Khamis, 19 Januari 2017

Wak misai oh wak misai..

Ikan Sembilang adalah spesis ikan muara yang gemarkan kawasan berlumpur keras. Ia kerap menghampiri pantai ketika air pasang untuk mencari makanan. Makanan kegemarannya adalah Perumpun, Umang-umang, Ketam kecil dan Udang. Namun apabila air surut, kebanyakan spesis ini berlindung dibalik reba-reba di dasar selat dan beting berarus laju. Ramai yang tidak mengetahui ikan ini, kurang berbau jika dipancing dikawasan luar alur sungai. Manakala yang berada di dalam aliran anak sungai, kurang enak di masak. Hal ini telah lama kami perhatikan sejak dari dulu lagi. Kemungkinan besar, arus laju dan habitatnya memberi kesan kepada perbezaan yang amat ketara ini.

 Saya dan Ibu turun memancing pada kali ini untuk mencari lauk. Biasalah, asam pedas dan kari sekali sekala memang lauk terbaik untuk kami sekeluarga. Oleh kerana waktu ini air sudah mula perlahan, kawasan biasa untuk memburu Gerut-gerut dan Tebal Pipi sudah tidak sesuai untuk dikunjungi. Hanya 2 ekor Pisang, seekor Semilang kecil, dan berekor-ekor CikBun berjaya dinaikan. Bukan itu saja, kerap juga hanya tali perambut dibawa naik tanpa kail dihujungnya. Kami menjangkakan, kemungkinan besar spesis ini berlindung di sebalik tukun ketika arus perlahan.

Mengubah haluan ke spot yang lebih baik, laluan arus laju dan beting pasir menjadi pilihan kami. Bukan mudah memancing di kawasan arus laju seperti ini lebih-lebih lagi jika joran kecil yang digunakan mengunakan batu bersaiz besar sebagai pemberat. Sungguh pun tiada ikan dihujung kail, joran masih tetap melengkung dan tangan masih tetap lenguh mengayuh.

 Tapi jika hasil seperti ini berjaya dinaikkan, terubatlah penat seharian di laut. Waktu ini air surut sudah berada di paras maksima dan arus memang cukup laju. Di lokasi ini terdapat reba di dasar dan kerap mendatangkan masalah kepada kami. Manakala paras air hanya 3 meter dan berada diatas beting pasir berlumpur.

Saiz yang berjaya dinaikkan sekitar 500grm ke 1.4 kg di berlainan lokasi. Kebiasaannya 2 ke 3 ekor dalam satu lokasi dan bot perlu di ubah tempat setelah itu. Oleh kerana kawasan tersebut cetek, kemungkinan besar ikan ini bertaburan tetapi masih berada di dalam kawasan beting tersebut. Lokasi perlu diubah sekiranya ikan tidak menjamah umpan dalam tempoh 10-15 minit.

Sehingga arus mula berhenti, 15 ekor Semilang pelbagai saiz berjaya kami naikkan yang kebanyakannya menggunakan umpan udang dan Perumpun. Kami pulang ke pengkalan sekitar jam 6 petang untuk pulang. Sedikit tips untuk anda yang ingin memburu spesis ini, keadaan air menyorong kecil, menyorong besar 1 dan 2 adalah yang terbaik sekali. Elakkan menggunakan tali utama yang kasar, kerana tali halus lebih ringan memotong arus. Gunakan perambut sekitar 40 ke 50 paun bagi hasil yang lebih baik.