Kehadiran Kerapu bersaiz besar sebelum nampaknya telah mula berkurangan. Kemungkinan besar ikan sudah berpecah mengikut arus pasang besar ke lubuknya. Walaupun tiada lagi tangkapan sehebat sebelum ini, masih ada tangkapan lain yang berjaya dinaikkan. Tidak sebesar mana tetapi cukup untuk menghiburkan kami.
Ikan Kerapu saiz kecil yang membaham Belanak hidup saya. Cuba lihat saiznya berbanding dengan saiz pisau yang disertakan bersama.
Trip kali ini disertai En Hazrul dan 3 orang rakannya saya bawakan ke kawasan sangkar Pulau Ketam. Berbekalkan umpan ikan pasar dan Belanak hidup, beberapa tangkapan berjaya dibawa naik. Keadaan air mati kali ini agak tenang dan biasanya umpan hidup lebih berguna berbanding umpan mati atau ikan potong.
Kerapu Last Minute sebelum trip berakhir dengan umpan ikan potong, joran kecil.
Banyak lokasi yang kami kunjungi agak tidak membuahkan hasil. Kebanyakannya Ikan Duri yang kerap menghabiskan umpan. Dalam celah-celah ikan Duri, muncul tangkapan yang baik. Ini biasanya berlaku apabila ikan sasaran tidak sempat menjamah umpan berbanding ikan Duri dan Gelama yang lebih cekap.
Kebanyakan ikan Senangin di sini lebih banyak ketika air mati dan amat bijak mencuri umpan. Biasanya kalau joran tidak direntap, umpan akan di curi dalam sekelip mata. Kepada yang baru berjinak memancing di kawasan ini, jangan tertipu sekiranya joran bergetar apabila menggunakan umpan Belanak hidup.
Senangin ini pula memecut laju ke bawah sangkar sehingga bunyi mesin mengejutkan kami. Joran kecil yang digunakan memang menjadi pada mereka.
Terdapat Ikan Kerapu bersaiz besar bergelimpangan mati dibawa arus setiap kali kami turun memancing. Mungkin sisa ikan yang dibuang setelah mati di dalam sangkar. Rasanya satu pembaziran sumber yang sering berlaku. apalah salahnya jika dibuat Ikan Masin, ada juga hasil yang boleh menggantikan kerugian yang ada.