Jumaat, 27 Julai 2012

Cerita tentang tukun

Salam ramadhan buat semua rakan pemancing di luar sana dan salam sejahtera buat semua yang bukan beragama Islam. Bulan puasa memang memberikan banyak dugaan dan cabaran kepada yang masih tegar untuk memancing, syabas kepada anda kerana tidak meninggalkan puasa.

Di kawasan Portklang masih terdapat beberapa lokasi Tukun semulajadi yang masih memberikan hasil kepada pemancing. Sisa kapal karam, sisa runtuhan binaan, tiang konkrit dan sisa tumbuhan seperti pokok bakau adalah begitu terhad di sini dan mula rapuh ditelan masa. Sisa kapal karam misalnya akan mereput dan tenggelam di bawah lumpur mengikut keadaan semasa. Berkemungkinan akan hilang suatu hari nanti. Begitu juga dengan sisa pokok bakau di dalam sungai atau dalam lubuk tertentu. Kebanyakan kawasan ini memang terbukti mempunyai penghuni yang sentiasa dicari oleh semua pemancing, namun hanya yang cukup ilmunya dapat menuai hasil :)

Tukun Semula jadi Bakau

Ketika 7 tahun dulu saya mampunyai bot sendiri dan amat gila memancing tanpa mengira waktu. Antara lubuk kegemaran dan kesukaan yang tidak pernah mengecewakan saya ialah Muara Labuhan Gurap. Setiap kali air mati atau besar Tetanda dan Tirusan pasti menjadi lauk kami. Pernah sekali saya bersama seorang editor majalah Kembara Kail membuat liputan di lubuk ini. Kawasan alur sungai dan lubang pada permukaan dasarnya menjadikan ia lokasi terbaik saya. Ketika itu juga terdapat sebatang kayu mati dan tayar buruk di bawah nya. Tayar tersebut pernah saya naikkan dan mempunyai rantai besar kemungkinan jatuh dari bot tunda yang melalui kawasan tersebut. Sisa pokok tersebut sering juga tersangkut dan naik bersama mata kail. Pernah juga menggunakan FishFinder untuk melihat sendiri tukun tersebut. Namun tinjauan terbaru mendapati ianya sudah tiada di situ. Puas kami berpusing dan menukar kedudukan namun yang dapat di lihat hanyalah permukaan rata. Amat sedih sekali... Kemungkinan ikan hanya melalui kawasan ini dan tidak menginap seperti dulu.


Satu lagi pot terbaik saya adalah di bawah jambatan StarCruise. Diwaktu tersebut tiada larangan untuk mendekati kawasan dermaga. Setiap kali turun ke lokasi, Kurau dan Kerapu sering kami naikkan disini. Anehnya hanya 1 tiang saja yang memberi hasil dari banyak tiang yang ada di situ. Biasanya jika ada penghuni di bawah, umpan udang hidup atau beliak mata segera disambar tanpa menunggu lama. Kerap juga saya menaikkan sisa ranting dan kulit kayu jika tersangkut. Ini membuktikan kata-kata seorang rakan pemancing yang terdapatnya pohon kayu tersangkut di bawah tiang tersebut.

Satu lagi lokasi terdapat sisa pokok bakau ialah di kawasan pintu masuk sungai berhadapan StarCruise juga. Lokasi ini saya temui ketika jaring hanyut yang di labuh sering tersangkut dan mengoyakkan jaring. Di lokasi ini sering saya naikkan tetanda dan Merah bersaiz besar ketika air mati. Saya juga pernah menaikkan sisa kayu yang terdapat teritip dan sisa jaring tersangkut di hujung kail. Tinjauan terbaru mendapati sisa kayu tersebut hanya tinggal sisa kecil sahaja.

Di sekitar Pulau Ketam juga terdapat banyak sisa kayu bakau yang tumbang akibat hakisan. Sekiranya air mati terdapat ramai pemancing melabuh bot mereka berdekatan tebing pulau. Sisa ini dapat dilihat ketika air besar maksima surut habis. Tangkapan yang biasa disini Kerapu kecil dan Merah kecil.

Seorang rakan pemancing dari Pulau Indah berkata kebanyakan lubuk sekitar sungai dan selat yang biasa dikunjungi menghasilkan tangkapan baik sekitar 500grm ke 1 kg juga mempunyai tukun bakau di bawahnya. Ini menunjukkan bahawa betapa berkesannya kayu bakau sebagai tukun semulajadi.

Oleh yang demikian sekiranya tukun ini hilang, maka penghuni nya juga akan turut sama hilang dan ini satu kerugian buat kita. Bagaimana mengelakkan ini terjadi? Antara usaha yang boleh kita lakukan adalah dengan membina tukun tiruan. Tukun tiruan ini pula mesti mempunyai bebarapa ciri, sebagai contoh:-
  • Mesra alam - Bahan bukan toksid atau beracun.
  • Tidak mengganggu laluan dan membahayakan bot.
  • Sesuai dengan permukaan mukabumi.
  • Tahan lama
Pernahkah anda terfikir yang kita boleh bersama-sama membina tukun ini? Jika ini berlaku, pasti semua pemancing tidak perlu lagi bersesak-sesak pada hujung minggu di lokasi tukun yang ada sekarang. Stok ikan dan lokasi lubuk akan bertambah dan kita boleh berkongsi bersama tanpa risau ikan habis. Sekiranya saya ingin melabuh tukun bakau ini adakah anda ingin turut serta? Apa pendapat anda??