Jumaat, 30 November 2012

Trip 28/11 Memburu Kerapu dan Merah Pulau Ketam!

Trip yang telah dirancang awal seminggu ini disertai oleh saya, Eboi dan En.Fuad dari Meru Kelang. Dah lama nak ajak dia ni menimba ilmu bersama, akhirnya tercapai juga. En Fuad ni adalah anggota trip sewa yang pernah turun bersama saya, tetapi hasil agak kurang sangat pada waktu itu. Jadi saya cuba menjelaskan mengapa situasi memancing kami berbeza dengan trip yang saya bawa. Tujuan sebenar trip ini adalah untuk mencuba kawasan yang dah lama saya tak kunjungi. Bukan atas sebab merajuk atau tak suka tetapi tidak semua pemancing sanggup menempuhnya. Hanya yang benar-benar sabar dan tahan mental mampu berada dilokasi ini. Perkataan Sangkut, Sirat-sirat, Cikbun dan menunggu berjam lamanya hanya untuk menaikkan hasil buruan seperti dibawah ini. Bayangkanlah, adakalanya jatuh saja umpan ke bawah, kail sudah pun tersangkut di reba. Siapa tak hangin kalau macam ni, betul tak? Jadi jom kita lihat apa yang kami dapat :)

 Jala umpan untuk bekalan walaupun dah lambat..


Trip yang dijangka turun seawal 6 pagi terpaksa dilambatkan kepada 10 pagi atas sebab kewajiban yang tak dapat dielakkan. Setelah sampai di pengkalan dan mengemas peralatan, kami mencari umpan Udang hidup dan Perumpun di laluan keluar. Agak kelakar bila Eboi mengatakan bahawa ikan Kembung yang dibeli untuk umpan telah dikunyitkan kan oleh ayahnya dan separuh telah digoreng!. Untunglah ada umpan Cabuk segar yang diperolehi dari rakannya.




Keadaan air besar dan laju telah pun surut sepenuhnya. Selesai mencari Perumpun, barulah kami sedar bekalan air minum telah tertinggal. Hai..macam-macam dugaan yang datang kali ni..Terpaksa lah kami berpatah balik. Tanpa air yang mencukupi tak mungkin ada tenaga untuk memancing nanti. Lagipun cuaca agak panas walaupun kelihatan redup.

Laluan biasa yang kami lalui juga telah surut sepenuhnya. Enjin terpaksa diangkat bagi mengelakkan tersangkut di beting dan melanggar sisa kayu. Walaupun perlahan di laluan luar, sungai yang berada di laluan seterusnya agak dalam. Memang betul kata si Abul, sungai ni takkan kering walaupun air besar. Terima kasih sahabat, kerana sudi berkongsi ilmu. Setelah melepasi laluan berliku sungai, kami keluar ke Sangkar yang terakhir menghala ke Selat Kering sambil membuat pemerhatian di kawasan tebing. Kawasan reba yang memang menarik! Kebanyakan nya adalah pokok besar yang tumbang menganjur ke air, berselirat dan agak mengerikan.

Aktiviti memancing dimulakan di sauh sangkar memandangkan air masih belum naik tinggi. Beberapa ekor Gelama berjaya dinaikan dan arus mula bertukar arah. Kami berpindah beberapa kali sehinggalah air tinggi dan ikan mula mengganas. Lokasi pertama berjaya menghasilkan 2 ekor ikan Merah dan ini adalah hasil kerja tangan Eboi dan Fuad.

Merah ini berjaya dinaikkan Fuad dengan umpan Cabuk potong di lokasi pertama, betul-betul di atas reba kayu. Walaupun tak besar, tapi tarikannya agak ganas. Silap gaya masuk ke reba dan melepaslah nampaknya. Eboi pun dapat sekor yang kecil. Sekumpulan yang lalu agaknya..

Rata-rata ikan Merah disini semua nya mengalami kecaacatan fizikal.
Buntal dengan Tetanda dah sama besar..
Dua sekali di reba yang sama..

Dua pancing sekali kena! Kerapu ni berjaya ditipu dengan umpan Udang Hidup. Sebelum tu, berjaya melarikan diri ke bawah reba dan sangkut. Namun berjaya dipujuk keluar hasil kesabaran Fuad.


 Cantik lah warna Kerapu ni, macam askar pun ada. Jenis apa tak tau lah..
Inilah hasil kesabaran menunggu lebih setengah jam. Umpan Cabuk potong memang berkesan. Dengan mata saiz besar dan umpan besar, sudah tentu tiada ikan kecil yang menyangkut.

