Khamis, 26 September 2013

Trip 25/9 Turun Bersama Ibu

Sudah lama kami tidak turun memancing bersama sekeluarga. Pada kali ini seperti yang telah dijanjikan sehari sebelumnya, kami turun menjaring sambil memancing. Keadaan air yang mula perlahan dan jernih menggagalkan sesi menjaring kami. Namun joran yang dibawa menyelamatkan keadaan. Setelah air surut berada di kemuncak, kami memasuki anak sungai untuk menjala udang. Walaupun air sudah mula masuk dan agak terlambat, masih terdapat udang yang diperolehi. Hanya beberapa lokasi saja yang berjaya menghasilkan udang. Kebanyakan lokasi tersebut hanya berada di gigi air dan kawasan teduh bayang-bayang pokok. Tips untuk mengenalpasti lokasi yang terdapat udang, anda lihat ombak enjin yang sampai di tebing sungai. Sekiranya terdapat udang melompat, jalalah di lokasi tersebut. Tak perlu bersusah payah menjala sepanjang sungai.



Oleh kerana arus sudah mula memasuki sungai, kami berlabuh di simpang pertama yang cetek dan berjaya menaikkan beberapa ekor Tetanda, hasil kerja tangan ibu. Beberapa ekor Gerut-Gerut dan Gelama juga berjaya dinaikkan. Ada banyak Agas mengganggu kami di sini. Kami bergerak keluar ke muara dan mula memancing.





Sehari sebelumnya, kawasan ini di penuhi ikan Talang dan Gt bersaiz kecil menyambar anak ikan yang masuk ke sungai. Pada hari tersebut tiada tangkapan berjaya dinaikkan. Semuanya rabut setelah dekat dengan bot. Namun pada kali ini, setelah 1/2 jam menanti, 4 ekor berjaya dinaikkan. Walaupun saiz tidaklah sebesar mana, namun joran aksi lembut yang kami bawa, sudah cukup memberikan keseronokan.



Umpan udang kecil yang disuakan banyak menghasilkan ikan. Antaranya Gt kecil, Tetanda, Senangin dan Talang menjadi habuan kali ini. Kami pulang pada jam 7 malam setelah gelap.