Trip menjaring selepas raya yang saya bawakan ketika ini telah ditempah sebelum hari raya. Oleh kerana musim ketam masih berlangsung, hasil sangatlah memuaskan. Turun pada malam Sabtu 2/8 membawa kepada Ahad 3/8 keesokkan harinya. Walaupun keadaan angin tidak menentu pada waktu malam dan pagi, trip berjalan lancar dengan jayanya.
Ketam kali ini tidak banyak yang berkarang pada badannya, mungkin musimnya akan berakhir.
Hasil ketam yang berjaya di naikkan memang agak kasar. Kebanyakannya saiz besar dari jenis ketam Renjung/Bunga. Sepit ketam diikat dengan gelang getah bagi mengelakkan ia terpisah dari badan dan mengurangkan isinya. Isi ketam seperti air dan sekiranya pecah, sudah tentu mengurangkan beratnya.
Selain ketam, ikan Pari juga berjaya dinaikkan.
Seekor ikan Pari dan Tetuka yang rasanya melebihi 50 ekor berjaya mengisi 1 tong ikan yang kami bawa. Jaring di labuh di kawasan pantai yang cetek sahaja. Jaring yang digunakan pula adalah jaring bawal 4 inci pelampung panjang. Untuk pengetahuan anda, pelampung panjang untuk jaring tenggelam dan pelampung bulat untuk jaring timbul. Kebanyakan jaring timbul digunakan menjerat spesis permukaan seperti Senangin, Belanak dan Talang, manakala jaring tenggelam untuk Bawal, Ketam, Udang dan Spesis dasar yang lain.
Terdapat juga ikan Bawal Putih yang begitu sedap rasanya.
Hasil keseluruhan memenuhi 2 peti kami, ketam dan ikan. Trip terpaksa pulang lebih awal memandangkan bekalan ais tidak dapat menampung hasil yang diperolehi. Kami pulang kepengkalan pada jam 1 tengahari.