Eboi juga berjaya menaikkan sepesis sama dengan umpan yang sama. Walaupun sangkut, berjaya dipujuk keluar semula.


Hasil keseluruhan trip adalah begitu baik walaupun masa memancing agak singkat. Trip bertolak pulang setelah gelap memandangkan hanya lampu picit yang dibawa..

Sabtu, 24 November 2012

Trip Patin Sungai Langat, Komando Sg dan Ijam












Trip 18/11 Samat dan Pari

Cuaca pada waktu ini amat cerah selepas hujan di waktu pagi. Panas yang berdentum boleh menyebabkan terhidrasi atau pun gelap :) Paham-paham sudah. Kami bertolak pada waktu pagi dengan 3 anggota menyandang joran dan peralatan. Setelah di persetujui bersama, kami menghala terus ke Pulau Ketam melalui jalan dekat memotong anak sungai..Jasa baik si Abul lah ni yang memberi tunjuk ajar kepada saya. Sampai di muara, kami terus memancing. Agak banyak tetanda di kawasan reba ketika air mula surut. Berbekalkan perumpun sarang Rm10 yang dibeli di seberang pengkalan, umpan popular ketika air mati ini memang berkesan.

Harini dera Eboi bawak kami hehehe.. Belajar dan tambah ilmu, amacam, penat tak jadi tekong?

Tetanda di lokasi reba keluar dari anak sungai..

Saiz macam ni memang banyak kat sini, bercampur dengan Gerut-Gerut dan Belukang..

Gerut-Gerut besar ni pun banyak kat tebing. Takda lah bosan sangat..

Lokasi reba yang tidak pernah menghampakan terletak di sepanjang persisir pantai Pulau Ketam.

Bebolos pun ada, makan macam ikan besar aje..

Oleh kerana hari semakin gelap dan tiada lampu dibawa, kami mengambil keputusan untuk pulang saja. Sayang sekali kerana waktu puncak air tinggi tak dapat kami gayakan.. Oleh kerana keletihan, saya biarkan Samat pula yang memandu. Ingatkan nak terus pulang, rupanya singgah lagi di lokasi Navy. Dalam samar-samar lampu di atas dan nyamuk yang mula mengganas, kami memancing di kawasan lubuk lama, Ikan Pari. Agak banyak Tetuka yang dinaikkan di lokasi ini dan setelah 1 jam menunggu, akhirnya yang di tunggu pun muncul. Kena pula pada umpan Samat. Perambut kabel dan mata kecil hanya terlekat di bibir si Pari ni. Gembira sangat nampaknya. Pari yang ditunggu akhirnya menyangkut juga. Pari pertama Samat sejak turun memancing. Tak pernah dapat lagi katanya. Tanda dah. Jenak dah, Kerapu dah, Pari je takda lagi. Jadi ni dah dapat..

 Tak besar sangat tapi tarikan yang amat bertenaga. Joran kecil pula tu..

 Kumpulan belukang..

 Tetanda di kawasan reba..

 Gerut-Gerut dari pelbagai saiz..

 Hasil keseluruhan trip kali ini..

Trip bergerak pulang pada jam 11 malam bersuluh lampu picit..


Jumaat, 16 November 2012

Trip sewa 13/11 En Jenal dan En Ali

Trip ini sebenarnya ingin menduga kawasan luar di lauan kapal, tetapi terpaksa saya lencongkan hanya di kawasan pulau. Keadaan arus yang memang cukup laju macam peluru dan angin kencang, juga bekalan minyak yang tidak mencukupi. Bot 60hp yang kami sewa agak banyak menggunakan minyak. Berikut beberapa hasil yang tak seberapa yang berjaya dinaikkan.

 Makan dalam perjalanan keluar..

 Banyak nya sampah kat muara ni, kepada semua pemancing, adakah ini sampah anda??

 Merah pertama di lokasi jeti lama Pulau Ketam..

 Merah kedua dinaikan Acid bersama reba kayu sekali..

  Sembilang di lokasi yang sama ketika arus pasang..


Macam biasa kawasan bereba yang biasa membuahkan hasil agak menyukarkan mereka memancing. Matakail yang sering sangkut juga agak memanaskan hati jika tidak biasa :) Namun hanya kawasan ini yang berpotensi kerana arus yang begitu laju tidak memungkinkan kami berada di kawasan terbuka.

