Ahad, 11 November 2012

Anda Tekong Yang Hebat??

Salam sejahtera kepada semua pemancing pro dan amatur. Musim tengkujuh sudah pun tiba. Hujan yang turun tanpa henti pada sebelah petang dan malam disertai ribut petir seringkali melanda kawasan PortKlang. Kepada anda yang masih ingin turun memancing, sentiasalah berwaspada ketika ini.

Hari ini saya akan berkongsi sedikit informasi tentang kapakaran tekong yang perlu ada untuk turun memancing. Seperti mana yang anda tau, kepakaran tekong ini bukan sekadar membawa bot sahaja. Banyak lagi yang perlu diketahui dan dipelajari dari masa ke semasa berdasarkan pengalaman tekong itu sendiri. Berikut saya senaraikan beberapa Asas kemahiran tersebut..

Mengendali Bot  
Mempunyai kemahiran mengendali bot dari yang kecil hinggalah yang besar. Mana tau jika anda terpaksa membawa muatan lebih dan bot lebih besar diperlukan. Mempunyai kemahiran bermain ombak dan gelombang ketika di laut. Tak kisah lah semasa kapal besar lalu ataupun ketika ribut melanda. Ombak atau alun kapal boleh menyebabkan bot anda terbalik jika tidak kena dengan gayanya. Mampu menilai keupayaan enjin. Berapa tahap minyak diperlukan dan berapa jauh anda boleh pergi dengan muatan yang anda bawa.

Menjala dan Mencari Umpan
Kemahiran yang perlu ada pada setiap tekong. Manalah tau jika anda kehabisan umpan ketika memancing atau ketika umpan dibawa tidak sesuai. Mengetahui kawasan dan masa sesuai untuk mencari umpan jika diperlukan. Cara mana yang sesuai, menjala, menjaring atau Apollo.

Mengenali Selok Belok Lokasi Memancing 
Setiap lokasi berbeza dari segi penggunaan umpan dan cara memancing yang sesuai. Kedalaman lokasi berkenaan. Bila waktu sesuai ikan aktif dan berpotensi untuk di pancing. Jenis ikan di lokasi tersebut sekurangnya 1 sepesis yang biasa dinaikkan. Jangan membawa penyewa ke lokasi yang tidak berpotensi hanya untuk menjimatkan minyak dan mendapat keuntungan lebih.

Membaca dan Menilai Keadaan Air
Keadaan ikan di laut biasanya dipengaruhi cuaca persekitarannya. Mungkin lokasi yang biasa anda kunjungi tidak sesuai jika air hujan dari sungai memenuhi aliran berkenaan. Jadi anda perlu mengalih arah ke lokasi yang lebih baik. Ada kawasan yang sesuai memancing ketika air pasang tetapi tidak membuahkan hasil ketika air surut. Sesuai ketika hanya air besar tetapi ketika air mati tidak sesuai. Begitu juga sebaliknya.

Menilai Keadaan Cuaca
Boleh mengenalpasti keadaan cuaca, angin dan ombak. Sekurangnya sebelum berlaku perubahan cuaca. Cuaca di laut amat sukar dijangka. Angin ribut boleh melanda hanya sekelip mata. Kemahiran awal untuk mengelak boleh membantu.

Selok belok Keselamatan
Cara memakai jaket keselamatan. Cara memegang dan membuang sengat ikan yang betul. Sentiasa memberi ingatan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan pemancing.

Kemahiran sampingan

Mengetahui Asas Mekanikal Enjin

Sekurangnya mengetahui cara menukar palam pencucuh(plug). Mengenalpasti tanda-tanda awal kerosakan sebelum berlaku kerosakan yang lebih besar. Antara kerosakan yang biasa ialah plug tidak berfungsi, tali starter putus, myk tersumbat, overflow atau Boost kipas habis. Membawa peralatan asas membaiki enjin juga amat perlu sabagai langkah berjaga-jaga.

