Jumaat, 7 Disember 2018

Trip Pulau 9

Menyertai trip lain luar dari kawasan, merupakan aktiviti yang biasa kami lakukan setiap tahun. Kali ini, trip disusun oleh Sharil bersama Juragan Pulau Sembilan iaitu En.Lie Bapak. Namanya terpahat pada bot yang kami naiki. Saya sendiri tidak pernah bertanya apa rahsia disebalik gelaran tersebut walaupun sudah sering kami menggunakan perkhidmatan nya. En Lie merupakan bekas anggota tentera udara yang sudah bersara. Seperti biasa, trip jigging adalah pilihan kami kali ini.

 Set mikro dan light yang saya bawa untuk diuji.

Perjalanan kami bermula pada jam 8 malam dari Port klang ke Pulau Sembilan menaiki 2 buah kereta. Ahli trip yang turut serta Sharil, Amir, Saya, Rahman dan Eboi. Manakala Abul tidak dapat bersama kami kali ini. Perjalanan ke lokasi mengambil masa sekitar 3 jam. Sampai di jeti, kami bermalam di rumah penginapan dan membuat persiapan untuk esok.

Selesai subuh, kami semua bersiap untuk sarapan pagi di gerai berhampiran. Seperti biasa, bungkus makanan untuk bekalan. Kami bertolak ke lokasi memancing sekitar jam 7.30 pagi menaiki bot besar milik Juragan Lie Bapak. Tapi nampaknya, cuaca agak berangin dan alun memang kuat. Terdapat banyak bot lain berlindung disebalik pulau untuk mengelak tiupan angin. Nampaknya keliling pulau sajalah kali ini. Namun begitu masih banyak hasil yang kami perolehi di lokasi tersebut.

 Hasil pertama yang kami naikan, Alu-alu. Hasil Jig mahal milik Eboi.

Di lokasi lain pula, terdapat banyak ikan talang berada di separa air dan hanya tertarik dengan apollo berwarna. Sonar yang dipasang menunjukkan imej ikan dan sering berbunyi. Ada sambaran kecil pada jig yang saya hulurkan tetapi kerap lucut semula. Lantaran angin yang kuat, jig kecil yang saya gunakan kerap hanyut. Ketika itu terdapat 3 buah bot lain juga berada berdekatan kami dan kerap menaikkan spesis Talang rempit. Sharil dan Amir juga berjaya mendaratkan 2 ekor talang berlainan saiz.

Tak kena dengan jig, tewas dengan apollo bewarna!

Ketika ikan sudah mula kurang, juragan kami cuba untuk ke lokasi lain. Namun angin kencang dan alun yang besar menyebabkan kami hanyut dengan laju. Walaupun ketika hanyut, ada juga sambaran yang berjaya mencuri jig yang kami hulurkan. Kebanyakannya rabut dek kerana pergerakan alun kuat menyukarkan kami beraksi. Sudahnya kami masuk semula menyorok disebalik pulau. Walaupun tidak dapat pergi lebih jauh, juragan kami cekap mencari penyelesaian lain. Layan apollo lah pula. Bukan saja Selar, tetapi Sagai dan Ebek turut menjadi mangsa kami. 

Walaupun dengan 2 enjin besar, agak ngeri juga bila menempuh alun tinggi.

Sehingga ke jam 2 petang, saya masih belum berjaya menaikkan hasil seperti mana yang lain. Mungkin teknik dan jig yang saya gunakan tidak tepat dan kurang menarik perhatian. Mengikut kata juragan, jika jig tidak menjadi, apollo pasti ada hasil. Memang betul kata juragan, kerana banyak hasil berjaya dinaikkan dengan teknik tersebut.

Ketika hampir petang, barulah jig saya berhasil. Seekor sagai dengan jig 60gram berwarna pelangi. Terdapat satu ragutan kasar yang tidak berjaya Eboi naikkan di lokasi sama kerana ikan melarikan diri ke kawasan batu karang. Seronok dapat lihat tali keluar tanpa henti dengan bunyi mesin. Inilah keseronokan memancing yang kami cari sebenarnya. Ikan adalah perkara kedua, yang penting keseronokan dan kepuasan melepaskan geram.

Satu-satunya hasil yang berjaya saya bawa naik. Tengok tu, satu mata saja yang saya gunakan.


Ketika hari mula senja, kami bergerak ke lokasi lain untuk mencari Cencaru kuda. Ada juga hasil kami naikkan walaupun tidak banyak tetapi cukuplah untuk berseronok. Cencaru di sini memang agak besar dan kuat tarikannya lebih-lebih lagi dengan set Pe 0.8-1 yang saya gunakan. Seolah-olah batang lidi yang saya gunakan.

Ini saja yang kami berjaya naikkan kali ini. Jika dengan keadaan cuaca yang ditempuh, ini sudah cukup baik pada kami.

Trip berakhir sekitar jam 8 malam dan kami bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. Sebelum pulang, pembahagian harta sepencarian dibuat dan kami singgah makan di gerai berhampiran. Seperti biasa, sebahagian ikan dijadikan lauk makan malam. Kepada yang berminat untuk memancing bersama juragan Lee Bapak, boleh la hubungi saya atau Sharil. Sewa rm750 kami anggap memang murah sangat dengan saiz bot yang dinaiki!