Bekalan 2 tong minyak terpaksa ditambah di setesen minyak Pulau Ketam sebagai insuran ketika perjalanan pulang. Pengendalian bot pula secara manual agak menyeksakan buat saya sebagai tekong. Enjin pula sukar di hidupkan jika tidak kena dengan gayanya. Satu pengalaman baru bagi saya sebagai pengajaran. Kos bagi trip ini ialah Rm450 lebih kurang dengan 5 muatan. 3 pemancing+1 tekong+1 pembantu.  Lain kali lebih baik guna stering saja. Tak sanggup rasanya!

Trip 15/11 Menjejak Tetanda Reba

Atas rasa ingin tahu dan menambah ilmu sedia ada, saya dan Acid cuba menjejak hasil buruan di reba sekitar kawasan Pulau Ketam dan laluannya. Berikutan hasil yang diperolehi pada trip sewa lepas agak mengecewakan, kami mencuba untuk menduga sekali lagi di setiap lubuk yang telah kami kunjungi. Berikut adalah hasil yang berjaya dinaikkan.


 Senangin ini dinaikkan Acid dengan umpan beliak mata yang kami jala di laluan sungai Lebuh Gurap.

 Agak banyak anak ikan pada waktu ini ketika air mula surut. Kehadiran burung camar laut yang menjunam ke air menandakan kehadiran anak ikan kecil ini. Biasanya keadaan ini menandakan  kehadiran sepesis Senangin Buih yang memburu anak ikan ini sebagai makanannya.

Begitu juga Gelama Pisang yang sudah lama tidak muncul pada trip lepas, sudah mula menunjukkan diri. Mungkin keadaan air yang jernih hijau dan cuaca panas menyebabkan ikan aktif semula. Walaupun hujan pada paginya, aktiviti memancing kami tidak terjejas sepenuhnya. Kami sempat berlindung di sebalik plantoon di dalam anak sungai.

Gelama dan Sesumpit di dalam anak sungai..

Tetanda yang di naikkan di kawasan reba ..

 Ikan Daun baru yang berjaya dinaikkan Acid menggunakan umpan perumpun sarang.

Penggunaan umpan Perumpun sarang lebih berkesan daripada umpan udang hidup. Namun hasil bagi umpan hidup lebih baik berbanding umpan perumpun. Bezanya ialah, seringkali umpan perumpun lebih cepat diragut, mudah mengena dari umpan udang yang digunakan.  Umpan udang pula menghasilkan saiz ikan lebih baik berbanding perumpun. Cuma agak lambat diragut ikan.


Ketika kami menghala ke Pulau Ketam, laluan bot hampir kering sepenuhnya. Akibat dari keadaan ini, kipas enjin seringkali terlanggar sisa ranting di dasar sungai. Keadaan ini berlarutan hinggalah kami masuk ke anak sungai berdekatan. Anehnya sungai tersebut lebih dalam berbanding sungai di sebelah luar. Kami menjala udang di kawasan tersebut dan mendapti udang begitu banyak sekali. Setelah habis menjala, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Ketam.

Sesuatu yang kami pelajari ketika memancing kali ini ialah, teknik bagi menjimatkan kos memancing di reba. Masalah utamanya ialah sangkut! Seringkali batu dan mata kail tersangkut hasil dari tarikan ikan ke dalam reba. Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu mengunakan tali perambut lebih kecil dari tali utama. Matakail pula perlu jenis yang lembut atau mudah bengkok. Jika tersangkut, matakail akan bengkok atau hanya perambut saja yang putus. Batu dan kili dapat diselamatkan :) Bayangkan sebiji batu berharga rm1, kekili rm0.05sen, 10 kali putus dah berapa rm terbang? Lebih baik matakail saja yang putus, jimat lah sikit, betul tak? Tali perambut pula di pendekkan sedikit untuk mengelakkan ikan mudah membawa lari umpan ke reba. Sekiranya umpan diragut, sentap joran dan terus menggulung tanpa henti. Jika masih sangkut dan ikan meronta, kendurkan tali dan biar seketika. Jika bernasib baik, ikan akan keluar semula.


Ahad, 11 November 2012

Anda Tekong Yang Hebat??

Salam sejahtera kepada semua pemancing pro dan amatur. Musim tengkujuh sudah pun tiba. Hujan yang turun tanpa henti pada sebelah petang dan malam disertai ribut petir seringkali melanda kawasan PortKlang. Kepada anda yang masih ingin turun memancing, sentiasalah berwaspada ketika ini.

