Jumaat, 30 November 2012

Trip 28/11 Memburu Kerapu dan Merah Pulau Ketam!

Trip yang telah dirancang awal seminggu ini disertai oleh saya, Eboi dan En.Fuad dari Meru Kelang. Dah lama nak ajak dia ni menimba ilmu bersama, akhirnya tercapai juga. En Fuad ni adalah anggota trip sewa yang pernah turun bersama saya, tetapi hasil agak kurang sangat pada waktu itu. Jadi saya cuba menjelaskan mengapa situasi memancing kami berbeza dengan trip yang saya bawa. Tujuan sebenar trip ini adalah untuk mencuba kawasan yang dah lama saya tak kunjungi. Bukan atas sebab merajuk atau tak suka tetapi tidak semua pemancing sanggup menempuhnya. Hanya yang benar-benar sabar dan tahan mental mampu berada dilokasi ini. Perkataan Sangkut, Sirat-sirat, Cikbun dan menunggu berjam lamanya hanya untuk menaikkan hasil buruan seperti dibawah ini. Bayangkanlah, adakalanya jatuh saja umpan ke bawah, kail sudah pun tersangkut di reba. Siapa tak hangin kalau macam ni, betul tak? Jadi jom kita lihat apa yang kami dapat :)

 Jala umpan untuk bekalan walaupun dah lambat..


Trip yang dijangka turun seawal 6 pagi terpaksa dilambatkan kepada 10 pagi atas sebab kewajiban yang tak dapat dielakkan. Setelah sampai di pengkalan dan mengemas peralatan, kami mencari umpan Udang hidup dan Perumpun di laluan keluar. Agak kelakar bila Eboi mengatakan bahawa ikan Kembung yang dibeli untuk umpan telah dikunyitkan kan oleh ayahnya dan separuh telah digoreng!. Untunglah ada umpan Cabuk segar yang diperolehi dari rakannya.




Keadaan air besar dan laju telah pun surut sepenuhnya. Selesai mencari Perumpun, barulah kami sedar bekalan air minum telah tertinggal. Hai..macam-macam dugaan yang datang kali ni..Terpaksa lah kami berpatah balik. Tanpa air yang mencukupi tak mungkin ada tenaga untuk memancing nanti. Lagipun cuaca agak panas walaupun kelihatan redup.

Laluan biasa yang kami lalui juga telah surut sepenuhnya. Enjin terpaksa diangkat bagi mengelakkan tersangkut di beting dan melanggar sisa kayu. Walaupun perlahan di laluan luar, sungai yang berada di laluan seterusnya agak dalam. Memang betul kata si Abul, sungai ni takkan kering walaupun air besar. Terima kasih sahabat, kerana sudi berkongsi ilmu. Setelah melepasi laluan berliku sungai, kami keluar ke Sangkar yang terakhir menghala ke Selat Kering sambil membuat pemerhatian di kawasan tebing. Kawasan reba yang memang menarik! Kebanyakan nya adalah pokok besar yang tumbang menganjur ke air, berselirat dan agak mengerikan.

Aktiviti memancing dimulakan di sauh sangkar memandangkan air masih belum naik tinggi. Beberapa ekor Gelama berjaya dinaikan dan arus mula bertukar arah. Kami berpindah beberapa kali sehinggalah air tinggi dan ikan mula mengganas. Lokasi pertama berjaya menghasilkan 2 ekor ikan Merah dan ini adalah hasil kerja tangan Eboi dan Fuad.

Merah ini berjaya dinaikkan Fuad dengan umpan Cabuk potong di lokasi pertama, betul-betul di atas reba kayu. Walaupun tak besar, tapi tarikannya agak ganas. Silap gaya masuk ke reba dan melepaslah nampaknya. Eboi pun dapat sekor yang kecil. Sekumpulan yang lalu agaknya..

Rata-rata ikan Merah disini semua nya mengalami kecaacatan fizikal.
Buntal dengan Tetanda dah sama besar..
Dua sekali di reba yang sama..

Dua pancing sekali kena! Kerapu ni berjaya ditipu dengan umpan Udang Hidup. Sebelum tu, berjaya melarikan diri ke bawah reba dan sangkut. Namun berjaya dipujuk keluar hasil kesabaran Fuad.


 Cantik lah warna Kerapu ni, macam askar pun ada. Jenis apa tak tau lah..
Inilah hasil kesabaran menunggu lebih setengah jam. Umpan Cabuk potong memang berkesan. Dengan mata saiz besar dan umpan besar, sudah tentu tiada ikan kecil yang menyangkut.

Eboi juga berjaya menaikkan sepesis sama dengan umpan yang sama. Walaupun sangkut, berjaya dipujuk keluar semula.


Hasil keseluruhan trip adalah begitu baik walaupun masa memancing agak singkat. Trip bertolak pulang setelah gelap memandangkan hanya lampu picit yang dibawa..