Isnin, 2 April 2018

Overhoul Mercury 60Hp, Menukar Kelongsong (Slip Liner)

Kerosakan pada bahagian kelongsong  laluan piston sudah tidak dapat dibaiki semula. Ini mengambil kira bintik-bintik lubang pada bahagian dalam kelongsong piston ke-3 yang terjadi akibat air. Pada hari ini, kami mengambil peluang membawa blok tersebut dari kedai ke kedai untuk mengumpul seberapa banyak maklumat sebelum mengambil kata putus dan cara terbaik untuk tindakan seterusnya. Beginilah cara kami, memang agak bodoh dan membuang masa, tetapi ia lebih baik dari kami membayar, tanpa ada hasil sampingan yang boleh kami gunakan kemudian hari.

 Kesan lubang kecil di dinding kelongsong blok(Pin Hole) boleh di lihat dan dirasa dengan jari. Ruang piston ini dipanggil Bore. Ke 3-3 ruang ini terletak pada 1 Blok. Manakala kelonsong ini dipanggil Slip liner dan boleh ditukar.

Antara maklumat penting yang kami terima, kesan kerosakan pada kelongsong ke 3 memang disebabkan air, tetapi piston ring yang patah masih tidak dapat dikesan puncanya. Terdapat beberapa maklumat seperti ring terkeluar dari alur, pin berpusing, ring melanggar lining dan sebagainya. Namun semua ini perlu ada kesan di slip. Ini tidak kelihatan! Yang pasti sisa piston dan ring yang pecah berjaya melepasi kelongsong tanpa sedikit pun mencalarkan slip. 

Piston bersama Conecting Rod ini tidak sama beratnya. Perlu ditanda(Marking) supaya tidak bertukar dengan kedudukan asal.

Kami menilai semula semua maklumat dan kata putus adalah mengorek kelongsong piston 3 yang berlubang manakala piston asal digunakan semula. Oleh kerana tidak mahu menanggung risiko kedua berlaku sekali lagi, kelongsong pertama juga terpaksa di korek memandangkan piston yang baru perlu diselaraskan dengan kelongsong lama yang asal. Saiz piston memang saiz standart tetapi ia akan berbunyi jika terus di pasang. Kami ke kedai barang gantian enjin sangkut di Klang dengan blok seketul di tangan. Hati sudah agak lega, rupanya masih ada hal lain yang kami tidak sedari. Proses mengorek kelongsong memerlukan piston yang akan digunakan. Barangnya tidak kami bawa bersama. Terpaksalah kami berpatah balik ke rumah untuk mengambil piston tersebut. 

 Di atas adalah bearing asal(Original) manakala yang bawah adalah baru(YMM) dan beza kedua jenis dari warna dan berat.

Ketika mengira belanja yang bakal dikeluarkan, ia masih di bawah jangkaan. Kami memikirkan cara lain yang lebih baik. Jika kelongsong 1 dan 3 di korek semula, saiz piston sudah tidak seimbang lagi. Ini akan memberi kesan pada setting enjin setelah ia siap nanti. Kesan lubang yang terdapat pada kelongsong ke 3 agak banyak dan dalam. Piston baru yang lebih besar perlu dibeli lagi dan untuk pengetahuan anda, harga piston tersebut adalah Rm318 per set bagi standart size. Sudah pasti saiz yang lebih besar lebih mahal. Sharil memberi cadangan supaya slip ditukar terus dan ke 3-3 piston akan standart semula. Kami sebulat suara bersetuju dengan cara ini. 

 CrankShaft masih tiada kerosakan dan boleh digunakan semula. Kesan lebam adalah normal. Lubang kecil pada cap adalah salur minyak pelincir manakala yang bergerigi paling bawah adalah pam nya.

Selesai mengambil barang, kami cuba mencari alternatif lain untuk kerja tersebut. Manalah tau jika ada, kos boleh dikurangkan lagi. Sharil membawa saya ke kedai kejuruteraan enjin di mana dia sering menukar slip untuk motor dan enjin kenderaan besar. Kawasan ini terletak di Jalan Jurutera menghala ke Kapar dan Rantau Panjang. Buat pertama kalinya, saya dapat melihat bahagian enjin yang besar seperti lori, bas dan sebagainya di sini. Mesin yang digunakan memang cukup besar dan banyak. Saya agak terkejut dan hairan bila melihat kesemua kerja-kerja yang dibuat di sini. Dari mengorek, memasang dan membaiki enjin, semuanya ada di sini. Sharil ketawa melihat saya, sesuatu yang saya anggap hebat adalah biasa baginya sebagai mekanik sambilan.

Skru conecting rod ini istimewa dari saiz dan spana yang digunakan. Tidak dijual berasingan di kedai.

Semua kedai yang kami kunjungi tidak mempunyai kepakaran ntuk membuat kerja tersebut. Alasan yang diberi adalah head blok bercantum dan tiada mesin yang boleh menolak keluar slip. Nampaknya sampai disini saja usaha kami dan tiada cara lain yang boleh dibuat melainkan dihantar ke kedai sama untuk dibaikpulih.

Kesimpulannya, kos menukar 1 slip dan rebore adalah rm450 dan kos yang terpaksa kami keluarkan untuk baikpulih bahagian ini saja adalah rm900. Set piston 1 telah dibeli terdahulu, set piston 2 dan 3 masih yang asal. Setelah siap nanti, semua saiz piston dan blok akan normal(standart) semula.