En.Mokhtar dan 2 rakannya telah menempah trip sejak dari bulan lepas lagi. Setelah segala persiapan di buat, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Ketam. Berbekalkan umpan Kembung dan Gelama yang saya beli di pasar borong 6 pagi, manakala bekalan udang tidak dapat disediakan. Perjalanan mengambil masa selama sejam dengan bot yang tak berapa nak laju. Berikut antara tangkapan yang berjaya dinaikkan.
Umpan Ikan Gelama dan Kembung yang kami hiris untuk dijadikan umpan.
Seekor Kerapu comel di sauh sangkar.
Setelah sampai di lokasi pertama, hanya ikan duri yang berjaya dinaikkan. Kami merubah kedudukan setelah arus mula berubah. Lokasi kedua di sauh sangkar menghasilkan 3 ekor Kerapu kecil. Terdapat banyak ikan Duri yang mengganggu umpan kami. Setelah sejam lebih menunggu, akhirnya salah satu joran kami disambar ikan besar. Tali masih keluar walaupun penjajar gelung diketatkan. Tangkapan yang tidak diketahui, melarikan diri ke bawah sangkar. Putus pada tali utama, kemungkinan terkena teritip yang terdapat pada tali sauh sangkar. Sayangnya, bukan rezeki mereka.
Juga di lokasi yang sama.
Kerapu kecil di lokasi karang.
Tiada apa yang boleh dibuat jika keadaan begini berlaku. Jika diperhatikan, tali, mesin dan joran sudah cukup kuat, nasib pula tak menyebelahi mereka ni. Selepas itu, tiada lagi tangkapan berjaya dinaikkan. Lokasi ketiga yang kami kunjungi menghasilkan seekor Kerapu kecil.
Ikan Senangin ketika air mula surut dan berarus.
Ketika hari menghampiri petang, air sudah mula surut. Tebing sungai kelihatan amat sesuai untuk menjala. Hanya beberapa kali tebar, bekalan udang sudah mencukupi. Kami bergegas ke lokasi sekitar sangkar. Seekor Tetanda dan Seekor Senangin berjaya dinaikkan.
Tangkapan keseluruhan trip kali ini.
Malang tidak berbau, salah seorang anggota trip terkena sengat ikan Duri. Sengat ikan Duri terpacak di celah jari menembusi sarung tangan yang digunakan. Sengat Ikan Duri mempunyai mata yang runcing ke dalam. Sukar dicabut jika tertusuk melebihi 3 mata. Salah satu cara terbaik adalah, gigit sengat tersebut dengan gigi dan tarik dengan kuat. Luka yang dalam menyebabkan darah banyak mengalir keluar. Pesanan kepada pemancing lain, berhati-hati jika mengendalikan ikan bersengat. Jangan leka dan sentiasa gunakan peralatan sesuai jika ingin membuka mata kail. Setelah dirawat dengan air tembakau, darah mula berhenti dan luka dibalut dengan kain bersih. Trip pulang selepas itu pada jam 7 malam. Terima kasih kepada mereka kerana sudi memancing bersama kami.