Ahad, 19 Julai 2015

Memancing Sotong Kurita

Pernahkah anda memancing tetapi sotong yang anda dapat? Cerita aneh sebegini memang pelik tetapi kadangkala berlaku :) Hari ini kami turun memancing sekadar suka-suka di bulan puasa. Turut serta bersama, seorang rakan lama En.Arif, Eboi dan Ijam. Trip suka-suka ini sekadar mencari lauk dan menduga lubuk.

Lokasi pertama, StarCruise Terminal, lokasi kapal berlabuh. Arus perlahan ketika ini memudahkan kami memancing tanpa bersusah payah mengunakan batu besar. Hasil seperti Semilang saiz besar banyak di lokasi ini. Umpan Udang hidup dan Kurita mati sesuai di sini. Namun laluan kapal yang sibuk kadangkala mendatangkan ombak besar yang harus diperhatikan bagi mengelak kejadian tidak di ingini berlaku.

Ikan semilang ini diperolehi dengan umpan udang hidup gred A++ yang kami perolehi dari kolam udang :) Sebanyak 120 ekor udang kami bawakan khas untuk trip kali ini. Seperti biasa udang kolam menjadi pilihan kami kerana ia mudah diperolehi dan saiz yang sesuai untuk memancing.

Cuba anda lihat ikan Semilang yang Eboi dapat ni. Seekor sotong kurita di telannya. Keadaan air yang dalam menyebabkan begitu banyak tali terpaksa dikeluarkan sehingga ke dasar. Lokasi ini tidak sesuai ketika arus deras. 

Setelah menunggu begitu lama, tiada tangkapan baik berjaya dinaikkan. Kami bergerak ke Pulau Ketam dan berlabuh di muara sungai. Di sini, bukan ikan yang kami dapat, tetapi Sotong Kurita yang kerap dinaikkan. Anda lihat gambar di atas. Sotong yang bersembunyi di dalam cengkerang siput besar kerap kami naikkan. Bukan saja cengkerang siput, botol kicap dan tin sardin kerap juga kami temui bersama Sotong ini. Jika mengikut pengalaman kami, sotong ini dari jenis sotong karang yang sesuai untuk umpan di paloh bagi menjinakkan Jenahak.

Sotong yang Eboi naikkan terkeluar dari cengkerang siput dan cuba menakut-nakutkan kami!

Di sini, umpan udang hidup kami mendapat 3 tarikan kasar Senangin besar yang semuanya rabut. Hampir setiap kali tangkapan melompat dan melepaskan diri. Memang bukan rezeki kami kali ini. Hanya mata yang dapat melihat. Salah satunya, saya sendiri tidak perasan yang joran telah pun mengena ikan. Joran melentur dan ikan melompat ke udara!

Akhirnya seekor Ebek berjaya saya naikkan di celah kekalutan.. Ikan yang saya sangka Jenahak besar, rupanya Ebek hampir sekilo. Badannya yang leper dan nipis menyebabkan seronok bermain tali. Hasil terakhir ini kami perolehi sebelum bertolak pulang ke pengkalan.

Keseluruhan hasil sekadar suka-suka bersama..