Cuaca mendung pada setiap petang, kadangkala membawa hujan lebat bersama. Adalah lebih baik anda menyediakan baju hujan sebelum turun memancing. Hari ini kami turun bertiga sekadar melepaskan tekanan bersama keluarga. Saya, Ibu dan Eboi turun memancing untuk mencari lauk segar. Sesekali ingin juga memancing bersama keluarga.
Kami turun tepat jam 8.40 pagi dan menuju terus ke Pulau Ketam.
Berbekalkan umpan sotong, cabuk dan Sardin, hanya 3 lokasi yang sempat
dituju. Sungguh pun cuaca agak mendung dan berangin, kepanasan sinaran
matahari tetap terasa membakar kulit kami. Untunglah ada kanopi yang
boleh digunakan untuk berteduh.
Lokasi pertama kami adalah sekitar sauh sangkar. Hasil pertama saya
Tetanda sebesar tapak tangan disulami ikan Duri yang asyik menggangu
umpan. Namun hasil tangan ibu lebih menyerlah bila kebanyakan spesis
mahal berjaya dinaikkan. Umpan Sardin potong memang menjadi kali ini.
Mungkin kehadiran kumpulan ikan masih tidak diganggu dengan bot
pemancing lain atau jaring nelayan berdekatan.
Selepas air mula surut, kami mengalih kedudukan di lokasi tidak sampai 10 meter dari lokasi pertama. Hasilnya seekor Kerapu 4kg berjaya dinaikkan Eboi. Akhirnya merasa juga tarikan kasar ikan bersaiz besar. Dengan perambut kasar dan joran keras, kerja jadi lebih mudah walaupun agak sukar. Terdapat juga tarikan kasar pada trip kali ini yang berjaya melepaskan diri.
Hasil kedua saya setelah hasil pertama gagal dinaikkan, seekor kerapu sekitar 1kg. Banyak juga ikan Duri yang kami naikkan kali ini untuk dibuat lauk
seminggu. Biasanya ikan Duri bersaiz besar tetap akan dibawa balik bersama. Kebijaksanaan Eboi dalam menjimatkan belanja lauk harian memang terbukti berkesan.
Inilah hasil memancing kami pada hari ini. 4 Kerapu, 7 Tetanda, seekor Merah, Kaci dan Ikan Duri. Memang agak lumayan dan menggembirakan hati. Kami pulang ke pengkalan sekitar jam 6 petang disertai hujan gerimis separuh perjalanan.