Jumaat, 27 Disember 2013

Ops Suluh 6

Pada malam 26/12 saya dan Acid turun ke lokasi biasa untuk mencari spesis berharga pada sebelah malam. Sejak kebelakangan ini terdapat ramai anggota trip yang ingin turun pada waktu malam. Oleh yang demikian. kami turun untuk menimba ilmu. Walaupun hujan agak lebat pada sebelah petang, trip masih kami teruskan walaupun agak lewat. Antara tangkapan yang berjaya di bawa naik adalah..

 
Kurau Comel yang begitu rakus meragut umpan kami.

Kurau kedua juga yang sama saiz.

Gelama Pisang bersilih ganti dengan Gelama kecil yang tak henti-henti mengganggu umpan kami..

Kebiasaannya kami menggunakan luminus stik yang biasa digunakan di kolam pancing sebagai penanda hujung joran. Biasanya lampu akan dipadamkan bagi mengelak ikan lari jauh dari bot.

Kurau ketiga yang kuat meronta hingga habis 3 tali pancing kami kusut. Cara makan seperti ikan kecil tetapi setelah direntap, lariannya ke permukaan air dan melawan arus. Kebanyakan lokasi yang kami kunjungi adalah sekitar reba kayu dan pokok yang memenuhi kawasan tebing.

Acid dengan Tetanda yang hanya mendiamkan diri setelah menelan umpan.

Tetanda serentak dua joran di satu spot lapang.

Kerapu comel yang turut terjerat dengan umpan kami.

Pendek kata lokasi yang dikunjungi semuanya berisi, cuma perlukan kecekapan untuk memancing. Bagi yang tidak biasa, kemungkinan ikan terlepas adalah tinggi. Kebanyak cara makan seperti ikan kecil. Udang hidup yang kami cangkuk pada ekor, banyak membuahkan hasil. Walaupun saya tidak dapat melelapkan mata dek kerana kesejukan, hati puas bila mengenang trip telah berjaya. Rupanya ikan bukan tiada, tetapi ilmu kami yang tak cukup didada. Trip pulang keesokan harinya sebelum solat Jumaat.

Isnin, 23 Disember 2013

Keadaan Air Cantik Bulan January 2014

Sedikit maklumat keadaan air yang sesuai untuk memancing.

1-5             Air Besar
7-8             Air Menyorong Kecil
9                Air Mati
10              Air Mati Tak Berarus  
11-12         Air  Mati
13-14         Air Menyorong Besar
15-20         Air Besar
22-23         Air Menyorong kecil
24              Air Mati
25              Air Mati tak berarus
26              Air Mati
27-29         Air Menyorong besar
30-31         Air Besar

Harga Sewa Bot bulan January

Rm350
Bot 60 hp + myk
Muatan maksima 4+1 tekong
Umpan Sendiri
Laluan Pelabuhan Selatan hingga Pulau Ketam
8 pagi - 7 malam

Rm700
Bot 90 hp x2 + myk
Muatan maksima 6+1 tekong
Umpan sendiri
P.Ketam/ WestPort/NorthPort/ Apolo Cencaru/Menghanyut
8 pagi - 7 malam/ 8 malam - 8 pagi
Hanya tempahan awal dengan deposit akan dilayan.

Rm250
Bot 30 hp + myk
Muatan maksima 2 + 1 tekong
Kurang 2 orang sila sms
Umpan sendiri
Laluan hanya sekitar kawasan WestPort/Northporth
8 pagi - 7 malam
8 malam - 7 pagi

Rm30
Sampan kosong
19 kaki

Rm200
Bot 60 hp
Muatan maksima 4+1
Mengambil contoh air, pokok, tanah hanya di kawasan terdekat tidak melepasi WestPort/Pulau Ketam
Untuk kerja-Kerja yang lebih rumit, caj berlainan akan dikenakan.

