Berbekalkan udang pasar 1/2 kg yang memang saiz udang sambal, kami menambah stok udang dengan menjala di tepian sungai. Jala di tebar di alur sungai kecil yang menjadi laluan air dari kawasan tinggi tebing. Agak banyak udang yang kami perolehi dengan sekali tebar saja. Adakalanya melebihi 10ekor bersaiz sederhana dan kecil walaupun jala hanya sekecil 9 kaki. Jala ini satu kemestian kepada semua pemancing sebagai insuran ataupun penjimat belanja dikala poket kempis :)
Sekali tebar banyak ni, kalau 10x?
Tips kepada semua rakan pemancing, ketika air mati mula pasang atau separuh surut, kebanyakan udang berlonggok dalam alur sungai kecil ni. Jadi tak perlulah menjala sepanjang sungai cuma di lokasi alur saja sudah memadai. Biasanya di sungai Chandung ini banyak udang ketika air mati. Jika sebelah malam banyak pula anak ikan, udang pula yang kurang. Seperti trip yang lepas, anak ikan amat banyak sehinggakan masuk ke dalam bot ketika bot sedang bergerak.
Sesudah mengumpul umpan kami terus ke lokasi pertama di tiang putih, tak tau la nama sungai tu. Melabuh sauh, dan mula memancing. Banyaknya Cik Bun! Beberapa kali mata kail hilang dan tali putus dek kerana Cik Bun ni..
Kemudian bergerak terus ke pantai laluan masuk WestPort, berlabuh sebentar di Tiang 28 berhampiran Tukun Batu. Tiada arus dan Angin mula sepoi-sepoi bahasa. Hajat di hati nak keluar lagi, tapi apakan daya sampan dah mula melambung-lambung. Tak dapat lah nampaknya.. Ketika ini Adik ipar menaikkan seekor Daun Baru.
Bebolos ni pun jadi mangsa...
Beberapa kali merubah lokasi untuk mengelak alunan ombak yang sepoi-sepoi tadi. Terdapat satu lokasi yang cetek dan kami melabuh umpan. Tetuka dan Duri kerap dinaikan dan banyak pula yang rabut akibat terlebih kosentrasi. Saya pula terlepas satu tangkapan besar, tak sempat nak main dah pun putus. Mungkin terdapat luka pada tali utama akibat sangkut pada lokasi sebelumnya.
Kemudian lokasi batu lagi yang kami singgah mula-mula tadi. Kawasan tersebut setentang dengan bangunan tinggi Westport(TowerBlock). Banyak betul Belukang saiz besar di sini, seronok lah juga hahaha.. Samat berjaya menaikkan sekor Kerapu bersaiz kecil. Ada reba di lokasi ini, jika tak silap sisa bot karam. Oleh sebab kail sering tersangkut, kami mengubah kedudukan dan tiada lagi tangkapan. Setelah itu pindah ke lokasi berdekatan tebing DryBulk terminal dan bersiap untuk balik. Rasa macam sekejap je. Takpelah, lain kali cuba lagi.