Hari ini saya akan berkongsi sedikit informasi tentang kapakaran tekong yang perlu ada untuk turun memancing. Seperti mana yang anda tau, kepakaran tekong ini bukan sekadar membawa bot sahaja. Banyak lagi yang perlu diketahui dan dipelajari dari masa ke semasa berdasarkan pengalaman tekong itu sendiri. Berikut saya senaraikan beberapa Asas kemahiran tersebut..

Mengendali Bot  
Mempunyai kemahiran mengendali bot dari yang kecil hinggalah yang besar. Mana tau jika anda terpaksa membawa muatan lebih dan bot lebih besar diperlukan. Mempunyai kemahiran bermain ombak dan gelombang ketika di laut. Tak kisah lah semasa kapal besar lalu ataupun ketika ribut melanda. Ombak atau alun kapal boleh menyebabkan bot anda terbalik jika tidak kena dengan gayanya. Mampu menilai keupayaan enjin. Berapa tahap minyak diperlukan dan berapa jauh anda boleh pergi dengan muatan yang anda bawa.

Menjala dan Mencari Umpan
Kemahiran yang perlu ada pada setiap tekong. Manalah tau jika anda kehabisan umpan ketika memancing atau ketika umpan dibawa tidak sesuai. Mengetahui kawasan dan masa sesuai untuk mencari umpan jika diperlukan. Cara mana yang sesuai, menjala, menjaring atau Apollo.

Mengenali Selok Belok Lokasi Memancing 
Setiap lokasi berbeza dari segi penggunaan umpan dan cara memancing yang sesuai. Kedalaman lokasi berkenaan. Bila waktu sesuai ikan aktif dan berpotensi untuk di pancing. Jenis ikan di lokasi tersebut sekurangnya 1 sepesis yang biasa dinaikkan. Jangan membawa penyewa ke lokasi yang tidak berpotensi hanya untuk menjimatkan minyak dan mendapat keuntungan lebih.

Membaca dan Menilai Keadaan Air
Keadaan ikan di laut biasanya dipengaruhi cuaca persekitarannya. Mungkin lokasi yang biasa anda kunjungi tidak sesuai jika air hujan dari sungai memenuhi aliran berkenaan. Jadi anda perlu mengalih arah ke lokasi yang lebih baik. Ada kawasan yang sesuai memancing ketika air pasang tetapi tidak membuahkan hasil ketika air surut. Sesuai ketika hanya air besar tetapi ketika air mati tidak sesuai. Begitu juga sebaliknya.

Menilai Keadaan Cuaca
Boleh mengenalpasti keadaan cuaca, angin dan ombak. Sekurangnya sebelum berlaku perubahan cuaca. Cuaca di laut amat sukar dijangka. Angin ribut boleh melanda hanya sekelip mata. Kemahiran awal untuk mengelak boleh membantu.

Selok belok Keselamatan
Cara memakai jaket keselamatan. Cara memegang dan membuang sengat ikan yang betul. Sentiasa memberi ingatan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan pemancing.

Kemahiran sampingan

Mengetahui Asas Mekanikal Enjin

Sekurangnya mengetahui cara menukar palam pencucuh(plug). Mengenalpasti tanda-tanda awal kerosakan sebelum berlaku kerosakan yang lebih besar. Antara kerosakan yang biasa ialah plug tidak berfungsi, tali starter putus, myk tersumbat, overflow atau Boost kipas habis. Membawa peralatan asas membaiki enjin juga amat perlu sabagai langkah berjaga-jaga.

Mengetahui Peralatan Yang Sesuai
Tidak semua peralatan memancing sesuai pada setiap lokasi. Pesan pada penyewa supaya membawa peralatan sesuai. Cadangkan.jenis joran, perambut, batu pemberat dan mata kail yang sesuai dilokasi pancing yang akan anda bawa. Maklumat ini akan memudahkan penyewa bersedia dengan peralatan mereka.

Asas Ikhtiar Hidup Di Laut

Kemahiran berenang dan menyelamat sekiranya berlaku penumpang jatuh ke laut. Apa yang perlu anda buat jika berlaku kecemasan, kehabisan air minum, makanan dan minyak. Kemahiran ketika dalam keadaan ribut taufan, sesat di laut dan hilang arah. Kemahiran berkomunikasi yang baik. Contoh nya jika minyak habis atau berlaku kerosakan dan anda meminta bantuan kepada bot yang lalu lalang.