Perhatian!
  • Tempahan dengan deposit akan diberi keutamaan.
  • Semua tempahan memerlukan deposit Rm100 untuk pengesahan. Deposit tidak akan dikembalikan sekiranya trip batal tetapi akan ditunda ke tarikh yang telah dipersetujui bersama.
  • Tempahan mengejut pada saat akhir hanya akan dilayan sekiranya anda telah sampai ke pengkalan. Anda perlu membeli minyak sendiri setelah tong minyak diserahkan kepada anda.
  • Bahan terlarang seperti Minuman Keras  dan Dadah tidak dibenarkan sama sekali. Trip akan dibatalkan serta merta dan deposit tidak akan dikembalikan.
  • Semua kehilangan barang dan kecederaan adalah diatas tanggungan sendiri.
  • Kepada yang telah menempah trip, sila pastikan anda membawa peralatan yang sesuai seperti yang telah diberitahu.
  • Setiap perubahan perlu diberitahu selewatnya 2 hari sebelum trip, samada pertukaran tarikh atau pembatalan.
  • Semua trip bergantung kepada keadaan cuaca semasa, sebarang perubahan akan diberitahu kepada ketua trip.
  • Trip yang ditempah pada hari biasa lebih baik kerana kurangnya bot yang berada di laut berbanding pada hujung minggu.
  • Sila rujuk pada artikel di blog ini untuk hari sesuai memburu spesis yang disasarkan.

Ahad, 22 Disember 2013

Mencari Alat Gantian Suzuki/Mariner/Mercury

Kami sedang mencari alat ganti terpakai untuk bahagian:-

Mariner 30 hp
Jenis lama/Siver Hitam, Petak
Bahagian Blok, piston, crank shaft, bearing, head/ enjin bahagian atas saja, atau mana-mana bahagian yang tertera.

Suzuki 40 hp
Jenis lama/Petak
Shaft Gear /Gear box penuh atau apa saja bahagian telibat dalam kotak gear.

Mercury 60h
Jenis SeaPro Lama
Head blok, Kipas Steel

Kepada yang memiliki dan ingin menjual, sila sms kami.

Enjin Suzuki 15hp/ Mariner 30hp Untuk Dijual

Suzuki jenis lama
15 Kuasa Kuda
Harga Rm1200



Kondisi masih baik walaupun sudah lama. Sesuai untuk kegunaan peribadi, bukan kegunaan harian. Enjin sekarang berada di Jalan Kebun Klang.

Mariner Jenis Lama
30 Kuasa Kuda
Harga Rm1200



Enjin mempunyai masalah kebocoran pada blok sebelah bawah. Pembeli perlu menukar blok sebelum boleh digunakan semula. Kipas stainless steel, tiada masalah pada Coil, komponen elektrik lain dan Kotak Gear.

Ops Suluh 5

Ada orang kata, ikan besar hanya tinggal di air dalam. Tapi kebanyakan ikan besar yang kami perolehi, berada di air cetek. Ada orang kata ikan besar hanya ada di laut lepas, tetapi hampir semua lokasi yang kami kunjungi hanya di kawasan selat dan muara sungai kecil. Ada pemancing mengatakan tiada ikan baik di kawasan PortKlang dan tidak setanding dengan perairan terkenal seperti Pulau Sembilan dan Pulau Pemanggil. Bagi kami semua ini tidak benar sama skali. Jika anda tidak percaya, cuba lihat gambar di bawah..

Di suatu lokasi cetek hanya sekitar 1 meter, spesis ini kami naikkan. Umpan Udang hidup yang seringkali menjadi, andai waktunya tepat dan rezki menjadi.

Spesis yang sama di laut lepas, juga di lokasi yang sama, dengan set kecil Ikan Gelama, tali sulam 30 paun, mata kail kecil. Walaupun agak siksa nak dinaikkan, masa yang panjang bermain tali, amat menyeronokkan.


Menunggu sambil bersantai hampir 2 jam lamanya.


GT 2.5kg, rekod terbesar kami untuk spesis yang jarang di naikkan pemancing di kawasan ini.

Jadi, kami telah buktikan pada anda, tempat kami juga setanding dengan lokasi terkenal seperti tempat lain. Cuma anda perlu lebih usaha, lebih prihatin dan lebih bersabar. Andai kata tepat waktunya dan kena masanya, banyak ikan-ikan cantik boleh anda perolehi di sini.

