Selasa, 19 Ogos 2014

Memancing bersama Ibu

Ketika tidak mempunyai trip, adakalanya saya membawa ibu turun memancing. Menghilangkan tekanan di rumah dan bersantai sambil mencari lauk segar untuk makan malam. Seperti biasa, kebanyakan tangkapan baik biasanya di monopoli Ibu.

Ikan Tebal Pipi atau Gerut-Gerut bersaiz besar ini kami perolehi di dalam sungai.

Oleh kerana angin kuat di kawasan terbuka, kami meninjau lokasi sungai yang telah ditanda berpotensi sebelum ini. Walaupun di dalam sungai, angin kencang tetap membadai bot kami hingga kami terpaksa mencari lindungan disebalik pokok atau mengikat bahagian belakang ke poko supaya bot tidak bergerak ketika memancing. Amat sukar memancing sekiranya bot sentiasa bergerak ke kiri dan ke kanan sentiasa dan kebiasanyanya perambut akan kerap tersangkut di dasar kerana kebanyakan lokasi memancing kami mempunyai reba.

Ikan Pari Lalat mungkin..

Umpan udang kecil sebesar jari kelingking banyak membuahkan hasil pada hari ini, memandangkan tiada langsung udang bersaiz besar yang digunakan. Sungguhpun memnggunakan udang kecil, ikan di sini memang bijak menyedari penipuan kami. Perambut dan mata kail perlu halus dan rentapan perlu di buat serta merta atau ikan akan melepaskan diri. 


Selain ikan Gelama yang menjadi tangkapan biasa, Tetuka, Duri dan Pari ini menjadi habuan ibu. Oleh kerana kawasan ini beralur dalam, Ibi terkeliru kerana menyangka sampah yang menarik kail. Sesudah saya tarik dengan tangan, barulah ikan Pari ini melarikan diri dari dasar. Sungguhpun kecil saja, kepuasan terpancar diwajah Ibu. Kami pulang ke pengkalan seawal jam 6 petang mengharungi angin kuat dan gelombang ketika melintasi laluan kapal.