Keadaan arus yang sudah mula laju, lokasi sangkar kurang sesuai untuk kami memancing. Lebih-lebih lagi bila waktu malam, kawasan sangkar menjadi kawasan larangan. Maka meninjau kawasan reba adalah yang terbaik. Bot, saya labuhkan di hujung pulau untuk memancing. Hampir 2 jam menunggu, hanya Tetanda, Semilang dan Gelama dapat dinaikkan. Turut serta Sesirat yang juga kerap mengganggu.
Setelah berpusing-pusing mencari kedudukan sesuai dan menyuluh, akhirnya kawasan sangkar kami tinggalkan. Saya rasakan kawasan reba di seberang lebih berpotensi. Saya cuma berusaha sekadar yang termampu, saya serahkan kepada yang Maha Berkuasa, selebihnya rezki mereka ni. Sampai di lokasi, umpan terus di labuh dan saya mengambil keputusan untuk tidur saja selepas bersahur. Keletihan melampau akibat kurang rehat dan mengantuk, sedikit mengganggu aktiviti kami. Namun mereka ni masih setia dengan joran masing-masing. Pada jam 5.30 pagi, saya di kejutkan dengan bunyi bising di hadapan bot. Rupanya seekor Siakap kecil merentap salah satu joran mereka dan ikan berjaya dinaikkan. Hanya dengan tangan, ikan di pegang dan dinaikkan ke dalam bot.
Tukang siang ikan yang terhebat pernah saya jumpa, di potong kan, kami pakai :)
Selang beberapa lama, terdengar lagi satu kekecohan. Saya terjaga dari lena dan melihat apa yang berlaku. Kesabaran mereka nampaknya membuahkan hasil. Tarikan kasar di hujung kail menunjukkan hasil besar telah meragut umpan mereka. Ikan kadangkala melalui atas kawasan reba, risau saya dibuatnya. Banyak pokok kayu berselirat di kawasan tebing yang boleh memutuskan tali perambut jika tidak berhati-hati. Namun kepakaran si pemancing memang saya kagumi. Ikan akhirnya saya gancu dan berjaya masuk ke dalam bot. Pari yang berat saya jangka melebihi 10kg berjaya dinaikkan. Terkejut saya lihat perambut dan mata kail yang digunakan. Mata dan tali perambut kecil yang sememangnya tidak sesuai untuk ikan sebesar ini.Namun kemahirannya mengendalikan joran amat saya kagumi.
Setelah cuaca semakin terang, kami menukar lokasi sekali lagi. Lokasi terakhir sebelum pulang yang saya rasakan sesuai ketika ini. Setelah sampai di lokasi, umpan di labuh dan tangkapan Kerapu pertama yang kecil berjaya saya naikkan. Setelah sejam menunggu, seekor lagi Kerapu keil berjaya saya naikkan. Namun kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil. Seekor Ikan Merah berjaya dinaikkan seorang lagi anggota trip dangan bantuan rakannya. Maklumlah, tali kecil untuk memancing Patin katanya, jadi kenalah berhati-hati. Setelah joran bertukar tangan dan aksi tarik menarik berlaku, ikan berjaya saya tangguk ke dalam bot. Seekor lagi hasil gred A berjaya dinaikkan. Bukan kepalang gembiranya mereka ni. Seperti yang saya katakan, ini semua rezeki kamu.
Sedang asyik leka saya mengambil gambar, salah satu joran saya mendapat tarikan keras. Malangnya penjajar gelung yang terlalu ketat memusnahkan peluang yang ada. Perambut kasar putus pada mata kail. Tiada langsung ragutan ikan selepas itu dan kami terus pulang ke pengkalan. Walaupun tidak banyak hasil pada trip kali ini, namun saiz menjadi kebanggaan. Terima kasih kerana sanggup bersabar sepanjang malam.