama di tepi sangkar menghasilkan seekor Merah hidangan 2 pinggan, anggaran tidak mencecah 1 kg. Hasil umpan Kurita dipotong separuh.


Menjelang petang, hanya seekor Tetanda kecil hingga kesenja. Memandangkan masa memancing yang kurang, mereka bersetuju untuk menyambung ke 12 malam. Lokasi demi lokasi kami singgah. Hanya Wak Misai saja menjamah umpan kami. Hinggalah ketika air mula surut sekitar jam 10 malam, satu getuan kecil dengan umpan Cabuk sebesar ibu jari, akhirnya di sambar Sang Kurau. Walaupun saiz tidak besar, set kecil yang digunakan membuahkan hasil. Tekaan Ijam memang tepat kerana sudah mahir mengenal tarikannya, hasil dari pengalaman beberapa kali turun sebelum ini.

Kurau 2.7 kg hasil dari kerajinan menukar umpan.

Hasil keseluruhan trip hanya 3 ekor ini saja.

Selesai saja bergambar, kami bertolak pulang ke pengkalan dengan gembira kerana misi telah tercapai dengan jayanya. Ini lah memancing namanya, rezki di air yang boleh dijangka tetapi tidak dijamin hasilnya..

Tips berguna untuk anda:-

  • Umpan mati boleh digunakan bagi menjerat spesis ini asalkan ia masih segar termasuk lah ikan Sardin.
  • Getuan kecil yang disangka ikan duri kadangkala sukar kita bezakan hinggalah ikan tersangkut di hujung kail!
  • Jangan malas menukar umpan, mungkin kerajinan anda akan membuahkan hasil. Siapa tahu kan!

Ahad, 19 Julai 2015

Sekadar Informasi, Luka terkena Ikan Duri

Ketika pulang dari satu trip memancing, saya secara tidak sengaja telah terpijak sekor ikan Duri kering di dalam bot. Sisa makanan kucing yang dibawa ke dalam bot ini sudah dibuang sengat tetapi masih mempunyai sisa yang tajam. Hasilnya kaki saya terluka..

 
Oleh kerana terlalu letih, saya telah terlupa untuk mencuci luka ini. sehari selepas kejadian, barulah saya menyedari luka tersebut telah berair mungkin disebabkan infeksi air masin. Luka menjadi merah, berair dan berdenyut-denyut. Luka bertambah sakit apabila berjalan. Menyedari hal ini, saya bergegas mencuci luka tersebut.

 
 Air yang di didihkan di campur dengan separuh penutup Antiseptik untuk mencuci luka.

Kemahiran merawat yang di pelajari dari JPAM, begitu berguna ketika diperlukan. Sungguh pun nampak remeh, jika dibiarkan pasti melarat hingga ke hospital dan memerlukan kos rawatan. Hasilnya, masa anda terbuang begitu juga dengan wang ringgit.

 Mencuci luka kecil seperti ini mudah sahaja. Anda perlu tisu, antiseptik dan air panas sahaja. Tisu di basahkan dengan air yang dicampur dengan antiseptik boleh terus di sapu pada luka. Setiap kali sapuan mengunakan tisu berlainan sehingga luka bersih dari kotoran. Selepas beberapa kali cucian, sakit sudah mula berkurangan. Tidak sampai 1 jam, saya sudah boleh berjalan seperti biasa tanpa rasa sakit dan lebih selesa.

 Setelah di keringkan, saya balut dengan kain kasa sekadar mengelak dari terkena kotoran saja.

Sebelum ini saya pernah menulis tentang mencuci luka, mungkin anda sudah terlupa. Jadi saya cuba ingatkan kembali. Kemahiran sekecil ini kadangkala dapat menyelamatkan masa, wang ringgit dan nyawa anda. Sekadar informasi untuk anda..

Memancing Sotong Kurita

Pernahkah anda memancing tetapi sotong yang anda dapat? Cerita aneh sebegini memang pelik tetapi kadangkala berlaku :) Hari ini kami turun memancing sekadar suka-suka di bulan puasa. Turut serta bersama, seorang rakan lama En.Arif, Eboi dan Ijam. Trip suka-suka ini sekadar mencari lauk dan menduga lubuk.

Lokasi pertama, StarCruise Terminal, lokasi kapal berlabuh. Arus perlahan ketika ini memudahkan kami memancing tanpa bersusah payah mengunakan batu besar. Hasil seperti Semilang saiz besar banyak di lokasi ini. Umpan Udang hidup dan Kurita mati sesuai di sini. Namun laluan kapal yang sibuk kadangkala mendatangkan ombak besar yang harus diperhatikan bagi mengelak kejadian tidak di ingini berlaku.

Ikan semilang ini diperolehi dengan umpan udang hidup gred A++ yang kami perolehi dari kolam udang :) Sebanyak 120 ekor udang kami bawakan khas untuk trip kali ini. Seperti biasa udang kolam menjadi pilihan kami kerana ia mudah diperolehi dan saiz yang sesuai untuk memancing.

Cuba anda lihat ikan Semilang yang Eboi dapat ni. Seekor sotong kurita di telannya. Keadaan air yang dalam menyebabkan begitu banyak tali terpaksa dikeluarkan sehingga ke dasar. Lokasi ini tidak sesuai ketika arus deras. 

Setelah menunggu begitu lama, tiada tangkapan baik berjaya dinaikkan. Kami bergerak ke Pulau Ketam dan berlabuh di muara sungai. Di sini, bukan ikan yang kami dapat, tetapi Sotong Kurita yang kerap dinaikkan. Anda lihat gambar di atas. Sotong yang bersembunyi di dalam cengkerang siput besar kerap kami naikkan. Bukan saja cengkerang siput, botol kicap dan tin sardin kerap juga kami temui bersama Sotong ini. Jika mengikut pengalaman kami, sotong ini dari jenis sotong karang yang sesuai untuk umpan di paloh bagi menjinakkan Jenahak.

Sotong yang Eboi naikkan terkeluar dari cengkerang siput dan cuba menakut-nakutkan kami!

Di sini, umpan udang hidup kami mendapat 3 tarikan kasar Senangin besar yang semuanya rabut. Hampir setiap kali tangkapan melompat dan melepaskan diri. Memang bukan rezeki kami kali ini. Hanya mata yang dapat melihat. Salah satunya, saya sendiri tidak perasan yang joran telah pun mengena ikan. Joran melentur dan ikan melompat ke udara!

Akhirnya seekor Ebek berjaya saya naikkan di celah kekalutan.. Ikan yang saya sangka Jenahak besar, rupanya Ebek hampir sekilo. Badannya yang leper dan nipis menyebabkan seronok bermain tali. Hasil terakhir ini kami perolehi sebelum bertolak pulang ke pengkalan.

Keseluruhan hasil sekadar suka-suka bersama..