Misi kali ini untuk menjejak tapak lama yang belum sempat saya kunjungi sebelum ini. Dengan umpan Kembung 2 kg, rasanya memang tidak mencukupi. Untuk itu, kami bercadang menjala udang ketika air surut nanti. Untuk lokasi pertama berdekatan sangkar, ikan Kembung potong yang di hulur Jemik dimakan seekor Senangin anggaran 1.5kg. Sayangnya ikan ini terlucut dari mata kail ketika ingin di tangguk. Dah di beri, dilepaskan.. Apa boleh buat, bukan rezki kami.. Setelah berpindah ke lokasi kedua, saya berjaya menaikkan seekor Kerapu kecil.
Tersangkut di reba tetapi berjaya di tarik keluar. Habis perambut rosak dibuatnya. Inilah risiko memancing di reba, perambut perlu kasar dan kuat.
Malangnya jala telah tertinggal. Setelah di pertimbangkan, kami mengambil keputusan untuk terus "Survive" pada kali ini. Baki ikan Kembung yang ada kami potong kecil dan dijadikan umpan ikan Gelama dan Duri. Ikan ini kami potong kemudiannya untuk memancing. Tugas mencari Gelama saya serahkan kepada Jemik.
Hasil dari Gelama potong, Kerapu berjaya dinaikkan di sauh sangkar ini.
Banyak Kerapu kecil berjaya di tipu dengan umpan ini. Ketika berada di lokasi reba berdekatan sangkar, 5 ekor Kerapu saiz biasa berjaya dinaikan. Namun setelah hampir malam, seekor Merah berjaya saya naikkan. Ini membuktikan bahawa kata-kata ikan tidak makan malam di Pulau Ketam adalah tidak benar sama sekali.
Ikan Merah 2.6kg yang berjaya saya naikkan di lokasi ke 4 sangkar. Cukup seksa nak menaikkan dia ni, dengan set kecil. Nasihat saya kepada semua pemancing, guna perambut kasar dan joran sesuai bagi trip di kawasan ini.