Selasa, 10 September 2013

Sekadar Informasi, Kenali Kipas

 Ini ada sedikit informasi berguna untuk anda yang baru memiliki enjin. Kipas enjin sangkut terdapat dalam 2 jenis di pasaran. Kipas Aluminium biasanya bewarna hitam ketika masih baru, bewarna putih krim setelah lama digunakan. Manakala kipas Keluli bewarna putih berkilat dan tidak bertukar warna setelah digunakan. Kipas aluminium biasa lebih ringan manakala kipas keluli lebih berat. Apakah perbezaan kipas keluli dengan kipas aluminium? Kipas aluminium lebih ringan namun apabila berputar di dalam air, daya tujahannya kurang. Kipas ini mudah bengkok jika terkena kayu atau batu dan mudah untuk di ketuk semula. Harganya pula tidak terlalu mahal. Kipas keluli pula amat berat dan mempunyai daya tujahan tinggi memberikan kelajuan kepada enjin. Berat di permukaan tetapi ringan ketika sudah mencapai kelajuan. Kipas jenis ini tidak boleh ketuk semula melainkan dengan cara dan peralatan khas. Harga kipas keluli 1x ganda lebih mahal dari kipas aluminium.












Bagaimana mengesan kerosakan pada kipas anda?

Kerosakan pada kipas hanya boleh dikesan apabila enjin beroperasi. Biasanya kerosakan berlaku akibat terlanggar objek seperti plastik, tali, beting pasir, batu atau melanggar kayu hanyut. Ada 2 kerosakan yang mungkin berlaku iaitu, bilah kipas bengkok atau getah boost telah habis.

 
 
Sekiranya boost habis, bunyi akan meneran kuat setelah pemutar minyak dipulas tetapi kelajuan tetap sama. Biasanya berlaku apabila anda membawa muatan berat atau ketika melawan arus. Setiap kipas mempunyai bahagian getah di tengahnya. Ia berfungsi apabila putaran terhenti mengejut akibat pelanggaran ketika berputar bagi mengelakkan kerosakan pada kotak gear. Sekiranya berlaku kerosakan seperti dinyatakan tadi, apa yang perlu anda lakukan ialah, buka kipas dan hantar ke kedai enjin untuk dibaiki. Di kedai, boost lama akan di tolak keluar, manakala boost baru akan di masukkan semula. Perlu anda ketahui bahawa boost yang baru diganti tidak akan sama ketahanannya dengan boost yang lama dan penukaran tersebut hanya boleh dilakukan beberapa kali jika perumah boost masih elok dan tidak mengembang.

Kerosakan kedua adalah pada bilah kipas. Sekiranya perlanggaran berlaku pada objek seperti yang dinyatakan tadi, biasanya kipas bengkok dapat dikesan apabila enjin mula bergegar ketika beroperasi. Gegaran ini dapat dirasa dan dilihat oleh pemandu bot. Gegaran akan hilang apabila gear neutral dan bergegar apabila gear dimasukkan semula. Untuk kepastian, cabut kipas anda, hidupkan enjin dan masukkan gear. Sekiranya tiada gegaran, kipas andalah yang perlu ditukar. Sekiranya anda membeli kipas baru, pastikan saiz kipas sama dengan kipas lama. Saiz kipas boleh dilihat dibahagian bawah bilah. Untuk lebih mudah, anda bawa kipas lama dan tunjukkan sebagai contoh. Kipas aluminium sebenarnya boleh diketuk semula namun tidak akan kembali seperti asal. Tukul besi dan lapik kayu keras boleh digunakan. Tetapi anda perlu tahu yang mana perlu diketuk dan dan buatlah dengan berhati-hati.



Tips untuk menukar kipas.

Pastikan saiz sama dengan yang lama atau pastikan sesuai dengan enjin anda. Jangan suka mendengar kata orang selagi anda tidak mengujinya terlebih dulu. Sekiranya kipas tidak sesuai, pinjam kipas yang anda ingin beli dari rakan anda dan uji terlebih dahulu. Setelah pasti sesuai, barulah anda beli dikedai. Kipas keluli mahal harganya dan tidak boleh dikembalikan semula. Elakkan pembaziran kerana kos tersebut mungkin anda boleh gunakan untuk hal lain.

Jadi berhati-hati ketika memandu bot dan seboleh-bolehnya elakkan perlanggaran. Gunalah laluan yang kurang risiko dan perihatin ketika memandu bot. Kurangkan kelajuan sekiranya melalui kawasan berisiko. Sekadar info dari pengalaman kami untuk anda....