Oleh kerana ini, kami membatalkan niat untuk turun. Namun trip disambung semula setelah Adik Ipar dan sepupu mula meracun. Memandangkan bot sewa pun banyak kosong, kami menyewa 25hp/19 kaki untuk 4 orang. Agak sempit dan perlahan, namun masih berbaloi. Minyak yang digunakan, tidak sampai pun 20 liter. Umpan udang hidup kami jala dalam perjalanan keluar. Sempat lah juga mengorek perumpun sarang, tetapi lokasi kurang sesuai. Takpa, ada satu lokasi yang sesuai di tempat lain. Pot rasmi cari perumpun sejak dulu lagi :) Berikut antara babak yang sempat di rakam :)
Acid dan Gelama pisangnya, tangkapan pertama di lokasi Labuhan Gurap.
Komando_sg dan Gelama Pisang juga..
Samat pun dapat juga, pendek kata semua dapat lah kalau kat lokasi ni..
Saiz biasa di lokasi ni. Seronok kerana cara makan dan tarik macam ikan besar. Padahal taklah besar mana pun ikannya.. Kelihatan di bahagian beting tengah beberapa bot sedang menjaring Bawal. Nasib lah tak sampai ke lokasi kami. Ketika itu saya mengesan kedudukan beting pari yang biasa kami kunjungi dulu. Ada juga faedah nya ni hehehe.. Petanda lokasi tersebut ialah, bilamana pelampung jaring mula rapat bersusun dan jaring bergerak sangat perlahan. Oleh kerana pelampung jaring dalam 2 depa, jaring akan tersangkut pada beting cetek. Dulu memang selalu dapat kat situ, puaslah ahli geng merasa. Lain kali boleh cuba kat situ:)
Sesudah arus bertukar dan ikan mula kurang, saya mengambil keputusan untuk menyambung mencari perumpun di lokasi rasmi yang saya katakan tadi untuk bekalan ketika air mula pasang tinggi. Umpan udang agak kurang hasilnya jika memancing di tebing, lagipun amat mudah lucut. Rugi masa dan tenaga menyentap joran. Jemik pun nak ikut jugak, dah lama tak cari perumpun katanya.
Ketika saya dan Jemik mengorek perumpun, Acid dan Samat cuba memancing dan memperlihatkan aksi-aksi ngeri menyentap joran. Macam tu rupanya ye, kelakar sungguh! Mereka ni tak tau yang depan tu ada alur sungai :P Oleh kerana terdapat alur dalam, batu sering tersangkut di tanah dan ikan sukar dinaikkan. Namun ada juga Tetanda kecil sebesar 4 jari dinaikkan namun dilepaskan semula. Kecik sangat, biarlah besar sikit.
Tilan atau Sembilang karang juga berjaya dinaikkan Samat. Bukan ikan ni kat pantai berpasir dan berkarang je ke? Ikan ni kami dapat di satu lokasi terdapat pokok hanyut di dasar sungai. Pokok tersebut berjaya dikesan bila tersangkut pada mata kail dan dinaikkan oleh Samat. Sikit punya gila nak naikkan atas, untung tali sulam diorang ni kuat. Kekerapan ikan makan amat kerap di lokasi ni hingga lah air mula tinggi dan laju. Sungai ni sesuai ketika air surut dan mula pasang je. Ikan akan masuk ke dalam sungai bila air mula tinggi.
Sembilang yang saya naikkan menggunakan perumpun.
Gelama saiz ni memang banyak di lokasi Sarang Lang. Walaupun hanya di tebing, tetapi cukup meletihkan bila joran sentiasa mendapat tarikan. Nak duduk pun tak sempat, sampai kami letih dibuatnya. Lokasi pokok tumbang dan reba kayu banyak memberi manfaat.
Gemang terbesar yang kami sangka sampah :) berjaya dinaikkan Acid dengan joran kecil. Siksa tetapi seronok dan benar-benar menguji kemahiran memancing. Jika dilihat dari rupa set joran, ada kemungkinan di gelakkan orang. Gemang ni berjaya ditipu dengan umpan belanak potong dan perumpun yang dicampur :) Idea si Acid lah ni. Tapi cara dia mengendalikan joran amat saya kagumi. Mata kail cuma sangkut sedikit saja, dan ikan terlepas bila masuk ke dalam bot.
Tangkapan keseluruhan pada trip kali ini..Tiada Tetanda besar dan Tebal Pipi berjaya dinaikkan. Tetapi semua puas hati sebab lokasi memancing membuahkan hasil. Ada ura-ura nak turun lagi lah pulak hujung minggu ni, sabar jer lah..