Mengetahui Peralatan Yang Sesuai
Tidak semua peralatan memancing sesuai pada setiap lokasi. Pesan pada penyewa supaya membawa peralatan sesuai. Cadangkan.jenis joran, perambut, batu pemberat dan mata kail yang sesuai dilokasi pancing yang akan anda bawa. Maklumat ini akan memudahkan penyewa bersedia dengan peralatan mereka.

Asas Ikhtiar Hidup Di Laut

Kemahiran berenang dan menyelamat sekiranya berlaku penumpang jatuh ke laut. Apa yang perlu anda buat jika berlaku kecemasan, kehabisan air minum, makanan dan minyak. Kemahiran ketika dalam keadaan ribut taufan, sesat di laut dan hilang arah. Kemahiran berkomunikasi yang baik. Contoh nya jika minyak habis atau berlaku kerosakan dan anda meminta bantuan kepada bot yang lalu lalang.

Ilmu Perubatan
Mengetahui sedikit kemahiran perubatan jika diperlukan. Antaranya, terkena sengat ikan, luka dan sebagainya. CPR jika ada pemancing pengsan atau lemas terjatuh. Membawa peralatan bantuan kecemasan yang asas.

Telinga Tebal :)
Penyabar sentiasa bagi mengendalikan pemancing yang bermasalah seperti sombong atau panas baran. Tidak semua pemancing bermasalah seperti ini tetapi kadangkala ada :) Sentiasa menerima kritikan pedas dengan positif sebagai satu perkara biasa. Boleh menerima teguran dan berkongsi pendapat dengan mereka. Kadangkala ada masa cakap mereka juga boleh dipakai dan tidak semestinya anda yang sentiasa betul. Kita kan manusia biasa yang sentiasa membuat kesilapan.

Beberapa perkara perlu dielakkan oleh Tekong

Jangan menjanjikan sesuatu yang tidak pasti
Sebagai contoh,
  " Kat situ ikan semua besar-besar, jangan takut lah. Gerenti dapat Punya!"
 "Ikan Senohong je ada kat situ, ikan Gelama tak ada.."
 "Semalam ada orang dapat Kurau 5 kg kat sini, mane tau korang dapat pulak"
Rezeki adalah urusan Allah tetapi tidak semestinya akan dapat. Ikan dalam Air kita tak nampak...

Menipu
Kadangkala ada tekong meminta wang pendahuluan tetapi dengan jumlah yang tidak munasabah. Adalah lebih baik jika ada wang pendahuluan tersebut di pulangkan semula jika trip tidak dapat disempurnakan. Jujur dalam berurusniaga dan mudahkan urusannya. Jangan susahkan pelanggan anda. Masa yang tidak ditepati dan sentiasa memberi alasan yang tidak munasabah. Jika anda menipu pelanggan hari ini, kemungkinan besar tiada lagi pelanggan pada masa hadapan. Pemancing ni banyak jaringannya, maklumat akan tersebar dengan cepat dan anda yang akan rugi.

Panas baran
Sentiasa bersabar dengan kerenah pelanggan anda, walaupun kadangkala menyakitkan hati. Jangan sesuka hati memarahi atau memaki pelanggan walaupun itu bot anda. Sentiasa berkomunikasi dengan baik dan menggunakan budibicara yang baik.

Suka mengambil risiko
Membawa penyewa ke lokasi yang anda tidak tahu, tanpa ada maklumat dan pengalaman. Tanpa pengalaman anda sendiri, kemungkinan trip anda gagal adalah 90%. Pergi ke lokasi yang anda biasa sahaja dan tahu selok beloknya.

Mengambil hak Penyewa
Ikan dan hasil pada trip adalah hak pelanggan walaupun anda yang mendapatkannya. Berpada-padalah jika jika mahu memancing pun. Pentingkan hasil pelanggan anda. Minta izin untuk mengambil makanan jika anda terpaksa. Sebaiknya sediakan makanan anda sendiri.

Pemalas
Sentiasa berusaha untuk mencari lokasi terbaik untuk memancing. Jangan biarkan pelanggan anda bosan tanpa ada hasil dinaikkan. Cuba sedaya upaya dan jangan mengalah. Kerajinan anda akan dapat dilihat sebagai satu usaha yang akan dihargai oleh pelanggan anda.