Sebelum ini, En.Arif pernah menempah trip bersama kami, namun trip tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu. Deposit masih tetap dibawa ke depan dan tidak lupus begitu saja. Oleh yang demikian, satu trip baru telah diatur semula. Kali ini seramai 4 orang dan saya bawa melintasi jauh dari laluan biasa. Ia tidak membuahkan hasil sehingga umpan udang hidup yang kami bawa hampir habis. Sebagai usaha terakhir, jala digunakan untuk mendapatkan semula umpan. Terdapat banyak Ikan Belanak bersaiz kecil berjaya di perolehi dan laluan di ubah menuju ke sangkar Pulau Ketam. Hasil dari usaha tersebut, beberapa spesis berharga berjaya dinaikan.
Tidak terdapat langsung bot berlabuh di kawasan sangkar dek kerana air laju dan keruh ketika itu. Hanya ketika air mula pasang kembali, ikan mula aktif meragut umpan. Kerapu kecil 3 jari dan Tetanda adalah lesen pertama yang dinaikkan.
Seekor Siakap akhirnya tewas pada salah satu joran milik ahli trip. Yang cemasnya joran telah pun jatuh ke dalam air tetapi sempat di capai semula. Siakap seberat 2 kg ini berjaya ditipu menggunakan umpan Belanak hidup dan mata kail kecil di bawah bot. Walaupun melompat beberapa kali, akhirnya tewas di dalam tangguk kami.
Bukan setakat ikan duri yang makan umpan Belanak kami, ketam juga tak ketinggalan sungguh pun air keruh dan laju.
Tetanda ketika air mula laju hanya di bawah bot kami.
Hasil keseluruhan trip setelah pulang ke pengkalan.
Keadaan jerebu yang boleh dikatakan agak tebal melanda kawasan ini sejak dari pagi. Angin pula mula melanda ketika waktu petang. Setelah air mula laju, tiada lokasi sesuai untuk memancing dan kami bergerak pulang sekitar jam 6.30 petang.