Selasa, 11 Jun 2013

Memandu Bot Dan Penjagaan

Salam ceria kepada semua pemancing. Memandangkan bahang pilihanraya telah berlalu, aktiviti memancing kini rancak semula. Ramai yang saya lihat boleh memandu bot tetapi kebanyakannya memandang ringan beberapa perkara yang sangat penting. Memandu bot bukanlah semudah membawa motor di atas jalan raya. Walaupun nampak mudah, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu dan perlu ambil tahu.

Biasanya, pemandu bot berpengalaman akan sentiasa mengamalkan beberapa perkara ini ketika memandu bot mereka. Antaranya ialah,..

Campuran minyak pelincir(2T) dan Petrol

Ini adalah campuran normal untuk 1 tangki penuh 22 liter petrol, 1 : 22. Bermaksud, 1 botol penuh 2T di campur dengan 1 tong 22 liter petrol. Jangan gunakan minyak pelincir motor biasa untuk enjin sangkut anda! Minyak tersebut tidak sesuai dan akan mendatangkan kerosakan kekal pada enjin sangkut. Hanya minyak khas untuk enjin sangkut boleh digunakan. Minyak pelincir ini biasanya boleh di dapati di kedai menjual enjin sangkut, stesen myk Shell yang berdekatan laut, kedai pancing atau kedai menjual peralatan mekanikal. Terdapat 3 jenis jenama yang biasa digunakan iaitu QuickSilver, Yamaha dan Shell Outboard. Banyak kejadian enjin rosak bermula dari perkara remeh ini di atas kurangnya ilmu dari pemancing sendiri. Hasilnya, enjin sangkut yang baru dibeli terpaksa di baiki walaupun baru 2 kali turun ke laut. Biasanya kerosakan tersebut melibatkan bearing haus, bunyi kasar dan piston tersangkut(jem). Kelalaian anda akan menyebabkan poket anda koyak!

Terdapat juga pemancing yang memandang remeh perkara ini hanya untuk berjimat. Oleh kerana hal ini, biasanya minyak pelincir akan di kurangkan dari ukuran sebenar. Perkara ini sering berlaku apabila minyak baru, di tambah ke dalam tangki. Untuk keselamatan, sila pastikan minyak pelincir di campur terlebih dahulu di luar tangki bagi mengelakkan kesilapan berlaku. Jangan risau sekiranya campuran pelincir terlebih. Lebih baik terlebih dari terkurang. Biasanya jika terlebih, kuantiti asap akan lebih sedikit. Jika keterlaluan, enjin akan sukar sedikit untuk dihidupkan dan akan menjadi berat ketika digunakan. Baki minyak yang telah dicampur tadi masih boleh disimpan untuk digunakan di lain masa. Cuma pastikan ianya ditutup rapat dan disimpan di tempat teduh. Buka tutup jika gas mengembang sekali-sekala.Untuk pengetahuan anda, sekiranya minyak disimpan terlalu lama, enjin akan menjadi berat dan perlahan. Jika terlalu lama, minyak tersebut akan bertukar menjadi air dan tidak boleh digunakan lagi.

Pemilihan jenis minyak petrol

Minyak petrol juga mestilah sesuai dengan kegunaan enjin sangkut anda. Gunakan minyak yang sama untuk motor dan kereta anda. Jangan sesekali menggunakan minyak bercampur diesel. Sekiranya menggunakan bekas diesel untuk petrol anda, sila cuci terlebih dahulu bekas tersebut hingga bersih. Sisa diesel di dalam minyak anda akan menyebabkan karburator rosak atau tersumbat. Selain itu, prestasi enjin akan menurun dan kerosakan kekal pasti berlaku.

Sebelum dan selepas digunakan

Hidupkan dan panaskan enjin sangkut anda sebelum digunakan. Ini bagi memastikan perjalanan enjin lebih lancar tahap pembakarannya. Walaupun enjin sangkut tidak digunakan, enjin masih perlu dihidupkan sekurang-kurangnya sebulan sekali jika berada di darat atau 2 minggu sekali jika di atas bot. Enjin sangkut yang terlalu lama tidak dihidupkan boleh rosak kecuali jika disimpan di tempat sesuai. Contohnya di dalam rumah atau kedai. Setelah habis digunakan, cabut saluran minyak dan biarkan enjin hidup dan mati sendiri. Ini untuk mengelakkan berlaku mendapan pada karburator dan dalam saluran minyak.

Sistem Penyejuk/Pam air
Setelah enjin dihidupkan, pastikan air sistem penyejuk enjin keluar dengan lancar. Saluran ini berada di belakang enjin anda. Air ini berfungsi menyejukkan enjin dengan berpusing melalui saluran di sekeliling enjin bermula dari pam yang berada di bahagian atas kotak gear. Air ini mesti keluar dengan lancar tanpa terputus-putus atau tersekat-sekat. Sama ada ketika dihidupkan atau ketika beroperasi di atas bot. Sentiasa perhatikan air tersebut dengan kerap ketika membawa bot. Kadangkala terdapat sampah tersangkut dibahagian lubang pam dan menghalang air masuk. Sekiranya ini terjadi, kerosakan akan berlaku. Enjin akan panas dan asap mula keluar melalui lubang air tadi. Biasanya gasket pada bahagian enjin akan terbakar terlebih dahulu dan diikuti dengan kerosakan di bahagian lain. Tidak semua jenis enjin sama sistem penyejuknya. Ada yang mempunyai 1 saluran air, ada pula yang mempunyai 2 saluran air, bergantung kepada jenis enjin.

Sekiranya ada masa nanti, saya akan letakkan gambar sebagai bahan rujukan..