Kadangkala apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi, begitulah yang terjadi kepada mereka ini apabila trip yang dirancang awal akhirnya terpaksa dibatalkan. Namun trip diteruskan bersama kami setelah bot ditempah pada saat akhir. Jika ada kosong dan tiada halangan, kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda.
Trip di mulakan dengan menjala umpan udang hidup di sekitar pulau berdekatan pengkalan dan pada kali kedua setelah umpan mula berkurangan. Inilah untungnya jika anda pandai menjala kerana kos umpan akan dapat dikurangkan.
Tetanda pertama dengan umpan udang halus.
Oleh kerana air masih besar dan trip hanya berlangsung di kawasan terdekat, bot hanya berlegar di kawasan Navy dan Labuhan Gurap saja. Masih terdapat tangkapan baik walaupun arus begitu laju. Air besar pada ketika ini memang laju dan keruh di kawasan muara. Namun masih terdapat lokasi tertentu yang boleh dikunjungi.
Tetanda kedua di satu spot dalam, kawasan kapal berlabuh.
Umpan yang digunakan kali ini hanya udang kecil sekitar 2 inci yang biasa digunakan untuk memancing ikan Gelama. Biasanya, umpan ini memang berkesan untuk ikan muara sekitar bawah sekilogram. Mata kail kecil lebih berkesan untuk umpan seperti ini kerana ikan akan menelan umpan tanpa ragu-ragu.
Lokasi memancing kemudian sentiasa bertukar lokasi dari tepi hinggalah ke tengah beting. Gelama, Gerut, Sembilang dan Tetuka adalah penghuni tetap di kawasan beting ini. Umpan perumpun sarang yang dibawa kali ini lebih kerap mendapat sambutan berbanding udang hidup.
Sebuah lagi bot berhampiran kami tidak henti-henti menaikkan spesis Tetuka. Keadaan ini berterusan sehingga arus pasang mula menyongsang arus ke sungai. Setelah air mula pasang, Ikan Duri mula bertambah banyak dan lokasi ini sudah tidak sesuai dikunjungi.
Setelah beberapa kali menukar lokasi, akhirnya kami kembali semula ke Pulau Babi berhampiran kawasan pengkalan. Hasil seperti Gelama, Duri dan Sembilang ada juga dinaikkan berselang seli dengan ikan kecil.
Hasil keseluruhan trip kali ini.
Cuaca baik sepanjang trip hanya berubah apabila petang dan kami pulang sekitar jam 7 malam.