Isnin, 13 Oktober 2014

Trip 11/10 Menjaring

Menjaring adalah satu lagi kaedah penagkapan ikan yang biasa kami lakukan. Hasil seperti Bawal Putih, Senangin, Talang, Daun Baru dan Ketam menjadi sasaran utama kami. Bagi yang kurang gemar memancing, boleh lah mencuba trip ini.

 
Pelampung jaring kelihatan tersusun di atas air ketika hanyut dibawa arus.

Kali ini kami menuju jauh dari laluan biasa untuk mencuba nasib. Angin kuat sekitar Pintu Gedung menyebabkan alun yang agak kuat dan menggagalkan usaha kami. Oleh kerana tiada hasil menarik, kami masuk semula ke laluan selat. Kapal yang lalu lalang menyebabkan hanya kawasan kecil di sebelah tepi pantai saja yang boleh digunakan. Laluan kapal memang banyak ikan, tetapi merbahaya bagi aktiviti seperti ni. Silap gaya jaring anda mungkin di langgar kapal yang lalu-lalang di sini.

Daun Baru dengan saiz yang agak besar.

Senangin Buih dan Tamok juga tidak ketinggalan.

Saiz jaring juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan hasil yang disasarkan. Bukan semua jenis jaring boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Anda perlu mempunyai kebolehan dan kemahiran mengunakan jaring ini, dari awal membeli hinggalah ketika menggunakannya. Jangan tertipu dengan kata-kata penjual atau orang yang hanya sekadar memberi cadangan. Jika tersilap, anda pasti akan kerugian kerana jaring perlu di beli dalam jumlah banyak dan harganya memang mahal.

Bawal Putih berbagai saiz.

Jaring yang kami gunakan bersaiz 3 inci 1/2, tebal benang 0.30, labuh 60 mata dan pelampung panjang. Jaring jenis ini mudah di labuh, kurang kusut dan boleh diapung atau ditenggelamkan. Selain jenis tali yang mudah dipegang, jaring jenis ini boleh memerangkap jenis ikan yang bersaiz tertentu saja. Jumlah mata yang sederhana boleh digunakan di kawasan cetek dan tali pelampung boleh ditambah jika di kawasan dalam. Namun jenis ini kurang sesuai di kawasan laut terbuka yang dalam.

Hasil keseluruhan tangkapan setelah seharian berada di laut.

Oleh kerana hasil yang diperolehi agak baik, kami pulang sekitar jam 4 petang ke pengkalan. Semua hasil dibahagi samarata dan di kongsi bersama rakan di pengkalan. Terima kasih kepada En.Azmi kerana memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi ilmu dan peralatan.