Ilmu Perubatan
Mengetahui sedikit kemahiran perubatan jika diperlukan. Antaranya, terkena sengat ikan, luka dan sebagainya. CPR jika ada pemancing pengsan atau lemas terjatuh. Membawa peralatan bantuan kecemasan yang asas.

Telinga Tebal :)
Penyabar sentiasa bagi mengendalikan pemancing yang bermasalah seperti sombong atau panas baran. Tidak semua pemancing bermasalah seperti ini tetapi kadangkala ada :) Sentiasa menerima kritikan pedas dengan positif sebagai satu perkara biasa. Boleh menerima teguran dan berkongsi pendapat dengan mereka. Kadangkala ada masa cakap mereka juga boleh dipakai dan tidak semestinya anda yang sentiasa betul. Kita kan manusia biasa yang sentiasa membuat kesilapan.

Beberapa perkara perlu dielakkan oleh Tekong

Jangan menjanjikan sesuatu yang tidak pasti
Sebagai contoh,
  " Kat situ ikan semua besar-besar, jangan takut lah. Gerenti dapat Punya!"
 "Ikan Senohong je ada kat situ, ikan Gelama tak ada.."
 "Semalam ada orang dapat Kurau 5 kg kat sini, mane tau korang dapat pulak"
Rezeki adalah urusan Allah tetapi tidak semestinya akan dapat. Ikan dalam Air kita tak nampak...

Menipu
Kadangkala ada tekong meminta wang pendahuluan tetapi dengan jumlah yang tidak munasabah. Adalah lebih baik jika ada wang pendahuluan tersebut di pulangkan semula jika trip tidak dapat disempurnakan. Jujur dalam berurusniaga dan mudahkan urusannya. Jangan susahkan pelanggan anda. Masa yang tidak ditepati dan sentiasa memberi alasan yang tidak munasabah. Jika anda menipu pelanggan hari ini, kemungkinan besar tiada lagi pelanggan pada masa hadapan. Pemancing ni banyak jaringannya, maklumat akan tersebar dengan cepat dan anda yang akan rugi.

Panas baran
Sentiasa bersabar dengan kerenah pelanggan anda, walaupun kadangkala menyakitkan hati. Jangan sesuka hati memarahi atau memaki pelanggan walaupun itu bot anda. Sentiasa berkomunikasi dengan baik dan menggunakan budibicara yang baik.

Suka mengambil risiko
Membawa penyewa ke lokasi yang anda tidak tahu, tanpa ada maklumat dan pengalaman. Tanpa pengalaman anda sendiri, kemungkinan trip anda gagal adalah 90%. Pergi ke lokasi yang anda biasa sahaja dan tahu selok beloknya.

Mengambil hak Penyewa
Ikan dan hasil pada trip adalah hak pelanggan walaupun anda yang mendapatkannya. Berpada-padalah jika jika mahu memancing pun. Pentingkan hasil pelanggan anda. Minta izin untuk mengambil makanan jika anda terpaksa. Sebaiknya sediakan makanan anda sendiri.

Pemalas
Sentiasa berusaha untuk mencari lokasi terbaik untuk memancing. Jangan biarkan pelanggan anda bosan tanpa ada hasil dinaikkan. Cuba sedaya upaya dan jangan mengalah. Kerajinan anda akan dapat dilihat sebagai satu usaha yang akan dihargai oleh pelanggan anda.

Jumaat, 9 November 2012

Trip yang tak berapa nak ada :)

Trip rahsia ni tak dirancang tetapi agak membuahkan hasil. Berikut hasil yang kami perolehi..

 Kerapu yang hanya 10 kaki dari tebing dan sebelah dengan pokok tumbang dalam air.

 Tetanda dengan set kecil Acid di lokasi sangkar.. Umpan udang hidup..

 Banyak Sembilang dapat dinaikkan Eboi di lokasi ini..

 Gegerut yang disangkut pada Rapala berjaya menipu Eboi hahahaha



Kadangkala saya hairan kerana hasil sebegini hanya jika anggota geng saja yang memancing. Padahal lokasi dan umpan adalah sama yang digunakan ketika trip. Mungkin teknik yang betul, masa sesuai dan rezki yang di berikan. Entah lah, sukar untuk di fikirkan. Yang pasti jika kami memancing bersama, keadaanya sangat berbeza.