Selasa, 17 Disember 2013

Ops Suluh 4

Trip 24jam ini dirancang bagi menjejak Ikan Jenahak yang dipercayai menghuni kawasan tertentu. Saya dan Komando_sg turun berdua untuk menjayakan misi kali ini. Cuaca panas pada siang hari menyebabkan kami tidak bertenaga untuk memancing hinggalah keadaan redup kembali pda waktu petang. Berikut antara hasil yang berjaya dinaikkan setelah bertungkus lumus di 12 lokasi berlainan.

Jenahak/Tetanda Besar pertama pada jam 3 pagi di muara sungai dengan seekor ikan Beliak mata yang cuma 3 ekor.

Berat dianggarkan 600grm

Kerapu kecil di reba kayu.

Cikbun yang memenuhi jala ketika di lintasan sungai Pulau Ketam.

Jenahak/Tetanda Besar di tiang jeti ketika hari petang.

Berat di anggarkan 600grm juga.

Jenis kecil yang pandai mencuri umpan.

Hasil keseluruhan trip..

Selesai mengambil gambar dan ketika berkemas, seekor lagi berjaya dinaikkan. Umpan terakhir Belanak 3 inci. Penutup trip yang semuanya milik Komando_sg.




Kebanyakan lokasi hanya terdapat Ikan Duri sahaja. dari 12 lokasi, hanya 3 membuahkan hasil dan semuanya spesis yang sama. Trip bertolak pulang pada jam 7 malam ke pengkalan.

Jumaat, 13 Disember 2013

Trip 12/12 En.Mokhtar dan Rakan

En.Mokhtar dan 2 rakannya telah menempah trip sejak dari bulan lepas lagi. Setelah segala persiapan di buat, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Ketam. Berbekalkan umpan Kembung dan Gelama yang saya beli di pasar borong 6 pagi, manakala bekalan udang tidak dapat disediakan. Perjalanan mengambil masa selama sejam dengan bot yang tak berapa nak laju. Berikut antara tangkapan yang berjaya dinaikkan.

Umpan Ikan Gelama dan Kembung yang kami hiris untuk dijadikan umpan.

Seekor Kerapu comel di sauh sangkar.

Setelah sampai di lokasi pertama, hanya ikan duri yang berjaya dinaikkan. Kami merubah kedudukan setelah arus mula berubah. Lokasi kedua di sauh sangkar menghasilkan 3 ekor Kerapu kecil. Terdapat banyak ikan Duri yang mengganggu umpan kami. Setelah sejam lebih menunggu, akhirnya salah satu joran kami disambar ikan besar. Tali masih keluar walaupun penjajar gelung diketatkan. Tangkapan yang tidak diketahui, melarikan diri ke bawah sangkar. Putus pada tali utama, kemungkinan terkena teritip yang terdapat pada tali sauh sangkar. Sayangnya, bukan rezeki mereka.

Juga di lokasi yang sama.

Kerapu kecil di lokasi karang.

Tiada apa yang boleh dibuat jika keadaan begini berlaku. Jika diperhatikan, tali, mesin dan joran sudah cukup kuat, nasib pula tak menyebelahi mereka ni. Selepas itu, tiada lagi tangkapan berjaya dinaikkan. Lokasi ketiga yang kami kunjungi menghasilkan seekor Kerapu kecil.

Ikan Senangin ketika air mula surut dan berarus.

Ketika hari menghampiri petang, air sudah mula surut. Tebing sungai kelihatan amat sesuai untuk menjala. Hanya beberapa kali tebar, bekalan udang sudah mencukupi. Kami bergegas ke lokasi sekitar sangkar. Seekor Tetanda dan Seekor Senangin berjaya dinaikkan.

Tangkapan keseluruhan trip kali ini.

Malang tidak berbau, salah seorang anggota trip terkena sengat ikan Duri. Sengat ikan Duri terpacak di celah jari menembusi sarung tangan yang digunakan. Sengat Ikan Duri mempunyai mata yang runcing ke dalam. Sukar dicabut jika tertusuk melebihi 3 mata. Salah satu cara terbaik adalah, gigit sengat tersebut dengan gigi dan tarik dengan kuat. Luka yang dalam menyebabkan darah banyak mengalir keluar. Pesanan kepada pemancing lain, berhati-hati jika mengendalikan ikan bersengat. Jangan leka dan sentiasa gunakan peralatan sesuai jika ingin membuka mata kail. Setelah dirawat dengan air tembakau, darah mula berhenti dan luka dibalut dengan kain bersih. Trip pulang selepas itu pada jam 7 malam. Terima kasih kepada mereka kerana sudi memancing bersama kami.

Selasa, 10 Disember 2013

Ops Suluh 3

Hari ini saya, Eboi, Acid dan Akib turun ke Pulau Ketam dalam misi menyuluh kawasan baru. Kawasan yang ada kebanyakannya sudah dipenuhi jaring tagan tiap kali air mati. Terpaksalah kami menambah lubuk yang sedia ada. Sebagaimana yang biasa kami lakukan, menambah ilmu yang ada untuk memantapkan kemahiran memancing. Tidak banyak hasil yang diperolehi kali ini, tetapi lokasi yang cuba diduga ada isi dan penghuninya, cuma barangkali masa dan keadaan kurang sesuai. 


Di atas adalah hasil dari 4 spot yang sudah dikenalpasti berisi dan ada penghuninya. Keadaan air yang mungkin kurang sesuai ketika ini menyebabkan ikan kurang aktif. Begitulah rutin aktiviti memancing kami di kawasan ini. Memang banyak lokasi berpotensi yang diperolehi dari rakan-rakan seperjuangan, namun teori saja tidak mencukupi jika tanpa praktikalnya. Begitulah juga pesanan kepada semua pemancing di luar sana. Jika anda ingin mahir dalam sesuatu hal, pastikan anda mendapatkannya dari segala aspek. Merendah diri dan sentiasa rajinkan diri untuk belajar setiap masa. Anda jangan terkejut jika saya sendiri pernah belajar dari budak kecil yang lebih muda dari saya. Namun ilmunya, sangat saya kagumi!

Isnin, 9 Disember 2013

Trip 8/12 En Amer dan Rakan

Hampir setiap hari hujan di kawasan Portklang. Jika tidak pada sebelah petang, sebelah malam atau pagi. Hujan pula kerap turun di kawasan sekitar bandar, menyebabkan banyak air tawar berkumpul di muara. Walaupun sedikit sebanyak mengganggu aktiviti memancing kami, namun memancing tetap diteruskan. Kali ini En.Amer dan Rakan, saya bawa hanya di sekitar kawasan terdekat saja. Memandangkan rakan-rakan lain yang berada di kawasan Pulau Ketam kebanyakkannya pulang dengan Ikan Pulutan saja. Sesukar mana pun, kita perlu usaha terlebih dahulu, selebihnya serah pada yang Maha kuasa.

Umpan Perumpun dan Udang hidup yang kami sajikan kebanyakannya disambar spesis Tetuka di kebanyakan lokasi. Ada juga Tetanda kecil ketika waktu pagi tetapi menghilang ketika air mula surut.

Menjala udang di sungai kecil..Banyak udang disini, saiznya pun sesuai dijadikan umpan.

Saiz goreng kunyit :)


Ikan Belanak juga berjaya dikumpul untuk bekalan umpan..


Dua ekor Gt comel dapat di tangan yang sama. Ada baca kot..

Tetanda comel ketika waktu pagi sebelum air mula surut..

Hasil keseluruhan yang mana di monopoli Tetuka dan kaum kerabatnya..

Pada akhir trip ketika hujan melanda, barulah 2 ekor Gt comel meragut salah satu umpan kami. Seronok juga walaupun hanya 2 ekor, sekurangnya terubat penat setelah lama menunggu. Seperti biasa, ketika ini air mula naik pasang semula dan ikan mula aktif. Terdapat beberapa sambaran di sekitar muara. Rasanya spesis yang sama mengejar kawanan anak ikan yang masuk ke sungai. Kami pulang sekitar jam 7 malam ke pengkalan, selepas hujan berhenti.

Ahad, 1 Disember 2013

Radio Amatur Sistem Perhubungan Terbaik Di Laut


 

Sekiranya anda perasan, hampir kesemua krew pancingport.blogspot memiliki sistem radio untuk perhubungan sampingan ketika di laut. Mengapa kami memilih sistem ini? Sistem perhubungan ini amat berguna ketika anda memerlukan bantuan di mana saja jika diperlukan sama ada di darat mahupun di laut. Maklumat dapat disampaikan segera dengan cepat dan pantas. Walaupun agak primitif jika dibandingkan dengan sistem talifon yang ada sekarang, namun penggunaan sistem ini sangat berguna untuk pemancing yang berada di laut.

Sistem ini berupaya mencapai jarak sekitar Selangor, Perak dan Pahang, mahupun di negara jiran kita. Sekiranya menggunakan peralatan yang betul, tahap capaian boleh lebih jauh dari itu. Tidak seperti talifon bimbit, rangkaian ini memerlukan lesen khas sebagai operator radio dua hala. Persatuan Peminat Radio Dua Hala Selangor (PRADAS) adalah salah satu persatuan yang mengeluarkan lesen tersebut di bawah SKMM dengan bantuan pemancar yang berada di puncak Genting Highland. Setelah mendaftar, anda akan diberikan lesen, kad i/d dan Callsign sebagai pengenalan diri di jaluran.

Kebiasannya, peminat kereta berkumpulan atau pacuan 4x4 di seluruh negara memiliki sistem radio seperti ini. Jika anda perasan, semua bot Pukat Tunda di Kawasan Pulau Ketam memiliki sistem perhubungan ini. Antara penanda untuk mengesan operator radio yang menggunakan sistem ini adalah antena yang menjulur di atas bot, kereta, lori, van ,mahupun motorsikal yang digunakan. Terdapat juga pelekat pengenalan diri di kenderaan sebagai memudahkan rakan radio mengenali operator tersebut.

Sekiranya anda berminat mengenai radio dua hala ini, bolehlah berhubung dengan saya untuk informasi lanjut atau terus berhubung dengan PRADAS.

Siparipari/Zambri/Along
PR-ALO

Komando_sg/Jemik
PR-JMK

Abg Emi
PR-ALQ

Samat
PR-SMD

Eboi/Helmi
PR-ALE

Trip 1/12 En Oren Dan Arifdalaz P.net

Memandangkan air telah laju dan tidak sesuai ke Pulau Ketam, saya anjurkan supaya trip ini keluar memburu Tetanda di kawasan berdekatan. Bertolak pada jam 9 pagi menuju lokasi, kami singgah di sungai Labuhan Gurap untuk menjala udang. Udang pula dijala sendiri oleh anggota trip. Kehadiran udang yang banyak di kawasan anak sungai memudahkan kami mencari umpan hidup.

Setelah itu, barulah aktiviti memancing di mulakan. Setelah dua lokasi di singgahi, tiada tangkapan berjaya dibawa naik. Hanya di lokasi ketiga, barulah umpan kami mula mendapat sambutan. Tak menang tangan mereka ni menarik ikan. Walaupun tak besar tetapi cukup untuk memberikan kepuasan memancing.

Ada ke udangnya bang?? Sekali tebar seringgit katanya..

Bekalan udang yang dijala dengan jala baru En.Oren :)

Tangkapan di lokasi ketiga dimana terdapat banyak reba pokok tumbang.

En.Oren dengan Tetanda terbesar pada trip ini.

Double Strike!

Saiz biasa yang dinaikkan di sini.

Buat petama kalinya Kerapu berjaya di pancing di kawasan ini.

Arifdalaz bersama Tetanda..

Aksi seorang pemancing..


Mentimun atau Tetanda Karang juga ada dikawasan ini.

Mentari petang menunjukkan sinar menandakan hari siang bakal berakhir..


Sebahagian Tetanda yang berjaya dibawa naik.

Hasil keseluruhan trip.

Ketika ikan sedang aktif memakan umpan, bekalan yang ada telah pun habis. Memang seronok memancing di kawasan ini lebih lagi jika hanya ikan gred A memenuhi peti. Namun harus di ingat, tidak semua keadaan sesuai memancing di sini. Kedudukan bot juga penting bagi mengelakkan batu sering tersangkut di reba. Jika tidak, bukan ikan yang dibawa naik, seguni batung ladung pula yang habis di karamkan!